Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 11 Mei 2016

Encik Bos Cik PA - Bab 3

Bab 3
JUN mengurut pinggang yang dah terasa nak tercabut itu. Seharian dia di dapur menolong apa yang patut. Potong sayur, bungkus lauk, basuh pinggan, basuh periuk. Semua dia yang buat. Almaklumlah, di kampung ni kalau buat kenduri kahwin memang semua pakat gotong-royong sahaja.
Jun melabuhkan punggung di pondok kecil bawah pokok mempelam itu. Badan betul-betul sudah terasa penat. Boleh tahan juga jemputan kenduri Dila. Rasanya habis satu kampung dia jemput. Tetamu pula tak putus-putus datang menjengah. Dia pula tak menang tangan nak melayan satu-satu. Nasib baik ada juga angkatan sepupu sepapat yang lain. Bolehlah tolong melayan apa yang patut.
“Jun, dah makan ke?”
Jun yang sedang mengurut pinggang menoleh. “Belum lagi. Nantilah mak andak. Jun nak rehat kejap. Pinggang ni rasa nak tercabut aje.”
“Kamu balik Kolumpor tu bila?”
“Esok kut. Tengoklah kalau larat.”
“Hmm, tak apalah kalau macam tu. Mak andak nak ke depan dulu. Nak jumpa keluarga pengantin lelaki. Nanti kalau kamu nak makan, kamu ambil ajelah dekat dapur tu. Mak andak dah asingkan lauk-pauk semua.”
Jun hanya senyum. Mulut pun dah tak larat nak buka. Dia hanya memandang mak andak yang sudah pun berlalu dari situ. Jun memyandarkan tubuh pada tiang pondok tersebut. Lelap sekejap pun best juga ni. Tambah-tambah angin pun tengah bertiup sepoi-sepoi bahasa.

KTIK! Ash berhenti melangkah ketika bunyi dia memijak ranting kayu itu jelas kedengaran di telinganya. Mata kembali memandang gadis yang sedang menyandar pada tiang pondok kayu di hadapannya itu. Dahi gadis itu berkerut sedikit, namun mata gadis itu masih kekal terpejam rapat. Tidur barangkali?
Pelik minah ni. Dekat sini pun boleh tidur ke? Ash bertanya dalam hati. Hajat hati mahu ke belakang rumah kerana dia diberitahu Amzal, temannya itu ada di situ. Entah apalah mamat tu buat di belakang rumah.
“Eh, Ashraf? Buat apa kat sini?”
Jun mengerutkan dahi apabila telinga mula terganggu dengan suara-suara entah datangnya dari mana itu. Sesekali dia menepuk pipi yang terasa gatal.
“Astaghfirullah al-azim. Apa nak jadilah dengan budak bertuah ni? Dekat sini pun boleh tidur ke? Jun! Bangun!”
Jun masih lagi kekal tidak bergerak. Sesekali kepala terteleng ke tepi.
“Mungkin dia penat sangat tu mak cik.”
Telinga Jun bergerak-gerak sedikit apabila dia terasa ada suara asing sedang bercakap di hadapannya ketika itu.
“Apalah nak jadi budak ni? Kut ya pun penat sangat, kenapa tak balik tidur aje? Jun! Bangun!”
Jun terasa tubuhnya digoyang-goyangkan. Mahu tak mahu terpaksalah dia membuka mata.
“Hmm? Eh, mak. Mak buat apa kat sini?” Jun bertanya sambil menguap besar. Sesekali dia menggeliat melepaskan lenguh di badan sebelum spontan terhenti. Tubuh tiba-tiba terasa kaku apabila pandangan matanya bertembung dengan pandangan mata milik lelaki itu. OMG!
Muka Jun dah terasa seperti kena salai apabila menyedari yang lelaki itu pasti telah melihat gerak-gerinya tadi. OMG! OMG! Dah berapa lama mamat ni tercegat kat sini?!
“Yang kamu tidur kat sini kenapa? Tak segan kat orang kampung ke?”
“Hah? Err... Jun... Err... Letih sangatlah mak. Ingat nak rehat kejap aje. Tak sangka sampai boleh terlelap kat sini.”
Puan Amina hanya menggeleng.
Jun tersengih sambil cuba menahan riak wajahnya daripada berubah apabila lelaki itu masih tercegat berdiri di situ. Jun mengecilkan mata ketika menyedari ada senyum yang terukir di bibir lelaki itu. Oh, mamat ni gelakkan aku ke?
“Hmm, tak apalah mak cik. Saya minta diri dulu.”
Spontan dua pasang mata mengalihkan pandangan.
“Kamu nak ke mana sebenarnya ni?”
“Saya nak cari Amzal. Dengar katanya ada dekat belakang rumah.” Lelaki itu menjawab sambil mata masih lagi memandang Jun.
Jun menjeling. Apa pandang-pandang anak dara orang? Kalau berkenan tu masuk ajelah meminang. Huh!
“Eh, kamu tahu ke nak ke sana tu? Nanti sesat pulak. Orang bandar macam kamu ni mesti tak biasa dengan tempat-tempat macam ni, kan? Tambah-tambah belakang rumah tu macam bersemak sikit. Yang Am tu pun satu, entah apalah yang dia cari kat belakang tu.”
Jun mengerutkan dahi ketika memandang maknya itu. Aik, sejak bila mak terlebih prihatin ni? Dia yang selalu keluar masuk belakang rumah tu dulu, mak tak kata apa pun.
“Tak apa, mak cik. Lagipun kejap lagi kami nak terus gerak ke KL. Takut lambat-lambat lewat pula.”
“Eh, kamu pun duduk Kolumpor jugak ke? Jun anak mak cik ni pun kerja di Kolumpor jugak. Kamu kenal?” Puan Amina memandang Jun.
“Mak, KL tu bukan kecik.” Jun menjawab perlahan.
Lelaki itu hanya senyum.
“Ya tak ya jugak. Minta maaflah Ashraf, mak cik tanya bukan-bukan pulak. Eh, tadi kamu kata nak cari Am, kan? Biar Jun temankan. Nanti sesat tak jumpa jalan, susah pulak.”
Jun yang sedang membelek kuku, menoleh. Hah?!
“Kenapa Jun pulak?” Spontan Jun bertanya sebelum sedar yang pertanyaan itu mungkin boleh menyinggung hati lelaki tersebut.
“Tak apalah, mak cik. Saya boleh cari sendiri.”
“Eh, tak boleh. Kamu tetamu. Jun, jangan nak banyak cakap. Pergi cepat.”
Jun buat muka, namun bangun juga apabila melihat perubahan pada wajah emaknya itu. Tanpa berkata sepatah pun, gadis itu berlalu menuju ke balakang rumah.
“Saya pergi dulu, mak cik.”
“Yalah. Hati-hati jalan tu.”
Jun menjeling ke belakang. Wah, mak tak pesan pun dekat aku suruh hati-hati. Mak memang pilih kasih!
“Andaiku bercinta lagi satu hari nanti.” Jun menyanyi perlahan ketika kaki laju melangkah tanpa mengendahkan orang di belakang. Pandai-pandailah kau nak hidup.
“Err...”
Jun menjeling di balik bahu apabila orang di belakang mula bersuara, namun Jun buat tak dengar. Rasa geram masih berbekas di hati kerana disebabkan mamat ini, tidurnya terganggu. Ingatkan bolehlah balik sambung tidur di rumah, alih-alih kena paksa masuk dalam semak-samun ini.
“Aduh!”
Langkah kaki Jun berhenti apabila telinga menangkap bunyi sesuatu di belakang. Spontan dia menoleh. Bulat matanya apabila melihat keadaan lelaki itu. Ya Allah!
“Awak okey?” tanya Jun cepat-cepat menghampiri lelaki itu yang telah terduduk di atas tanah. Tangan lelaki itu sedang memegang buku lali sendiri.
“Saya okey. Jangan risau.”
Jun mengangkat kening. Eh, bila masa aku risau?
Ash mengangkat kepala memandang gadis itu.
“Awak kata tadi awak okey, kan? So, boleh kita teruskan perjalanan?” Jun bertanya sebelum kembali berdiri. Dia berpusing dan mula mahu melangkah.
Ash menggumam agak geram. Isy, minah ni, tak ada perasaan langsung nak tolong ke? Ash cuba mengerakkan kakinya, namun terasa sakit. Barangkali kakinya sudah terseliuh. “Awak?”
Jun berhenti melangkah sebelum menoleh. Keningnya terangkat sebelah.
“Kenapa? Tak boleh bangun? Itulah. Orang bandar macam awak ni memang lembik. Masuk kampung sikit aje dah mengada-ada. Itu sakitlah, ini tak selesalah. Macamlah saya tak tahu awak sebenarnya tak selesa tinggal di rumah mak andak saya tu, kan?”
Dahi Ash berkerut seribu ketika mendengar kata-kata gadis itu. Apa kena dengan minah ni? Tiba-tiba nak cari pasal?
“Kenapa? Mesti awak hairankan macam mana saya boleh tahu semua ni? Kalau awak nak tahu, saya ni ada kelebihan. Kelebihan saya ialah saya boleh baca fikiran seseorang dan bila saya baca fikiran awak, saya tahu yang awak memang tak suka tinggal di sini. Betul tak?”
Ash cuba mengerakkan kakinya, namun tidak berjaya. Sakit semakin terasa hingga ke tulang hitam. “Awak?”
“Apa?” Jun bertanya sambil memeluk tubuh.
“Boleh tak simpan bebelan awak tu esok-esok aje? Kaki saya tengah sakit ni.”
Jun mencebik.
“Kaki awak sakit ya? Kat mana? Meh sini saya tengok.” Jun berkata sebelum mencapai kayu yang tidak jauh daripadanya itu.
“Awak nak buat apa dengan kayu tu?” Dahi Ash berkerut lagi.
“Kalau awak nak tahu, petua orang tua-tua kata kalau kaki sakit, kita kena ketuk tempat yang sakit tu dengan kayu sebanyak tiga kali. Orang kata, buang angin.”
Ash merenung penuh curiga ke arah gadis di hadapannya itu. Gadis itu sudah mula mematah-matahkan beberapa batang kayu kering yang dikutip di sekelilingnya itu. Gila ke apa minah ni?
Ready?” Jun bertanya sambil mengambil posisi yang sesuai sebelum menjalankan ‘petua orang tua-tuanya’.
“Nanti!”
Jun yang baru sahaja mahu mengayunkan kayu di tangan, berhenti.
“Awak, tak main-mainkan?” tanya Ash penuh curiga.
“Saya nampak macam main-main ke?” Jun bertanya sambil menayangkan riak wajah serius walhal dalam hati dah nak gelak guling-guling. Sengal juga mamat ni. Nama saja orang bandar, tapi mudah betul kena tipu.
“Kat mana logiknya kena ketuk dengan kayu?”
Jun terdiam. Okey, mamat ni tak adalah sengal sangat.
“Macam saya cakap tadi, kita kena ketuk dengan kayu tiga kali untuk keluarkan angin. Angin dalam urat kaki awak yang terperangkap tu yang buat kaki awak tu sakit. Faham?”
Ash hanya diam. Rasa macam tak masuk akal saja apa yang minah ni cakap.
“Nak cuba ke tak? Kalau tak nak, saya nak balik dulu. Dah lewat ni.” Jun berkata sebelum berdiri.
Ash mendongak. “Nanti!”
Jun yang berpura-pura melangkah itu cuba menahan senyum.
So?” Jun mengangkat kening.
“Suka hati awaklah nak buat apa pun.” Ash menjawab separuh pasrah.
Jun cuba menahan senyum lagi. Kayu yang tergolek di atas tanah itu diambil sebelum diangkat tinggi.
Ash hanya mampu memejamkan mata sebelum, “Argh!”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan