Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 11 Mei 2016

Encik Bos Cik PA - Bab 9

Bab 9
JUN berjalan tenang sambil sesekali menyanyi riang. Hari ini dia puas hati dengan diri sendiri disebabkan berjaya sampai ke tempat kerja seawal 7.45 pagi. Lepas ni bolehlah dia berlagak dengan mamat tu. Apa ingat dia tak boleh datang awal ke? Ada hati nak tolak gaji dia. Huh!
Vrommm! Spontan Jun mengelak ke tepi apabila sebuah motosikal berkuasa tinggi melintas di hadapannya.
“Eee... Mata tu letak dekat kepala lutut agaknya. Nasib baik tak kena langgar.” Jun merungut perlahan, namun langkah kakinya terhenti buat seketika.
Dia menoleh ke tempat letak motosikal itu. Dalam hati tertanya-tanya siapa penunggang motosikal tersebut kerana seingatnya tak ada pekerja syarikat ini yang membawa motosikal sebegitu ke sini. Ada pekerja baru ke? Kenapa dia tak tahu?
Jun berjalan menghampiri tempat letak motosikal itu sambil sesekali dia menyorok di sebalik tiang. Teringin juga mahu melihat wajah si penunggang motosikal itu.
“Aik? Dah hilang?” Jun berkata sendiri ketika melihat ke arah tempat motosikal itu diparkir. Motosikal ada, tapi mana orangnya? Takkan hilang macam tu saja? “Hmm, tak ada rezeki. Nak buat macam mana.” Jun berkata sendiri sebelum berpusing. “Mak!”
“Awak buat apa kat sini?”
Jun masih lagi lagi mengurut dada akibat terkejut. Macam mana mamat ni boleh muncul tiba-tiba saja? Jatuh dari langit ke apa?
“Awak mengintip saya, kan?” Lelaki itu bertanya lagi.
Spontan Jun mencebik. Macamlah dia tak ada kerja lain nak buat.
“Maaflah Encik Ash. Saya ni banyak kerja lain nak buat daripada mengintip encik.” Jun menggumam perlahan.
“Apa dia?”
Jun menggeleng. Bibir mengukir senyum plastik.
Ash mengangkat kening sebelum menjeling jam di tangan.
Mata Jun tertumpu pada helmet full face di tangan kanan lelaki itu. Sekejap! Penunggang motosikal itu ialah...
“Bagus. Ada peningkatan.”
“Huh?” Jun tersedar daripada lamunan.
“Saya kata, bagus, ada peningkatan. Hari ni awak tak datang lambat lagi. Nampaknya ugutan saya tu berhasil.” Lelaki itu berkata sinis sebelum melangkah berlalu dari situ.
Jun mencebik lagi. Rasa macam nak baling batu saja ke arah lelaki itu.
“Tapi, awak kena ingat, saya masih akan tolak gaji awak.”
Eh? Jun cepat-cepat berjalan laju ke arah lelaki itu.
“Kenapa pula? Encik sendiri yang cakap hari ni saya datang awal.” Jun bertanya tidak puas hati.
Ash berhenti melangkah. “Awak tak ingat ke? Semalam saya kata kalau awak datang lambat daripada saya, saya akan potong gaji awak.”
Jun terdiam selama dua saat sebelum sedar. Laju kaki melangkah menuju ke arah lif. Jari menekan butang lif berkali-kali.
“Cepatlah, cepatlah.” Jun berkata sambil menjeling ke arah lelaki itu.
Ash hanya menggelengkan kepala. Senyum terukir di bibir tanpa sedar.
Kting!
Yes!” Jun segera masuk ke dalam lif tersebut sebelum menekan butang ‘tutup’ berkali-kali. Senyum lebar terukir ketika dia melihat wajah lelaki itu di hadapan lif. Sempat dia melambaikan tangan ke arah lelaki itu sebelum pintu tertutup, namun lambaiannya terhenti apabila pintu lif terbuka kembali.
Ash masuk ke dalam lif tersebut dengan raut wajah selamba dan berdiri di sebelah gadis itu. “Nice try, Junnah. Nice try.”
Jun memejamkan mata. Rasa macam nak hantuk kepala ke dinding saja.

JUN menggigit bibir sambil sesekali mata memandang sekeliling. Masing-masing tengah sibuk dengan tugasan sendiri. Jun melepaskan keluhan berat lagi ketika dia tunduk merenung meja. Bosannya!
Jun hanya memandang sekilas ke arah Fyn yang sedang menjawab panggilan telefon. Sudah memang tugas dia hari-hari jawab telefon, apa nak hairan sangat.
“Jun?”
“Hmm?” Jun menoleh.
“Bos panggil.”
“Bos mana?” Jun menegakkan badan. Entah jantung dah mula berdegup kencang.
“Bos mana lagi yang suka cari you?” Fyn tersengih mengusik.
Jun memutarkan bebola matanya ke atas.
“Untunglah you, boleh tatap muka Encik Ben tu hari-hari.” Fyn berkata sambil menongkat dagu.
Jun mencebik. “I tak kisah nak tukar tempat dengan you.”
Fyn buat muka. “Kalau boleh, dah lama I mintak tukar. Hmm, pergilah. Encik Ben dah lama tunggu tu.”
“Dia nak apa?” Jun bertanya sebelum berdiri.
Fyn mengangkat bahu. “Entah. Adalah tu kerja dia nak bagi.”
Jun melepaskan keluhan berat sebelum berjalan menuju ke arah bilik lelaki itu. Badan dah rasa seram sejuk. Pintu diketuk.
“Masuk.”
Jun menarik nafas dalam-dalam sebelum memulas tombol pintu.
“Encik Ash cari saya?” Jun bertanya di muka pintu.
Ash mengangkat muka. Berkerut dahi lelaki itu apabila melihat Jun hanya berdiri di muka pintu. “Kenapa tak masuk?”
Jun tidak menjawab. Rasa macam tengah masuk kandang harimau saja. “Encik Ash cari saya?”
“Hmm.” Ash menggumam perlahan sebelum memandang gadis itu.
Jun tunduk ketika lelaki itu merenung tajam ke arahnya.
“Mana buku nota awak?”
“Hah?” Jun angkat kepala.
Ash melepaskan keluhan berat. Pen di tangan dicampak ke meja sebelum dia menyandarkan tubuh pada kerusi. “Saya tanya, mana buku nota awak?”
“Buku nota?” Jun bertanya tidak faham. Apa benda mamat ni tanya soalan pelik-pelik ni?
“Awak sedar tak apa jawatan awak di syarikat ini?”
“Sedar. Saya pembantu peribadi Encik Ash.”
“Awak pernah tak tengok TV, kalau tugasnya sebagai pembantu peribadi, bila dia masuk bilik jumpa bos dia, dia bawa apa?”
Jun terdiam cuba berfikir sebelum mengangkat bahu. “Entah. saya jarang tengok TV.”
Ash memejamkan mata. Dia sendiri mula meragui akan keputusan melantik gadis itu sebagai pembantu peribadinya. “Bila saya panggil awak masuk, awak kena datang dengan buku nota. Supaya awak boleh catat apa yang saya cakap tu pada buku nota awak. Dulu masa diploma tak belajar ke?”
Jun tersengih apabila mula menyedari akan kesilapannya itu.
“Err... Ada kut, tapi mungkin saya dah lupa.” Jun tersengih lagi.
Ash menarik nafas dalam-dalam. “Awak pergi keluar. Ambil buku nota awak lepas tu baru masuk jumpa saya.”
“Oh, tak apa. Saya boleh catat dalam telefon aje.” Jun berkata sambil mengangkat telefon bimbit di tangan.
Bulat mata lelaki itu ketika memandangnya. Jun telan air liur.
“Err... Saya keluar sekarang.” Kelam-kabut Jun keluar dari bilik tersebut.
Ash kembali menyandarkan tubuh sambil jari mengurut kedua-dua belah pelipisnya. Kepala terasa pening. Ash menarik nafas dalam-dalam sebelum menegakkan tubuh apabila pintu diketuk. “Masuk.”
“Saya dah bawa buku nota.” Jun mengangkat buku nota di tangan sambil tersengih bersalah.
“Tolong buatkan saya air.”
Jun laju menyelak halaman buku nota milik Fyn itu sebelum menulis sesuatu. Eh?
“Apa Encik Ash cakap tadi?”
Ash mengangkat kepala. “Perlu ke saya nak ulang banyak kali?”
Jun menggaru kepala yang tidak gatal. “Saya bukan apa. Saya cuma nak kepastian aje. Sebab saya rasa saya macam dengar encik suruh saya buat air.”
So, tak boleh ke?”
Jun terdiam dua saat. Hah? Aku kena buat air untuk mamat ni? Apa ingat aku ni tea lady ke?
“Awak tunggu apa lagi?”
Aik? Mamat ni serius ke?
“Err, okey.” Jun menulis sesuatu pada buku notanya sebelum memandang lelaki itu.
“Err, siapa tea lady dekat sini? Nanti saya suruh dia buatkan encik air. Encik nak air apa?”
Bacaan pada dokumen terhenti apabila mendengar pertanyaan gadis itu. “Pardon?”
“Err, saya tanya siapa tea lady dekat sini.”
“Kat sini tak ada tea lady.”
“Oh. Okey. Habis tu siapa yang akan buat air untuk Encik Ash?”
Ash hanya memandang gadis itu.
Jun telan air liur sebelum tunduk berpura-pura menulis sesuatu pada buku notanya. Wait a minute! “Encik Ash nak suruh saya buat air untuk encik ke?”

JUN membuka pintu kabinet sebelum sebiji muk berwarna merah dikeluarkan lalu diletakkan di atas meja. Botol kopi yang tersusun di hadapannya turut diambil.
“Ada ke patut aku pulak yang kena buat air untuk dia. Ingat aku ni tukang gaji dia ke? Tak pun bini dia? Huh.” Mulut tak berhenti mengomel ketika botol gula dicapai.
“Apa bendalah yang you membebel sorang-sorang ni?”
Jun menoleh. Senyum tawar dilemparkan kepada Fyn yang baru sahaja masuk ke pantri tersebut.
“Tak ada apa. Bos besar tulah. Ada ke patut dia suruh I buat air untuk dia. Apa ingat I ni tukang gaji dia ke?”
Fyn menarik pintu peti sejuk sebelum mengeluarkan kotak jus oren lebihan semalam. “Dah tu memang kerja you. You kan pembantu peribadi dia.”
Tangan yang sedang mengacau air kopi itu terhenti. “Ya ke? Habis tu kalau dia suruh I gosok baju kerja dia, I kena buat jugak ke?”
“Yang tu kalau you jadi bini dia.” Fyn menjawab sambil tersengih ketika membawa gelas berisi jus oren ke bibir.
Jun memutarkan bebola matanya ke atas. “Huh, tak ingin I nak jadi bini dia.”
Fyn angkat kening. “Ya ke? Jangan you syok dekat dia nanti, sudahlah.”
“Simpang malaikat 44. I berani kerat kuku I ni yang I takkan jatuh hati dengan dia.”
Fyn hanya angkat bahu ketika melihat gadis itu keluar dari pantri tersebut sambil membawa sebiji muk berisi air kopi panas.

“MASUK.
Jun memulas tombol pintu sebelum menolaknya ke dalam.
“Air untuk encik. Ada apa-apa lagi yang encik nak saya buat?” Jun bertanya sambil meletakkan muk tersebut di atas meja.
Ash tidak memandang gadis itu ketika tangan mencapai muk yang diletakkan di atas mejanya.
“Kalau tak ada apa-apa lagi. Saya keluar dulu.” Jun menjawab sebelum melangkah menuju ke arah pintu.
Prrr!”
Spontan kaki Jun berhenti melangkah.
“Apa benda ni?”
“Air kopi macam yang encik mintak tadi.”
“Buat lain. Saya tak minum kopi manis.”
Jun mengetap bibir. Tadi kenapa tak cakap awal-awal?
“Encik tak cakap pun yang encik tak minum kopi manis.” Jun berkata sebal ketika mengambil muk tersebut.
Ash merenung tajam ke arah gadis itu.
“Saya keluar dulu.” Jun berkata apabila melihat lelaki itu membuka mulut seolah-olah ingin berkata sesuatu. Kaki laju melangkah menuju ke arah pintu. Mati kena fire juga aku hari ni.
Ash menggeleng lagi. Nasib kaulah Ash.
“Kenapa?” Fyn bertanya sambil mengangkat kening apabila melihat Jun keluar sambil membawa muk di tangan.
“Mamat tu datang bulan hari ni. So, dia tak minum kopi ada gula.” Selamba Jun menjawab sebelum berlalu dari situ.
“Datang bulan?” Fyn bertanya sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan