Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 26 Februari 2016

Per: Jawatan Isteri - Bab 4

PERJALANAN ke tempat kerja sunyi sedikit hari ini. Adelia tidak berani bersuara. Nak tengok muka Encik Amri yang sedang memandu pun dia takut. Semua kerana dia yang menyebabkan ayahnya terlewat keluar rumah pagi ini. Kerana itu, sebaik saja sampai di hadapan pejabatnya, Adelia laju menyalami tangan Encik Amri dan bergegas turun. Dia menarik nafas lega apabila kereta ayahnya berlalu pergi.
Alhamdulillah, lega! Hati berbisik sambil kaki diayun bergerak menuju ke lif. Bagaimanapun, ketika baru melangkah beberapa tapak dia berasa gatal sangat di tepi buku lali kaki kanannya. Dia berhenti dan angkat sedikit kaki itu dengan niat hendak menggaru. Tak tahan kut!
Waktu itu badan memang sudah tidak stabil. Dah mula bergoyang-goyang, tapi sedap menggaru punya pasal, dia tak peduli. Garu lagi!
Tiba-tiba sahaja ada objek keras melanggar tubuhnya. Sudahlah keadaannya memang tidak seimbang, dilanggar pula. Hmm, apa lagi? Jatuhlah Adelia macam buah nangka busuk jatuh dari pokoknya. Gedebuk!
“Adoi. Sakitlah, mangkuk! Buta ke? Tak cukup lagi Allah bagi dua biji mata tu?” Adelia yang kesakitan menjerit.
Err, sorry. I’m sooo sorry!” Lelaki yang melanggar Adelia memohon maaf.
“Kalau saya ni kenit, bolehlah kata tak nampak. Ini badan sikit punya comel pun awak main langgar aje!” Adelia sambung marah.
Lelaki itu tersenyum. “I tahu I salah. Maafkan I?”
“Macam mana awak boleh langgar saya? Ruang lobi ni bukannya kecil. Awak duk main game ke?”
Masih belum surut kemarahan gadis itu nampaknya, namun lelaki itu sedikit pun tidak terasa hati. Malah, boleh mengangguk, mengiakan yang dia main game di telefon pintarnya.
“Patutlah!”
“Sakit sangat ke punggung you tu?” soal lelaki itu penuh prihatin kerana dilihat sedari tadi gadis itu asyik menggosok di bahagian pinggulnya.
“Mestilah sakit. Gaya laju awak tadi tu, steamroller pun boleh terbalik, tau!”
“Nasib baik you bukan steamroller.
Bulat mata gadis itu merenungnya. Dia balas. Seronok juga dapat berbalas pandang begini. Anak mata berwarna coklat muda itu ditatap tajam, namun cepat benar gadis itu menjatuhkan pandangan. Melihat pipi yang berisi itu merona merah, dia tersenyum. Pandai malu juga gadis itu rupanya.
Tiba-tiba lelaki itu seperti mahu meninggalkannya. Adelia jadi cemas. Namun, rasa cemas itu hilang setelah melihat apa yang dilakukan. Rupa-rupanya lelaki itu hendak mengutip barang-barang milik mereka yang masih bersepahan di atas lantai.
“Err... awak?” Adelia panggil.
Lelaki itu menoleh kepadanya, menyebabkan Adelia jadi lupa apa yang mahu dikatakan. Saat itu hilang semua rasa marah dan lenyap rasa nak mengamuk. Dia sedang terpegun dek senyuman yang menguntum pada bibir lelaki itu.
“Sekejap ya. I nak kutip barang-barang kita yang bersepah ni.”
Aduh, makin bergegar degup jantung apabila dia mendengar intonasi lembut suara garau itu! Ada lagi rupanya lelaki pakej lengkap sebegini. Hati Adelia sempat mengomel. Terasa diri bertuah sangat pagi ini. Terasa bagaikan Allah sedang beri rezeki tergolek depan mata.
Dapat melihat satu kesempurnaan dan dia tahu, peluang yang tidak pernah disangka-sangka ini tidak mungkin datang selalu kepadanya.
Jadi, marah dan semua rasa yang membengkak, dia simpan jauh-jauh. Buat masa ini yang dia akan buat ialah jamu mata. Bukan selalu pun dia begini. Rasanya baru sekali ini dalam seumur hidupnya.
Kini lelaki itu sudah pun duduk di sebelah sambil meletakkan fail dan beg Adelia di hadapan gadis itu. “Yang ni semua you punya.”
“Terima kasih.” Adelia senyum meleret menyambut semua milik dia yang dihulurkan.
Sambil memeluk kemas beg sandangnya, sepasang mata melirik si dia yang tampan. Tampan dan kacak edisi Adelia bukanlah lelaki berkot atau bertuksedo kategori CEO syarikat. Baginya cukuplah kalau lelaki itu versi lelaki di sebelahnya ini. Yang berpakaian sangat ringkas. Seluar panjang dengan kemeja lengan pendek melekap pada badan.
“You dah okey, kan?”
Adelia segera tunakkan pandangan ke wajah lelaki itu. Dia angguk.
All right! Lega I.” Lelaki itu masih lagi tersenyum.
Alahai, manis sungguh! Hati Adelia berbisik. Begitu pun, dia terasa ingin mengusik.
“Dah tua-tua pun awak duk main game lagi? Tu, tadi awak langgar saya. Cuba kalau awak jalan tak tengok bawah, tahu-tahu dah jatuh dalam longkang. Boleh bayangkan tak?” tanya dia sambil angkat-angkat kening.
Lelaki itu ketawa. “Memang jenuhlah. Dahlah sakit lepas tu mesti bau busuk pulak kena air longkang. Fuh, mujur I langgar you aje tadi, kan? Apa pun, I betul-betul tak sengaja. Sumpah!”
“Tak apa, tak payahlah nak bersumpah bagai. Saya dah tak marah. Jangan risau.” Adelia cuba meyakinkan dengan kepala yang tergeleng laju.
Nampak wajah kelegaan lelaki itu. Dia tersenyum lagi sambil ucapkan, “Terima kasih.”
“Sama-sama,” sahut Adelia. “Err, saya pun nak minta maaf.”
“Kenapa?”
“Sebab saya marah awak masa mula-mula tadi.”
Lelaki itu ketawa. “Tulah. Garang betul you tadi. Takut I!”
Adelia menjadi pemerhati setia. Pertama kali jumpa dan lelaki ini amat mesra. Murah senyum dan mudah ketawa.
“Awak,” panggilnya.
“Ya.”
“Sudi jadi kawan saya?”
Kini lelaki itu tunduk dan bertinggung betul-betul di hadapan Adelia. Sambil tersenyum, tangan dihulur. “Mari I tolong you bangun. Lepas tu baru I jawab soalan you.”
Adelia tarik nafas panjang. Dia tunduk melihat diri sendiri. Serta-merta dia mengeluh. Tiba-tiba dia marahkan mulut yang gatal nak berkawan. Nampak benar yang dia tak sedar diri.
“Kenapa tu? Ingat I tak larat nak angkat you ke?”
Adelia angkat muka. Pipi merona dan dada semakin berdebar setelah menyedari yang lelaki itu masih lagi memandangnya. Tajam. Lama. Menanti jawapan yang bagai tersekat di kerongkong.
“Mari!” Lelaki itu menghulurkan tangannya sekali lagi.
Macamlah dia larat benar nak angkat aku? Dia tak tahu ke, kalau dia silap langkah, entah-entah dia pula yang jatuh nanti. Tapi, kalau dia jatuh atas badan aku ni, best jugak, kan? Penyakit gatal tiba-tiba menyerang. Buat Adelia tersenyum sorang-sorang.
“You...” Lelaki itu sudah mengerutkan dahinya. Tangan tetap dihulur.
Adelia jadi serba salah. Nak sambut ke tidak tangan tu? Selepas duk fikir banyak kali, Adelia menggeleng. Segan pula dia. Jadi, dia gawangkan tangan tanda tak mahu dibantu. “Tak apa! Nanti saya bangun sendiri.”
“Betul ke boleh bangun sendiri?”
Adelia angkat muka. Sejenak, pandangan mata bertaut lagi. Menghadir rasa yang menyebabkan hati jadi gementar. Sesuatu yang lain daripada kebiasaan. Selalu, dia tak seramah ini, jauh sekali untuk bersikap mesra. Tetapi, hari ini Adelia begitu mudah berbual padahal baru pertama kali dia temui lelaki ini. Mungkinkah kerana senyuman lelaki ini yang nampak ikhlas dan tak sinis langsung?
You are so adorable, you know! So cute!”
Eh, biar betul dia ni? Adorable? Cute? Aku? Adelia mengomel dalam hati.
“You, kalau I ada banyak masa tentu I akan tunggu you bangun.”
Bulat mata Adelia. Alah, dia nak tinggalkan aku ke?
“I teringin nak belanja you minum sebagai tanda I minta maaf.”
Ayat itu benar-benar mengujakan. Bagai tersirat maksud yang lelaki ini ingin bertemu dia lagi. Tapi, dia kenalah jual mahal dulu. “Eh, tak payahlah, awak.”
“Jangan cakap macam tu. I rasa bersalah sangat ni.”
Pada ketika itu Adelia terdengar bunyi hon kereta dan dia melihat lelaki kacak itu mengangkat tangan, memberi isyarat menyuruh pemandu kereta itu untuk menunggunya. Tiba-tiba Adelia dihujani rasa terharu kerana lelaki ini mahu lebih masa untuk berbual dengannya.
“I ada hal penting sekarang. Kawan I dah tunggu dalam kereta. I kena pergi. Maafkan I, Cik...”
“Adel. Adelia binti Amri.” Nama diberikan dengan harapan si dia akan ingat sampai bila-bila.
Lelaki muda itu tersenyum lalu mengangguk. “I, Fahad. Selamat berkenalan, Adel.”
“Selamat berkenalan. Eh, awak kerja kat sini ke?”
Fahad angguk. “I kerja juruteknik kat tingkat lima. Sekarang I nak pergi site.
Bunyi hon kedengaran semula. Potong betullah!
“Seronok dapat jumpa you, Adel. Nanti I cari you lagi. I pergi dulu.”
Walaupun masa itu Adelia masih lagi terduduk di atas lantai, dia tidak peduli. Badannya dipusing untuk melihat Fahad. Tegapnya dia. Maconya gaya. Sado pula tu. Aku suka, aku suka! Hati menjerit penuh riang.
Tiba-tiba Fahad berhenti melangkah dan berpaling semula ke arahnya. Adelia terpinga-pinga. Tak mengerti dengan reaksi lelaki itu.
“You! I sudi jadi kawan you.”
Adelia pamer senyum paling manis. Seronok tidak terkata. Bahagia tidak terucap. Dia semakin suka kerana sebaik sahaja Fahad masuk ke dalam kereta kawannya, lelaki itu memandang dia semula. Sambil tersenyum pula tu!
Yang paling Adelia tak sangka, Fahad lambai tangan kepada dia. Siap cakap, “Jumpa lagi, ya!”
Adelia memerhati kereta meluncur laju meninggalkan dirinya di situ. Tak lama selepas itu dahinya mula berkerut. Berbagai-bagai perkara bergema dalam otaknya. Macam mana dia nak cari aku? Dia tak tanya pun aku kerja apa. Pejabat kat mana. Tingkat berapa. Ke, dia saja maniskan mulut? Yalah, siapa nak kawan dengan aku? Bukannya lawa pun.

SAMBIL memandu, Remy sempat juga mengerling Fahad yang baru masuk. Diam dan raut muka tampak serius. Dia hairan. Tadi dia melihat Fahad bukan main senyum kepada seseorang di ruang lobi. Kenapa berubah tiba-tiba?
“Dia ingat aku nak sangat kawan dengan dia. Aku berlakon ajelah!”
Dahi Remy berkerut. “Kau tengah bercakap tentang siapa, Han?”
“Perempuan gemuk di lobi tulah.”
“Kenapa dengan dia?”
“Aku nak ajar dia supaya dia tak senang-senang nak kutuk aku. Supaya dia jaga mulut dia. Jangan dia ingat diri dia tu suci dan aku ni... kaki botol yang tak ada harga diri.”
“Marahnya kau?” Remy masih beriak keliru.
Fahad tarik nafas panjang. Dia menoleh, merenung wajah Remy dalam-dalam. “Misi aku mulai hari ini ialah nak buat dia jatuh cinta kepada aku. Lepas tu aku nak buang dia macam aku buang perempuan-perempuan lain daripada hidup aku.”
“Aku tak setuju dengan apa yang kau buat ni, Han. Tak baik!” Remy berasa kasihan kepada perempuan itu.
“Dia dah jatuhkan maruah aku. Dah hina aku. Takkan kau nak suruh aku biarkan aje dia? Mana boleh!” Dan Fahad pun bercerita tentang apa yang pernah Adelia katakan kepadanya, yang dicuri dengar.
“Jadi, kau nak balas dendamlah ni?” tanya Remy.
Fahad angguk. “Dia ni kacang aje. Dalam seminggu, cairlah tu.”
Remy gelak. “Entah-entah kau yang cair tak?”
“Aku? Cair dengan dia tu? Jangan nak buat aku gelak boleh tak, Remy?”
“Tak baik mainkan hati orang, Han. Dia nampak baik. Lagipun dia bukan taste kau. Jadi, tak payahlah nak teruskan niat kau tu.” Nasihat diberi tanpa dipinta. Meluah kerisauan yang menjenguk rasa.
Fahad senyum sinis. Biarkan saja? Adelia? Tak pasal! Egonya sudah digugat dan dia tak akan berasa puas selagi hati Adelia tidak dilukakan! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan