Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 18 Februari 2016

Sepupuku Jadi Isteriku - Bab 1

RIUH-RENDAH pekarangan rumah Tengku Malik dengan kehadiran saudara-mara yang datang bertandang untuk meraikan majlis pernikahan anak perempuan tunggalnya. Majlis akan berlangsung pada esok hari. Tetapi, awal-awal lagi mereka sudah berkumpul membantu apa-apa yang patut. Begitulah keadaan setiap kali majlis besar diadakan. Inilah hasil didikan keluarga sebelum ini yang mahukan hubungan persaudaraan ini kekal.
“Amboi, cantik berseri-seri bakal pengantin kita ni,” puji Aunty Salwa, adik sepupu kepada Tengku Malik.
Tengku Amanda hanya tersenyum bila Aunty Salwa memujinya. Terasa bangga pula bila dipuji begitu.
“Jangan puji Manda lebih-lebih sangat, aunty. Takut esok tak sempat nak akad nikah, punggung dia dah kembang. Nanti tak muat pula pengantin lelaki nak masuk dalam rumah ni,” sampuk Tengku Haikal. Tengku Amanda mencerlung Tengku Haikal yang baru menapak ke ruang tamu.
“Cakap biar berlapik sikit ya. Cili mulut tu baru tahu,” balas Tengku Amanda geram. Abangnya itu memang selalu sangat menyakat dirinya.
“Betullah apa yang Karl cakap ni, aunty. Jangan dipuji sangat. Bukannya cantik sangat pun. Perasan cantik aje tu,” kutuk Tengku Haikal bersama mimik muka penuh serius dan sinis.
Tengku Amanda menggigit bibir rapat. Sakit hati dia dibuatnya dengan gurauan kasar Tengku Haikal.
“Dengkilah tu sebab tak ada orang yang nakkan dia. Kalau mulut tu macam cili api, siapa pun tak nak,” balas Tengku Amanda sambil menjeling Tengku Haikal. Lidah dijelirkan tanda menyampah.
“Isy, jangan bergaduh lagi. Karl ni pun... sudah-sudahlah tu mengusik, buat adik marah. Kesian adik.” Aunty Salwa menegur. Pening kepalanya dengan kerenah dua beradik yang suka bertikam lidah.
“Karl cakap perkara yang betul. Ikutkan adat orang lama, Karl perlu minta juga hak sebab Manda langkah bendul. Kalau boleh nak semuanya serba satu.” Tengku Haikal mengenyitkan matanya, sengaja mengusik Tengku Amanda.
“Isy, orang lelaki pun ada langkah bendul ke?” Berkerut muka Tengku Amanda. Tak tahu pula dia.
Tengku Haikal galak menyambut soalan adiknya itu dengan hilaian tawa besar. Tak sangka Tengku Amanda percaya gurauannya bulat-bulat.
Mencemik Tengku Amanda. “Manda suruh cari isteri, abang tak mahu. Nak tunggu bidadari dari langit turun agaknya? Bila Manda nak kahwin, sibuk minta serba satu pulak,” dengus Tengku Amanda tidak puas hati.
“Ialah, tengah tunggu bidadari dari langit. Kut ada rezeki jatuh ke riba.” Tengku Haikal bangun dan duduk pula di sebelah Tengku Amanda yang keras di sofa kerana kedua-dua belah tangannya berinai.
Paha adiknya itu ditampar berkali-kali. Seronok mengusik, apatah lagi Tengku Amanda tak mampu membalas apa-apa yang dilakukannya.
“Nenda boleh carikan,” sampuk Nenda Fauziah sejurus mendengar perbualan cucu-cucunya.
Tengku Haikal telan air liur. Serta-merta wajahnya berubah.
Tengku Amanda yang mendengar kata-kata Nenda Fauziah ketawa gembira. Terkena abangnya kali ini dengan Nenda Fauziah.
“Cari aje, Abang Karl nak tunggu bidadari dari langit sangat.” Tengku Amanda setuju tindakan nendanya. Padan muka!
“Kalau nenda yang carikan, itu bukan bidadari dari langit. Tetapi, dijodohkan namanya.” Tengku Haikal mula tidak senang hati.
Apalagi Nenda Fauziah mahu dia lakukan? Sudah berpuluh-puluh orang perempuan yang cuba dikenalkan Nenda Fauziah, tetapi seorang pun tidak berjaya mencuri hatinya.
“Tak kisahlah, janji Karl ada yang jaga nanti.” Nenda Fauziah mengerling Tengku Amanda yang tadi tersenyum-senyum.
Senang hati melihat Tengku Amanda. Akhirnya, jodoh yang dipilihnya kekal hingga ke jinjang pelamin. Tengku Amanda tidak membantah pilihannya, cuma berhadapan dengan Tengku Haikal bermacam-macam alasannya.
“Karl nak cari pilihan sendiri. Takut tak dapat nak fokus dengan hubungan nanti.” Berani Tengku Haikal melontarkan cadangannya.
Tajam mata Nenda Fauziah menikam wajah Tengku Haikal.
“Karl tengok Manda, ada tak cacat cela hubungannya dengan Akim? Tak ada, kan? Mama dan papa Karl pun nenda yang aturkan hubungan mereka. Alhamdulillah, bahagia hingga sekarang.” Nenda Fauziah juga berkeras.
Tengku Haikal dan Aunty Salwa saling berbalas pandang. Aunty Salwa sekadar menjongketkan bahunya tanpa menghulurkan sebarang bantuan, walaupun dia perasan renungan Tengku Haikal seakan-akan meraih simpatinya. Keluarga besar daripada darah moyang mereka Tengku Mohaedin menitikberatkan pilihan pasangan. Setiap pasangan tidak dibenarkan bercinta sebelum berkahwin. Aunty Salwa atau Tengku Salwani juga tidak terlepas daripada adat keluarga temurun itu. Darjat tidak menjadi penghalang hubungan, tetapi maruah diri menjadi keutamaan dalam pilihan pasangan.
“Sekarang dah tak macam dulu, zaman dah moden.” Tengku Haikal memberikan alasannya.
“Sebab modenlah nak kena jaga. Tak mahu nanti tersalah buat pilihan. Bercinta selepas kahwin lebih baik daripada bercinta sebelum kahwin. Macam-macam kita dengar sekarang, tak kahwin lagi, tapi dah mengandung. Itu dah bebas sangat namanya... Nenda tak mahu cucu-cucu nenda macam tu,” balas Nenda Fauziah tegas. Dia akan terus jaga nama baik keturunannya.
“Karl tak macam tu, nenda. Karl tahu batas-batas dalam hubungan. Apa yang diajar oleh nenda takkan sesekali Karl lupa.” Tengku Haikal meyakinkan Nenda Fauziah.
“Syaitan sudah berjanji akan menyesatkan umat-umat di bumi ini. Maka, dia akan kotakan janjinya, walaupun Karl cuba menepis. Godaan itu akan sentiasa ada.” Nenda Fauziah sudah mula mengutarakan hal berkaitan agama.
Dia bukannya sengaja ingin mengongkong setiap gerak-geri anak cucunya. Sebagai yang lebih berusia di dalam rumah, dia ada hak untuk menyentuh soal ini demi kebaikan bersama.
Terkunci rapat mulut Tengku Haikal tidak membalas. Begitu mendalam kata-kata dimaksudkan Nenda Fauziah kali ini.
“Apa yang nenda cakapkan tu ada betulnya. Nenda buat semua ini untuk kebaikan kita juga, kan nenda?” Tengku Amanda sengaja menghangatkan hati Tengku Haikal. Kaki bodek!
Tegang wajah Tengku Haikal menjeling Tengku Amanda. Bukan sengaja menolak, tetapi tiada satu pun pilihan Nenda Fauziah menepati cita rasanya. Perasaannya kosong tatkala pandang setiap keping gambar gadis-gadis pilihan Nenda Fauziah.
“Nenda tak mahu Karl lakukan kesilapan. Semua gadis-gadis yang nenda kenalkan kepada Karl ada kelulusan dan berpelajaran tinggi,” terang Nenda Fauziah lagi.
Setiap calon yang ingin dikenalkan kepada cucunya itu telah disiasat dahulu latar belakangnya. Masing-masing layak dan sama taraf pendidikannya, hebat-hebat belaka.
Tengku Haikal diam tidak berkutik. Tidak mampu membalas kata-kata Nenda Fauziah. Dia mengaku kalah hingga tertunduk bawah. Tidak mampu membalas renungan tajam Nenda Fauziah.
“Di tangan nenda ada beberapa keping lagi gambar bakal isteri solehah dan nenda mahu Karl pilih menggunakan hati.” Sampul surat berukuran A4 diletakkan di atas meja.
Gulp! Matilah macam ni. Menyorot mata Tengku Haikal mengikut sampul surat yang diletakkan di atas meja di hadapannya.
Meleret senyuman Tengku Amanda. “Pergilah pilih calon isteri. Manda tak sabar nak kakak ipar.”
Berketap bibir Tengku Haikal. Memang sengaja Tengku Amanda hangatkan hatinya. Mentang-mentanglah dirinya dah lepas, nak kenakan orang pula. Bergerutu hati Tengku Haikal.
Tersenyum-senyum Tengku Amanda melihat riak wajah abangnya.
“Karl naik atas dulu. Kalau ada yang berkenan di hati nanti Karl maklumkan kepada nenda.” Berlalu Tengku Haikal seraya menyambar sampul surat di atas meja.
           
TERSUSUN beberapa keping gambar di atas meja sisi katil. Melihat sahaja gambar-gambar itu, dia melepaskan keluhan berat. Tersenyum kelat bila melihat gambar-gambar yang menjadi pilihan Nenda Fauziah. Semuanya gadis bertudung dan penuh dengan sopan santun.
Argh! Semuanya dah macam ustazah, bertudung litup, labuh pulak tu. Kalau bagi yang sedap dipandang, boleh juga dipilih. Tiada apa nak dipandang, kalau semuanya tertutup, rungut Tengku Haikal setelah satu per satu gambar itu ditiliknya.
Semua gambar yang dipandang tadi dihempas ke permukaan tilam pula. Tiada satu pun berjaya mencuri hatinya. Badannya direbahkan pula ke tilam. Tidak selesa baringannya, ke kiri dan ke kanan dia bergerak. Terganggu dengan kata-kata Nenda Fauziah. Risau jika Nenda Fauziah berkeras ingin menjodohkannya dengan salah seorang gadis berkenaan.
Mata dipejamkan dan ketika itu timbul di bayangan hitam akan kecantikan wajah Zulaikha, gadis yang selama ini berjaya mencuri hatinya. Keayuan Zulaikha membuatkannya terpaut hingga senyuman dan gelak tawa gadis itu mengikut ke dalam igauannya.
Mata yang terpejam dicelikkan. Wajahnya yang tadi mencuka mampu tersenyum kembali. Zulaikha, alangkah baiknya jika antara banyak-banyak gambar itu terselit satu gambar miliknya. Tengku Haikal terus menggigit bibir. Masih berkhayal memilik gadis itu.
“Berangan tuan puteri jatuh ke riba ke?”
Tersentak Tengku Haikal bila disergah sepupunya, Tengku Hakimi. Tidak sedar sejak bila Tengku Hakimi masuk ke bilik. Keluhan dilepaskan.
“Panjang keluhan tu. Ini mesti sebab nenda lagi?” teka Tengku Hakimi terus merebahkan badan ke tilam.
“Aku ni dah naik pekak dengar leteran nenda tu. Cuba kau tengok gambar-gambar tu semua, langsung bukan taste aku.” Gambar yang berselerakan di permukaan ditunjukkan dengan juihan mulut yang panjang.
Badan yang terbaring dialihkan. Meniarap Tengku Hakimi sambil menilik satu per satu gambar yang dimaksudkan.
“Okeylah ni.” Ada tawa kecil di hujung suara Tengku Hakimi.
“Macam ni, okey? Semuanya macam ustazah dan kalau boleh aku tak mahu bakal isteri macam ni,” rungut Tengku Haikal. Sekeping gambar yang ada di tangan dihempaskan bersama gambar-gambar yang sedia ada di atas tilam.
Tengku Hakimi menggeleng.
“Habis tu kau nak yang macam mana? Yang betisnya putih gebu menjadi santapan lelaki yang memandang? Yang alur bukitnya ditunjukkan kepada orang ramai, macam tu yang kau nak?” Sinis sahaja soalan Tengku Hakimi.
“Sedap mata memandang dan menyegarkan mata bila dipandang hari-hari.” Sekali lagi wajah Zulaikha terbayang di mata, tapi sayang, gadis itu sukar didekati.
“Kau tak perasan ke pilihan nenda? Kau tengok Akim, ustaz sekolah agama. Suami kakak kau Sakinah pun ustaz jugak. Semuanya jenis-jenis macam tu. Rasanya ini pun sama jugak, ustazah.” Yakin Tengku Haikal dengan telahannya.
“Kau nak macam mana? Jangan cakap kau dah tersangkut dengan si Marsha tu. Aku tengok kau sekarang bukan main lagi dengan Marsha, berkepit ke sana ke sini. Jangan sampai nenda tahu, sudahlah.”
Dua hari lepas dia lihat Tengku Haikal dan Marsha keluar makan bersama-sama. Bukan main menggedik lagi si Marsha bila bersama Tengku Haikal. Jika Nenda Fauziah tahu itulah pilihan Tengku Haikal mahu pengsan dibuatnya.
“Alah, Marsha tu sekadar suka-suka aje, tak lebihlah. Takkanlah aku nak buat bini orang yang macam tu. Setakat nak berseronok hilangkan rasa bosan, tak salah,” ujar Tengku Haikal kemudian dia ketawa.
“Kau bawa-bawalah bertaubat, Karl.” Belakang Tengku Haikal ditepuk berkali-kali. Tengku Hakimi tidak suka hubungan sepupunya dengan gadis genit itu.
“Aku dan Marsha sekadar teman tapi mesra aje. Aku tak pernah nak sentuh dia walau seinci. Aku ni masih suci tau!” Laju Tengku Haikal berkata. Jauh sangat tanggapan Tengku Hakimi.
“Dahlah hari-hari pakai baju tak cukup kain, kau tak terliur ke tengok? Fuh, kalau akulah ada kat tempat kau, memang hangus!” Peluh yang menitis diseka dengan hujung jari.
Mana ada lelaki yang kuat imannya jika terus digasak sebegitu setiap hari? Mahu tergugat juga sekali-sekala. Apatah lagi gadis manja seperti Marsha. Boleh hilang iman di dada. Seram!
“Tengok ajelah dah dia nak tunjuk. Free tu babe!” Meleret senyuman Tengku Haikal hingga ke telinga.
Terbayang pula di matanya susuk tubuh Marsha yang selalu terdedah itu. Kadang-kadang iman lelakinya itu akan tergugat juga. Jika, dia hanyut sudah lama dia berada dalam pelukan Marsha. Mujur masih ada iman di dada.
“Kau jangan main-main Karl. Jangan beri harapan tinggi sangat kat Marsha tu. Aku perasan dia dah tangkap leleh kat kau,” nasihat Tengku Hakimi.
“Aku tak ada apa-apa hubungan dengan Marsha,” tegas Tengku Haikal. Selama ini dia langsung tidak meletakkan apa-apa harapan. Marsha bukanlah wanita pilihan yang terbaik untuk dijadikan isteri.
“Kau layan dia macam bukan seorang teman, tapi macam pasangan kekasih. Dah kecoh satu pejabat kau bercinta dengan Marsha. Kau nak nafikan lagi?” Tengku Hakimi ingin perangkap Tengku Haikal dengan soalannya. Mana tahu dalam diam Tengku Haikal benar-benar ada skandal dengan Marsha.
Tengku Haikal menjuihkan bibirnya dan menjongketkan bahunya. Tak ambil pusing langsung dengan apa yang dikatakan.
“Biarlah apa yang orang nak cakap, janji tak betul!” Mukanya terus ditekup dengan bantal.
“Perkara begini mana boleh bawa main-main, Karl. Perempuan ni lain sikit perasaannya. Kita baik dengan mereka, nanti ada timbul perasaan dalam diam. Mulalah ada rasa sayang dan kasih kepada kita nanti. Aku rasa Marsha dah tangkap cinta kat kau tu.” Tengku Hakimi yakin dengan kata-katanya.
“Apa masalahnya?” Bantal yang ditekup di muka diubah ke tepi. Mukanya dikerutkan seraya mata tidak lepas merenung Tengku Hakimi.
Tengku Hakimi menepuk dahinya. Takkan tidak boleh menangkap lagi kata-kata yang dimaksudkannya? Tak berperasaankah dia?
“Kalau kau rasa kau tak dapat nak balas cinta Marsha jangan bagi harapan. Nanti ada yang merana dan terluka. Lain yang jadinya nanti babe,” pesan Tengku Hakimi.
Mengingatkan Tengku Haikal adalah satu tugasnya. Jika Tengku Haikal langsung tidak mempunyai apa-apa hubungan dan perasaan kepada Marsha, lebih baik dijauhkan mereka berdua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan