Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 1 September 2016

Pengantin Lelaki Untuk Aku - Bab 3

SENGAJA Danial rajinkan diri membantu tauke pelamin memunggah pelamin. Selain meringankan kerja, harap-harap boleh dapat diskaun nanti.
Majis di kedua-dua belah keluarga telah selamat berlangsung. Pengantin baharu kini sedang menghabiskan masa dengan keluarga sebelah pengantin lelaki. Selepas itu terus pergi berbulan madu ke Bali. Adiknya Khalil yang menaja bulan madu itu.
Tinggal dia, emak dan Khalil di rumah ketika ini. Kerja-kerja mengemas pasca majlis perlu dipikul mereka. Atau lebih tepat lagi, dia yang berhempas pulas seorang.
“Penat!” ujar Danial ketika labuhkan duduk di meja batu apabila selesai kerja memunggah.
Puan Azah sedang duduk di meja batu yang sama, yang terletak di sudut halaman rumah, memerhati anak sulungnya dan tauke pelamin memunggah barangan ke atas lori kecil. Tauke pelamin dan pekerjanya kini memanjat naik ke tempat pemandu. Mahu beredar. Bayaran akan dilunaskan kemudian. Danial tidak dapat diskaun harga seperti yang diharapkan.
“Kerja kahwin memanglah penat.” Khalil yang begitu baik hati kerana membawa segelas air kosong untuknya menyampuk bicara. Gelas besar di tangan diletakkan di atas meja batu itu. Adiknya kemudian duduk di sebelah.
“Tak penat sangat pun kalau ada orang yang membantu.” Danial pula menyindir adik yang memerapkan diri di dalam bilik selepas makan tengah hari. Apabila sudah selesai semua kerja berat, baru hendak keluar tunjuk muka.
Khalil pamer muka tidak bersalah.
“Kita baru lepas satu majlis kahwin. Ada lagi dua majlis. Ada dua kali penat yang perlu ditempuhi lagi.” Puan Azah pula bersuara sebegitu sambil menolak gelas ke hadapan Danial.
“Dan yang pasti, kita kena bersedia dari sekarang untuk satu lagi kerja kahwin pada tahun ni. Paling lambat, tahun depan,” balas Khalil, kedengaran begitu riang.
Danial tersenyum sinis. Tiada angin, tiada ribut, adik yang seorang ini hendak berkahwin. Entah siapa calon isterinya. Khalil tidak pernah bercerita tentang niatnya hendak berumah tangga. Bahkan tidak pernah bercerita tentang teman wanita. Tetapi manalah tahu, adiknya itu dalam diam-diam sudah menemui calon idaman. Sudah tidak sabar hendak tamatkan zaman bujang.
Dia tidak kisah kalau Khalil hendak langkah bendul, seperti Marissa. Dia juga tidak kisah kalau diterjah dengan senyum sinis oleh sanak saudara.
“Saya dah bersedia untuk kerahan tenaga,” balas Danial, memberikan janji untuk membantu persiapan majlis perkahwinan Khalil apabila tiba waktunya.
Gelas diangkat dan dibawa ke mulut. Kerja keras tadi mengerah kudrat yang bukan sedikit. Tambahan lagi petang ini panas terik. Kering tekak dibuatnya.
No, no. I don’t think so. Bakal pengantin tak boleh penatkan diri sendiri. Kan nanti tak berseri di atas pelamin,” Khalil bersuara dengan tawa kecil.
Air dingin yang sedang melalui tekaknya tiba-tiba terasa seperti berbatu. Tahu-tahu Danial tersedak. Tersembur keluar air yang ada di dalam mulutnya. Mujur tidak terkena emak yang duduk di hadapannya. Segera dia meletakkan gelas ke atas meja. Cepat-cepat dia mengesat bibir yang basah. Kemudian mengurut-urut tekaknya yang perit.
Excuse me! Seingat akulah, aku tak pernah kata yang aku nak kahwin!” Danial segera membantah kenyataan yang dikeluarkan oleh Khalil apabila perit tekaknya hilang.
Khalil ni, memang nak kena ketuk kepala dengan bangku batu ni.
“Bakal pengantin dah panik dah.” Khalil mengusik selamba, tidak mengendahkan penafian si abang.
“Nampak gayanya begitulah.” Puan Azah pula angguk setuju.
“Saya memang tak ada calon!” Danial terus tegas menafikan yang dia hendak berkahwin pada tahun hadapan.
Orang yang buat cerita yang bukan-bukan ini memang minta dihumban ke Laut Sulu. Atau minta dicampakkan ke dalam ke Laut Adriatik dari kapal terbang.
“Kita tunggu calonnya tiba aje,” gelak Khalil.
Nampaknya, ini bukan soal dia tiada calon. Ini soal ada orang hendak tolong carikan calon.
“Mak Su Izah beritahu mak yang dia sudah mulakan operasi mencari calon untuk Dan, berpandukan maklumat yang dia dapat daripada Dan sendiri.” Puan Azah bersuara sambil mengenyit mata kepada Khalil.
Danial mengetap bibir. Patutlah Mak Su Izah begitu berkeras hendak mengetahui ciri-ciri wanita idamannya ketika membantunya mencuci periuk di belakang rumah tempoh hari.
Ikutkan jawapan klise kepada orang yang bertanya sebelum ini, dia mahukan gadis yang mempunyai budi pekerti yang tinggi. Ada asas agama walaupun tidak sealim mana. Juga berdikari serta berpendirian teguh. Tetapi dia tidak mahu gadis yang bersifat dominan sehingga dia terpaksa tunduk mengalah sentiasa. Kan nanti, ada mulut celopar yang melabelnya sebagai lelaki dayus pula.
Mudah kata, gadis itu boleh bertolak ansur dengannya. Rupa yang cantik dan kedudukan keluarga bukan ukuran. Tetapi itulah, bak kata Nazmil, ciri yang dimahukannya adalah ciri yang umum. Hampir semua perempuan di Malaysia ada ciri-ciri seperti itu. Sebab itu, dia tahu yang dia perlu memuaskan hati Mak Su Izah dengan memberikan jawapan yang pasti.
Waktu itulah dia teringatkan Amana!
Lantas ciri-ciri Amana yang diberitahu kepada mak su. Kononnya dia sukakan perempuan yang berambut ikal. Tidak kisah kalau perempuan itu tidak bertudung kerana itu tidak bermakna yang perempuan itu kurang agamanya. Cumanya nanti, dia kena berusaha lebih untuk jadikan wanita itu seorang Muslimah yang sempurna. Terasa kelakar juga waktu itu. Ilmu agama di dada pun kurang, ada hati hendak membimbing anak orang.
“Mesti natural beauty. Kalau dapat yang tak suka bermekap lagi bagus. Nanti taklah bazir duit saya belikan mekap tiap-tiap bulan,” beritahunya kepada mak su ketika menutup senarai ciri wanita idamannya.
Ikutkan, Danial tidak kisah pun kalau perempuan itu biasa-biasa sahaja. Sepadanlah dengan dirinya yang juga lelaki yang biasa-biasa aja. Yang sebenarnya dia sengaja hendak bagi Mak Su Izah terasa payah dan akhirnya mengalah mencari calon untuknya. Tetapi tidak sangka yang Mak Su Izah bersungguh pula.
“Tapi kan Khalil, kamu tak rasa yang ciri-ciri yang Danial gambarkan kat mak su tu sama dengan Amana?” Puan Azah menyebut nama Amana.
Tetapi itulah, kenapalah Amana tidak jatuh cinta dengan Danial sahaja, atau Danial terpikat dengan Amana? Senang cerita. Puan Azah memang sudah berkenan dengan Amana. Anak-beranaknya juga berkenan dengan Amana. Walaupun mulut banyak, Amana jenis yang tidak banyak kerenah apabila disuruh buat kerja.
Lagipun, orang kata lelaki dan perempuan yang ada iras ada jodoh berdua. Maknanya Amana dan Danial ada jodoh. Tetapi hati seorang itu tengok gayanya hala ke Laut Merah, yang seorang lagi itu pula halanya ke Laut Hitam. Langsung tidak bertemu masinnya. Langsung tidak bertaut hati sesama mereka.
“Memang sama, mak. Tapi rasanya Dan tak berkenan dengan dia. Bukan apa, dia tu seksi sangat. Pulak tu, tak pandai memasak macam Dan. Pendek kata, tak sepadan. Walaupun perbezaan tu mungkin kecil, tapi yang kecil tu yang selalunya jadi penyebab perang. Bahaya tu. Tak pasal-pasal nanti kita kena hantar pasukan pengaman. Tak pun jadi perantara rundingan damai. Tak sanggup saya.” Khalil berceloteh panjang. Mata dikenyit nakal kepada Danial.
Danial sudah tidak sanggup duduk lama-lama di meja batu itu lagi. Silap hari bulan, emak akan keluarkan senarai nama anak gadis yang dirasakan mempunyai ciri-ciri seperti Amana. Juga tidak pasal-pasal nanti emak aturkan temu janji dan dia kena paksa pergi. Yang ini lagi bahaya dan dia tidak rela. Amana dan Nazmil mesti ketawa terbahak-bahak sambil menepuk meja kalau tahu tentang hal ini.
Lagipun soal hati bukannya boleh dipaksa. Dan, jodoh adalah rahsia Tuhan. Kerana itu dia rela menanti biarpun usia kian berganjak. Tidak kisah pun digelar bujang terlajak. Juga tidak risaukan diri yang masih bersendirian. Reda dengan ketentuan Tuhan.
Pendek kata, biar jodoh datang dengan sendiri. Biar perasaan cinta berbunga di hati tanpa disedari jiwa. Dia sabar menanti tibanya detik manis itu. Detik di mana dalam hatinya ada taman seribu kembang.
“Aik! Lari?” ejek Khalil apabila melihat abangnya bangun daripada duduknya.
Danial buat-buat tidak dengar.
Don’t worry, Dan. Bukan setakat mak su dan Marissa, aku juga akan tolong carikan calon wanita idaman kau.” Khalil bersuara lagi.
Emak ketawa kecil.
Danial terus buat-buat tidak dengar, terus sahaja berlalu meninggalkan meja batu itu. Dia tahu yang mereka tidak berjaya. Semua wanita itu tidak sama dengan Amana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan