Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 24 Jun 2016

Jodoh Satu Rumah - Bab 6

TANGAN diletakkan di atas dahi. Hilang sudah pesanan mama, jangan letak tangan atas dahi. Kata mama itu tandanya kita sudah mempelawa diri menjadi ahli neraka.
Adif Ashman menyingsing lengan baju. Kesan merah cop empat jari Ara Adalea terlekat di situ. Dia mengusapnya perlahan. Pedih. Sepedih hatinya sejak Ara Adalea menjadi penghuni di hati mama.
Adif Ashman sedar kasih mama kepadanya tetap seperti dulu, tapi egonya yang menolak. Menolak untuk mempercayainya. Ah! Dia mengeluh dengan kuat. Adif Ashman mengusap lengannya yang kemerah-merahan.
Irama La Duda yang berbunyi dibiarkan. Dia tahu itu siapa. Kerana lagu itu khusus untuk Alfiya. Kata Alfiya lagu itu melambangkan kasihnya kepada Adif Ashman. Lagu itu asalnya daripada drama Latin yang berjudul La Duda. Lakonan pelakon tersohor Mexico Sylvia Navarro. Alfiya memang hantu drama Latin.
Sudah tiga kali lagu itu berkumandang. Adif Ashman menukar posisinya. Memekup telinga dengan bantal. Berharap agar tidak mendengar lagu itu lagi. Namun, hampa. Lagu lain pula yang berdering.
“Helo!” jerkah Adif Ashman. Itu pun setelah melihat nama lain yang berada pada skrin telefonnya.
“Amboi! Eh, angin apa pula ni? Takkan pasal adik angkat kau lagi?” tegur sahabat itu.
Sahabat suka duka sehati sejiwa Adif Ashman sejak zaman universiti lagi. Zahid.
“Asal aku mengamuk tentulah pasal dia. Kenapa call ni?”
“Kau jangan buat-buat lupa pulak. Kau janji dengan aku nak datang restoran aku,” kata Zahid. Dia cuma mengingatkan.
“Aku janji hari ini ke?” tanya Adif Ashman. Dia sudah terlupa. Dia berjanji selepas saja sampai dari London dia akan ke restoran baru Zahid.
Kedengaran ketawa Zahid meletus. Kelam-kabut Adif Ashman melompat bangun.
“Lupalah ni nampak gayanya.” Zahid berkata pasti.
“Aku mengaku. Aku salah sebab lupa.” Adif Ashman mengakui. Kedengaran ketawa Zahid meletus lagi.
Gelak lagi. Miring ke? gerutu Adif Ashman.
“Kau yang janji nak datang lepas sampai dari London. Bukan aku suruh ya. Aku cuma mahu kau tuanikan janji aje,” kata Zahid lagi.
“Yalah, nanti aku datang. Tapi, aku tak janji bila tau,” kata Adif Ashman.
Tanpa pamitan Zahid sudah memutuskan talian. Adif Ashman meraup wajah beberapa kali. Timbul pula rasa bersalah kepada Alfiya kerana tidak menjawab panggilannya tadi. Bukan salah Alfiya, tapi Ara Adalea.
“Helo, Fiya sayang...”
“B... Ke mana tadi? Fiya call tak angkat pun?”
Suara Alfiya kedengaran manja di telinga Adif Ashman. Aduh! Meremang bulu roma tatkala mendengar suara manja itu. Hati lelakinya bergelora. Sabar Adif, sabar Adif.
“Tertidurlah, Fiya.” Lembut Adif Ashman bersuara.
“B, kita keluarlah. Rindu sangat. Dengar suara aje mana best,” rengek Alfiya.
“Sekarang ke?”
Pick me on 8.00 yea?”
Suara Alfiya bagaikan bayu lembut menampar cuping telinganya. Kemarahan yang membara kepada Ara Adalea hilang dibawa pergi. Hebat sungguh penangan Alfiya.

ADIF ASHMAN mengenakan kemeja berjalur biru pucat dan putih. Lengannya pula dilipat hingga ke siku. Hugo Boss disembur ke seluruh tubuh. Setelah berpuas hati dengan penampilan diri, dia mencapai wallet dan handsetnya, kaku melangkah turun. Disusuli nyanyian kecil di bibirnya. Dia terpandangkan Ara Adalea dan mamanya.
“Sumbangnya,” ejek Ara Adalea. Bibirnya terjuih.
Adif Ashman menjegilkan matanya. Memang cari pasal betul. Marah yang sudah hilang tadi datang kembali. Adif Ashman menghampiri. Ara Adalea segera bersembunyi di rusuk kanan mamanya.
Ah! Alfiya lebih penting. Dia tidak jadi menghampiri Ara Adalea. Tidak lama kemudian kedengaran enjin Volkswagon Passat itu pergi.
“Kamu ni Ara, tak bosan ke asyik nak bergaduh aje dengan Abang Adif?” tegur Sufi.
Pelik benar. Kalau bukan Ara Adalea yang mencari pasal, Adif Ashman yang memulakannya dulu.
“Mama ni, si tenuk bukan anggap Ara adik dia. Tak payahlah panggil dia abang. Ara pun tak ingin kalau orang tak sudi mengaku.” Ara Adalea menjuihkan bibir.
Benci betul dia kalau mamanya menyuruhnya memanggil Adif Ashman dengan panggilan abang. Macam tak ada orang lain yang nak dipanggil abang.
“Agaknya selepas mama mati baru kau orang nak berbaik kut.” Sufi berjauh hati dengan perangai kedua-duanya.
Ara Adalea terus memeluk Sufi.
“Jangan cakap gitulah mama. Kalau boleh biar Ara yang pergi dulu. Mama bukan tak tahu, dia sejak awal lagi tak sukakan Ara. Macam mana nak buat Ara sukakan dia? Macam nilah mama, kita biar masa yang menentukan,” pujuk Ara Adalea. Pipi Sufi dicium.
Sufi tersenyum. Hatinya mekar berbunga dengan kemanjaan Ara Adalea. Nak harapkan Adif Ashman memeluknya, kucing bertanduk pun belum tentu lagi akan terjadi. Sejak kemunculan Ara Adalea, Adif Ashman sudah pun membuang jauh-jauh peluk cium untuk mamanya ini.
Dia meneruskan semula kerja mengait baju panas untuk anak-anaknya. Sejak penghijrahan ke London dulu, dia pun terkena badi orang sana yang suka mengait baju panas untuk dipakai pada musim sejuk.

ARA ADALEA asyik menonton drama bersiri NCIS. Dia memang pantang dengan drama dari luar. Sanggup jadi burung hantu. Peminat nombor satu. Siapa-siapa lalu belakang pun dia tak tahu. Sebut sahaja The Vampire Diaries,The Walking Dead, Ghost Whisperer sampailah Criminal Minds, mana satu dia tak tengok? Dari musim pertama hingga yang belum habis musim.
Tambahan pula tengok Jennifer Love Hewitt memakai baju ala babydoll dalam Ghost Whisperer. Cantik sangat. Terbawa-bawa hingga ke luar dalam hidupnya. Tapi, Ara Adalea tidaklah seseksi Jennifer Love Hewitt dalam drama bersiri itu.
Cuma Ara Adalea lebih suka memakai dress separas lutut, skirt pendek dan boleh dikatakan Ara Adalea suka mendedahkan kakinya. Bukan mama tidak pernah menegur cara pemakaiannya. Ara Adalea cuma memberitahu mamanya sampai masa nanti dia akan mengubah cara pemakaiannya. Jadi, mamanya sudah berhenti berleter.
Hanya Adif Ashman yang masih tidak boleh menerima. Baju tak pernah cukup kain. Tak malu tayang aurat. Itu antara ayat klisenya. Tapi, Ara Adalea pekakkan telinga. Yang penting Ara Adalea bahagia. Setakat ayat-ayat itu dia sudah lali. Katalah berapa bakul pun, Ara Adalea tak kisah pun.
Bagi Ara Adalea, sampai masanya nanti dia akan berubah. Cuma, tidak tahu bila. Semua orang perlu berubah ke arah kebaikan. Ara Adalea juga tidak terkecuali mahu berubah ke arah kebaikan.

Semua mata di Sunway Carnival Mall memandang pasangan lelaki dan wanita itu. Sama cantik dan sama padan. Ketinggian mereka yang hampir sama itu membuatkan mata yang memandang hampir tidak berkelip.
Alfiya memeluk lengan Adif Ashman. Bukannya dia tak perasan semua mata terarah kearah mereka. Terselit rasa bangga juga. Alfiya membetul-betulkan tudung yang menutupi kepalanya.
“B, nanti kita lunch di Secret Recipe ya,” bisik Alfiya.
“Eh, Tadi kata nak shopping. Ni dah lapar pula?” Adif Ashman juga berbisik. Ingin mengusik sebenarnya.
“Alah... B ni. Fiya kata nanti. Bukan sekarang. Fiya nak beli kasut dulu.” Dengan senyuman manis Alfiya menuturkannya.
Adif Ashman membalas senyman Alfiya. Pipi Alfiya dicuit sayang. Tersengih Alfiya dengan tingkah kekasih hatinya.
Adif Ashman cuma memerhati Alfiya memilih kasut. Sejak dari London lagi Alfiya gila dengan kasut. Digelarnya Alfiya shoesholic. Kata Alfiya, dia tak kisah. Janji dia dapat kasut.
“B, yang ni cantik atau yang ini?” Alfiya menunjuk dua jenis kasut kepada Adif Ashman.
Yang biru ada tali halus di belakang dan tingginya lebih kurang dua inci. Sementara yang kuning air itu bertumit kecil. Tidak pasti berapa incinya. Rekaannya lebih cantik. Di atasnya ada sekuntum bunga kecil berwarna hitam. Ada batu Swarovski berwarna kuning menghiasi atas bunga hitam itu.
“Yang kuning cantik, tapi tak tinggi sangat ke, Fiya?” Adif Ashman melahirkan rasa hatinya. Rekaannya feminin, tapi tumitnya terlalu tinggi.
Alfiya membelek-belek lagi kedua-duanya. Keliru untuk memilih. Kedua-dua kasut masih dipegang sambil matanya masih melihat-lihat.
Adif Ashman terpandangkan seorang lelaki berkaca mata sedang membelek kasut. Lelaki itu mencapai sandal berwarna ungu cerah. Tiba-tiba telefon lelaki itu berdering.
“Sayang ambil sandal ungu cerah. Kasih ambil warna biru. Okey tak? Ery tak nak sayang jatuh lagi.” Lelaki itu menyimpan telefon ke dalam poketnya kembali kemudian memanggil jurujual.
Entah kenapa Adif Ashman asyik seketika dengan lelaki itu. Pelik, yang di telefon dipanggil sayang dan yang berada tidak jauh dari situ dipanggil kasih. Beristeri dua barangkali. Kalau benar, tak bergaduhkah?
Haisy, dia pulak yang tolong memikir masalah orang. Kenal pun tidak. Tapi, entah kenapa dia terasa seperti pernah melihat lelaki itu. Tapi, di mana? Dalam dia memikir lelaki itu sudah pergi dengan perempuan yang dipanggil kasih itu.
Alfiya memilih untuk mengambil kasut berwarna kuning air itu. Bukan mahal pun. Kasut berjenama Bonia itu cuma berharga 350 ringgit sahaja. Sahaja!

Alfiya rindu untuk keluar dengan Adif Ashman. Cinta mereka bukan seperti cinta orang lain yang kerap berjumpa. Mereka hanya berjumpa sebulan sekali. Bertemu itu pun jika Alfiya tidak sibuk dan dia ke London.
Bagi Adif Ashman pula dia memang susah mahu pulang ke Malaysia. Kerana kerjanya kadang-kadang menyebabkan dia belayar ke serata negara orang.
“Senang hati sikit B dah balik sini. Kalau tidak Fiya asyik rindu sahaja,” luah Alfiya ketika mereka menjamu selera di Secret Recipe.
Adif Ashman melirik Alfiya.
“Fiya ingat Fiya seorang aje rasa macam tu? B lagilah bahagia,” ucap Adif Ashman sambil mencuit hidung Alfiya.
“Teringin nak jumpa mama B. Dia sihat ke?” tanya Alfiya.
“Okey aje dia. B dah bagi hint pasal Fiya. Nanti kita jumpa dia,” ujar Adif Ashman sambil tersenyum manis kepada Alfiya.
“Insya-Allah, bila dah jumpa dengan mama, kita terus jumpa bonda Fiya pula,” sambung Adif Ashman.
Alfiya mengangguk seraya senyum lagi.

ARA ADALEA membelek-belek sandal yang dihantar oleh Hairi dan Jaslia tadi. Pandai pula mamat ni pilih. Nak harapkan Jaslia, perempuan tu mana tahu pilih kasut. Pakai saja pandai. Semuanya aku dan Ery yang pilih, desis hati Ara Adalea. Bagi seorang gadis yang bernama Jaslia, paling membosankan katanya memilih kasut.
Ara Adalea memakai sandal tersebut. Hmm... cantik sangat saat ia sudah tersarung di kakinya. Sandal itu diletakkan di tepi pintu. Sandal barulah katakan.
Ara Adalea menyusup masuk ke dalam rumah apabila ternampak muncung Volkswagon Passat hitam milik Adif Ashman. Tak ingin bertekak. Pintu dikunci.
Tatkala melangkah masuk, mata Adif Ashman terpaku pada sepasang sandal ungu cerah. Serupa betul dengan sandal yang dibeli oleh lelaki di pasar raya tadi. Seingat Adif Ashman sandal itu tiada di situ sewaktu dia keluar tadi.
Aisy, buat apa teringat lelaki tadi? Aku bukan gay pun, gerutu hatinya. Lantaklah sandal itu ada ke tidak tadi. Ini mesti si perampas punya. Sandal itu disepak hingga terjatuh ke dalam longkang. Baru puas hati. Adif Ashman tersenyum. Persis seekor kambing.
“Hoi! Tenuk, yang kau sepak sandal aku buat apa?!”
Jerkahan itu benar-benar mengejutkan Adif Ashman. Terlopong mulutnya memandang Ara Adalea yang sedang menjegil mata. Nampak bengis wajah Ara Adalea. Bila pula minah ada kat sini? Tadi dia memang yakin tiada siapa-siapa pun di situ.
“Eleh! Bukan mahal pun!” Adif Ashman mempertahankan perbuatannya tadi. Sandal itu disepak lagi sekali melalui longkang itu.
“Mahal atau murah kau tak ada hak nak sepak sandal ni,” kata Ara Adalea sambil mengutip sandalnya. Nasib tak basah.
Mahu basah macam mana kalau di dalam longkang itu tiada air?
“Tepilah sikit. Ni apa hal terjenguk-jenguk juga ni?!” Ara Adalea menolak tubuh sasa Adif Ashman.
Tak terkutik pun. Maklumlah sasa dan tegap. Wajah Ara Adalea merona merah dek kemarahan yang sudah mencapai klimaks. Lantas jelingan diberikan kepada Adif Ashman. Mahu melebih-lebih bimbang dia pula yang terkena.
“Kau nak kasut cantik lagi tak? Lebih daripada ini?” tanya Adif Ashman sambil tangan menunjuk ke arah sandal ungu cerah itu.
Tiada suara daripada Ara Adalea yang asyik membelek-belek sandalnya itu.
“Kalau nak, aku boleh beli. Tumit tinggi. Tengok kau pakai saiz apa?” sambung Adif Ashman terus menarik sandal di tangan Ara Adalea.
Dia melihat belakang kasut Ara Adalea. Hmm, saiz lima. Samalah dengan Alfiya.
“Tak ingin aku. Kau kan pernah cakap tak nak habiskan duit untuk aku!” dengus Ara Adalea. Mulutnya dimuncungkan.
Ara Adalea cuba merampas semula sandalnya. Namun, tidak berjaya kerana Adif Ashman sudah menaikkan tangannya. Mana mungkin dapat dicapai oleh Ara Adalea. Walaupun Ara Adalea tinggi, tetapi dia tidak setinggi Adif Ashman. Ketinggiannya hanya separas dada Adif Ashman.
Adif Ashman meledakkan ketawa melihat Ara Adalea terlompat-lompat macam katak.
Ara Adalea segera berjalan masuk ke dalam rumah dengan muka yang mencuka apabila dia tidak dapat mencapai kasutnya. Bencinya. Kakinya itu menyepak angin tanda memprotes. Kalaulah mama ada tentu dia akan mengadu dengan mama. Entah ke mana mama keluar bersama rakannya. Masa inilah pula mama tiada. Tapi, yang kau gatal keluar dari nak cari gaduh dengan dia buat apa? Sekarang siapa yang merana? desis hati kecil Ara Adalea.
“Letaklah sandal tu...” Separuh merayu Ara Adalea. Dia memandang Adif Ashman sekali lagi.
Mahu menangis pun ada apabila dipermainkan oleh Adif Ashman yang memang tinggi itu. Dia betul-betul sudah jadi mangsa buli.
“Ambillah kalau boleh,” kata Adif Ashman sambil mengangkat keningnya.
Ara Adalea tidak berpuas hati lagi, lalu dia keluar semula. Menghampiri Adif Ashman. Ara Adalea melompat lagi. Kali ini tangannya yang sebelah lagi memegang baju Adif Ashman.
Adif Ashman yang sedang memegang kasut tidak dapat menampung keberatan tubuh Ara Adalea. Melainkan Adif Ashman mengalah. Jika dibiarkan mahu terkoyak baju mahalnya itu.
Ara Adalea ketawa geli hati melihat Adif Ashman yang mengalah kepadanya. Ingat aku bodoh sangat, desis hatinya. Dia berlari masuk semula ke dalam rumah. Ara Adalea memeluk kasutnya. Ada hati nak kenakan aku. Dia mengerutu senang hati. Dia sempat melihat Adif Ashman yang mencuka wajahnya itu.
Adif Ashman merengus geram.
“Kau ingat sikit, ada ubi batas ada hari boleh balas,” kata Adif Ashman sambil menudingkan jarinya.
“Ada bas ke ada lori ke, aku tunggu kau nak balas,” ejek Ara Adalea, menjelirkan lidahnya kepada Adif Ashman.
Adif Ashman tergerak-gerak rahang mengingatkan jeliran lidah Ara Adalea. Budak berhingus ni memang nak kena dengan aku!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan