Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 11 Mei 2016

Encik Bos Cik PA - Bab 8

Bab 8
“NI tempat baru you. You duduk sini buat sementara waktu dulu, okey?”
Thanks Fyn.” Jun mengambil tempat di suatu sudut berdekatan dengan meja Fyn itu.
Dia melepaskan keluhan berat apabila melihat keadaan work stationnya itu. Dah serupa meja dekat pantri saja. Mamat ni memang nak balas dendam ke apa? Ingatkan jadi pembantu peribadi dia, dapatlah duduk dalam bilik sendiri. Ini tak, serupa duduk dalam pantri saja.
“You okey tak ni?”
Jun yang sedang menongkat dagu, menoleh. “Okey aje. Cuma sedih sikit.”
“Kenapa sedih? Gaduh dengan boyfriend eh?” Fyn bertanya sambil tersengih mengusik.
Jun buat muka. Tangan menyelak timbunan kertas yang tersusun di atas meja. “Fyn?”
“Hmm?” Fyn menggumam tanpa mengalihkan pandangan dari skrin komputernya.
“Ni kertas apa?”
Fyn menoleh sekilas sebelum kembali memandang skrin komputernya. “Oh, tu recycle paper. Tak ada tempat nak letak, jadi kita orang selalu letak situ aje sementara tunggu orang datang kutip.”
What? Recycle paper? Jadi meja dia ni serupa macam stor tempat simpan barang terpakai sajalah? Jun merenung marah ke arah pintu pejabat lelaki itu. Rasa macam nak bakar saja bilik mamat tu. Eee, sakit hati betul.
“Hmm. Malang sungguh nasib aku hari ni.” Jun mengomel sendiri.
“You ada cakap apa-apa ke?” Fyn menoleh.
Jun menggelengkan kepala. Dia segera mengeluarkan telefon bimbit. Jari-jemari laju menaip status di Facebook.

Hari ni merupakan hari malang sedunia.
Fafalah: Kenapa wei?

Jun menegakkan badan ketika membaca komen yang ditulis oleh teman serumahnya itu.

Jun_6: Aku kena buli dengan bos baru.
Fafalah: La, ya ke? Sian kau kan.

Jun mencebik apabila membaca komen yang dihantar oleh temannya itu. Hampeh punya roommate. Kau gelakkan aku ya? Jun mengeluh lagi sebelum meletakkan telefon bimbitnya di atas meja.
Dia merenung sekeliling. Macam ini rupanya orang HR bekerja. Senyap sunyi saja. Hmm, bosan pun ada. Jun menongkat dagu sambil memusing-musingkan telefon bimbitnya secara rambang. “Fyn?”
“Hmm?”
“You tak ada kerja yang nak bagi pada I ke? I bosanlah.”
Fyn berhenti menaip. Dia memandang Jun yang sedang menongkat dagu itu. “Kerja I memang banyak, tapi I tak boleh bagi pada you.”
“Kenapa pulak?”
“Sebab you pembantu peribadi bos. Mati I kalau bos tahu I bagi kerja I pada you. You tu bos punya. I tak boleh sembarangan bagi kerja pada you.” Fyn menjawab sambil tergelak.
 Jun mencebik. Aku ni bos punya? Sorry sikit.
“I bosanlah.” Jun merungut perlahan. Kalau ada komputer, boleh juga dia melayan mata tengok online shopping.
“You pergilah tanya bos, kutlah ada kerja yang dia boleh bagi.”
“Huh, tak naklah. Dia tu macam rimau. Kerja nak naik angin aje. Silap-silap hari bulan melayang lagi fail-fail tu ke muka I.”
“Ya ke Encik Ben tu macam rimau? I tengok okey aje. Sweet aje. Asyik senyum aje tau.”
Jun memutarkan bebola matanya ke atas. Dia rasa Fyn ni ada masalah penglihatan. Mamat tu dia boleh kata sweet? Eee! Pleaselah!
“Dahlah. Kalau tak ada kerja, I nak turun kejap. Nak jumpa Kak Mimi. Kutlah ada benda boleh buat kat bawah tu.” Jun berkata sebelum bangun dan berlalu dari situ.
Fyn hanya mampu menggeleng sebelum menyambung kembali kerjanya yang tertangguh.

“HA, Jun. Kau buat apa kat sini?” Mimi bertanya sambil mengerutkan dahi.
“Saja nak jumpa akak. Bosanlah duduk atas. Tak ada kerja nak buat.” Jun menjawab sambil menjeling ke arah seorang gadis yang dia belum pernah melihat wajahnya sebelum ini.
Eh, ini ke pekerja baru yang menggantikan tempat dia? Hmm, tak adalah bagus sangat pun. Biasa saja.
“Encik Ben tak marah ke kau turun sini?”
Pertanyaan Mimi itu membuatkan Jun mengalihkan pandangan. Jun mengangkat bahu sebelum menarik kerusi di hadapan meja Mimi. “Entah. Dia tak bagi saya apa-apa kerja. Saya turunlah sini, kut Kak Mimi ada kerja yang boleh bagi saya buat.”
“Kau ni. Pelik betul.”
“Apa yang peliknya?” tanya Jun sambil mencapai salah satu fail yang tersusun di atas meja Mimi itu.
“Dulu masa ada kerja, kau tak buat. Sibuk dengan shopping online kau tu. Sekarang ni bila tak ada kerja, baru sibuk nak cari kerja.”
Jun membuat muka. Kak Mimi ni pun dah macam mamat tu. Suka membebel. “Tak adalah. Saya bukan tak buat langsung, kan? Cuma kadangkala tu stres, saya buatlah kerja lain dulu. Bila dah tenang, barulah saya sambung buat kerja. Bukan ke orang cakap shopping ni boleh hilangkan stres?”
“Hilangkan stres dan hilangkan duit.”
Jun hanya diam. Menyesal pula turun ke bawah ni. Baik duduk atas saja. Sekurang-kurangnya tak sakit telinga kena bebel macam ni.
“Hah, nak ke mana pulak tu?”
“Naik. Nanti bos cari susah pulak.” Jun menjawab sebelum berlalu dari situ.
Mimi menggeleng sebelum menoleh ke sebelah. “Kau Siti, jangan jadi macam si Jun tu. Nak kerja, buat cara nak kerja. Jangan nak curi tulang aje. Kalau tak, jadi macam tulah nanti.”
Siti hanya diam walaupun riak keliru terpancar jelas pada wajahnya ketika itu.

SO, apa kes dengan bos kau tu?”
Jun yang sedang menonton siaran ulangan Maharaja Lawak Mega itu menoleh ke sebelah sebelum kembali memandang skrin televisyen.
“Wei, dengar tak apa aku tanya tadi?”
“Hmm.” Jun menjawab malas.
Falah memandang Jun di sebelah sebelum mata dihala ke arah skrin televisyen.
Jun mengerutkan dahi apabila Falah di sebelah ketawa terbahak-bahak. Dia segera mencapai remote televisyen sebelum menekan secara rambang.
Falah berhenti ketawa. “Wei, kenapa tukar?”
“Tak best.” Jun menjawab malas.
Falah mencebik. “Aku rasa urat ketawa kau dah putus agaknya. Cerita lawak tadi tu kau boleh kata tak best? Pelik betul aku.”
Jun tidak menjawab. Mata masih memandang cerita Melayu yang ditayangkan ketika itu. Apa semua cerita tak best ni? Punat ditekan lagi.
Falah menjeling ke sebelah apabila melihat gadis itu asyik menukar siaran tanpa henti. “Jun?”
“Hmm.”
“Kau ada masalah eh?”
“Aku nampak macam ada masalah ke?”
Haah.”
Jun mengerling ke arah Falah dengan ekor mata, namun dia tidak berkata apa-apa. Tangan masih lagi sibuk menekan remote televisyen itu.
“Bagi sini remote tu.” Falah merampas remote dari tangan gadis itu apabila kepala dah mula pening kerana siaran bertukar setiap dua saat. “Kau ni kenapa? Ada masalah ke?”
“Taklah.”
“Tipu.”
Jun tidak menjawab. Mata masih sibuk memandang skrin yang sedang menayangkan cerita Tamil. Layan sajalah.
Falah menjeling ke arah skrin. Kalau dah cerita Tamil pun minah ni tengok bersungguh macam tengok cerita Korea, sah minah ni memang ada masalah besar.
“Kau ada prob dekat tempat kerja ke?”
Jun diam lagi.
“Kalau ada masalah, kau ceritalah dekat aku. Mana tahu aku boleh tolong.”
Jun melepaskan keluhan berat. Dada terasa sesak entah sebab apa. Dia sendiri tidak tahu apa yang menyebabkan kepala dia berserabut.
“Bos baru kau tu, okey ke?”
Spontan Jun mengangkat bahu. Hati rasa sebal saja bila membayangkan wajah lelaki itu.
“Hmm, tak apalah kalau kau tak nak cerita. Tapi, kalau kau rasa nak cerita, kau tahu kat mana nak cari aku.” Falah berkata sebelum menepuk paha gadis itu.
Jun hanya tayang senyum tawar ketika melihat teman serumahnya itu sudah pun mengatur langkah menuju ke tingkat atas. Jun melepaskan keluhan berat. Sumpah, hati rasa terbeban sangat. Remote televisyen dicapai sebelum butang merah ditekan.
Lambat-lambat dia mengatur langkah menuju ke tingkat atas, mengetuk pintu bilik Falah. “Falah, boleh aku masuk?”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan