Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 11 Mei 2016

Encik Bos Cik PA - Bab 10

Bab 10
“JUNNAH!
Jun yang sedang berbual-bual di pantri dengan beberapa rakan sekerja itu tersentak. Muka dah terasa panas berbahang. Muk yang baru sahaja mahu dibawa ke bibir diletakkan di atas meja.
“Fyn, Junnah mana?”
Boleh dengar suara mamat itu dari sini. Eee! Nak malukan aku ke apa ni? Jun mengomel sebelum berjalan keluar dari pantri tersebut. “Ada apa encik cari saya?”
Ash menoleh ke belakang. “Awak pergi mana? Saya ingat awak curi tulang lagi.”
Jun sedaya upaya menahan diri daripada mempamerkan riak wajah menyampah. Mamat ni kalau satu hari tak sakitkan hati aku, tak aman agaknya hidup dia tu. Huh.
“Saya kat pantri tadi. Encik ada nak minum apa-apa? Saya boleh buatkan.” Jun menjawab separuh sinis.
Ash merenung tajam ke arah gadis itu. Tahu benar yang gadis itu sedang menyindirnya.
“Ambil barang awak. Ikut saya sekarang. Jangan lupa bawa kunci kereta sekali.” Ash berkata sebelum berlalu dari situ.
Buat seketika, Jun hanya tercegat berdiri di situ. Mamat ni kata apa tadi?
“Jun, pergilah cepat.” Fyn menegur sebelum menghulurkan beg tangan ke arahnya.
Apabila menyedari yang lelaki itu sudah pun hilang daripada pandangan, Jun cepat-cepat keluar dari pejabat tersebut menuju ke arah lif. Tangan laju menekan butang apabila pintu lif hampir tertutup.
“Bukan nak tunggu.” Jun mengomel perlahan sambil menyarungkan tali beg tangan ke bahunya.
Ash hanya menjeling. Bukan dia tak dengar apa yang diomelkan oleh gadis di sebelahnya itu.
“Kita nak ke mana ni?” Jun akhirnya bertanya apabila pintu lif terbuka.
Ash tidak menjawab ketika dia keluar dari lif tersebut. Jun mencebik sebelum cepat-cepat melangkah mengekori lelaki itu. Ash berhenti melangkah sebelum berpusing memandangnya. Jun mengangkat kening.
“Kat mana?”
Erk?
“Kat mana apa?” Jun bertanya kurang faham.
Ash menarik nafas panjang. “Kat mana awak letak kereta awak?”
“Kenapa encik nak tahu?”
Ash memejamkan mata seolah-olah cuba menahan sabar. “Boleh tak kalau saya tanya tu, jawab aje?”
Jun membuat muka.
“Kat sana tu.” Jun memuncungkan bibir ke arah kiri mereka.
Laju kaki Ash melangkah ke tempat itu.
Jun mengerutkan dahi ketika dia turut sama mengikut langkah kaki lelaki itu.
“Kenapa?” Jun bertanya apabila lelaki itu berhenti betul-betul di hadapan keretanya.
“Kunci kereta.” Ash menadah tangan.
Jun memandang tangan lelaki itu dengan kereta. “Hah?”
“Bagi saya kunci kereta awak.”
Jun memegang beg tangannya rapat-rapat. Mamat ni dah kenapa? Nak merompak dia ke?
“Junnah!”
Jun mengetap bibir. Pantang betul dia kalau orang panggil dia dengan nama itu. “Encik nak buat apa dengan kunci kereta saya ni?”
“Bagi aje boleh tak?” Lelaki itu dah mula nak naik angin.
Jun mencebik. “Mana boleh. Kereta ni saya yang punya. Saya berhak nak tahu apa encik nak buat dengan kereta saya ni?”
Ash memejamkan mata. Sumpah rasa nak hantuk kepala ke dinding.
“Saya nak melawat kedai perabot dan saya perlukan kereta awak untuk ke sana. Oleh itu, saya perlukan kunci kereta awak untuk menghidupkan kereta awak supaya saya boleh bawa kereta awak ke sana. Faham?”
“Faham, faham.” Jun mengangguk perlahan sebelum tunduk dan membuka beg tangannya. Wait a minute. “Tapi, kenapa nak guna kereta saya pulak? Kenapa tak naik motor encik aje?”
Spontan mereka memandang motosikal besar milik lelaki itu yang terparkir tidak jauh daripada mereka.
“Saya tak bawa perempuan sembarangan naik motor saya.”
Jun menoleh. Kening terangkat sebelah. Eleh, boleh caya ke ni? Entah-entah dah beratus perempuan dia angkut dengan motosikal tu. Hati agak sakit juga apabila lelaki itu melabelnya sebagai ‘perempuan sembarangan.’
“Saya tahu apa yang ada dalam fikiran awak sekarang. Terpulang awak nak percaya ataupun tidak.”
Jun telan liur. Biar betul mamat ni boleh baca fikiran dia?
“Saya tak cakap apa-apa pun.” Jun mengomel perlahan sebelum kunci kereta dikeluarkan. “Saya boleh bagi pinjam kereta saya, tapi dengan satu syarat.”
“Jangan main-main boleh tak?” Suara lelaki itu naik satu level lagi.
Jun memejamkan mata. “Mana ada saya main-main. Saya cuma nak minta satu aje.”
Ash memandang siling. Sabar, Ash, sabar. “Apa dia?”
Jun terdiam buat seketika. Dalam kepala sudah memikirkan sesuatu.
“Cepat sikit boleh tak?”
“Saya nak bilik sendiri.”
“Apa dia?”
Jun memejamkan mata lagi. Mamat ni tak boleh ke turn down sikit suara tu? Rasa macam nak runtuh aje bangunan ni.
“Saya kata saya nak bilik sendiri. Saya tak nak duduk dekat meja saya sekarang. Encik tahu tak tempat tu sebenarnya dah macam tempat simpan barang terpakai?”
Ash terdiam buat seketika.
Jun angkat kening ketika melihat reaksi lelaki itu. Dia pasti yang dia takkan dapat apa yang dimintanya itu. Tapi, tak salah mencuba, kan? Untung sabut, timbul.
Fine. Kalau itu yang awak nak.”
“Hah? Apa encik cakap tadi?”
“Awak ni memang ada masalah pendengaran ke?”
Jun mencebik lagi. Namun, hati sudah mula berbunga-bunga. “Jadi, encik setujulah nak bagi saya bilik sendiri?”
“Kalau itu yang awak nak.”
Jun hampir bersorak apabila mengetahui yang dia bakal memiliki bilik sendiri. Dalam kepala dah berangan-angan bagaimana keadaan biliknya itu.
“Kalau saya tahu encik akan setuju macam ni, saya minta encik naikkan gaji saya tadi.” Jun berkata sambil menghulurkan kunci kereta ke arah lelaki itu.
Ash tidak menjawab ketika kunci tersebut bertukar tangan.
“Masuk sekarang,” arah lelaki itu.
Jun buat muka. Eleh, arah-arah orang macam kereta tu dia yang punya. Huh!

“ENCIK betul-betul tahu ke jalan nak ke sana tu?” Jun bertanya sambil memandang sekeliling. Gaya macam dah sesat saja ni.
Ash di sebelah tidak menjawab. Dia sendiri mula ragu-ragu. Rasanya dia dah ikut laluan yang betul. Tapi, kenapa tak sampai-sampai?
Jun mulai gelisah ketika dia menjeling dashboard. Minyak tinggal dua bar. Habisah minyak kereta dia kalau dari tadi asyik berpusing-pusing saja. “Encik kalau tak pasti nak ikut jalan mana, gunalah Waze.”
Lelaki itu tidak menjawab.
Jun menjeling. Ini mesti kes ego tinggi melangit tak nak guna Waze. Jun melepaskan keluhan berat ketika mata memandang dashboard lagi. Alamak, dah tinggal satu bar saja ni. “Encik, minyak kereta saya tu dah tinggal satu bar aje.”
Spontan Ash menjeling ke arah dashboard, namun dia tidak berkata apa-apa.
Jun menggigit bibir. Apa masalah mamat ni? Tiba-tiba dia rasa menyesal pula memberikan kunci kereta kepada lelaki itu. Kalau dia tahu akan jadi macam ni, tak ingin dia nak benarkan lelaki itu menggunakan kereta dia. Huh! Jun merungut dalam hati sebelum memandang cermin.
Eh? Lelaki itu telah memberikan isyarat ke kiri sebelum masuk ke laluan stesen minyak. Bibir yang ingin mengukir senyum cuba ditahan sehabis daya.
“Pergi isi minyak.”
Jun menoleh. Biar betul mamat ni?
“Saya mana ada duit tengah-tengah bulan ni. Saya dah budget minyak ni akan saya guna sampai waktu gaji.”
Ash tidak berkata apa-apa ketika lelaki itu mengeluarkan dompetnya.
Bulat mata Jun apabila melihat dompet lelaki itu yang tebal. Amboi! Mesti duit kepuk-kepuk ni.
“Nah, guna kad ni. Pergi isi.” Ash berkata sambil menghulurkan sekeping kad kredit berwarna emas.
Bersinar-sinar matanya ketika mengambil kad tersebut dari tangan lelaki itu. Rasanya inilah kali pertama dia dapat memegang kad seperti itu.
“Cepat sikit boleh tak?” Lelaki itu menyergah sehingga Jun tersentak.
“Yalah, yalah.” Jun berkata sebelum keluar dari kereta itu.
“Bang, saya nak isi penuh tau. Minyak RON 97.” Jun berkata sambil menghulurkan kad kredit ke arah pekerja stesen minyak itu.
Pekerja itu hanya mengangguk sebelum mengambil kad yang dihulurkan oleh Jun dimasukkan pada mesin pam minyak tersebut.
“Terima kasih.” Jun berkata sebelum mengambil kad kredit yang dihulurkan oleh pekerja itu. Jun berfikir seketika ketika. Dia membuka pintu kereta sebelum tunduk. “Encik, saya nak masuk kedai tu dulu. Encik nak kirim apa-apa?”
Lelaki itu tidak menjawab.
Jun memutarkan bebola matanya ke atas sebelum menegakkan badan dan menutup pintu. “Bang, saya nak ke kedai tu dulu ya. Abang isi slow-slow tau. Tunggu saya datang. Nanti mamat ni tinggalkan saya.”
Pekerja itu hanya senyum.
Jun membelek-belek makanan ringan yang tersusun di rak sebelum dicapai dan diletakkan di atas kauter bayaran bersebelahan dengan biskut lima paket, roti tiga buku, kerepek pisang empat paket, 100 Plus tiga botol besar dan coklat sepuluh paket.
“Bang, berapa semua?” Jun bertanya sambil menjeling ke luar dinding cermin kedai tersebut.
“Semua sekali RM80.65, cik.”
“Saya bayar guna kad ni ya.” Jun berkata sambil menghulurkan kad kredit milik lelaki itu. Biar padan muka mamat tu. Suka hati saja nak layan dia macam tu.
“Terima kasih.” Jun menjawab ketika tangan menjinjit beg plastik dan berlalu keluar dari kedai itu.
“Lama ke encik tunggu?” Jun bertanya sambil meletakkan beg plastik berisi makanan ringan yang dibelinya tadi di tempat duduk belakang. “Nah kad encik.”
Ash memandang kad di tangan gadis itu sebelum menoleh ke tempat duduk belakang.
Jun hanya tersengih.
“Awak beli semua barang tu guna kad saya?”
Jun telan air liur. Alamak, nak jawab apa ni?
“Junnah! Saya tanya jawablah.”
Jun memejamkan mata apabila suara lelaki itu betul-betul membuatkan telinganya hampir tertanggal.
“Err... Tak boleh ke? Alah, bukan banyak pun.” Jun menjawab takut-takut.
Ash memanrik nafas dalam-dalam. Sumpah rasa macam nak cekik-cekik minah di sebelah ini. Boleh dia selamba badak saja guna kad aku macam aku ni laki dia? Huh!
Sorrylah, encik. Nanti saya bayarlah balik bila dah gaji nanti.”
Ash tidak berkata apa-apa ketika dia menghidupkan enjin dan bergerak keluar dari stesen minyak tersebut.
Jun tidak berani bersuara ketika melihat raut wajah lelaki itu yang dah macam naga. Ngee. Itulah Jun, siapa suruh kau pandai-pandai guna kad kredit mamat tu. Dia bos kau tau tak? Bukan laki kau.

1 ulasan:

  1. Adakah anda sedang mencari pemberi pinjaman swasta? Adakah anda memerlukan pinjaman segera? Adakah anda mempunyai kredit yang buruk? Adakah bank anda gagal? Saya boleh membantu anda mendapatkan pinjaman. Tiada jaminan diperlukan.
    Saya seorang pelabur swasta yang mengkhusus dalam menyediakan semua jenis dana pelaburan, termasuk dana bersama, pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, pinjaman hartanah, kombinasi pinjaman, pinjaman penyatuan, pinjaman komersial dan Tiada penipuan, lebih banyak lagi.

    Tiada permainan, perniagaan sahaja
    Jumlah Pinjaman: Minimum $ 1,000 sehingga jumlah pinjaman maksimum $ 50,000,000.00 Dan nilai mata wang lain
    Kadar faedah pinjaman: 2%
    Kawasan pinjaman: di seluruh dunia
    Tempoh maksimum: sehingga 25 tahun
    Tiada penalti prabayar

    Pembiayaan segera selepas dokumentasi dan kelulusan yang betul.
    Untuk maklumat lanjut, sila hubungi kami melalui mesej melalui e-mel peribadi kami di gloryloanfirm@gmail.com

    BalasPadam