Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 1 September 2016

Pengantin Lelaki Untuk Aku - Bab 1

AMANA tahu Danial agak hampa apabila dia tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan Marissa. Hendak buat macam mana. Dia wajib pulang ke kampung walaupun bukan kerana ada urusan penting pun. Sekadar mahu bercuti untuk rehatkan badan dan minda yang penat. Selain sebab sudah berjanji dengan emak.
“I harap sangat you ada bersama I sepanjang majlis ni. Tapi nak buat macam mana kan. Kalau Marissa tak tukar tarikh nak cepat kahwin, you tentu dapat bersama-sama dengan I.” Danial mengeluh apabila diingatkan tentang hal itu.
Amana turut mengeluh. Mata melirik pandang ke arah kawan baiknya yang sedang tegak berdiri memantau kerja memasang pelamin di ruang tamu rumah. Danial yang menaja pelamin untuk pasangan yang kononnya hendak sehidup dan semati bersama itu. Dia pula rajin menemani Danial setiap kali berurusan dengan tauke pelamin.
Tauke pelamin sendiri sangka bahawa mereka yang akan berkahwin. Waktu itu, Danial tersenyum malu. Hati perempuannya pula tiba-tiba sahaja didatangi getar misteri apabila melihat senyum lelaki itu yang disembunyikan di balik lengan baju. Selama berkawan, tidak pernahnya dia melihat Danial tersipu-sipu begitu. Kalah orang perempuan.
So sorry, Dan. I dah janji dengan mak. Sebab itu I wajib pulang.” Amana yang sedang bersila di lantai bersuara kesal.
Dia tekun menyiapkan gubahan hantaran perkahwinan. 13 dulang hantaran semuanya. Danial yang memilih konsep perkahwinan dengan warna tema merah jambu dan putih. Warna kegemaran Marissa dan Adam. Warna yang manis apabila dipadankan berdua.
Bakal pengantin patutnya menolong sama. Tetapi Marissa terpaksa pergi ke butik untuk mendapatkan baju yang baharu siap diubah suai. Baju yang dipilih sebelum ini jadi sendat. Bakal pengantin bertambah saiz.
“Tapi bagus juga kalau I tak ada tau. Kalau tak, selesai aje budak berdua tu bersanding, you pula kena bersanding dengan I nanti. upah sebab paksa I bantu you manage majlis adik you ni. Sanggup ke?” Dia mengusik Danial. Sambil tangan ligat melilit kertas reben ke tangkai bakul, mata mencuri pandang ke wajah anak bujang Puan Azah itu.
Merah wajah cerah Danial. Tanda malu.
Suka Amana melihat. Lagi ligat dia hendak menyakat. Lagi satu, dia berani kerat jari. kalau betul mereka bersanding berdua nanti, malamnya Danial mesti akan dapat mimpi ngeri. Dia gelak jahat dalam hati. Mata mencuri pandang ke arah Danial sekali lagi.
Danial anak sulung yang menjadi ketua keluarga sesudah kematian ayah. Jadinya dia faham kenapa Danial rasa yang dia bertanggungjawab untuk memastikan kesempurnaan majlis perkahwinan yang pertama kali diadakan dalam keluarga mereka. Danial bertungkus lumus mengurus majlis perkahwinan Marissa seolah-olah dia sendiri yang akan berkahwin.
Itu yang membuatkan rasa kagum terhadap lelaki itu makin memuncak. Kesungguhan Danial adalah bukti yang dia seorang lelaki yang cukup bertanggungjawab kepada keluarganya. Rupa pun ada. Mudah kata, Danial termasuk dalam kategori lelaki yang semakin pupus di dunia ini. Kalau masih ada pun, kebanyakannya sudah jadi suami orang. Atau telah berikrar untuk membujang sehingga ke tua. Kalau tidak pun, memilih gaya hidup songsang.
“I sanggup bersanding dengan you, tapi bukan atas pelamin warna merah jambu. I alergi dengan warna merah jambu.” Terdengar Danial bersuara.
Amana pandang Danial yang sedang memandang pelamin yang hampir siap dihias.
“Habis tu you nak warna apa?” Sengaja dia bertanya. Nanti kalau Danial berkahwin dan mahu dia membantu, dia sudah ada idea.
Danial tidak menjawab.
Amana senyum sinis. Danial memang sering mengelak daripada bercerita bab hati.
“Kalau I yang kahwin, I nak warna ungu sebagai warna tema. Kalau boleh, ungu yang seperti ungu bunga eustoma. Nanti you tajalah juga pelamin untuk I,” celotehnya kepada Danial, sekali gus berkongsi impiannya dengan lelaki itu.
Sekali lagi dia melihat Danial tersenyum malu. Lagi sekali hati perempuannya buat hal. Cepat-cepat Amana memandang bakul kecil di tangan yang perlu disiapkan. Takut hatinya makin terpanar melihat senyum manis Danial. Nanti kerja lambat siap pula sedangkan dia merancang untuk bertolak pulang ke Perlis selepas waktu asar.
Urusan katering sudah diselesaikan pada pagi tadi. Juga sudah diserahkan kepada Khalil untuk menguruskan hal selanjutnya. Cenderahati untuk tetamu majlis sudah diambil pagi tadi. Pendek kata, bahagian kerja kahwin yang diamanahkan kepadanya sudah hampir siap. Majlis yang akan berlangsung pada lusa nanti diharapkan berlangsung meriah tanpa masalah.
Sebaik sahaja diberikan kerja, dia tidak berlengah lagi membuat persiapan. Mungkin berkat rajin membantu kenduri-kendara di kampung, dia sedikit pun tidak kekok membantu keluarga Danial.
“Macam majlis kamu dan Dan pula. Bukan lagi majlis Marissa dan Adam.” Puan Azah, emak Danial mengusik sebegitu ketika Amana dan Danial sedang mengusung kotak-kotak cenderahati ke dalam rumah.
Amana hanya ketawa mendengar. Dan hati bergetar sekali lagi. Itu yang buatkan dia jadi risau. Dia perasan, sejak sama-sama sibuk dengan Danial menguruskan majlis perkahwinan Marissa, hatinya mudah bergetar semacam. Bahkan sekarang ini pun getar itu mengambil masa untuk hilang. Makin menjadi-jadi pula.
Apa maknanya ini? Jatuh hati? Tidaklah!
Tidak mungkin dia jatuh hati dengan kawan baiknya sendiri. Lagipun, apa kelas jatuh hati dengan lelaki yang seperti telah berikrar hendak membujang sehingga ke mati? Dia juga yang mati kering menanti lelaki itu. Tidak merasa duduk di pelamin. Kempunan.
Amana ketap bibir. Harap-haraplah getar misteri di hati hilang apabila dia kembali bekerja nanti. Buatnya hati makin buat hal tatkala Danial ada di hadapan mata, haru-biru jiwanya nanti. Juga huru-hara hidupnya pula. Yang susah dia juga.
Thank you so much, Amana. Tapi sungguh, I memang ralat bila you tiada nanti,” ujar Danial ketika menemani Amana ke kereta Myvi putihnya.
Amana pun ralat juga apabila tidak dapat bersama keluarga Danial pada hari bersejarah Marissa. Tarikh itu serentak dengan hari yang dijanjikan dengan emak. Hendak ditunda cuti, tidak mungkin. Dia tidak mahu mungkir janji. Bingit telinga menadah leteran emak nanti.
Danial ada menjemputnya untuk hadir ke majlis bertandang yang akan diadakan dua hari selepas itu. Dia menolak juga. Tarikh itu tetap jatuh dalam tarikh cutinya. Janji dengan emak lebih penting.
“Masa I tak ada, you jangan main mata dengan sesiapa tau. Yang penting, jangan jatuh cinta dengan anak dara orang. I seligi you nanti kalau I tahu you curang dengan I.” Amana memberi amaran sebegitu sambil menutup pintu kereta. Mengusik nakal sebenarnya.
Untuk sekian kali, Danial tersenyum malu. Untuk sekian kali juga, hati perempuannya buat hal sebab terlajak berani mengusik anak bujang orang. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan