Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 11 Mei 2016

Encik Bos Cik PA - Bab 5

Bab 5
“ISY! Tepilah!” Jun menolak tubuh entah siapa yang menghimpitnya dari tepi. Bibir digetap geram apabila tangan yang sudah pun berjaya mencapai blaus yang tergantung di rak itu hilang daripada pegangannya. Ini sudah lebih!
“Hei! Bagi balik baju aku.” Jun buat muka apabila dia cuba merampas kembali blaus yang berada di tangan seorang gadis muda di sebelahnya itu.
“Ini baju aku, kau cari lain.” Jun menjawab geram, masih lagi cuba menarik baju daripada pegangan gadis itu.
Gadis itu turut memandang geram ke arahnya sebelum adegan tarik-menarik berlaku.
“Eee! Bagi balik baju aku.” Jun tidak mahu mengaku kalah.
“Ini baju akulah!”
Jun mengetap bibir penuh geram sebelum merentap blaus tersebut sehingga tangan gadis itu terlepas mengakibatkan mereka berdua jatuh tergolek.
“Aduh!” Jun memegang punggungnya yang terasa sakit.
“Jun! Kau okey?” Falah muncul tiba-tiba di ruang yang penuh sesak itu.
“Hei perempuan tak sedar diri.” Gadis yang kalah dalam ‘pertarungan’ merebut blaus dengannya.
“Kau perempuan, sedarlah diri sikit. Dah tua-tua pun, tapi ada hati nak berlagak muda. Kau mana sesuai pakai baju macam tu.” Jari telunjuk gadis itu dihala ke arah pakaian yang tersangkut di lengannya itu.
Spontan Jun tunduk memandang lengannya. Bibir digetap geram. Ai, minah ni dah melampau!
“Jangan layan. Jom keluar.” Falah berbisik sebelum menolak tubuh Jun apabila menyedari yang raut wajah teman serumahnya itu telah berubah.
Jun hanya mampu menjeling ke arah gadis yang masih merenung ke arah mereka itu.
“Wei, mak cik. Pulangkan baju aku balik!”
Langkah kaki Jun terhenti.
Jun, don’t.” Falah berbisik sambil cuba menolah tubuh gadis itu ke depan, namun Jun kekal tidak bergerak.
“Kau pegang ni kejap.” Jun menolak pakaian yang berjaya direbut itu ke arah Falah sebelum melangkah menghampiri gadis yang cuba memalukannya itu.
“Jun!”
“Apa kau panggil aku tadi?” Jun bertanya sambil menarik lengan baju ke atas.
“Mak cik.” Gadis itu menjawab selamba.
Terasa darah naik ke kepala apabila mendengar gadis itu memanggilnya dengan gelaran begitu.
“Aku muda lagilah!” Jun menjerit kuat sebelum menarik rambut gadis itu.
“Aduh!” Gadis itu menjerit sebelum turut sama menarik rambut Jun.
“Jun! Sudahlah tu.” Falah menjerit sebelum menarik tubuh Jun, cuba meleraikan pergaduhan tersebut.
“Sakitlah mak cik!”
“Apa kau panggil aku?” Jun semakin berang sebelum menarik baju yang dipakai oleh gadis itu. Prak!
“Aduh!” Jun mengerang apabila sekali lagi dia jatuh tergolek.
“Kau ni dah kenapa? Benda kecik pun dah bergaduh!” Falah berkata geram sebelum menarik tubuh temannya itu bangun.
Jun meludahkan beberapa helai rambut yang masuk ke dalam mulutnya itu. Mata memandang tangan yang sedang menggenggam cebisan kain yang datangnya daripada pakaian gadis itu.
Gadis itu tunduk merenung bajunya yang telah koyak ditarik oleh Jun tadi. “Kau... kau...”
Falah terpaksa menjadi orang tengah apabila gadis itu seperti sudah naik hantu.
“Apa kecoh-kecoh ni? Awak bertiga. Ikut saya ke pejabat sekarang!”
Spontan mereka berhenti apabila suara pengurus butik tersebut memetir sambil memandang marah ke arah mereka.

“FALAH, bawa laju sikit boleh tak? Aku dah lambat ni.” Jun berkata separuh terdesak apabila melihat jam di dashboard yang telah menunjukkan ke angka 4.00 petang.
“Ini semua kau punya pasal. Kalau kau tak cari pasal dengan minah tu, kita tak adalah nak buang masa macam ni.” Falah berkata cuba menahan geram.
Jun tidak mengendahkan bebelan gadis itu.
“Berhenti kat sini aje.” Jun berkata tergesa-gesa ketika kereta yang dipandu oleh gadis itu semakin menghampiri kawasan pejabatnya itu.
“Tinggal ajelah baju-baju tu.” Falah berkata apabila melihat gadis itu kalut memunggahkan beg-beg kertas hasil belian mereka tadi.
“Tak apa. Aku letak dalam kereta terus.”
Falah menggeleng ketika memandang gadis itu. “Jumpa kat rumah nanti.”
Jun tidak menjawab. Dia menutup pintu kereta dan berlalu dari situ dalam keadaan menjinjit beg kertas di kiri dan kanan tangan. Kaki semakin laju melangkah menuju ke tempat dia memarkirkan kereta. Tangan segera menggagau isi beg untuk mencari kunci kereta sebelum menyedari yang kunci keretanya telah tertingal di dalam laci meja kerjanya.
“Aduh, apa nak buat ni?” Jun menggaru kepala yang tidak gatal. Kan bagus kalau dia tinggalkan saja dalam kereta Falah tadi.
Setelah berfikir sesaat, mahu tak mahu Jun terpaksa membawa semua barang-barang itu naik ke atas dan berdoa yang dia tidak terserempak dengan sesiapa. Kalau tak, kantoi dia keluar pergi shopping masa waktu kerja.
Jun menekan butang lif beberapa kali sambil memandang ke kiri dan ke kanan. Kawasan tempat letak kereta itu agak sunyi.
“Isy! Cepatlah.” Jun menekan butang lif lagi.
Kting! Jun mengeluh lega apabila pintu lif terbuka. Dia segera tunduk ketika membetul-betulkan pegangan pada tali beg kertasnya itu sebelum melangkah masuk.
“Aduh!”
Spontan Jun mengangkat kepala. Bulat matanya ketika memandang Azmi yang sedang mengurut dada. Berkerut dahi lelaki itu ketika menahan sakit akibat dihentam oleh Jun.
“Err, Azmi. Sorry, sorry. saya tak sengaja.” Jun berkata sambil tersengih dengan rasa bersalah.
“Awak nak ke mana ni?” tanya Azmi sambil memandang tangan Jun yang penuh dengan barang-barang itu. Tangan spontan menekan butang pada lif tersebut untuk menahan pintu daripada tertutup.
“Naik. Awak nak ke mana pula? Curi tulang ya?” Jun mengangkat kening.
Azmi mengerutkan dahi seolah-olah tidak berkenan dengan kata-kata gadis itu.
“Siapa yang curi tulang? Awak ke Azmi?”
Tubuh Jun keras kaku apabila suara itu bergema betul-betul di belakangnya. Jun memandang ngeri ke arah Azmi. Perlahan-lahan, Jun menoleh ke belakang. Hampir nak terkeluar biji matanya ketika melihat tuan punya suara itu.
“Awak! Buat apa kat sini?” Jun bertanya kuat, cuba sedaya upaya mengawal rasa terkejutnya.
Azmi hanya memandang hairan ke arah Ash sebelum pandangan jatuh pula kepada Jun yang kelihatan seperti hampir pitam itu.
“Jun.” Azmi bersuara seolah-olah menegur.
Jun memandang pelik ke arah Azmi. Apa yang sudah berlaku ni? Kenapa mamat ni ada di sini? Dia memandang Azmi, seolah-olah meminta penjelasan, namun lelaki itu hanya memandangnya seolah-olah tidak faham apa yang sedang berlaku sekarang.
Ash memandang tangan Jun yang penuh di kiri kanan itu sebelum pandangan mata naik ke wajah gadis itu.
Jun menelan air liur. Spontan dia menyembunyikan bungkusan di belakang badannya walaupun dia tahu tak ada gunanya dia berbuat demikian.
“Azmi, cakap dengan dia ni. Esok tak payah datang kerja lagi.”
Terkebil-kebil mata Jun ketika memandang Ash yang sudah keluar dari lif tersebut.
Sorry Jun.” Azmi hanya mampu mempamerkan riak simpati terhadap gadis itu.
Erk? Apa maksud mamat ni? Esok tak payah datang kerja? Kenapa? Dia dapat cuti ke? Dan, siapa mamat tu pula? Suka hati sahaja nak bagi cuti free kepada dia macam syarikat ni bapa dia punya? Atau...

“KAK MIMI!”
Mimi yang sedang berbual di pantri itu menjengahkan kepala apabila telinga menangkap suara orang memanggil namanya. Dahi berkerut apabila melihat Jun hampir berlari ke arahnya sambil menjinjit barang di kiri kanan dalam keadaan tercungap-cungap. “Kau ni dari mana?”
“Kak. Kejap. Tadi.” Jun mengangkat tangan seolah-olah meminta Mimi memberikan dia masa untuk bertenang.
“Kau nak cakap apa sebenarnya ni? Tu. Apa benda? Kau pergi shopping lagi, kan?”
Jun menyentuh dada yang dah terasa sesak. “Tadi. Bos. Bos baru kita. Siapa?”
Mimi mengerutkan dahi buat kali kedua. “Bos baru? Encik Ben. Kenapa kau tanya?”
Ben? Tapi, siapa mamat nama Ash tu pula?
“Macam. Macam mana rupa dia?”
“Kau ni kenapa? Tanya soalan pelik-pelik?”
“Jawablah dulu.” Jun berkata sambil melabuhkan punggung di kerusinya. Beg berisi baju-baju yang dibelinya itu diletakkan di atas lantai.
Mimi terdiam, seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. “Entahlah. Akak pun tak perasan sangat. Tapi, yang akak perasan, rambut bos baru kita tu macam terpacak sikit. Tinggi. Kulit tak putih sangat. Just nice.”
Jun terdiam. Rasanya kriteria yang digambarkan oleh Mimi sama sahaja dengan mamat nama Ash itu. Tapi, takkan Ash itu bos baru dekat pejabat dia ni? Tolonglah kata tidakkk! Tiba-tiba dia teringat akan kejadian semasa di kampung dulu. Habislah dia kali ni. Silap-silap dia boleh kena buang kerja macam ni. Tapi...
“Kak, apa maksud kalau seseorang tu kata esok tak payah datang kerja lagi?”
Mimi kembali menyelak dokumen di atas mejanya.
“Entah. Tapi, selalunya ayat tu orang guna sebagai kiasan untuk berhentikan orang kerja. Kau tahulah, tak payah datang kerja. So, faham-faham sendiri ajelah.”
Jun terdiam. Jadi, mamat tu dah berhentikan dia kerja ke?

“FALAH, macam mana ni?”
Falah memicit dahi yang terasa pening. Pening disebabkan melihat keadaan teman serumahnya yang dari tadi asyik ke hulu dan ke hilir sahaja.
“Jun, kau boleh duduk diam-diam tak? Sakit kepala aku tengok keadaan kau ni.” Falah menggelengkan kepala sebelum mencapai remote televisyen.
Jun berhenti bergerak sebelum melabuhkan tubuh di sebelah Falah.
“Apa aku nak buat ni Falah? Aku rasa aku dah kena pecatlah.” Jun berkata entah untuk kali ke berapa.
“Kau yakin ke mamat tu bos baru kau?” Falah bertanya, juga entah untuk kali ke berapa.
“Aku tak pasti, tapi aku rasa memang dia bos baru tempat aku. Tapi, peliklah. nama bos baru aku tu Ben, tapi Abang Am panggil Ash. Aku pun tak pasti.”
“Siapa Abang Am?” Falah bertanya sambil mata tertumpu pada skrin televisyen itu.
“Abang sepupu aku.” Jun menjawab sambil merebahkan tubuh pada sofa. Kepala didongak ke atas. Mata dipejam, seolah-olah cuba berfikir bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini.
“Apa susah, kau telefon aje abang sepupu kau tu. Tanya dia, siapa nama sebenar kawan dia tu.”
Jun membuka mata. Eh, kenapa dia boleh tak terfikir akan hal itu?
“Nak ke mana pulak tu?” Falah bertanya ketika melihat Jun sudah bangun dan berlari menuju ke tingkat atas.
Call Abang Am.”

“HELO, Rumah Sakit Jiwa Sri Bakti. Boleh saya bantu?”
Jun memutarkan bebola matanya ke atas. Kalau ikutkan hati, rasa nak letak sahaja telefon jam itu juga. “Abang Am! Ini Junlah.”
“Ya, Cik Jun? Nak daftar untuk diri sendiri ke?”
Jun menggigit bibir. “Jangan main-mainlah Abang Am. Jun serius ni.”
Amzal ketawa kecil apabila menangkap nada suara geram di sebelah sana. “Hmm, nak apa call abang malam-malam ni? Rindu ke?”
Jun mencebik. “Jun nak tanya sesuatu ni.”
“Apa dia?”
Jun terdiam. Tidak tahu bagaimana mahu memulakan pertanyaan. Nak cakap macam mana ni? Pasti Amzal akan fikir bukan-bukan. “Hmm, kawan Abang Am yang ikut balik kampung tu.”
Kening Amzal terangkat sebelah. Lain macam saja ini.
“Kenapa dengan kawan abang tu? Jun dah syok dekat dia? Nak abang cakapkan ke?” Amzal tak habis menggiat.
Jun mengetap bibir. Sah ada urat terputus dalam kepala Abang Am ini. Aku nak syok dekat mamat tu? Pleaselah!
“Seriuslah!” Jun dah mula nak naik angin.
Amzal ketawa. “Okey, okey. Jun nak tanya apa tadi?”
Jun menjulingkan biji mata. Boleh rasa yang Amzal tengah sengih-sengih dekat sebelah sana.
“Siapa nama betul kawan Abang Am tu?” Jun bertanya terus. Malas nak mukadimah banyak sangat. Sat lagi kena gula dengan Abang Am ni, mahu kena diabetes aku dibuatnya.
Kening Amzal terangkat sebelah. “Kenapa Jun tiba-tiba tanya ni? Jun suka dia eh?”
Rasa macam nak hantuk kepala ke meja saja. “Suka hatilah abang nak kata apa pun. Jadi, jawablah soalan Jun tu.”
“Mesti ada sebab kenapa Jun beria-ia nak tahu sangat, kan?”
“Jawab ajelah. Isy!”
“Yalah, yalah. Nama dia Ben Ashraf.”
Hampir terlepas telefon di tangannya apabila mendengar jawapan dari mulut lelaki itu. Biar betul? Tak. Tak mungkin. Tak mungkin mamat itu bos baru tempat dia kerja? Tak. Dia sedang bermimpi. Bangun! Bangun! Bangun Jun!
“Jun? Bunyi apa tu?”
Jun berhenti menampar pipi sendiri apabila sedar yang dia masih berada di talian dengan abang sepupunya. “Tak ada apa. Tak apalah, Abang Am. Jun nak tidur dulu. Mengantuk.”
“Yalah. Night.”
Night.” Jun berkata sebelum memutuskan talian.
Telefon dicampakkan ke sebelah sebelum dia merebahkan tubuh di atas katil. Terkebil-kebil mata merenung siling. Apa nak buat ni? Tak sampai satu hari mamat tu ambil alih syarikat, dia dah kena buang kerja! Kejam betul! Ke mamat tu sebenarnya nak balas dendam? Jun menggigit bibir. Rasanya mamat itu nak balas dendam saja.
Cis, suka hati saja nak buang dia. Mamat tu tak fikir ke dia siapa? Kalau tak ada dia, boleh lingkup syarikat tu, tahu? Tak apa. Esok pagi-pagi dia nak pergi jumpa mamat itu. Dia nak basuh mamat itu cukup-cukup. Baru masuk kerja sudah nak tunjuk belang. Dia yang dah kerja dekat empat tahun ni, lagi banyak pengalaman kerja daripada mamat tu, tahu. Huh!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan