Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 24 Jun 2016

Jodoh Satu Rumah - Bab 4

FERI yang dinanti sudah tiba. Ara Adalea, Jaslia dan Hairi melangkah masuk. Hampir empat jam perjalanan mereka ke sini.
Ara Adalea pandang kiri dan kanan. Walaupun bukan musim cuti, pelancong tetap ramai. Langkawi sentiasa menjadi pilihan ramai pelancong tempatan mahupun luar negara. Pulau bebas cukai. Bagi yang suka bershopping, inilah syurga membeli-belah kerana barang yang dibeli tidak dikenakan cukai.
Selepas sumpah Mahsuri selama tujuh keturunan berakhir, Langkawi menjadi maju dalam sekelip mata. Keturunan ketujuh Mahsuri yang tinggal di Thailand itu pun sudah mendirikan rumah tangga. Walaupun rasanya mereka masih lagi menanti keturunan yang kelapan Mahsuri. Tetapi, Wan Aishah dan suaminya masih belum dikurniakan cahaya mata walaupun mungkin sudah hampir tujuh tahun mendirikan rumah tangga. Ara Adalea tidak ingat sangat.
Sepanjang perjalanan di dalam feri, mereka bertiga asyik melayan diri dengan memandang laut lepas. Cantik pemandangan yang dihidangkan sepanjang perjalanan. Terdapat pulau-pulau kecil. Mereka bertiga asyik dengan pemandangan tersebut hinggakan tiada suara yang keluar dari mulut.
Feri yang dinaiki sudah tiba di Langkawi. Ara Adalea begitu teruja sekali kerana ini adalah kunjungannya yang pertama ke Langkawi. Kakinya dijejakkan dengan perlahan di atas simen selepas turun dari feri.
“Hoi! Kau ni apasal? Macam orang gila aje aku tengok?” jerkah Jaslia. Tangannya menolak kasar tubuh kecil molek Ara Adalea.
Hampir-hampir Ara Adalea tersungkur dek beg yang tersandang di belakangnya.
Hairi menggeleng kepala melihat kekasaran Jaslia. Kasarnya mengalahkan jantan. Dia sebagai lelaki pun tidak sekasar itu. Tapi, itulah kasih hatinya. Walaupun kasar, tapi dalamannya lembut sekali.
“Kau ni! Nasib baik aku tak cium simen ni. Memanglah aku teruja sebab kali pertama sampai. Tapi, tak adalah sampai aku nak cium tanah Langkawi ni,” juih Ara Adalea. Tangannya masih memegang palang yang berada di tepinya.
Ada mata-mata yang memandang mereka. Ada yang tersenyum-senyum. Entah apa makna senyuman tersebut.
“Kasih ni, semua orang tengok. Behave yourself,” tegur Hairi.
“Tengok Ara. Kalau dengan aku, behave yourself... behave yourself.” Jaslia mencebikkan bibirnya. Dijelirkan lidahnya ke arah Hairi. Dia laju melangkah.
“Setiap kali kita tegur tu ajelah modal dia. Merajuk konon. Tapi, tuan empunya diri tu bukannya tahu merajuk pun,” kata Hairi.
Ara Adalea senyum. Suka melihat kedua-duanya. Bergaduh setiap masa, tetapi dalam hati ada taman.
“Dahlah Ery. Jomlah, nanti kaki zirafah tu tinggalkan kita,” gurau Ara Adalea. Dia juga melangkah ke arah Jaslia yang sudah ke depan sambil membetulkan beg sandangnya.
“Tak ke mana pun dia. Dia mana tahu nak jalan mana. Kereta sewa tu Ery aje yang tahu,” kata Hairi senyum.

Selepas bercakap-cakap dengan tuan punya kereta sewa, Hairi menggamit mereka berdua. Laju sahaja langkah kedua-dua sahabat baik itu. Mereka ingin cepat tiba di tempat penginapan. Mahu merehatkan diri selepas mengambil masa hampir seharian untuk tiba di sini.
Ara Adalea menghenyakkan punggungnya di atas kerusi belakang kereta Myvi itu. Dia mendakap dirinya sambil mata dihalakan ke luar. Melihat manusia-manusia yang berjalan-jalan.
Hairi pula baru lepas menemani Jaslia yang mahu membeli KFC yang berada di sebelah kanan jalan.
“Kau ni memang kalau tak makan KFC sehari tak boleh hidup ke?” ejek Ara Adalea.
Jaslia menjeling, kemudian menghulurkan Milo ais kepada Ara Adalea. Ara Adalea menyambutnya.
“Tadi bukan main lagi merajuk, sekarang merengek-rengek kena temankan,” sambung Ara Adalea lagi. Dia tidak puas mengata Jaslia. Jaslia berasa ataupun tidak dengan percakapannya, dia tidak peduli.
“Suka hati akulah. Kan, Ery?” Jaslia mencebikkan bibirnya. Dipandang Hairi yang hanya tersenyum.
Ara Adalea menggelengkan kepalanya. Perangai manja tu tetap tak nak berubah. Susah betullah kalau jadi anak bongsu ni. Aku yang anak tunggal pun tak macam tu. Jaslia, Jaslia...

ARA ADALEA dan Jaslia segera merehatkan diri setelah tiba di rumah penginapan itu. Nanti mereka akan memulakan percutian mereka. Namun, keletihan yang melanda mereka berdua membuatkan Ara Adalea dan Jaslia sampai ke kayangan. Tidur hingga tak ingat.
Bunyi ketukan pada pintu mengejut Ara Adalea dan Jaslia untuk makan malam. Mereka bertiga sudah berjanji mahu menikmati makanan orang Langkawi. Mana tahu ada yang pelik-pelik dan tak biasa mereka makan lagi.
Tanpa kata Hairi terus memandu menuju ke Pekan Kuah. Puas mengelilingi tempat akhirnya mereka bertiga memutuskan untuk makan di sebuah restoran makanan laut. Jaslia dan Ara Adalea memilih udang dan sotong untuk dibakar. Sementara Hairi mencari ikan siakap untuk digoreng masak cili padi.
Kesokkan paginya mereka melawat Beras Terbakar. Ingin sekali melihat warna beras yang terbakar. Mana tidak teruja, beras itu berusia beratus tahun. Bukan senang nak jumpa.
Sudah tiada banyak beras sebenarnya. Jika mahu melihat hanya melalui tempat khas yang telah disimpan beras itu untuk tatapan orang. Kawasan tersebut sudah dipagari kerana dahulu pelawat suka mengutip beras itu untuk dibawa pulang. Entah apa yang pentingnya tentang beras itu.
Di situ juga mereka mengambil gambar yang hanya siap dalam 10 minit. Gambar sebagai kenangan mereka pernah ke sini.
Dari Beras Terbakar hingga ke Makam Mahsuri disambung semula ke Teluk Datai dan berakhir di Pantai Pasir Tengkorak. Di pantai yang cantik itu mereka melepaskan rindu untuk bermandi laut. Padahal Pulau Pinang pun ada pantai juga. Namun, pantai di sini sesuai untuk anak-anak kecil mandi kerana pantai Pasir Tengkorak agak landai, jika berada di gigi pantai.
Semua tempat itu benar-benar membuatkan mereka jatuh cinta dengan Pulau Langkawi.
Hari terakhir itu mereka bertiga berjalan menyusuri Pantai Cenang yang sememangnya menjadi syurga pelancong datang bercuti di sini. Boleh dikatakan di sinilah tempatnya yang terdapat paling ramai pelancong asing. Pelbagai jenis warna kulit berada di sini. Kadang-kadang segan juga apabila melihat aksi-aksi luar biasa yang bernama pelancong.
Empat hari yang mengujakan bagi mereka bertiga kerana hampir seluruh pulau Langkawi itu mereka jelajahi. Tidak pernah mereka bercuti sebegini. Ibarat backpackers di negara orang. Walaupun di dalam negara sendiri.
Kini, feri yang membawa mereka sudah berlabuh di Jeti Kuala Perlis. Sayang mahu meninggalkan Langkawi sebenarnya, tetapi situ bukan tempat untuk mereka tinggal lama. Cuti kalau lama-lama tak surprise pula.
Bagi Ara Adalea jika mahu bercuti, cukuplah sehari dua. Paling lama mungkin empat atau lima hari. Nanti bila tiba masanya Ara Adalea akan datang lagi ke sini. Melawat tempat-tempat yang tidak sempat dilawati. Dia pasti akan datang ke sini lagi. Dia berjanji dengan dirinya sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan