Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 11 Mei 2016

Encik Bos Cik PA - Bab 1

Bab 1
Telefon yang diletakkan di tempat duduk penumpang di sebelahnya itu dipandang sekilas. Mata sempat menjeling tuan punya nama yang tertera pada skrin telefon bimbitnya. Alamak! Laju dia mencapai telefon yang masih berdering sebelum skrin disentuh dan diletakkan di telinga.
“Assalamualaikum mak.”
“Waalaikumussalam. Kamu kat mana dah ni? Jadi balik ke tidak?”
“Jadi mak. Jun dah on the way dah ni. Kejap lagi sampai.”
“Kamu ni dari tadi asyik on the way aje. Bila nak sampai?” Suara mak dah naik satu level.
“Jalan sesak sikit mak. Biasalah, hujung minggu. Kejap lagi Jun sampai. Mak jangan risaulah.”
“Hmm, yalah. Bawa kereta tu hati-hati. Nanti kalau sempat, singgah kedai Pak Babu tu tolong beli air batu tiga plastik. Air batu dekat rumah mak andak kamu tu dah habis. Tak sempat nak buat untuk malam nanti.”
“Okey. Ada lagi nak pesan apa-apa?”
“Tak ada. Assalamualaikum.” Talian terus diputuskan.
“Adoi, mak ni. Kita tak sempat balas terus dia letak telefon.” Jun mengomel sendiri sebelum meletakkan kembali telefon di sebelah.
“Dah nasib kaulah Jun. Orang lain yang kahwin, kau pulak yang kena paksa balik kampung jadi kuli.” Jun menggumam lagi ketika dia kembali menumpukan perhatian pada pemanduannya.
Ingatkan gerak lambat-lambat dari KL tadi bolehlah elak jadi ‘pekerja kontrak’ tak berbayar, alih-alih kena bebel dengan mak. Mak pulak asyik telefon tak henti-henti dari tadi, bertanya bila nak sampai, ada di mana? Rasanya mak boleh berduet dengan Taufiq Batisah nyanyi lagu Awak Kat Mana? Awak... awak kat manaaa? Argh, stres!

DEGANG! Jun tersentak. Terpisat-pisat dia memandang emaknya yang sudah bercekak pinggang di depan pintu.
“Apa nak jadi dengan kamu ni? Aku terjerit terlolong pun boleh kamu tak dengar?”
Jun menahan kuap dengan tangan sebelum bangun daripada baringan. Sesekali dia menggeliat malas sambil menguap.
“Pukul berapa dah ni?” Jun bertanya sambil memandang tingkap biliknya. Macam awal lagi.
“Dah pukul 9.00 pagi. Kamu ni, apa nak jadi? Nak tunggu apa baru nak bangun? Dengan subuh entah ke mana.” Puan Amina tak habis membebel lagi.
“Orang cutilah mak.” Jun menggumam perlahan sambil menggosok mata. Baru pukul 9.00 rupanya. Awal lagi ni. Boleh seround dua lagi layan mata.
“Awal lagilah mak. Baru pukul 9.00 pagi, bukan 9.00 malam. Lagipun semalam kan Jun sampai lewat malam? Mengantuk tak habis lagi ni.” Jun menjawab sambil menguap besar.
“Cubalah perangai tu senonoh sikit. Kalau tahu dek orang, mana mak nak letak muka? Nama aje ada anak dara, belajar tinggi, tapi pemalas.”
Jun membuat muka. Telinga dia dah naik muak mendengar kata-kata bebelan emaknya itu. Inilah salah satu sebab kenapa hati berat sahaja mahu pulang ke kampung. “Yalah, yalah. Jun bangunlah ni.”
“Pergi bangun mandi, lepas tu ikut mak ke rumah mak andak kamu tu. Orang dah mula nak datang rewang.”
“Hah? Jun kena pergi jugak ke?” Jun bertanya agak terkejut. Baru saja nak layan TV hujung-hujung minggu ini.
“Habis tu kamu nak buat apa duduk rumah ni? Kalau tolong menyapu ke, basuh baju ke, memasak ke, tak apalah jugak. Dah, jangan nak banyak alasan. Pergi mandi sekarang.”
“Yalah.” Jun menjawab perlahan sebelum mencapai tuala lalu disangkutkan di bahu.
Jun memandang emak yang sudah mula melangkah berjalan keluar dari biliknya. Sengih nakal terukir di bibir sebelum dia berjengket-jengket ke arah emaknya. “Mak!”
“Oh pocot mak kau jatuh tergolek.”
Jun ketawa besar.
“Kamu ni dah kenapa? Buat tabiat?”
Jun memuncungkan bibir. Pelukan erat pada tubuh emaknya dari arah belakang itu masih tidak dilepaskan.
“Jun rindu emaklah. Mak tak rindu Jun ke?” Jun bertanya separuh merengek.
Puan Amina terdiam seketika. “Rindu. Siapa tak rindu anak, tak sayang? Cuma anak aje yang tak ingat aku ni.”
“Alah, mak ni. Ke situ pulak. Mana ada. Jun ingat mak aje. Selalu jugak Jun telefon mak kan.” Jun menjawab sambil melepaskan pelukannya.
“Itulah kamu, pandai aje menjawab. Dah, pergi mandi cepat. Tu mak dah siapkan nasi lemak kegemaran kamu tu. Nanti lepas mandi, pergi makan lepas tu baru kita pergi rumah mak andak kamu tu.”
Yes! Jun pergi mandi dulu ya mak.” Jun berkata riang sebelum berjalan menuju ke bilik air.
Puan Amina hanya menggelengkan kepala ketika melihat keadaan anak tunggalnya itu. Nama sahaja umur dah 26, tapi perangai masih seperti budak-budak lagi.

 “Jun?”
“Hmm.”
“Lepas ni teman aku pergi ambik baju, boleh?”
“Baju apa?” Jun bertanya malas sambil tangan laju memintal bunga kertas untuk dibuat gubahan hantaran. Inilah yang dia malas. Asyik tak jadi saja. Leceh betul. Naik fed up pun ada. Huh!
“Baju nikah akulah. Nanti teman eh?”
Isy, macam mana nak buat ni? Eee, memang mencabar tahap kesabaran aku betul!
Dila mengangkat kepala dari bunga rampainya apabila dia merasakan orang sebelah tidak memberikan sebarang respons. “Jun, kau dengar tak apa aku kata tadi?”
“Apa? Aku tengah sibuk ni. Asyik tak jadi aje. Dahlah, malas aku nak buat!” Jun mencampakkan bunga kertas yang telah renyuk ke dalam kotak berdekatan.
Dila terdiam sebelum memandang kotak tersebut. Entah kenapa hati agak tersentap dengan perbuatan sepupunya itu.
“Argh. Penatnya. Ni kalau dapat baring-baring layan mata kan best.” Jun menggeliat sambil membetul-betulkan pinggang.
Hampir dua jam duduk bertapa atas lantai sambil membantu Dila, sepupunya yang akan bernikah dua tiga hari lagi. Jun masih lagi memusing-musingkan tubuh sambil memandang sekeliling. Orang agak ramai yang datang merewang. Rata-rata kebanyakannya semua mak cik-mak cik surau. Almaklumlah, mak andak rajin juga ke surau untuk belajar mengaji dan mendengar ceramah agama.
“Dila, Abang Am tak balik ke?” Jun bertanya apabila dia mula perasan yang abang sepupunya merangkap abang Dila tidak kelihatan di mana-mana.
Jun menoleh ke sebelah apabila pertanyaannya tidak disambut oleh sepupunya itu.
“Kau okey ke ni?” tanya Jun sambil memandang hairan ke arah Dila yang masih tunduk memandang gubahan hantaran separuh siapnya itu. Dahi Jun berkerut apabila Dila masih mendiamkan diri seolah-olah tidak mendengar pertanyaannya tadi.
“Dila? Wei, kau kenapa ni? Senyap aje. Gaduh dengan tunang ke apa?” tanya Jun lagi.
“Tak ada apa. Kalau kau penat, kau baliklah dulu. Aku boleh buat sendiri.” Dila berkata perlahan sebelum bangun dari situ.
Jun hanya terkebil-kebil memandang Dila yang telah mula berjalan masuk ke dalam biliknya. Pelik betul minah ini. Jun mengomel dalam hati. Dia menggeliat perlahan sambil mengemas alat-alat yang telah digunakan untuk membuat gubahan hantaran ke dalam kotak. Mata jatuh pada gumpalan bunga kertas yang dibaling tadi. Jun menggigit bibir. Alamak!
Jun memandang pintu bilik Dila yang sudah tertutup rapat itu. Tahulah dia yang sepupunya itu mungkin terasa hati dengan kata-katanya tadi. Jun menarik nafas panjang. Kau pun satu Jun, sudah tahu minah itu sensitif, mulut tu pakai lepas sahaja cakap tak fikir dulu. Kan ke minah tu dah merajuk. Isy,!
Jun berdiri sambil membawa kotak berisi alat gubahan hantaran sebelum melangkah menuju ke bilik Dila. Sesekali telinga menangkap bunyi suara orang berbual di dapur. Riuh kejap rumah mak andak dia itu dengan suara orang kampung yang datang merewang. Rasanya malam nanti ada majlis berinai pula.
“Dila? Boleh aku masuk?” Jun mengetuk pintu bilik sepupunya itu dengan perlahan. Sesekali dia melemparkan senyuman kepada mak cik-mak cik di dapur.
“Dila?” Jun bertanya lagi apabila masih tiada jawapan dari dalam bilik.
“Aku masuk eh.” Jun berkata sebelum memulas tombol pintu.
Ktik! Fuh, nasib baik pintu tak berkunci. Jun berkata dalam hati ketika dia memulas tombol dan menolak pintu tersebut ke dalam. Mata menyapa ruang dalam bilik sepupunya sebelum pandangan jatuh pada tubuh Dila yang membelakanginya itu.
Jun menggigit bibir sebelum melangkah masuk ke dalam bilik. Kotak yang dibawa tadi diletakkan di hujung katil sebelum dia berjalan menghampiri Dila yang masih diam membisu.
“Dila, kau marah aku ke?” Jun bertanya ketika dia duduk di sebelah gadis itu.
Dila masih diam membisu. Tangan gadis itu ligat bermain dengan telefon bimbitnya.
Jun menggigit bibir lagi. Terbit rasa bersalah apabila melihat ada kesan cecair jernih di pipi gadis itu.
“Dila, janganlah marah. Aku tak bermaksud nak cakap macam tu. Betul ni. Kau macam tak kenal aku. Mulut aku ni kadangkala tak ada insurans.”
Senyap.
Jun menggaru kepala yang tidak gatal. Ah, sudah! Dila dah masuk zon tak nak bercakap pula.
“Dila, sorrylah. Aku betul-betul tak ada niat macam tu. Tadi kau cakap nak ajak aku pergi ambil baju nikah kau, kan? Pukul berapa kita nak pergi?”
“Tak apalah. Aku boleh pergi sendiri.” Dila menjawab perlahan. Ada nada jauh hati dalam tutur katanya itu.
Jun menggigit bibir lagi. Aduh, masak macam ini.
“Janganlah macam tu. Aku teman kau, okey? Lepas tu aku janji aku akan jadi pengapit kau jugak. Boleh?” tanya Jun lagi cuba memancing perhatian sepupunya itu.
Dila menoleh. Jun buat muka simpati.
“Betul kau nak jadi pengapit aku?”
“Hah?”
“Tadi kau kata nak jadi pengapit aku, kan? Kau tak boleh tarik balik kata-kata kau tu.” Dila mengangkat kening. Jun terdiam. Alamak, aku main-main saja tadi.
“Err, ya ke? Aku ada cakap ke tadi?” Jun bertanya sambil tersengih.
Dila buat muka. “Aku merajuk lagi nanti.”
“Okey, okey. Aku jadi pengapit kau. Tapi, dengan syarat, jangan marah aku lagi. Okey?”
“Yalah.” Dila berkata sebelum bangun lalu mencapai tuala yang tersangkut di belakang pintu.
“Kau nak ke mana tu?” Jun bertanya.
“Mandi. Kan nak ambil baju nikah aku kejap lagi.”
Jun hanya diam.
“Menjadi jugak taktik aku untuk kau jadi pengapit aku.” Dila berkata sebelum melangkah masuk ke dalam bilik air.
Jun terdiam buat kali kedua. Wait a minute! What?! “Dilaaa!”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan