Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 5 April 2016

Suamiku Encik Gula - Bab 2

Tajuk: Suamiku Encik Gula
Penulis: Hanny Esandra
ISBN: 978-967-365-264-8
Harga: RM24.00 / RM27.00

ELENA mundar-mandir di luar kawasan rumah banglo milik Zulfah Insyirah. Mulutnya tak berhenti membebel semenjak dia mula sampai di depan pintu pagar rumah banglo yang tersergam indah itu.
Elena masih berusaha menelefon Zulfah Insyirah, tetapi tetap tiada jawapan. Dia menghampiri pengawal yang berada di pondok bahagian tepi rumah Zulfah Insyirah.
“Abang Syam, tolonglah saya kejutkan Cik Zufa,” rayu Elena. Wajahnya betul-betul gusar.
“Bukan abang tak nak kejutkan. Cik Elena sendiri tahu kan, abang dengan semua pekerja kat rumah ni tak dibenarkan ganggu Cik Zufa sebelum pukul 9.00 pagi,” balas Hafsyam. Pengawal keselamatan banglo tersebut.
“Cik Zufa kena ke KLIA hari ni. Tiket dia untuk ke Jakarta pukul 11.00 pagi ni. Kalau dia lambat bangun, takut terlepas flight.” Elena cuba fahamkan keadaan.
Hafsyam berfikir sejenak. Kasihan pula dia melihat Elena yang cuak sedari tadi. Dia sememangnya tak berani untuk pandai-pandai buat keputusan. Memang itu peraturan yang Zulfah Insyirah tetapkan. Jangan ganggu lenanya sehingga jam 9.00 pagi. Kalau tak nahaslah Hafsyam bila Zulfah Insyirah berubah jadi harimau jadi-jadian.
“Kalau macam tu, apa kata Cik Elena masuk dan kejutkan sendiri Cik Zufa di biliknya?” saran Hafsyam. Dia sudah menekan punat untuk membuka pintu pagar.
Elena tercekik liur sendiri. Sesungguhnya dia juga gerun dengan cadangan Hafsyam, tetapi dia kuatkan hati untuk ketuk juga pintu bilik tidur Zulfah Insyirah. Kalau terlambat, dia juga yang akan kena marah. Ini semua untuk kebaikan bosnya juga.
“Okeylah.” Elena melangkah masuk.
Terus sahaja dia menuju ke bilik tidur utama. Tanpa berlengah dia mengetuk sekuat hati pintu bilik Zulfah Insyirah sehingga naik pedih kekura jari-jemarinya.
“Assalamualaikum, Cik Zufa. Oh, Cik Zufa!” laung Elena dari luar bilik. Bila tidak ada respons, Elena kuatkan lagi ketukannya sambil dia menjerit memanggil Zulfah Insyirah.
Hampir lima minit juga dia berusaha untuk kejutkan Zulfah Insyirah. Sempat dia mengutuk wanita itu dalam hatinya. Baru dia mahu menjerit lagi, pintu bilik terkuak kasar. Rasa nak tercabut jantung Elena bila Zulfah Insyirah membuka daun pintu. Wajahnya masam kelat merenung tajam wajah Elena.
“Maaf mengganggu Cik Zufa. I cuma nak ingatkan Cik Zufa yang kita nak ke Jakarta hari ni.” Lembut dan lunak suara Elena mengingatkan Zulfah Insyirah. Moga-moga sejuklah hati wanita itu.
Terus wajah Zulfah Insyirah berubah. Dia tarik pergelangan tangan kiri Elena dan melihat jam di tangan gadis itu. Hampir pukul 9.00 pagi.
Oh my! Elena call pemandu I. Suruh dia masukkan beg-beg I dalam bonet kereta.” Zulfah Insyirah bergegas mencapai tuala dan masuk ke dalam bilik mandi.
Elena juga tidak buang masa. Dia terus sahaja menghubungi pemandu peribadi Zulfah Insyirah yang sudah bersedia di tingkat bawah.

TERKOCOH-KOCOH dua gadis itu menuju ke bahagian pemeriksaan. Nasib baik mereka sempat tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA). Mereka harus terkejar-kejar untuk ke bahagian pemeriksaan pula.
Dalam kelam-kabut itu, Zulfah Insyirah terlanggar bagasi seseorang. Dia jatuh tersembam ke lantai. Terasa sengal lututnya.
“Ya Allah. Miss? Miss, are you okay?” Satu tangan kekar mengangkat tubuh Zulfah Insyirah untuk berdiri semula.
Wajah Zulfah Insyirah ternyata kemerahan menahan marah. Dia bersihkan skirt pendeknya dan mengibas lutut yang terasa sengal itu.
Elena juga turut membantu Zulfah Insyirah. Matanya mencerlung memandang seorang pemuda dengan pakaian seragam seorang pramugara. Dia hampir sahaja mahu menjerit marahkan lelaki itu, tetapi terbantut pula bila melihat wajah kacak lelaki di hadapannya.
Miss, are you okay? Are you Malaysian, miss?” soal Akeel Firdaus.
Yes. Ah, its okay. Its my fault. Im in a hurry,” jawab Zulfah Insyirah sambil tersenyum manis. Dia betulkan rambut yang agak kusut. Mentang-mentang rambutnya berwarna perang, boleh pula lelaki itu bertanya dia dari Malaysia ataupun bukan.
“Oh, kalau cik berdua okey, saya pergi dulu ya.” Akeel Firdaus tersenyum manis memandang Zulfah Insyirah dan Elena silih berganti. Kemudian dia terus pergi. Nampaknya agak tergesa-gesa juga.
“Elena, I rasa dah jatuh cinta,” ucap Zulfah Insyirah lemah.
Elena seperti mahu pitam. Cepat sungguh Zulfah Insyirah jatuh cinta. Sudahlah mereka dalam keadaan tergesa-gesa. Boleh pula Zulfah Insyirah berangan di situ.
“Cik, kita kena cepat ni, cik. Takut terlepas flight pulak.” Elena mengingatkan.
Baru Zulfah Insyirah tersedar akan kelewatan mereka. Cepat-cepat pula mereka menarik bagasi dan menuju ke bahagian pemeriksaan.

DI dalam kapal terbang kelas business, Zulfah Insyirah tidak habis-habis tersenyum. Mula berangan yang bukan-bukan.
Elena sedar akan hal itu, tetapi dia malas mahu ambil tahu. Nanti pasti Zulfah Insyirah akan bercerita juga kepadanya seperti selalu-selalu bila dia mula jatuh cinta.
Zulfah Insyirah menoleh ke sisi. Elena sedang khusyuk memandang ke luar tingkap. Dia masih lagi tersenyum-senyum terbayangkan lelaki tadi. Baru mahu pejamkan mata, Zulfah Insyirah celik semula. Besar dan bersinar matanya apabila terpandangkan satu susuk tubuh yang berlanggar dengannya tadi.
Teruja sungguh Zulfah Insyirah sehingga dia menepuk paha Elena berkali-kali. Terkejut Elena dibuatnya. Matanya baru mahu lena, tetapi terbantut dek tepukan tangan Zulfah Insyirah di pahanya. Dia toleh ke sisi.
“Elena, tengok tu.” Zulfah Insyirah menunjuk ke satu arah.
“Apa dia, Cik Zufa? Tengok apa?” soal Elena sambil tertinjau-tinjau.
“Tu, takkan you tak nampak?” Zulfah Insyirah mula kerutkan dahi.
Elena menggeleng perlahan. Jujur dia memang tidak nampak apa yang buatkan Zulfah Insyirah teruja.
“Itulah. Pramugara tu. Tak sangka satu flight dengan kita,” ujar Zulfah Insyirah. Dia menggosok-gosok kedua-dua belah tapak tangan.
Elena tidak lepaskan peluang memandang seorang lelaki tinggi lampai yang lengkap berpakaian seragam. Senyuman lelaki itu tidak pernah lekang dari bibirnya. Elena juga turut tersenyum bila melihat gelagat angau Zulfah Insyirah.
Dengan pramugara pun Zulfah Insyirah boleh tangkap cintan. Lainlah kalau pemandu kapal terbang ini. Benarlah kata pepatah, cinta tidak kenal siapa. Elena menggeleng kepala perlahan.
“I nak pergi tandas.” Zulfah Insyirah sudah bangun dan yakin sahaja dia melangkah menuju ke tandas yang disediakan.
“Cik Zufa?” Tak sempat Elena mahu menghalang. Bosnya itu sudah bergerak menjauhi tempat duduk mereka.
Elena jadi malu pula. Zulfah Insyirah memang nekad kalau dia mahukan sesuatu. Elena buat-buat baca majalah sambil sebelah mata memandang gelagat Zulfah Insyirah yang sedang cuba untuk berbual dengan lelaki tadi.

“HAI.” Zulfah Insyirah melambaikan tangan sambil tersenyum manis.
“Ya, cik?” Akeel Firdaus masih tersenyum dan tidak mengesyaki apa-apa.
“You tak ingat I? Tak cam?” Dengan tak malunya Zulfah Insyirah sua-suakan wajahnya dengan harapan Akeel Firdaus akan cam dengan wajah cantiknya itu.
“Maaf cik, tak perasan.” Akeel Firdaus jawab jujur.
Beberapa orang pramugara dan pramugari sudah mula saling berpandangan dan tersenyum penuh makna. Situasi yang biasa mereka lihat apabila Akeel Firdaus bertugas. Ada sahaja bunga yang mahu dekat-dekat dengan kumbang yang seekor ini.
“You tak ingat kita berlanggar tadi? I yang jatuh...” Zulfah Insyirah buat aksi mahu jatuh dan usap-usap lututnya.
Akeel Firdaus tersenyum simpul. Ya. Baru dia teringat. Gadis ini yang dia rempuh sehingga jatuh tersungkur.
“Oh, okey. I dah ingat. You tak apa-apa cik?” soal Akeel Firdaus sekadar berbasa-basi. Bukan dia tidak nampak gadis di depannya ini nampak sihat dan segar sahaja. Tidak pula tercedera di mana-mana.
By th way, I Zulfah. Just call me Zufa.” Zulfah Insyirah menghulur tangan tanda mahu berjabat salam.
“Akeel. Akeel Firdaus.” Akeel Firdaus sambut juga tangan gadis yang tersenyum lebar ini.
Nice name,” puji Zulfah Insyirah sambil tangannya mula memintal hujung rambut sendiri.
Err... thanks. If you dont mind... I hantar you ke tempat duduk. Kita dah nak mulakan penerbangan. Sila.” Akeel Firdaus minta Zulfah Insyirah berjalan dahulu.
Tergedik-gedik Zulfah Insyirah berjalan ke tempat duduknya apabila ditemani Akeel Firdaus. Dia tersenyum lebar memandang Elena yang sudah terkulat-kulat.
“Okey, Zufa. Sila pakai tali pinggang keselamatan. Kita akan mulakan penerbangan,” ucap Akeel Firdaus sambil senyum sepanjang masa.
Kemudian Akeel Firdaus dan beberapa pramugara dan pramugari yang lain mula menjalankan tugas mereka dalam memberi penerangan sebelum kapal terbang berlepas. Zulfah Insyirah masih lagi leka memandang Akeel Firdaus yang sedang bertugas.
Elena hanya tersenyum kelat. Nasib baiklah mereka hanya ke Jakarta, tidak makan masa yang lama. Kalau tidak, makin menjadi-jadilah angau Zulfah Insyirah.
Kemudian, kapal terbang mula berlepas membelah awan dan langit yang membiru. Zulfah Insyirah pula seperti panas punggung duduk di kerusinya lama-lama. Kalau boleh setiap saat dia mahu lihat wajah kacak Akeel Firdaus.
Excuse me.” Zulfah Insyirah menggamit seorang pramugari yang kebetulan lalu di kawasannya.
“Ya, cik?” soal pramugari tersebut.
“I haus,” ucap Zulfah Insyirah sambil mengurut tekaknya.
“Okey, cik. Cik nak jus atau air suam?” soal pramugari tersebut. Masih melayan Zulfah Insyirah walaupun wajahnya kelat semacam.
“Jus oren, tapi I nak Akeel Firdaus yang hantar,” balas Zulfah Insyirah sambil beri jelingan sedas kepada pramugari yang memakai tanda nama Qistina itu.
“Okey, cik.” Qistina berlalu pergi dengan senyuman masih manis di bibir.
Elena yang melihat dan mendengar jadi serba salah. Dia pandang wajah Qistina sambil balas senyum gadis itu. Zulfah Insyirah sudah diam sambil membaca majalah.
Tidak lama kemudian, Akeel Firdaus menghampiri Zulfah Insyirah sambil membawakan jus oren kepada wanita itu.
Elena hanya memerhati. Dia tahu Akeel Firdaus seperti terpaksa melayan kerenah bos di sebelahnya.
Excuse me, miss,” tegur Akeel Firdaus.
Zulfah Insyirah menoleh dan tersenyum manis bila melihat wajah Akeel Firdaus yang terpacul. Secara automatik badannya meliuk lentok menggoda lelaki itu.
Elena yang melihat juga jadi loya tekaknya. Bukan dia tak biasa lihat kalau Zulfah Insyirah punya sikap bila sudah terpaut kepada seseorang, tapi dengan lelaki ini dia tidak terkata pula.
Thanks, Akeel. By the way, this is my card.” Zulfah Insyirah menyentuh lembut tapak tangan Akeel Firdaus sambil meletakkan kad namanya. Di berharap Akeel Firdaus akan menghubunginya nanti.
Akeel Firdaus agak terpinga-pinga juga dengan tindakan Zulfah Insyirah, tetapi dia ambillah juga kad nama yang diberikan kepadanya kemudian senyum dan berlalu pergi.
Zulfah Insyirah masih tersengih sendirian sambil memegang jus oren. Dia kemudiannya memandang Elena di sebelah.
Cepat-cepat Elena tersenyum. Risau kalau dia buat muka yang bukan-bukan pula.
“Nah, untuk you. I bukan nak sangat pun. I cuma nak bagi kad nama I pada Akeel.” Zulfah Insyirah mengenyitkan mata. Dia serahkan jus oren tersebut kepada Elena.
Elena hanya ambil tanpa banyak meningkah. Tersipu-sipu sambil mengerling wajah Zulfah Insyirah di sebelah. Yang untung dia juga, dapat minuman percuma.
Selepas beberapa jam, mereka mendarat di bumi Indonesia. Zulfah Insyirah sempat melambai dan melemparkan senyuman gatalnya kepada Akeel Firdaus sebelum turun dari kapal terbang.
Elena pula hanya tersenyum geli hati melihat wajah Akeel Firdaus yang kelihatan serba salah membalas lambaian Zulfah Insyirah. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan