Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 11 Mei 2016

Encik Bos Cik PA - Bab 6

Bab 6
“EH, awal hari ni? Jalan tak sesak ke Cik Jun?”
Jun hanya senyum, namun tidak berkata apa. Aik, pak gad ni perli dia ke apa?
“Terima kasih, pak cik.” Jun berkata ketika penghadang diangkat sebelum dia memandu masuk ke arah tempat letak kereta.
Jun segera keluar dari kereta dan berjalan laju menuju ke arah lif. Orang sudah ramai berkumpul di hadapan lif tersebut. Spontan Jun menjeling jam di tangan. Aik? Baru pukul 7.30, tapi dah ramai yang datang? Biar betul.
Jun cepat-cepat masuk ke dalam lif bersama-sama dengan pekerja yang lain. Laju kaki melangkah keluar dari lif sebaik tiba ke tingkat satu, menuju ke pejabatnya.
“Jun? Awalnya hari ni?” Sapaan rakan sepejabat yang lain tidak diendahkan ketika dia segera bergerak ke arah work stationnya itu.
“Eh, awalnya kau hari ni? Salah kunci jam ke?” Mimi menyapa agak hairan apabila melihat Jun pagi-pagi lagi sudah sampai di pejabat. Rasanya dalam setahun boleh bilang berapa kali Jun datang awal ke pejabat.
“Saya ada kerja sikit nak buat.” Jun menjawab sambil berjalan ke arah kabinet yang terletak di hujung sudut bilik tersebut. Satu per satu pintu kabinet dibuka. Beberapa buah dokumen tebal ditarik keluar sebelum diletakkan di atas meja.
“Kau nak buat apa bawa keluar semua dokumen ni?” Mimi bertanya ketika memandang dokumen-dokumen lama yang tersusun di atas meja gadis itu.
Jun tidak menjawab ketika dia berkira-kira sama ada mahu membawa dokumen di tangannya itu ataupun tidak.
“Jun, akak tanya ni. Kau nak buat apa dengan semua dokumen ni? Ada audit ke?”
“Tak adalah. Jun ada hal sikit. Pergi dulu.” Jun menjawab sebelum melangkah keluar dari pejabat itu sambil membawa sekali dokumen-dokumen tersebut.
Jun cuba menekan butang lif, namun disebabkan tangannya sarat dengan dokumen menyebabkan sukar untuk dia berbuat demikian.
“Isy!” Jun cuba menekan butang tersebut dengan bucu dokumen tersebut, namun gagal lagi.
“Jun?”
Spontan Jun menoleh. Senyum hambar dihadiahkan kepada lelaki itu.
“Nak ke mana dengan fail banyak-banyak ni?” Tanya Azmi sambil merenung ke arah dokumen yang tersusun dalam pelukan gadis itu.
“HR.” Ringkas dia menjawab.
Dahi Azmi berkerut. Dia segera menekan butang lif tersebut.
Thanks.”
“Buat apa pergi HR dengan fail-fail ni? Ada audit ke?”
“Taklah. Saja aje nak ke HR.” Jun menjawab malas. Banyak tanya pula mamat ni.
Kting! Laju kaki Jun melangkah masuk ke dalam lif.
“Kenapa awak datang?”
Jun mengangkat kening. “Kenapa? Tak boleh ke?”
Azmi memandang wajah Jun dalam-dalam.
Jun mengangkat kening. “Apa?”
“Awak tahu tak siapa semalam tu?”
Jun terdiam. Dia maksudkan Ash ke? Jun mengangkat bahu. “Bos baru kita?”
“Awak betul-betul tak tahu itu bos baru kita ke?”
Jun teragak-agak sebentar sebelum menggelengkan kepala.
Kting! Pintu lif terbuka.
“Saya rasa baik awak balik aje.” Azmi berkata sebelum melangkah keluar.
“Tapi...” Belum sempat dia berkata apa-apa, pintu lif tertutup semula. Jun menggigit bibir sambil membetul-betulkan kedudukan dokumen di tangannya itu.
Siapa dia nak suruh aku balik macam tu aje? Ni Jun. Pantang mengalah, tahu? Jun berkata sendiri sebelum melangkah keluar dari lif menuju ke pejabat HR.
“Fyn, bos ada tak?” Jun bertanya sambil meletakkan dokumen-dokumen tersebut di atas meja gadis itu.
Fyn yang sedang menaip itu mengalihkan pandangan. Berkerut dahinya apabila melihat timbunan fail yang dibawa oleh gadis itu sebelum dia mengangkat kepala memandang Jun. “Bos? Bos besar ke bos kecik?”
“Bos besarlah. Bos kecik buat apa.”
Fyn tergelak. “You cakap tu elok-elok sikit. Nanti Encik Zainudin dengar, kecik hati dia.”
Jun buat muka. “Apa-apa ajelah. So, ada tak? Ke belum sampai lagi?”
“Dah sampai dah. Nak masuk jumpa dia ke?”
Jun mengangguk sebelum membetul-betulkan kedudukan baju pada tubuh. Dada mula terasa berdebar. Chaiyok Jun! Kau kena berjuang habis-habisan kalau tak nak jadi pengusaha ladang anggur.
“Pergilah masuk. Tapi, satu I nak pesan.”
“Pesan apa?” Jun bertanya sambil memandang curiga ke arah gadis tinggi lampai itu.
“Bos baru kita tu tak sama dengan Encik Asnif tau. So, you faham-faham ajelah.”
Jun telan air liur.
Thanks. Sangat membantu.” Jun berkata perlahan sebelum mula melangkah menuju ke arah bilik lelaki itu. Mata Jun merenung tulisan yang tertampal di pintu bilik itu. Bukan main besar lagi tulisan yang terpapar pada pintu itu.

PENGURUS: Ben Ashraf

Rasanya sebatu pun dah boleh nampak. Huh! Jun menarik nafas dalam-dalam sebelum tangan mengetuk pintu bilik itu. Jun menunggu buat beberapa ketika, namun tiada sebarang arahan menyuruhnya masuk dari dalam. Jun serba salah. Perlukah dia ketuk lagi atau tunggu?
Jun mengetuk pintu tersebut buat kali kedua. Dia mendekatkan telinga pada pintu. Senyap. Aik? Ada orang ke tak ada ni? Ke mamat ni tidur?
Jun menggigit bibir. Tangan sudah terasa sakit. Nak masuk ke tak ni? Ah, masuk ajelah. Jun berkata sendiri dalam hati sebelum memulas tombol pintu. Perlahan-lahan dia menolak pintu ke dalam.
“Assalamualaikum.” Jun bersuara perlahan.
Dahinya berkerut. Aik? Kosong? Tak ada orang pun? Pergi mana mamat ni? Jun melangkah masuk ke dalam ruang pejabat yang agak besar itu dan meletakkan fail-fail yang dibawa itu di atas meja kerja milik lelaki itu. Hmm, kemasnya meja mamat ni. Macam tak ada kerja saja.
Jun memandang sekeliling. Ini bukanlah kali pertama dia masuk ke pejabat ini kerana sebelum ini pejabat ini didiami oleh Encik Asnif, tapi rasanya ada sedikit kelainan pada hiasan dalaman pejabat ini. Lebih moden dan kemas. Kalau dulu pejabat Encik Asnif macam tongkang pecah. Semua ikut dan saja. Kadangkala siap tak ingat lagi fail sekian-sekian duduk mana. Lepas itu jenuh nak selongkar balik cari satu-satu.
Tapi, bos kali ni agak lain sikit. Lebih kemas dan teratur. Tapi, mana mamat ni pergi? Fyn kata tadi dah masuk kerja. Ke...
Ash yang baru sahaja keluar dari bilik air berhenti melangkah apabila telinga terdengar seperti bunyi pintu dibuka dan ditutup. Aik? Siapa pula yang memandai-mandai masuk dalam pejabat dia tanpa kebenaran ni?
“Ceh, kata orang curik tulang. Dia pun dua kali lima aje sama dengan aku. Ada hati nak pecat aku. Huh.” Jun mengomel sendiri sambil mengambil bingkai gambar yang terletak di atas meja itu.
Telinga Ash seperti menangkap sesuatu yang datangnya dari mulut gadis yang membelakanginya itu. Eh, ada lagi minah ni? Bukan semalam aku dah kata jangan datang lagi ke hari ni?
Tengok tu, gambar pemandangan tepi pantai pun dia boleh letak atas meja ni. Orang letaklah gambar keluarga ke, gambar kekasih hati ke. Mesti mamat ni jenis skema. Nerd. Jun meletakkan bingkai gambar tersebut di atas meja. Dia memandang sekeliling sebelum terpaku seketika.
Ash hanya merenung wajah gadis yang ternyata terkejut dengan kemunculannya. Rasa macam nak tergelak saja apabila melihat raut wajah gadis itu yang seperti mahu pengsan. “Awak mengata saya, ya?”
“Tak. Tak.” Gadis itu menjawab tergagap sambil menggelengkan kepala bersungguh-sungguh.
“Habis tu yang saya dengar pasal curik tulang tu, siapa?”
Jun menelan air liur yang sudah terasa berpasir. Habislah dia kali ni. Rasa macam nak tampar saja mulut ni.
Ash mengangkat kening sambil berjalan menghampiri gadis itu. Jun tertunduk merenung ke lantai apabila lelaki itu memandangnya.
Kening Ash terangkat lagi apabila dia melihat fail-fail tersusun di atas mejanya. “Ini apa?”
“Huh?” Spontan Jun mengangkat muka sebelum pandangannya jatuh pada fail-fail yang dibawanya tadi.
“Saya tanya, ni apa?”
“Err, fail?” Jun menjawab teragak-agak.
Ash merenung ke arah Jun. “Awak ingat saya bodoh sangat ke sampai fail pun tak kenal? Maksud saya, kenapa fail ni ada atas meja saya?”
“Err... Sebab err... saya yang bawa tadi.”
“Kenapa awak bawa fail ni ke sini?”
Jun telan air liur. Serius gila mamat ni. Betul ke mamat di kampung dulu dengan orang yang sedang berdiri di hadapannya ini adalah orang yang sama?
“Err... Sebenarnya...”
Wait.”
Jun terdiam.
“Bukan ke saya dah kata dekat awak semalam, tak payah datang kerja hari ni?”
Jun telan air liur lagi. Alamak, mamat ni serius ke nak berhentikan dia kerja?
“Err, maksudnya Encik Ash nak bagi saya cuti ke?” Jun bertanya sambil pura-pura tergelak, namun terhenti apabila wajah lelaki itu masih tidak berubah, serius.
Jun tunduk merenung kaki apabila pandangan mata lelaki itu masih terus-menerus merenungnya. Nampaknya lawak aku tak menjadi pula. Jun mengomel dalam hati.
So, awak buat apa kat sini? Saya tak perlukan pekerja macam awak yang suka ambil kesempatan terhadap kebaikan syarikat.”
Berdesing telinganya apabila mendengar kata-kata lelaki itu. Muka sudah terasa merah padam. Relaks Jun. Don’t make it worse. Jun berkata dalam hati. Dia menarik nafas panjang dan dalam sebelum mengangkat muka, cuba menentang pandangan lelaki di hadapannya itu.
“Maafkan saya, Encik Ben Ashraf. Saya tahu semalam saya dah buat kesilapan besar. Tapi, encik rasa patut ke saya dibuang kerja hanya disebabkan kesilapan saya semalam?”
Ash mengangkat kening. Berani juga minah ni. “Jadi awak nak cakap, saya tak boleh buang awak hanya disebabkan kesalahan semalam?”
Jun mengangguk laju.
“Boleh bagi tahu saya sebab yang kukuh kenapa saya perlu simpan pekerja yang suka ambil kesempatan macam awak ni?”
Jun cuba menahan riak wajah yang dah terasa seperti mahu bertukar menjadi naga. Sabar Jun. Sabar.
“Sebabnya ada dalam fail-fail tu.” Jun menjawab sambil memandang fail-fail yang tersusun di atas meja kerja lelaki itu.
Ash mengalihkan pandangan dari wajah gadis itu ke arah fail di atas mejanya. “Fail ni?”
Jun mengangguk lagi
Ash mengambil salah satu fail yang terdapat di atas mejanya sebelum menyelak secara rambang. Dia kemudian mencampakkan fail tersebut di atas lantai dan mengambil fail yang lain lalu diselak lagi secara rambang sebelum dicampak ke lantai.
Jun spontan mengelak apabila fail yang dicampakkan itu hampir mengenai kakinya. Bibir digetap geram. Apa kena dengan mamat ni?!
“Untuk apa awak bawa sampah-sampah ni ke sini?” Lelaki itu bertanya sebelum mencampakkan fail terakhir ke lantai.
Jun merenung tajam ke arah lelaki itu. Sampah? Dia panggil semua usaha penat lelah aku ni sebagai sampah?!
“Kalau Encik Ash nak tahu, semua ‘sampah-sampah’ ni adalah usaha penat lelah saya selama saya bekerja di sini.” Jun menjawab cuba menahan geram sebelum tunduk dan mengutip fail-fail yang bertaburan di atas lantai itu. Hati agak sebak memikirkan yang usahanya selama ini tidak dihargai. Ingat senang ke nak buat repot macam ni?
No wonder.” Ash menjawab tanpa perasaan sebelum mengambil tempat di mejanya. Dia kemudian mencapai fail yang tersusun kemas di rak belakang sebelum duduk dan mula menyemak fail tersebut, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Jun menjeling tajam. Hatinya semakin sakit apabila melihat keadaan lelaki itu. Terasa seperti maruahnya dipijak-pijak.
“Ada apa-apa lagi yang awak nak cakap?” Ash mengangkat kepala apabila melihat gadis itu masih berdiri di situ selama lima minit.
Jun masih merenung tajam ke arah lelaki itu. Dia sendiri tak tahu macam mana Abang Am boleh berkawan dengan mamat ni. Perangai macam jembalang tanah. Eee! Sakitnya hati! Rasa seperti mahu sahaja dia menghamburkan kata-kata sumpahan yang bermain-main dalam fikirannya ketika itu. Huh!
“Boleh Encik Ash bagi saya satu lagi peluang?” Tanpa sedar laju sahaja kata-kata itu meluncur ke bibirnya.
“Kenapa saya mesti bagi awak satu lagi peluang? Saya rasa awak tak memberikan apa-apa sumbangan pun selama awak bekerja di sini. Kenapa? Tak percaya?” Ash bertanya apabila melihat wajah gadis itu sudah berubah.
Jun hanya diam. Dia sedaya upaya menahan diri daripada mengeluarkan kata-kata sumpahan terhadap lelaki itu. Sabar Jun. Jangan cari pasal.
“Buktinya, fail di tangan awak tu. Saya tak perlu pergi terlalu jauh. Tengok cara awak tulis repot aje pun saya dah tahu. Dengan spelling yang hancur. Benda simple macam tu pun awak tak boleh buat.”
Jun terdiam lagi. Dada dah mula berombak kencang menahan marah.
“Semua manusia buat kesilapan, Encik Ben Ashraf. Atau encik seorang yang perfect? Tak pernah melakukan sebarang kesilapan?” Jun bertanya sambil merenung tajam ke arah lelaki itu. Kali ini dia tak peduli. Lantaklah kalau dia kena buang kerja pun, janji hati dia puas.
Ash terdiam sejenak. Dalam hati terbit rasa kagum dengan keberanian gadis ini.
“Memang betul semua orang buat silap, tapi saya tak boleh terima kalau orang itu langsung tak berusaha untuk membetulkan kesilapannya. Awak tengok sendiri repot yang awak buat itu. Setiap helaian mesti ada kesalahan. Awak langsung tak semak ke lepas tulis repot tu? Saya hairan betul macam mana awak masih bekerja di sini. Mungkin bos lama awak pandang mudah aje semua ini, tapi tidak saya.”
Jun terdiam lagi. Muka sudah terasa tebal lima inci. Rasanya sudah cukuplah dia memalukan diri sendiri. Lebih baik cabut angkat kaki. Nampaknya usaha dia untuk mempertahankan jawatannya, berakhir di sini. Tapi, sekurang-kurangnya dia sudah cuba, bukan?
Jun berpusing mahu melangkah menuju ke arah pintu. Lagi lama dia dalam bilik ni, lagi terbakar hatinya.
“Awak nak ke mana pulak tu?”
Tangan yang baru sahaja menyentuh tombol pintu itu terhenti. Lambat-lambat dia berpusing.
“Balik rumah tidur. Bukan ke saya dah kena pecat? Jadi, buat apa saya nak buang masa kat sini lagi? Lagipun mesti Encik Ben Ashraf dah menyampah tengok muka saya, kan?”
“Saya yang menyampah tengok muka awak ke? Atau awak yang dah menyampah tengok muka saya?”
Jun menggigit bibir. Mata dipejam cuba menahan rasa geram yang sudah bermaharajalela dalam hatinya.
“Suka hatilah encik nak cakap apa.” Jun menjawab sebal sebelum kembali berpusing.
“Nanti.”
Jun memejamkan mata. Apa lagi mamat ni nak?
“Encik nak apa lagi? Tak puas lagi ke nak hina saya? Cukuplah tu. Saya sedar diri. Saya tahu saya ni tak mendatangkan apa-apa keuntungan pada syarikat ini. Jadi, sebelum maruah saya dipijak-pijak, lebih baik saya pergi. So, bolehlah encik iklankan jawatan kosong untuk position saya tu.” Jun menjawab sinis.
Actually, saya memang dah iklankan position awak tu di Internet. Mungkin petang ni akan ada candidate yang datang untuk interviu.”
Jun tunduk. Sumpah rasa macam nak baling saja fail-fail ke muka lelaki itu.
“Baguslah tu.” Jun menjawab perlahan sebelum berpusing buat kali ketiga. Tangan laju memulas tombol pintu tersebut.
“Saya boleh bagi awak peluang kedua. Well, memandangkan awak ni sepupu kawan baik saya.”
Langkah kaki Jun terhenti serta-merta.
Dia berpusing ke belakang. “Saya tak perlukan simpati.”
“Terpulang kepada awak. Jangan kata saya tak bagi peluang.” Ash menjawab sebelum kembali tunduk memandang dokumen di hadapannya.
Jun menggigit bibir. Dalam kepala ligat berfikir. Apa yang perlu dia buat sekarang? Mamat ni sudah hina dia macam-macam, takkan dia nak bekerja lagi di sini? Tapi, kalau dia tak terima, dia nak kerja apa? Sudahlah sekarang ni susah nak cari kerja lain. Lagipun, kelulusan dia bukanlah tinggi mana pun. Setakat diploma saja.
“Tapi, encik kata encik dah iklankan jawatan saya tu di Internet.”
Ash mengangkat kepala. “Siapa cakap awak akan pegang position tu lagi? Kan saya dah cakap tadi, awak tak layak untuk position itu.”
Jun mengerutkan dahi. Habis tu mamat ni nak bagi jawatan apa? Tukang cuci?!
“Habis tu?”        
Ash merenung wajah gadis di hadapannya itu dalam-dalam. Dia tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat perubahan pada wajah gadis itu apabila diberitahu jawatan yang akan disandang oleh gadis itu. “Pembantu peribadi saya.”
“Hah?!” Jun bertanya agak terkejut. Rasanya dia lagi sanggup jadi tukang cuci aje. Pembantu peribadi mamat ni? Oh, tidakkk!
Ash cuba sedaya upaya menahan senyum yang hampir terukir di bibir apabila melihat perubahan pada wajah gadis itu. Memang seperti yang telah dia jangkakan sebelum ini. “Kenapa? Tak nak?”
Jun menggeleng laju sebelum berhenti. “Bu... bukan... Maksud saya, err... Saya mana ada pengalaman sebagai pembantu peribadi. Saya tahu buat kira-kira aje.”
Ash masih memandang Jun yang kelihatan gelisah sebelum mencapai fail yang terletak di hujung mejanya. Laju tangan menyelak isi fail tersebut sebelum berhenti.
“Junnah bt Jamal Aludin. That is you, right?” Ash bertanya sambil memandang gadis itu.
Muka Jun dah terasa merah padam.
“Kenapa awak bekerja sebagai pembantu kewangan sedangkan awak ada diploma kesetiausahaan?”
“Sebab hanya itu aje jawatan yang ada pada masa itu. Saya perlukan kerja. Jadi, saya terima ajelah.”
Ash mengangkat kening. “Nampaknya bos awak sebelum ini pakai tangkap muat aje. Patutlah saban tahun syarikat ini mengalami kerugian. Rupanya ramai pekerja yang tak sepatutnya bekerja di sini.”
Jun memejamkan mata lagi. Terasa diri ini disindir secukup rasa oleh lelaki itu.
So, memandangkan awak ada diploma kesetiausahaan, saya rasa jawatan pembantu peribadi tu sesuai untuk awak. Setuju?”
Tak! “Suka hati enciklah nak bagi jawatan apa. Encik kan serba tahu.” Jun menjawab separuh menyindir.
Kening Ash terangkat sebelah. Minah ni memang berani betul. “Okey, awak boleh keluar sekarang.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan