Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 5 April 2016

Suamiku Encik Gula - Bab 3

Tajuk: Suamiku Encik Gula
Penulis: Hanny Esandra
ISBN: 978-967-365-264-8
Harga: RM24.00 / RM27.00

AFEEF ZAKWAN masuk ke bangunan sebuah bank. Mahu berurusan dengan pihak bank tentang simpanannya. Butang pada mesin ditekan dan sekeping kertas kecil keluar dari mesin tersebut. Nombor gilirannya masih jauh lagi. Dia mengeluh perlahan.
Afeef Zakwan memandang sekeliling, memang ramai orang waktu-waktu begini. Terpaksalah dia tunggu juga. Hari ini sahaja dia ada masa untuk lakukan semua urusan penting memandangkan dia bercuti hari ini.
Tidak berapa lama kemudian, masuk seorang lagi pelanggan ke dalam bank tersebut. Wangian yang menusuk hidung membuatkan Afeef Zakwan menoleh ke kanan. Seorang wanita berpakaian elegan masuk dan ingin berurusan dengan pihak bank. Terus sahaja dia bertanya kepada salah seorang pekerja yang duduk di bahagian kaunter.
Kaca mata berjenama Dior dibuka dan diletak kasar di atas meja. Daripada gaya percakapan wanita itu Afeef Zakwan boleh agak wanita itu tidak mahu menunggu dan mahu urusannya selesai secepat mungkin.
Pekerja di kaunter tetap juga meminta wanita itu mengambil nombor giliran dan tidak adil kalau dia didahulukan. Kasihan kepada pelanggan yang lain menunggu begitu lama.
Zulfah Insyirah terasa dirinya diperhatikan. Dia menoleh ke kiri. Memandang tepat ke wajah Afeef Zakwan yang terkulat-kulat memandang ke arah lain. Dia menjeling tajam ke arah lelaki itu.
Akhirnya Zulfah Insyirah akur dan menekan nombor gilirannya di sebuah mesin. Tempat duduk semuanya penuh kecuali di sebelah pemuda yang memandangnya tadi. Tanpa berfikir panjang, Zulfah Insyirah duduk di sebelah Afeef Zakwan. Dia berpeluk tubuh dan menyilangkan kakinya.
Afeef Zakwan hanya mampu telan liur melihat paha gebu Zulfah Insyirah yang terdedah itu. Hidungnya juga perit bila wangian wanita itu menusuk-nusuk ke rongga hidung. Sehingga terbatuk-batuk kecil Afeef Zakwan dibuatnya.
Zulfah Insyirah memandang lelaki di sebelahnya yang menoleh ke arahnya.
“Apa?” soal Zulfah Insyirah kasar.
“Bau minyak wangi cik ni kuat sangat,” tegur Afeef Zakwan sambil tersenyum manis.
“Habis tu? Takkan I nak bau busuk macam you? Bau peluh jantan. Eee!” Zulfah Insyirah menjeling.
Dia letak kasar beg tangan di sebelah Afeef Zakwan. Biar ada pemisah di antara mereka. Kemudian Zulfah Insyirah berpeluk tubuh menunggu gilirannya.
Afeef Zakwan hadam betul-betul kata-kata Zulfah Insyirah. Busuk? Aku tak bau apa-apa pun. Baru aje lepas mandi tadi, takkan bau busuk? Hidung apa perempuan ni? kata Afeef Zakwan dalam hati. Dia curi-curi bau badan dan ketiaknya. Memang sah hidung Zulfah Insyirah yang tak betul. Dia menggeleng perlahan.
Kemudian Afeef Zakwan melihat lagi Zulfah Insyirah yang kebosanan. Berkali-kali mengeluh sambil melihat nombor giliran di tangan. Leka Afeef Zakwan melihat kulit mulus pada wajah Zulfah Insyirah. Cantik. Pasti dia selalu menjaga dan merawat kulit wajahnya.
“Kenapa you ni pandang-pandang I? Gila seks ke?” soal Zulfah Insyirah sambil menjauhkan sedikit dirinya daripada Afeef Zakwan.
Afeef Zakwan jadi malu pula. Dia beristighfar dalam hati. Tak terlintas dalam fikirannya untuk jadi lelaki gila seks pula. Betullah! Matanya ini memang tak makan saman. Asyik merenung wanita cantik di sebelahnya.
Orang yang berada berdekatan dengan mereka mula curi-curi pandang ke arah Afeef Zakwan. Naik malu pula dia rasa. Seumur hidupnya belum pernah dia kena marah terang-terangan dengan perempuan.
“Maaf, cik,” ucap Afeef Zakwan perlahan.
“Sekali lagi you pandang-pandang I macam tu, I jerit sampai satu bangunan ni boleh dengar. Try me.” Zulfah Insyirah mengangguk dengan gaya seperti beri amaran keras kepada Afeef Zakwan.
Afeef Zakwan menahan ketawa daripada meletus sepenuhnya. Dia menekup mulut dan memandang ke depan. Terasa lucu pula wanita perasan di sebelahnya ini. Dia pandang bukan dengan niat tak baik. Dia cuma memuji keindahan ciptaan milik Allah SWT. Takkan itu pun salah?
Zulfah Insyirah mendengus kasar. Kalau bukan sebab dia sendiri kena berurusan dengan pihak bank, tak mungkin dia mahu membuang masa di sini.
Afeef Zakwan masih lagi tidak serik. Dia curi-curi pandang pula kepingan kertas kecil di tangan Zulfah Insyirah. Kali ini dia lebih berhati-hati. Nombor giliran Zulfah Insyirah hanya selepas nombor gilirannya, tetapi nampaknya Zulfah Insyirah terdesak mahu cepat.
Afeef Zakwan memandang nombor giliran yang tertera di depan kaunter. Hanya satu lagi akan sampai ke nombor gilirannya. Dia menoleh ke arah Zulfah Insyirah.
“Cik,” tegur Afeef Zakwan perlahan dan berhati-hati. Kalau wanita ini menjerit tentu pengawal akan menghalaunya.
Zulfah Insyirah menoleh. Masam sahaja wajahnya.
“Cik ambiklah nombor giliran saya ni. Lepas ni nombor saya. Cik nampak macam nak cepat gayanya tu.” Afeef Zakwan cuba membantu.
Zulfah Insyirah melihat nombor giliran di tangan Afeef Zakwan. Kemudian dia terus sahaja merampas dan beri nombor gilirannya kepada Afeef Zakwan. Serentak dengan itu, nombor yang sepatutnya giliran Afeef Zakwan dipanggil. Buru-buru Zulfah Insyirah ke kaunter untuk berurusan.
Afeef Zakwan hanya mampu menggeleng kepala sahaja dengan perangai wanita yang tidak diketahui nama itu. Tetapi, wajah itu seakan-akan pernah dia lihat. Cuma tidak cam di mana mereka pernah berjumpa. Sudahlah tidak berterima kasih, Zulfah Insyirah pergi begitu sahaja selepas urusannya selesai.
Kemudian nombor giliran yang sepatutnya untuk Zulfah Insyirah dipanggil. Afeef Zakwan bersedia untuk ke bahagian kaunter, tetapi matanya tertancap ke satu objek terselit di celah kerusi. Segera Afeef Zakwan mengambil. Beg duit berwarna merah jambu itu dibuka dan dia terus lihat di bahagian kad. Ada lesen memandu.
Memang sah wanita sombong itu yang punya. Dia perasan Zulfah Insyirah ada keluarkan kad pengenalannya sewaktu duduk di sebelahnya. Pasti dia tidak perasan beg duitnya tidak masuk ke dalam beg tangan. Nombor gilirannya dipanggil kali kedua.
Afeef Zakwan jadi serba salah. Kalau dia berurusan dahulu di kaunter, wanita itu pasti tidak dapat dia jejaki. Kalau dia kejar wanita itu pula, dia akan terlepas untuk berurusan perkara penting itu.
Akhirnya Afeef Zakwan berkejar ke luar bangunan mencari kelibat Zulfah Insyirah. Nasib baiklah Zulfah Insyirah tidak jauh dari bangunan bank tersebut. Masih berjalan gaya model di kawasan koridor.
“Cik!” laung Afeef Zakwan.
Zulfah Insyirah berpaling. Berkerut dahinya memandang Afeef Zakwan yang berlari-lari anak menuju ke arahnya. Tercungap-cungap setelah berhenti di hadapan Zulfah Insyirah.
“Nak apa?” soal Zulfah Insyirah kasar.
“Ni, cik punya, kan?” soal Afeef Zakwan sambil menunjukkan sebuah beg duit berwarna merah jambu.
Bulat mata Zulfah Insyirah melihat beg duit kepunyaannya ada pada lelaki asing itu. Terus terasa darah tingginya mencanak naik.
“Hei! You curi ya? Patutlah pandang-pandang semacam! Ada niat lain rupanya. Tak guna!” Zulfah Insyirah merampas beg duitnya dari tangan Afeef Zakwan.
Kemudian tanpa berfikir panjang Zulfah Insyirah menghempuk Afeef Zakwan sekuat hati. Berkali-kali pula sehingga terpaksa Afeef Zakwan berundur ke belakang dan pegang kuat beg tangan milik Zulfah Insyirah.
“Sabar, cik. Bawak bertenang. Biar saya terangkan dulu, cik.” Afeef Zakwan cuba menenangkan Zulfah Insyirah.
“Kenapa ni, Cik Zufa?” Din, pengawal peribadi Zulfah Insyirah datang menghampiri.
Dol juga bersiap sedia mahu mematahriukkan tulang-temulang Afeef Zakwan.
“Sabar, cik, encik semua. Biar saya terangkan.” Gerun Afeef Zakwan melihat Din dan Dol yang tegap dan besar itu. Muka mereka juga bengis semacam.
“Ha, cakaplah. Kenapa diam?” soal Zulfah Insyirah kasar.
“Macam ni, cik tertinggal beg duit ni kat kerusi tempat kita duduk tadi. Terselit kat celah-celah. Kalau orang lain jumpa, dah selamat beg duit cik ni,” terang Afeef Zakwan bersungguh-sungguh.
“Betul ke ni? Ke kau cuba nak mencuri? Ini taktik kau agaknya!” Dol pula bersuara.
“Cik Zufa, cek balik beg duit cik ada yang hilang tak?” soal Din.
Zulfah Insyirah buka beg duitnya. Dilihat semua lengkap kecuali kad pengenalan. Oh, ya. Baru dia teringat. Dia memang ada keluarkan kad pengenalannya tadi untuk berurusan di kaunter.
“Cik, kalau saya niat nak mencuri, saya tak pulangkan. Nombor giliran saya kat bank pun dah terlepas cik semata-mata nak pulangkan beg duit cik ni,” sambung Afeef Zakwan. Cuba memberitahu dia di pihak yang benar.
“Hmm! Lepaskan dia. Dah, jom.” Zulfah Insyirah dan dua orang pengawal peribadinya terus sahaja menuju ke kereta.
Seorang pemandu membuka pintu di bahagian belakang. Sempat Zulfah Insyirah memandang semula lelaki yang kelihatan bengang dan terpinga-pinga itu.
Pergi sahaja kereta tersebut, Afeef Zakwan betulkan baju-T yang dipakainya. Berlapis-lapis dahinya berkerut selepas peristiwa itu. Niatnya baik mahu memulangkan beg duit wanita itu, tetapi alih-alih dituduh pula mahu mencuri.
“Siapa perempuan tu? Macam ketua mafia aje, siap ada pengawal lagi. Tengoklah, satu hari nanti mesti kau datang mintak tolong.” Bengang sungguh Afeef Zakwan. Moodnya untuk berurusan dengan pihak bank juga sudah merudum.
Akhirnya dia pulang begitu sahaja. Ucapan terima kasih juga dia tidak terima. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan