Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 24 Jun 2016

Jodoh Satu Rumah - Bab 8

MATA bundar milik Ara Adalea masih lagi berkelip-kelip. Masih belum mahu berehat matanya itu. Insiden dua minggu lepas masih berlegar-legar di ruang fikirannya. Lantaran itu Ara Adalea mengelak daripada bertemu mata dengan Adif Ashman.
Entah kenapa insiden kali ini benar-benar terkesan di hatinya. Padahal tiada apa-apa yang teruk berlaku, cuma terjatuh. Ara Adalea menarik gebar dan terus melitupi seluruh tubuhnya. Ingin mengusir insiden ‘tak ada makna itu’.
Ahhh...” Ara Adalea menjerit. Tidak sekuat mana. Khuatir jeritannya akan mengejutkan seisi rumah.
Tiba-tiba dia merindui uminya. Andai umi masih ada, bolehlah dia berkongsi cerita. Mahu bercerita dengan mama, nanti tak pasal-pasal pula ceritanya itu sampai ke telinga Adif Ashman. Hisy, tak sanggup nanti kena ejek lagi. Mama tu bukan boleh harap sangat. Kalau boleh semua hal nak bercerita dengan anak bujangnya itu. Bujang yang dah terlebih lajak.
Lelaki zaman sekarang semuanya berkahwin muda. Untuk mengelak daripada benda tak elok. Tapi, banyak juga yang tak eloknya. Kalau fikiran masih tak matang, tak menjadi juga perkahwinan itu.
Lambat-lambat, akhirnya tertidur jua Ara Adalea dalam memikirkan masalah Adif Ashman yang tak berkahwin lagi.
Pintu bilik Ara Adalea ditolak perlahan. Sufi melangkah masuk. Tidur mengalahkan budak-budak. Buas. Bantal yang terjatuh diangkat dan diletakkan di atas katil semula. Perlahan dia menapak ke arah pintu. Pintu bilik Ara Adalea ditutup perlahan. Sedari Ara Adalea tinggal bersamanya, sudah menjadi kebiasaannya melihat Ara Adalea tidur dahulu. Terima kasih, Fira, kerana aku berpeluang mengenali anakmu. Sufi menyapu mutiara jernih yang tiba-tiba mengalir apabila teringatkan arwah Alfira.
Andai adanya arwah lagi tentu mereka semua bahagia hidup sekali. Dia tidak pernah melupakan arwah. Rindunya terubat apabila setiap hari dia melihat Ara Adalea di depan matanya. Ara Adalea sebagai pengubat rindunya kepada Alfira.
Tapi, Ara Adalea pula dengan tiba-tiba sahaja mahu tinggal dia rumah sewa. Sedih dia mahu melepaskan Ara Adalea, tetapi dia terpaksa kerana mungkin Ara Adalea tidak selesa tinggal bersama dengan Adif Ashman yang kuat mengusiknya itu. Lagipun bukannya terpaksa berpisah sampai beribu batu. Mereka berdua masih lagi di dalam negeri yang sama.

“MAMA, Ara pergi dulu ya. Ery dah tunggu tu.” Ara Adalea memohon izin. Dilihat Hairi sudah menanti di tepi keretanya.
“Mama sunyilah kali ni. Tak ada teman main lagi. Terkejut mama dengan keputusan Ara mahu tinggal menyewa.” Sufi cuba berprovokasi. Mukanya dimasamkan.
Mana tahu dengan melihat kesedihannya, Ara Adalea menarik kembali keputusan mahu menyewa. Tak pernah menyewa, tiba-tiba mahu tinggal di rumah sewa.
“Alah... Mama ni, buang karan aje. Simpanlah air mata tu. Ara tak akan ubah pun keputusan Ara. Lagipun anak bujang mama ada. Boleh temankan mama kerap sikit.” Ara Adalea bersuara tegas.
Dia tetap dengan keputusannya. Tidak mahu lagi bertemu muka dengan Adif Ashman. Dia tahu Adif Ashman marahkannya kerana mama lebih mengambil berat tentang dirinya. Jika dia tinggal menyewa tentulah Adif Ashman dapat tinggal dengan mama seperti dulu.
“Tak samalah sayang.” Sufi mempamerkan lagi kesedihan pada wajahnya lagi.
Ara Adalea menggelengkan kepala. Cepat-cepat pipi Sufi dicium. Menyapu air mata Sufi.
“Sayang...” Hairi memanggil.
Kedua-dua wanita yang sedang melayan kesedihan itu menoleh. Hairi cuma mengangkat kening ke arah beg beroda itu. Ara Adalea mengangguk. Hairi segera menolak beg itu dan mengangkatnya ke dalam but kereta.
Adif Ashman memberhentikan Volkswagon Passat di belakang kereta Vios TRD putih itu. Kemudian dia melangkah menghampiri kereta itu. Dia cuma memandang lelaki yang sedang memasukkan beg ke dalam but kereta itu. Tiada rasa mahu menegur.
Hairi menutup but keretanya. Dia berpaling. Terkejut apabila terpandangkan Adif Ashman yang menyandar di tepi keretanya sambil mendakap diri. Dia ukirkan senyuman. Tidak pernah dia bertegur sapa dengan abang angkat Ara Adalea.
Adif Ashman membalas dengan malas.
Kacak sungguh abang angkat Ara ni. Tinggi macam model, desis hati Hairi. Kalau Hairi sebagai lelaki pun memuji Adif Ashman, memang sahlah Adif Ashman kacak.
“Assalamualaikum, bang.” Dengan sopan Hairi menghulurkan tangan kepada lelaki kacak itu.
Wajah itu tegang, tetapi salaman Hairi bersambut. Bertamadun.
“Waalaikumussalam.” Adif Ashman memaniskan wajah.
Lelaki inilah yang menarik perhatiannya beberapa bualan lalu ketika menemani Alfiya membeli kasut. Memang tak silap lagi. Dia sudah yakin.
“Nak ke mana dengan beg besar ni?” tanya Adif Ashman hairan.
Pindah tinggal serumah ke? detik hati kecilnya. Isy... Tak mungkinlah. Hatinya menafikan pula.
“Say... ermm... Ara nak tinggal kat rumah sewa.” Gementar Hairi menjawab.
Ara Adalea sudah memberi amaran. Jangan dipanggil dirinya sayang di depan Adif Ashman. Nanti takut Adif Ashman akan membahannya lagi. Modal besar tu. Syukurlah otaknya cepat sahaja terfikir. Nanti tak pasal-pasal merajuk lagi. Puas pula Hairi mahu memujuk. Dia tidak sanggup. Rajukan Ara Adalea memang dia tidak sanggup hadapi. Orang lain merajuk diam-diam, tapi rajuknya lain. Suka pukul orang.
Ara Adalea masih berpelukan dengan Sufi.
Adif Ashman memandang Ara Adalea yang mengenakan skirt beropol separas lutut dipadankan dengan blaus tanpa lengan daripada kain sifon. Huh, seksi sungguh budak ni! Si lelaki ini tak tergoda ke? Hati kecilnya tertanya-tanya. Dia sebagai lelaki memang menelan liur juga apabila melihat keseksian Ara Adalea. Sebab itulah dia lebih suka mengata Ara Adalea, agar menutup sedikit tubuh badannya itu.
“Sayang...” panggil Hairi. Ops, terlepas.
Ara Adalea menjegilkan mata. Bulat memandang Hairi. Hairi cepat-cepat sengih, minta dilepaskan kesalahannya itu.
“Masuk cepat, dah lewat ni.” Tanpa mempedulikan jegilan Ara Adalea, Hairi membukakan pintu. Tahan sajalah kalau nanti dia membebel dan memukul.
Adif Ashman mengangkat kening. Amboi! Beraninya mamat ‘ayu’ ni. Depan mama pula tu, desis hatinya.
“Hah! Nak menyewa tu ada duit ke?” tanya Adif Ashman kasar.
“Bukan guna duit kau pun!” balas Ara Adalea. Dia cebikkan bibirnya.
“Kalau ada duit taklah pakai baju tak cukup kain kan!” Adif Ashman tetap mahu melampiaskan rasa tidak puas hati tentang pakaian Ara Adalea.
Rasa tersembur api daripada telinga Ara Adalea mendengarnya. Hairi entah dengar ataupun tidak kerana dia sudah pun berada di dalam kereta. Sufi memandang Adif Ashman dengan matanya yang mengecil. Dia harap Adif Ashman tidak memulakan pergaduhan lagi.
“Kalau tak ada... mari sini nak bagi.” Adif Ashman sudah berkira-kira mengeluarkan wang dari walletnya. Mahu memberi sebenarnya, tapi lebih pada sindiran. Adif Ashman mengeluarkan beberapa keping not ungu.
“Aku tak hairanlah dengan duit kau tu!” balas Ara Adalea dalam kegeraman juga.
Ada saja modal Adif Ashman tentang pakaiannya. Hairan sungguh. Dia sakit hati buat apa? Bukannya aku bini dia pun, gerutu Ara Adalea. Ara Adalea mencebikkan bibirnya. Tak ingin dia menerima wang daripada lelaki yang mulutnya tak ada insurans itu. Ara Adalea menghempas pintu kereta, kemudian menjegilkan mata ke arah Hairi.
Hairi terus menekan minyak, memecut. Gerun melihat cerlungan mata Ara Adalea.

“KAMU ni Adif, sehari tak sakitkan hati adik kamu tu tak boleh ke?” tegur Sufi.
Adif Ashman cuma menjongketkan bahunya. Membuka pintu keretanya lantas memandu masuk ke dalam garaj.
“Mama, budak tu tinggal sekali ke?” tanya Adif Ashman. Walaupun dia tahu itu tidak mungkin. Mana tahu, kerana cinta sudah membutakan hati mereka.
“Haisy... Kamu ni Adif, kita ni orang Islam. Pakaian tak cukup kain pun, Ara tahu jaga diri dia.” Sufi menjawab cepat.
“Yalah... Don’t judge a book by it’s cover,” balas Adif Ashman sinis.
“Baguslah kalau dah tahu. Ara nak bagi peluang kita tinggal berdua. Dah lama Adif tak berdua dengan mama,” kata Sufi. Dia senyum ke arah anak bujangnya itu.
“Dia beritahu mama ke?” tanya Adif Ashman.
“Mama agak aje. Kan Adif selalu cakap Ara rampas mama. Ara tu, walaupun dia buat tak tahu, tapi sebenarnya dia tahu tu,” ujar Sufi sambil tersengih memandang Adif Ashman.
Adif Ashman cuma membisu. Malas menidakkan hakikat itu. Kalau begitu memang memahamilah budak berhingus itu. Walaupun nampak macam tak matang, tetapi kalau dia berfikir sampai macam itu sekali, tentulah dia matang. Bolehlah kasih mama terus tertumpahnya hanya untuk dirinya. Rindu sangat pada waktu ketika hanya dia dan mamanya sahaja. Sekarang bolehlah dia berkepit dengan mamanya tanpa ada Ara Adalea.
Adif Ashman terus memeluk mamanya. Kedua-dua beranak itu berjalan masuk ke dalam rumah.
Sufi hanya menepuk lengan Adif Ashman yang berada di atas bahunya. Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Manja juga anak bujangnya ini.
“Kan mama dah cakap, Adif memang nak bermanja dengan mama,” usik Sufi.
“Yalah... Adif mengaku. Tapi, salah ke, mama?” soalnya semula.
“Haisy... Mana ada salahnya? Anak mama ni.” Sufi tergelak.
Pipi mamanya dicium.
“Mama pun sayang anak mama ni. Tapi, Ara pun mama sayang. Dia anak kawan mama yang terbaik. Ara dah macam anak mama sendiri. Cuma Adif aje tak dapat terima dia. Bukalah pintu hati Adif tu. Ara bukan jahat pun,” katanya lagi. Masih lagi tidak berputus asa, mahu Adif Ashman menerima Ara Adalea dengan ikhlas.
“Adif tahu mama. Saja aje buat tak tahu,” kata Adif Ashman ketawa.
Kedua-dua beranak itu ketawa sambil masuk ke dalam rumah.

“B, jadilah hujung bulan depan.” Alfiya mengelus lengan Adif Ashman.
Dia diam tak terkutik dengan elusan manja Alfiya.
“B, dengar tak ni? Bonda dengan abah tak kisah, tapi kena jumpa dengan dia orang dulu,” beritahu Alfiya.
Hairan betul. Sejak tadi Adif Ashman tidak menunjukkan keterujaan. Mahu berkahwin ke tidak ni? Hatinya mula ragu-ragu.
“B!”
Kuat suara Alfiya menampar gegendang telinganya. Adif Ashman menoleh. Tanpa perasaan terkejut. Bermakna Adif Ashman mendengar apa yang dikatakan oleh Alfiya sebentar tadi.
“Okeylah, Fiya. You prefer gold or platinum?” tanya Adif Ashman tersenyum manis.
Alfiya melentokkan kepala ke bahu Adif Ashman. Gembira kerana hasratnya ingin dikenali sebagai tunang Adif Ashman tercapai.
“Platinum. Tapi, letak diamond ya, B,” seru Alfiya.
Adif Ashman mengangguk. Bukan setakat diamond, ruby atau jed pun dia sanggup. Lebih daripada mampu. Kerjanya dengan syarikat perkapalan dari Norway yang berpengkalan di London itu benar-benar memberi Adif Ashman kepuasan dari segi wang ringgit. Biar dia sendiri saja yang tahu.
Mama juga tidak tahu. Biarpun mama selalu merungut kenapa wang bulanannya terlampau banyak. Tapi, dia pekakkan telinganya. Lama-lama mama sudah berhenti bertanya kenapa. Mama telah banyak berkorban sejak ketiadaan arwah abah. Itu saja yang dia boleh balas untuk mamanya selain menjadi anak yang baik untuknya.

Alfiya masih membelek-belek cincin pertunangan. Habib Jewels menjadi pilihanya untuk membeli. Berbisik-bisik pekerja kedai apabila Alfiya memilih cincin platinum bertatahkan diamond sebesar isi buah delima.
“Untungnya. 20,000 ringgit cincin tunang saja. Itu belum kahwin lagi. Kalau akulah...”
“Di awang-awangan,” balas yang seorang lagi.
Kedua-duanya tertawa kecil.
Adif Ashman tersenyum tatkala mendengar bisikan mereka. Itu murah sahaja bagi Alfiya. Anak bongsu kepada tokoh konglomerat perkapalan di Malaysia itu pernah membeli kasut Datuk Jimmy Choo dengan harga yang sememangnya mahal. Itu belum lagi dikira dengan harga beg tangannya. Begitulah cita rasa Alfiya. Tetapi, Alfiya bukanlah gadis bongkak yang akan menunjuk-nunjuk dengan apa yang dia ada.
B, I choose this one.” Alfiya menunjukkan cincin yang dipegang.
“Cantik. Macam Fiyalah,” bisik Adif Ashman.
Alfiya menoleh. Pipinya bersentuhan dengan pipi Adif Ashman.
Alfiya mengunjukkan cincin itu kepada pekerja yang setia sejak dari tadi melayan kerenah Alfiya. Bil direkodkan. Diserahkan kepada Alfiya.
“Maaf, dik. Abang ni yang bayar.” Alfiya menuding ibu jari ke arah Adif Ashman.
Kad kredit dihulurkan kepada pekerja yang bernama Sarina itu. Tag namanya jelas kelihatan.
Adif Ashman dan Alfiya beriringan keluar dari Habib Jewels.
Alfiya mencapai jemari Adif Ashman lalu digenggam erat. Betapa dia amat mencintai Adif Ashman. Tiga tahun bersama adalah sesuatu yang terindah dalam hidupnya. Adif Ashmanlah segala-galanya. Adif Ashmanlah lelaki yang menjadi idamannya untuk menghabiskan waktu tua nanti. Jika berpisah pun biarlah hanya maut sahaja yang memisahkan mereka.
Bonda dan abi tidak kisah siapakah pilihan hatinya. Mereka hanya mahu dia bahagia. Bahagia sebahagianya. Alfiya tersenyum apabila teringatkan hari yang makin menjelang untuk dia bergelar tunang dan selepas itu isteri pula kepada Adif Ashman. Puan Adif Ashman!

ALFIYA menghempaskan tubuh langsingnya di atas sofa L-shape milik Fida, sahabat baiknya. Fida datang dengan membawa minuman. Air oren.
“Tak ada air lain ke? Asal aku datang, ni aje yang kau bawa keluar,” rungut Alfiya. Tapi, dia tetap meneguk air oren itu. Dahaga betul.
“Dalam duk mengadu kau minum juga. Banyak cantik!” kata Fida.
Alfiya cuma menyengih. Sedar Fida menyindir dirinya. Dia tak ambil hati pun dengan kata-kata Fida. Mulut Fida memang suka cakap lepas.
“Amboi! Sejak bila makan cili padi ni? Setahu aku kau tak makan pedas pun,” usik Alfiya. Menanti reaksi Fida.
Fida pula dengan muka selamba asyik memasukkan potongan epal ke dalam mulutnya.
“Hoi! Aku kat sini ni, jangan menyombong pula!” jerkah Alfiya terus menolak bahu Fida. Hampir tersembam wajah Fida ke atas meja kopi.
“Ni aku bengang ni. Nak kena pelangkung ni!”
Alfiya sudah bangun apabila ternampak tanda-tanda Fida akan membalas tolakannya tadi. Fida menyengih. Dia acah sahaja.
“Kendurinya bila?” tanya Fida. Menyandar di belakang sofa.
“Aku cadang bulan depan majlis tunang. Maybe on December the wedding. Bonda dengan abi nak jumpa dengan mama Adif dulu, dua minggu lagi.” Alfiya memberitahu rancangannya. Insya-Allah, cepatlah nanti majlisnya selepas pertemuan itu nanti.
“Alhamdulillah. Dapat juga kau bersama Adif. Jangan terluka lagi ya,” kata Fida.
“Aku ingat aku dah serik sejak Firhan pergi. Rupanya Adif lebih membuat aku bahagia.”
Alfiya teringat lelaki itu, yang pernah bertahta di hatinya sejak dia masih lagi di bangku sekolah. Namun, cinta mereka tidak panjang. Cinta monyet mereka tidak sampai ke penghujungnya.
“Aku nampak Firhan dah balik.” Fida memberitahu.
Tiada reaksi daripada Alfiya. Firhan bukan lagi lelaki yang dia cintai.
“Mana kau tahu?” tanya Alfiya. Ingin tahu.
“Aku kan selalu fly merata. Kebetulan aku bertemu masa aku balik dari Jerman tu. Masa tulah aku jumpa dia,” cerita Fida.
“Dia macam mana sekarang?” tanya Alfiya.
“Entahlah. Aku tak tanya banyak pun. Aku seganlah nak tanya banyak-banyak. Sah-sahlah aku ambil tahu sebab nak cerita dekat kau. Tapi, masa dia balik tu dia balik dengan seseorang. Perempuan,” kata Fida.
Alfiya diam. Ada benarnya kata-kata Fida itu. Jika dia berada di tempat Fida dia juga tidak akan bertanya. Cinta yang lepas tak perlu lagi dikenang.
“Betul juga, kan? Dia sihat pun dah kira okey kan,” kata Alfiya senyum.
Dulu, dia mencintai Firhan dengan sepenuh hati, namun mereka berdua tidak berjodoh untuk terus bersama. Allah sudah menetapkan takdir untuk setiap makhluk-Nya di muka bumi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan