Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 24 Jun 2016

Jodoh Satu Rumah - Bab 9

ARA ADALEA menyilangkan kakinya. Menggerakkannya ke kiri dan ke kanan. Dia menukar posisi pula. Runsing betul. Fikirannya asyik teringatkan rumah sahaja. Ingatan kepada Sufi begitu menyesakkan dada. Tiba-tiba mindanya terlekat pada wajah kacak yang amat dibenci.
Kacakkah dia? Hati Ara Adalea bertanya sendiri. Kacaklah sampaikan Jaslia pun turut tertarik. Sayang bagi Jaslia, Adif Ashman sudah berpunya. Alfiya. Nama penuhnya Sharifah Alfiya Sheikh Gaddafi. Namanya ala-ala Muammar Gaddafi, pemimpin Libya yang melarikan diri entah ke mana ketika negaranya dibedil. Pemimpin rakyatkah itu? Entahlah.
Itulah padahnya bagi sesebuah negara yang tidak dipimpin dengan jujur. Konon-konon apabila pemimpin lama digulingkan maka nasib rakyat akan berubah. Berubah apa kalau hari-hari ada sahaja yang terkorban? Dan pemimpin Libya itu sendiri sudah terkorban kerana dibunuh oleh rakyatnya sendiri. Kasihan, tapi itulah yang berlaku di kebanyakan negara-negara liga Arab.
Tidakkah rakyat Libya itu terfikir dengan membunuh pemimpin itu mereka juga sama dengan pemimpin itu yang telah membunuh rakyatnya hanya kerana mahu berada di tempat yang tinggi? Rasanya pemimpin itu yang paling lama memerintah. Ara Adalea pun tidak ingat selama mana 40 tahun atau 45 tahun.
Isy, sampai ke Libya aku merepek, gerutu Ara Adalea perlahan.
Ara Adalea bangun, melunjurkan kaki ke lantai yang telah diletakkan karpet lembut di situ. Pandangannya jatuh pada kaki dan paha yang putih melepak. Dia cuma mengenakan seluar pendek. Tak malukah dia kerana mendedahkan aurat? Jadi santapan lelaki insan-insan yang bergelar lelaki?
Bukan sekali dua mama menegur, tapi dia buat tidak tahu. Malah, Adif Ashman pun suka memberikan dia kata-kata yang sampai ke tulang putih terasanya. Ara Adalea sudah mencuba untuk memakai pakaian yang tidak mendedahkan aurat, tapi dia tidak selesa. Rimas sepanjang masa.
Terngiang-ngiang kata-kata Adif Ashman, “Pakaian tak pernah cukup kain.”
Huh... Dia lagi yang Ara Adalea fikirkan. Ara Adalea memekup telinga. Berharap agar kata-kata itu hilang daripada mindanya.
Pintu dibuka kasar dari luar. Terjengul wajah Jaslia. Memandang hairan apabila sahabatnya itu sedang memekup telinga.
“Eh, Ara sakit ke? Nak pergi klinik tak? Aku call Ery ya.” Bertubi-tubi soalan dan rasa simpati yang bercampur baur dari bibir Jaslia. Dia sudah mahu mendail nombor Hairi.
“Taklah. Kusut sikit otak ni.” Ara Adalea lantas bangun.
“Kenapa? Mamat Togel tu ganggu kau lagi ke?” tanya Jaslia sambil tangannya mencapai majalah Marie Claire milik Ara Adalea.
“Haisy... Tak baik gelar dia gitu. Dia ada nama B.A.K.T.I,” tegur Ara Adalea sambil mengeja nama lelaki itu.
Jaslia mencebikkan bibir. Dia cukup tidak berkenan Ara Adalea berkawan dengan Bakti. Rasa macam mereka sebenarnya tidak sesuai. Pada fikirannya.
“Tu... nama tu satu lagi, Bakti, Bakti... Agaknya sebab masa mak dia mengandungkan dia dulu mak dia suka berbakti kut. Macamlah tak ada nama lain yang nak diberi. Letaklah nama glamor sikit. Padanlah aku gelar dia Mamat Togel.” Jaslia belum puas mengutuk.
“Dahlah tu. Nanti dapat dosa kering aje sebab mengumpat.” Ara Adalea menegur lagi.
“Ha... Kau dah terpikat kat dia ya? Dari tadi asyik menangkan dia aje.” Jaslia menyerkap jarang. Dia memandang tepat ke mata Ara Adalea.
“Entahlah... Kalau dah tersurat aku dengan dia, buat apa aku nak menolak lagi?” ujar Ara Adalea sengih.
“Hah! Betullah tu. Ada lagi mamat yang lebih handsome daripada dialah.” Jaslia mula mencucuk.
Handsome ke Mamat Togel tu? Memang handsome, tapi cara dialah. Ara Adalea tidak pernah melayan cinta, tapi mungkin saatnya sudah tiba. Ara Adalea hanya menggelengkan kepalanya kepada Jaslia.
“Aku nak keluar dengan Ery. Nak ikut tak?” tanya Jaslia. Dia malas lagi mengutuk Bakti kerana Ara Adalea nampaknya sudah bersedia untuk bercinta.
“Malaslah, tapi nak kuetiau udang.” Ara Adalea tersengih kepada Jaslia.
Jaslia menutup pintu. Biarlah jika Ara Adalea mahu melayan perasaan ataupun tidak. Dia tidak sukakan Bakti, tetapi jika Ara Adalea memang mahukan Bakti sebagai kekasih, dia tidak boleh berbuat apa-apa.
Bakti. Sepotong nama pelik. Yalah, zaman sekarang orang letak nama Zairi, Jehan, Daniel. Ini tak, Bakti. Bakti Wafi. Tapi, tidak sepelik orangnya. Bagi Ara Adalea, Bakti memenuhi ciri-ciri yang dia mahu pada seorang lelaki. Tuan punya nama itulah yang mengganggu-gugat kehidupan sehariannya. Sejak tahun pertama lagi.
Ara Adalea berkawan dengan Bakti, tetapi sentiasa mengehadkan pergaulan mereka berdua. Walaupun dia sudah cuba menolak, Bakti tidak pernah putus asa. Bukan tak sudi, tapi Ara Adalea sudah berjanji dengan diri sendiri mahu mencari cinta selepas habis belajar.
Mamat Togel. Itulah gelaran yang diberikan oleh Jaslia. Entah kenapa gelaran itu diberikan. Mungkin kerana gangguan daripada Bakti selama hampir tiga tahun ini. Bakti menghormati pendiriannya, cuma kadang-kadang ada perkara yang menjengkelkan.

“KENAPA pula saya tak boleh panggil sayang? Ery boleh pula,” tanya Bakti suatu hari. Ketika itu mereka sedang menikmati ABC di luar kolej.
Ara Adalea mendongak. Bukan sekali soalan itu dibangkitkan oleh Bakti, malah berkali-kali.
“Dia kawan baik saya. Tak pernah ada perasaan cinta. Tapi, untuk awak tu ada, jadi tak naklah panggil macam tu,” ulas Ara Adalea. Tidak mahu dia bersayang-sayang sebelum berkahwin.
Dia memandang Bakti. Wajahnya bertukar kelat. Itu pun nak kisah. Dia pun tak kalut dengan panggilan Hairi.
“Habis tu, bila dah kahwin nanti saya nak panggil apa?” tanya Bakti lagi. Keras suaranya.
“Eh, tunggu dulu. Saya ni dah janji nak kahwin dengan awak dah ke?” Melengking suara Ara Adalea.
Dua tiga orang memandang hairan ke arah mereka.
Bakti sengih mempamerkan barisan giginya yang putih. Cermin matanya ditolak ke atas sedikit. Tak pasal-pasal kena tengking di sini.
“Insya-Allah. Sampai masanya, you will be mine. Only mine.” Ibarat bersumpah suara yang keluar dari bibir Bakti.
Ara Adalea menjegilkan matanya. Tanda protes.                   
“Sampai masanya, Ara. Bukan sekarang,” kata Bakti seraya pipi Ara Adalea dicuit manja.
Mengelak pun dah tak berguna. Terkena juga, desis Ara Adalea. ABC disisip cepat. Ara Adalea ingin segera berlalu. Geram dengan sikap Bakti. Main-main pula dia.
Bakti merenung Ara Adalea. Cantik. Diberikan oleh Allah bibir merah yang mungil, hidung mancung, matanya pula bila berkelip bagai babydoll. Ada ramai lagi gadis di luar sana yang lebih cantik, tapi di mata Bakti, Ara Adalea yang paling cantik.
Tambahan hari ini Ara Adalea mengenakan blaus labuh berlengan panjang separas lutut. Memang cantik. Dikenakan pula tali pinggang kecil berwarna merah kontra dengan warna blaus yang berwarna hijau muda. Ara Adalea yang dikenali memang berani bermain dengan warna pada pakaiannya.
“Senyum-senyum ni apa hal?” jerkah Ara Adalea.             
“Rahsia. Dah habis makan, kan?” Bakti terus bangun meninggalkan Ara Adalea terkulat-kulat di situ.
Tak guna! Lantas dia juga berbuat demikian. Ara Adalea terkocoh-kocoh membuntuti Bakti.
“Tunggulah...” panggil Ara Adalea.
Bakti terus sahaja berjalan. Ara Adalea berhenti. Nak main-mainkan aku ya. Dilihatnya Bakti terus berjalan lagi.
Tetapi, dia berhenti tiba-tiba. Sedar apabila tiada lagi Ara Adalea di belakangnya. Dia memusingkan badannya. Ara Adalea mematung agak jauh. Bakti berpatah balik. Mahu mengenakan Ara Adalea dia pula yang terkena.
Sorry, Ara. Janganlah merajuk.” Lengan Ara Adalea ditarik perlahan.
Ara Adalea senyum senang dengan Bakti yang sentiasa mahu berpatah balik untuknya. Ara Adalea berharap jika mereka berdua ada jodoh, Bakti akan berpatah balik seperti ini juga.
“Geram betul. Ada ke patut tinggal orang,” kata Ara Adalea. Dia sengaja memuncungkan bibirnya, mengekori Bakti.
Sorrylah. Ingat nak kenakan Ara, tapi tengok Bakti yang terkena pula.” Bakti senyum.
Mereka berjalan ke arah taman yang berhadapan dengan tempat makan tadi.

ARA ADALEA memerhati kanak-kanak yang bermain di taman permainan itu. Sungguh riang. Kanak-kanak itu tiada masalah yang membelenggu.
“Tanya sikit, boleh?” tanya Ara Adalea. Wajahnya dihalakan ke arah Bakti.
Bakti senyum sambil mengangguk. Asyik senyum aje dari tadi, nak bagi aku lebih terpikat ke? gerutu hari Bakti. Kalau Ara Adalea senyum kepada dia begini hari-hari, memang dia tak akan lena tidur.
“Apa ada pada Ara?” tanya Ara Adalea.
Bakti senyum lagi. Jemarinya diletupkan dan kepalanya dilenggokkan ke kiri dan kanan. Dia bagaikan mahu berlarian pula. Padahal hanya jawapan sahaja yang Ara Adalea mahukan.
“Banyak, sampai tak terkira. Love you since the first time you’re crying here,” ucap Bakti.
“Hah! Bila?” Ara Adalea terkejut. Bila masa pula dia menangis? Tak ingat pun.
“Dah lupa? Alah... Masa nak pisah dengan mama Ara tu, bawah pokok dekat hostel tu. Itu kali pertama Bakti nampak Ara. Terus jatuh cinta. Bakti terus kuncikan hati Bakti untuk mana-mana gadis,” cerita Bakti.
“Oh! Yang tu, tiga tahun lepas.”Ara Adalea sudah mengingatinya.
“Masa tu Ara menangislah. Mana pernah pisah dengan mama,” sambungnya lagi.
Bakti menarik lengan Ara Adalea. Didudukkan Ara Adalea di sisinya. Jemari Ara Adalea digenggamnya.
Mata Ara Adalea berpadu dengan mata galak Bakti yang terlindung di sebalik cermin matanya. Ara Adalea menolak tangan Bakti tanda tidak mahu Bakti memegang tangannya.
“Sekali ni saja, Bakti pegang Ara. Janji, lepas ni tak pegang dah. Tunggu kahwin dulu.” Manis mulut Bakti berjanji.
Ara Adalea senyum sambil memandang genggaman Bakti. Lambat-lambat Bakti mencium belakang tangannya.
“Bakti cinta sangat pada Ara,” ucap Bakti dengan ikhlas.
“Bagilah Ara masa.” Ara Adalea memang perlukan waktu untuk berfikir.
“Bakti tak kisah sampai bila kena tunggu. Biar seribu tahun pun. Andai seribu tahun itu sudah termaktub Bakti akan dapat Ara, Bakti rela. Love you so much, Ara.” Bakti senyum.
Ara Adalea menarik tangannya. Dia perasan ada kanak-kanak yang sedang memerhatikan mereka. Mana boleh bagi dia orang lihat. Anasir buruk.
“Ada budak-budak tengoklah. Jangan macam ni Bakti. Tak baik untuk dia orang,” kata Ara Adalea.
Bakti memandang ke arah suara riuh-rendah itu. Dia melambaikan tangannya ke arah budak-budak itu. Budak-budak itu membalas lambaian Bakti.
“Alah... Dia orang bukan tahu apa,” kata Bakti.
“Sebab tak tahu apalah kita sebagai orang yang lebih tua tak patut tunjuk perkara pelik kat dia orang,” kata Ara Adalea.
“Yalah... Puan Bakti.”              
“Bakti!” jerit Ara Adalea.
Bakti terkekek-kekek ketawa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan