Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 29 Februari 2016

Sepupuku Jadi Isteriku - Bab 6

TALI leher dilonggarkan lalu badannya dihempaskan ke sofa panjang. Letih. Kakinya sudah berat mahu melangkah naik ke atas bilik. Dapat tidur di situ pun sudah cukup selesa.
“Kenapa tidur di sini, Karl?” Tangan Puan Fasihah menyentuh tubuh anak bujangnya, digoyangkan perlahan.
“Letih dan mengantuklah, mama. Malaslah nak masuk bilik,” rengek Tengku Haikal.
“Mandi, solat dan makan malam sekali. Lepas tu baru tidur,” bebel Puan Fasihah.
“Kejap...” rengek Tengku Haikal lagi. Badannya terlalu letih.
Telefon rumah yang berdering kuat membuatkan Tengku Haikal tersentak. Bising mulutnya mengomel, namun dia kembali terlena sebaik bunyi bising telefon diam. Suara Puan Fasihah hanya kedengaran sayup-sayup.
“Siapa?” soal Tengku Malik kepada isterinya.
“Kak long tak jadi datang sebab puterinya tu masih belum balik,” terang Puan Fasihah.
Jam pada dinding dilihatnya, memang dah lewat. Kesian pula kepada anak buahnya nanti. Penat balik kerja nak bergegas ke rumah mereka pula.
“Ialah, esok pun boleh.”
Kak long atau Tengku Zuraidah adalah satu-satunya kakak kandung Tengku Malik ada. Tengku Zuraidah pernah melarikan diri setelah cintanya kepada warga Inggeris ditentang sehebatnya oleh bonda mereka.     
Selepas Tengku Zuraidah pergi, dia terus hilang begitu sahaja. Hanya melalui khabar berita Tengku Zuraidah berkahwin dengan lelaki Inggeris itu dan mempunyai seorang puteri tunggal. Namun, jodoh mereka tidak berpanjangan kerana suaminya meninggal ketika bertugas sebagai suka rela di Somalia. Dia terbunuh ketika menyalurkan bantuan kepada umat-umat Islam di sana.
Sudah empat bulan Tengku Zuraidah pulang ke Malaysia dan baru-baru ini Tengku Malik dapat menghidu kepulangan kekandanya itu. Itu pun setelah mereka terserempak di lapangan terbang ketika menjemput puteri tunggalnya. Alhamdulillah, pertemuan itu mendekatkan kembali mereka sekeluarga dan bonda memaafkannya juga setelah bertahun-tahun rajuk dengan keputusan Tengku Zuraidah.
“Harap esok kak long datang.” Begitu mengharap sekali kak longnya datang seperti yang dijanjikan.
Boleh mereka bualkan tentang Nenda Fauziah dan kenalkan Tengku Haikal dengan anak saudara perempuannya dengan lebih dekat. Mana tahu boleh dijodohkan mereka berdua sebagai pasangan memandangkan sejak-sejak ini ada sahaja cerita tidak elok tentang Tengku Haikal.          
“Insya-Allah, abang.”
“Abang tak tahulah bagaimana reaksi bonda kalau tahu apa yang terjadi di pejabat pagi tadi.” Tengku Malik menyuarakan kebimbangannya. Sudah bernanah telinganya dengar cerita tentang anaknya itu dengan gadis yang bernama Marsha. Naik malu bila cerita pagi tadi sampai ke telinga.
“Apa lagi yang Karl buat, bang?” Lembut suara Puan Fasihah bertanya. Sempat dia menjeling sekilas Tengku Haikal yang tidur keletihan.
“Pagi tadi kecoh kat pejabat Karl bercumbu dengan Marsha. Malu abang tak tahu nak letak muka tadi.”
Bulat mata Puan Fasihah dan mulutnya ternganga mendengar cerita suaminya. Terkejut! Takkan sampai begitu sekali kelakuan Tengku Haikal, masih tidak percaya.
“Abang cukup tak berkenan dengan perempuan tu.” Tengku Malik melontarkan buah fikirannya. Melihat penampilan Marsha, Tengku Malik sudah tidak berkenan, inikan pula mahu dibuat menantu.
“Astaghfirullah al-azim... Apa dah jadi dengan Karl ni, bang? Risau pula saya. Apa kata kita jodohkan aje Karl dengan anak kak long? Saya setuju aje cadangan bonda cadangkan tadi. Rasanya anak kak long lebih tahu tatasusila seorang Muslimah, walaupun dia separuh Melayu.” Hati ibu sudah mula gelisah. Saat itu jugalah dia teringatkan anak saudara suaminya.
“Alhamdulillah, kak long dan suaminya berjaya mendidik puteri mereka menjadi anak yang baik.” Tengku Malik bangga dengan Tengku Zuraidah kerana berjaya mendidik puterinya menjadi Muslimah yang solehah.
Tengku Haikal yang terlelap seketika perlahan-lahan membuka mata. Wajah Puan Fasihah direnung.
“Papa, mama... apa yang dibincangkan ni?” Kedua-dua belah mata digosok-gosoknya. Perbualan suami isteri itu sedikit sebanyak membuatkan lenanya terganggu. Rasa seperti namanya disebut-sebut dalam perbualan itu.
“Papa dan mama ada cakap tentang Karl ke?” soalnya lagi sambil menenyeh kelopak matanya.
Puan Fasihah menganggukkan kepalanya.
“Karl buat apa dengan Marsha di pejabat tadi?” soal Puan Fasihah inginkan kepastian.
Tengku Haikal melepaskan keluhan. Dia bangkit daripada baringannya dan duduk tegak menyandar pada penyandar sofa. Mukanya diraup, kemudian nafas dilepaskan perlahan sebelum meneruskan kata-kata.
“Mama, semua tu salah faham. Karl dan Marsha tak buat apa-apa,” terang Tengku Haikal.
“Kalau tak buat, kenapa orang nak kecoh?” sampuk Tengku Malik. Marahnya di pejabat tadi masih bersisa. Tajam matanya menikam wajah anak terunanya menantikan jawapan.
“Mana Karl tahu, papa. Karl memang tak buat apa-apa dengan Marsha.” Tengku Haikal menafikannya.
“Bercumbu di dalam bilik apa cerita? Kalau tak ada angin, takkan pokok nak bergoyang?” Tengku Malik terus membalas kata, tidak puas dengan jawapan anaknya.
Berat Tengku Haikal melepaskan keluhan.
“Kami hanya berbual-bual papa. Marsha tergelincir di depan Karl dan Karl hanya sambut Marsha daripada terjatuh. Dalam masa yang sama ada staf masuk bilik. Mungkin dia terlihat kejadian tu. Karl tak buat semua tu,” terang Tengku Haikal.
“Betul?” Tengku Malik terus menikam wajah Tengku Haikal masih waswas.
“Ya, papa. Semua tu salah faham.” Tengku Haikal terus mempertahankan dirinya yang tidak bersalah.
Perkara sebenar yang berlaku antaranya dan Marsha biarlah menjadi rahsia. Takkan mahu diceritakan kepada Tengku Malik, Marsha ingin menggodanya. Memang mencari nahas.
Tengku Malik dan Puan Fasihah saling berpandangan.
“Mama dan papa harap Karl tak tipu kami.” Kendur suara Puan Fasihah.
“Papa tak mahu Karl dekati Marsha dan tak mahu dengar cerita begini lagi. Ia mengaibkan dan boleh menjatuhkan prestasi syarikat kita.” Tengku Malik memberi amaran tegas.
Tengku Haikal menganggukkan kepala. Dia tahu papanya sudah tebal muka menanggung cerita tentang dirinya sejak-sejak ini. Dia akan jernihkan kembali nama baiknya dan syarikat. Karl janji papa.

ZULAIKHA merebahkan badannya ke tilam. Kipas yang berputar ligat di siling dipandang kosong. Dilepaskan keluhan resahnya bila ingatannya kembali pada kejadian pagi tadi. Dengan dua biji matanya sendiri dia hampir melihat satu adegan pasangan kekasih itu.
“Isy, kenapalah aku boleh terlihat semua tu? Aku pulak yang rasa malu,” omel Zulaikha sendiri. Tapi, kenapa bayangan dua pasangan itu terus mengganggu dan hatinya sakit?
“Kenapa dengan anak mummy ni? Nampak macam stres aje?” Dilabuhkan punggung di sebelah Zulaikha.
“Entahlah mummy, mungkin stres kat tempat kerja.” Hari ini Zulaikha begitu penat. Apatah lagi banyak tugas yang perlu disiapkan di pejabat.
“Kerja banyak sangat ke?”
Zulaikha anggukkan kepala perlahan, mengiakan pertanyaan mummynya.
“Letih badan ni. Ikutkan hati nak berhenti kerja aje. Ika bantu mummy kat butik lagi bagus.” Zulaikha cuba memancing ibunya. Berkali-kali dia suarakan niatnya, tetapi dihalang.
“Kerja ajelah kat situ. Sabar aje dengan Tengku Haikal tu, lama-lama nanti Ika biasalah dengan dia.” Zulaikha tidak boleh berhenti kerja. Jika Zulaikha berhenti kerja di Senta Holding, ada yang akan kecewa nanti.
Zulaikha menjuihkan bibirnya, asyik-asyik Tengku Haikal. Jika Tengku Haikal lelaki baik boleh juga dia bersabar, ini tidak, asyik berkepit dan berfoya dengan Marsha. Malas nak menghadap muka Tengku Haikal setiap hari.
“Sabar, itu sahaja caranya untuk Ika dekat dengan Karl. Lama-lama nanti Ika biasalah dengan dia.”
“Dekat apanya mummy? Kami berdua banyak jurangnya. Karl dengan kehidupan bebas dia dan Ika tak suka cara dia. Ika malaslah, mummy. Boleh tak, Ika tak teruskan semua ni lagi?” Dipandang mummynya dengan pandangan raih simpati.
“Janganlah macam tu. Takkan kita nak mungkir janji. Ini demi kebaikan Karl juga. Mana tahu lepas ni dia akan berlembut dengan Ika.” Tengku Zuraidah tidak setuju dengan kemahuan Zulaikha.
Zulaikha melepaskan keluhan kecil. Dia terhimpit dengan permintaan mummynya dan perasaannya sendiri. Memang tidak dapat dibohongi lagi akan perasaannya kepada Tengku Haikal. Rasa benci itu makin membara.
“Dua bulan Ika kerja di situ macam-macam cerita tak sedap didengar tentang Karl, mummy. Rasanya Ika dah kenal sangat dengan dia.” Zulaikha terus memberikan pandangannya tentang Tengku Haikal.
“Tak boleh macam tu.” Tengku Zuraidah tidak setuju.
“Tapi kami berdua tak sebulu, mummy.” Kendur sahaja tutur Zulaikha.
 “Mummy tahu Ika masih belum kenal Karl sepenuhnya lagi. Cuba kenal-kenal dulu, lepas tu baru buat keputusan. Boleh?” pujuk Tengku Zuraidah lagi.
“Susahlah, mummy. Tadi aje Karl sengaja cari fasal dengan Ika. Kerja yang susah payah Ika siapkan semalam, dikoyakkannya dan minta Ika buat baru,” adu Zulaikha. Terbayang lagi muka Tengku Haikal yang bengis itu, mengarahnya itu ini di pejabat. Macam bagus sangat!
“Oh, itulah yang buatkan sayang mummy stres?” Jemari Zulaikha digenggam.
Perlahan Zulaikha menganggukkan kepalanya. Sebenarnya dia sudah cukup letih untuk terus berada di Senta Holdings mengadap Tengku Haikal setiap hari. Kehadirannya seolah-olah tidak diperlukan.
“Ika anggap aje apa yang bakal Ika lakukan ini adalah satu ibadah mulia. Sudahlah, nanti Ika akan tahu juga kenapa mummy minta Ika lakukan semua ni. Tidurlah, esok nak kerja.” Satu kucupan hinggap di dahi Zulaikha.
Zulaikha anggukkan kepalanya. Jemari Tengku Zuraidah dikucupnya sebelum matanya dipejamkan. Dipusingkan pula badannya ke kiri. Fikirannya kembali terganggu. Rasa sakit hatinya kepada Tengku Haikal langsung tidak terpadam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan