Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 11 Mei 2016

Encik Bos Cik PA - Bab 4

Bab 4
MORNING babe.”
Morning.” Jun membalas sapaan teman serumahnya sambil menuang air ke cawan di hadapannya.
Jun membawa roti bakar ke mulut. Tangan sibuk menyentuh skrin telefon bimbitnya. Hampir empat hari dia bercuti di kampung, membuatkan dirinya terputus hubungan dengan media sosial. Almaklumlah, dekat kampung talian Internet tak berapa kuat. Kalau ada pun ala-ala hidup segan mati tak mahu.
So, macam mana dengan wedding Dila?” Falah bertanya sambil menyapu roti bakar dengan jem nanas.
Jun yang masih leka membelek akaun Facebooknya mengangkat kepala sekilas ke arah teman di hadapannya.
“Biasa aje. Dia kirim salam. Dia kata tak best sebab kau tak datang.”
“Alah, bukan ke aku dah cakap aku kena kerja masa tu? So, ada jumpa hot guy ke?” Falah mengangkat kening.
Jun mengerutkan dahi. Spontan dia teringatkan Ash. Sakit hati kembali menyerangnya apabila teringat akan lelaki itu. Disebabkan lelaki itu, mak membebel memarahinya pada hari yang sama dia menemai lelaki itu ke belakang rumah mak andak. Manalah dia tahu yang mamat tu bukan pura-pura terseliuh kaki. Dan dia tak sangka pula ‘petua orang tua-tua’nya membuatkan kaki mamat itu semakin teruk.
Sudahnya Abang Am dan mamat tu terpaksa menangguhkan rancangan untuk pulang ke Kuala Lumpur kerana kaki mamat tu semakin bengkak. Mak andak kata kena urut, kalau tak, takut makin teruk. Abang Am pun tak habis-habis menyindir kata dia pembuli. Huh!
“Wei, berangan pulak.” Falah menyergah, membuatkan Jun tersedar daripada lamunan.
“Dahlah. Aku dah lambat. Gerak dulu.” Jun berkata sebelum bangun dan mencapai beg tangannya.
“Eh, minah ni. Soalan kita dia tak jawab.”

JUN menguatkan volume radio ketika lagu MOJO berkumandang di udara. Sesekali bibir turut sama menyanyi mengikut rentak lagu. Pagi-pagi tak boleh stres walaupun jalan sesak semedang.
Jun menekan brek ketika lampu isyarat di hadapan sudah bertukar ke warna merah. Dia masih lagi menyanyi sambil sesekali menjeling ke arah cermin pandang belakang. Jam di dashboard mula menunjukkan ke angka 8.10 pagi. Dia sebenarnya sudah lewat hampir 10 minit, tapi nak buat macam mana. Jalan sesak punya pasal. Lagipun dia tahu bos mereka, Encik Asnif itu memahami orangnya. Tapi sayang, dengar kata Encik Asnif akan ditukarkan ke cawangan lain. Harap-harap bos baru nanti pun jenis memahami juga seperti bos yang sedia ada ini.
Vrommm!
Jun menoleh ke arah tingkap apabila telinga menangkap bunyi bising yang datangnya dari motosikal sebelah. Dalam hati mencebik. Tahulah bawa motosikal besar, tapi tak payahlah nak press-press macam tu. Memekak saja. Namun, Jun masih memandang si penunggang motosikal tersebut dari atas ke bawah. Helmet full face, jaket kulit warna hitam, kasut but. Hmm, boleh tahan.
Mungkin terasa seperti diperhatikan, penunggang motosikal itu menoleh ke belakang.
Jun tersentak. Erk!
Si penunggang motosikal itu menurunkan visor sebelum kembali memandang ke hadapan apabila lampu isyarat sudah bertukar ke warna hijau.
Jun masih tergamam sebelum sedar apabila kereta belakang sudah membunyikan hon. Cepat-cepat dia menukar gear sebelum bergerak dari situ. Dia tidak pasti, entah kenapa jantung seolah-olah bertukar rentak.
“Aku gelabah aje kut.” Jun menyedapkan hati sendiri.
Setelah hampir 15 minit memandu, akhirnya Jun memusingkan kereta ketika mahu masuk ke dalam kawasan pejabatnya itu.
Jun menjeling ke arah jam di tangan. Baru lewat setengah jam. Orang lain lewat dua tiga jam pun tak hairan. Jun mengomel ketika dia membuka pintu kereta. Sempat dia mencapai beg tangan yang terletak di kerusi sebelah sebelum berjalan menuju ke arah lif. Jari laju menekan butang naik. Sementara menunggu lif terbuka, Jun menjeling sekeliling melihat tempat letak kereta yang hampir penuh itu.
Ting!
Jun cepat-cepat melangkah masuk ke dalam lif tersebut sebelum kaki spontan berhenti melangkah. Pintu yang hampir tertutup itu ditahan supaya kembali terbuka. Dia menjengahkan kepala. Mata dikecilkan ketika memandang tempat letak motosikal tidak jauh dari situ. Aik, macam kenal? Eh, itu bukan ke...

“JUN! Kau dari mana ni?”
Jun yang baru sahaja mahu meletakkan beg tangannya itu tersentak. Spontan tangan diurut ke dada. “Isy, Kak Mimi ni. Buat terkejut saya aje.”
“Kau dari mana ni? Kau tahu tak dah pukul berapa ni?” Mimi bertanya sambil sesekali memandang pintu masuk pejabat mereka itu.
Spontan Jun menjeling jam di tangan. “Baru pukul 8.45.” Selamba dia menjawab.
Mimi membulatkan mata. “Baru pukul 8.45 kau kata?”
“Yalah. Kenapa? Alah, ni kira awal apa. Selalu tu dekat pukul 9.00 Jun sampai, kan? Kak Mimi pun macam tak biasa. Jalan sesaklah kak.” Jun berkata sambil mengambil tempat di kerusinya. Mata segera menyapa timbunan fail yang tersusun di hujung meja. Entah bilalah semua kerja-kerja tu nak siap.
“Eee, budak bertuah ni. Kau tak ingat ke hari ni hari apa?”
Jun mengangkat muka memandang Mimi yang masih lagi berdiri di tepi mejanya itu. Apa kena dengan Kak Mimi hari ni? Kalut semacam saja.
“Hari ni hari Isnin, kan?” Jun bertanya sambil menjeling kalendar yang terletak di hujung meja. Hmm, hari ni 19 hari bulan. Lambat lagi nak gaji.
“Kau dah lupa ya hari ni bos baru tu masuk kerja?”
Jun yang sedang membelek kalendar untuk mencari cuti-cuti umum, menoleh. Dia terdiam tiga saat sebelum...
“Hah? Hari ni bos baru nak masuk kerja? Bukan minggu depan ke?” Jun bertanya kalut.
Tangan laju-laju mencapai kalendar tadi. Kenapa tak ada bertanda pada kalendarnya? Jari laju menyelak helaian kalendar tersebut sebelum dia menyedari yang dia sebenarnya telah tersalah menanda tarikh pada kalendar tersebut.
“Patutlah tak ada. Saya salah tanda tarikh bulan lepas punya.” Jun berkata perlahan sambil meletakkan kalendar kembali di atas meja.
Mimi menggelengkan kepala.
“Kak Mimi, bos baru tu, err... Dah sampai ke?” tanya Jun teragak-agak. Dalam hati berdoa yang bos baru mereka belum lagi sampai di pejabat mereka.
“Entahlah. Kata HR bos dah sampai pagi tadi. Tapi, tak tahulah. Kita tunggu aje orang HR datang nanti.”
Jun menggaru dagu yang tidak gatal.
“Kak, bos baru tu orangnya macam mana?” tanya Jun sambil memandang Mimi yang sudah pun duduk di mejanya.
Mimi mengangkat bahu. “Entah. Akak pun tak tahu. Yang tu kena tanya HRlah. Kita bahagian akaun ni bukan ke selalu ketinggalan?”
“Saya harap bos baru ni macam Encik Asnif.” Jun menggumam perlahan.
Mimi di sebelah tak ambil pusing.

“ASSALAMMUALAIKUM. Minta perhatian semua.”
Jun yang sedang ralit melihat barang yang dijual secara atas talian menoleh. Cepat-cepat dia memangkah lawan web tersebut apabila melihat wajah Encik Zainudin, ketua HR di tempat kerja mereka muncul di situ.
“Saya kenalkan, ini bos baru kita, Encik Ben Ashraf yang akan menggantikan Encik Asnif selaku pengurus di syarikat ini.”
“Kak, siapa nama bos baru kita tu?” Jun yang duduk di belakang sekali berbisik.
“Encik Ben Ashraf. Segak orangnya.”
“Ya ke? Nak tengok jugak.” Jun berjengket cuba memanjangkan leher untuk melihat wajah bos baru mereka itu.
“Alah, tak sempat.” Jun merungut sendiri apabila semua staf telah mula bergerak menuju ke work station masing-masing menandakan yang perjumpaan itu telah pun selesai.
“Alah, nanti-nanti kau dapat jugak jumpa bos baru tu. Bukan ke kau selalu ke HR?”
Jun tidak menjawab ketika kembali memandang skrin komputer.
Mimi yang sedang menaip itu menjeling ke arah Jun di sebelah. Spontan dia menggeleng apabila gadis itu kembali tengelam dengan aktiviti shopping onlinenya itu.

“ENCIK BEN, ini profil pekerja syarikat seperti yang diminta oleh encik tadi.”
Ash yang sedang leka membaca laporan kewangan bagi suku pertama tahun tersebut menoleh. Dokumen yang dihulurkan itu bertukar tangan. “Terima kasih. Awak boleh keluar dulu.”
Azmi tunduk sedikit sebelum keluar dari pejabat tersebut.
Ash membetulkan letak tubuh pada kerusi sebelum dokumen itu dibuka. Helaian demi helaian diselak secara rambang, hanya sekadar mahu melihat sekali imbas akan latar belakang pekerja di syarikat tersebut. Kalau dilihat daripada dokumen tersebut, jumlah pekerja di syarikat ini tidaklah begitu ramai. Tak sampai 200 orang. Jauh beza dengan cawangan di Taman Maluri yang berada di bawah jagaannya sebelum ini.
Tapi, kenapa syarikat ini mengalami kerugian saban tahun sehingga terpaksa menggunakan modal dari cawangan yang lain pula? Kalau ikutkan dari segi lokasi, syarikat ini lebih strategik. Terletak di tengah-tengah bandar. Kualiti barang pun sama sahaja di semua cawangan. Pekerja pun tak ramai. Jadi, apa masalahnya?
Ash menyelak lagi helaian dokumen tersebut sebelum terhenti. Dahinya berkerut apabila melihat profil salah seorang pekerja di syarikat tersebut.

Nama: Junnah bt Jamal Aludin.
Tarikh lahir: 16 Januari 1990

Junnah? Kenapa macam biasa dengar aje? Ash berkata sendiri sebelum meneliti pula gambar pada profil tersebut. Gambar lama. Barangkali sudah tiga empat tahun yang lepas, tapi... Ash meneliti gambar tersebut dalam-dalam. Ini macam... Ash segera meneliti profil itu lagi.

Jawatan: Pembantu kewangan.

Senyum terukir tanpa sedar di bibirnya ketika mata masih tertumpu pada gambar yang terdapat pada profil tersebut.

JUN menggosok mata yang terasa pedih. Aik, takkan nak dapat sakit mata kut?
“Kau kenapa?” Mimi menegur.
“Mata pedihlah kak.” Jun menjawab sambil menggosok matanya lagi. Tangan laju mencapai cermin sebelum disua ke muka. Alamak, mata dah merah pula.
“Sakit mata ke?”
Jun mengalihkan pandangan ke arah Mimi yang sibuk menaip. “Entahlah. Mata sebelah kiri saya ni asyik bergerak-gerak aje.”
Mimi berhenti menaip. Dia menoleh ke sebelah. “Orang kata kalau mata sebelah kiri bergerak-gerak tu, alamatnya ada benda tak baik akan berlaku.”
“Hah? Biar betul?” tanya Jun terkejut.
Mimi menggeleng sebelum kembali menaip. “Kau ni cepat sangat percaya benda-benda karut tu.”
Jun membuat muka. Ceh, ingatkan betul-betul tadi. Dia kembali membelek muka pada cerminnya. Berminyak!
“Saya rasa macam nak ambil MC ajelah.” Jun berkata ketika meletakkan cermin di atas meja.
Dahi Mimi berkerut. “Kenapa nak mintak MC pulak?”
Jun menarik nafas. Fail yang bersepah-sepah di atas meja dipandang sepi. Kan bagus kalau semua kerja-kerja ni boleh siap dengan sendirinya.
“Saya kan sakit mata. Buatnya berjangkit satu pejabat ni, tak ke susah.” Jun menjawab sambil menongkat dagu. Jari menyentuh tetikus secara rambang. Tak ada benda menarik nak dibeli. Lagipun, bajet bulan ni dah lari disebabkan balik kampung hari tu. Gaji pula lambat lagi. Haih!
“Pandailah kau. Sakit sikit aje pun. Takkan nak MC pulak?”
Jun tidak menjawab. Sumpah dia tak ada mood nak buat kerja sekarang. Brrr! Laju tangan mencapai telefon bimbit di atas meja.

Jun! Bella tengah buat happy hour sekarang!

Bulat mata Jun ketika membaca WhatsApp yang dihantar oleh Falah itu. Jari laju menaip balasan tersebut.

Ambil aku sekarang!

Jun segera menyumbat telefon ke dalam beg tangannya. Dokumen yang bersepah di atas meja hanya dibiarkan. Nanti-nantilah kemas.
“Eh, kau nak ke mana tu?” Mimi bertanya apabila melihat gadis itu kelam-kabut meninggalkan tempat itu.
“Keluar kejap kak.” Sempat dia melaung dari pintu pejabat mereka itu.
Mimi menggeleng. Entah apalah nak jadi dengan budak seorang ini.
“Petang ni kita ada meeting dengan...” Azmi terdiam apabila Jun muncul entah dari mana melintasi mereka sebelum hilang ke dalam lif.
“Itu bukan ke?” Ash bertanya sambil mengerutkan dahi.
Azmi hanya mampu tersenyum dengan rasa bersalah. Habislah kau Jun!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan