Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 24 Jun 2016

Jodoh Satu Rumah - Bab 5

HAIRI menolong Ara Adalea mengeluarkan barang dari but kereta.
“Sayang, tea set Haji Ismail Group tu dah masukkan ke dalam beg, kan?” tanya Hairi sambil membelek-belek beg beroda Ara Adalea.
Ara Adalea cuma mengangguk. Dia menudingkan jarinya ke arah plastik hijau di tepi kereta.
“Mana tahu terlupa dalam feri ke apa ke. Kalau lupa dalam kereta ni tak apa, Ery hantar semula ke sini.” Dia mengomel sendiri.
“Haisy, mana boleh lupa. Untuk mama tu,” kata Ara Adalea.
Ara Adalea mengetuk cermin kereta. Jaslia asyik bermain game dengan telefonnya. Memandangnya sekilas, kemudian kembali dengan permainannya. Ara Adalea sekadar menggelengkan kepala.
Ara Adalea melambaikan tangan apabila Hairi memandu Viosnya pergi. Hairi terlalu baik. Setakat ini hanya Hairi sahaja lelaki yang caring bagi Ara Adalea. Dalam segala hal Hairi melebihkan dia dan Jaslia.
Ada sepasang mata di sebalik langsir yang melihat gelagat Ara Adalea dan Hairi. Sudah ada teman rupanya. Ingatkan tiada yang sudi menyerahkan hati dengan perangai yang entah apa-apa itu. Bagi Adif Ashman, Ara Adalea masih budak berhingus. Manjanya dengan mama mengalahkan dia itu anak mama.
Adif Ashman senyum mengejek. Dengan pantas dia menuruni anak tangga. Tidak sabar mahu bertemu dengan Ara Adalea. Suara gelak ketawa mama dan anak angkat mamanya itu jelas di pendengarannya. Dia tidak berkenan langsung dengan budak perempuan itu. Tujuh tahun yang lalu pun dia membantah keras, tetapi bagi mama gadis itu ibarat permata dalam hidupnya.
“Pergi Langkawi pun seronok. Macamlah kat Penang ni tak ada pantai,” sergah Adif Ashman.
Terkejut kedua-duanya dek sergahan itu.
Ara Adalea lagilah berganda terkejutnya. Tak teringat pula dia si tenuk sudah pulang. Bermakna hari-hari dalam neraka sudah tiba.
“La... Suka hatilah aku nak melompat ke terjerit terlolong nak beritahu semua orang kat Malaysia ni aku pergi bercuti kat Langkawi. At least aku sedar diri. Tempat sendiri paling best. Ni tak, negara orang juga yang dilambung-lambung.” Pedas jawapan daripada Ara Adalea.
Mencerlung mata Adif Ashman memandang Ara Adalea. Ara Adalea pula pura-pura membelek tea set yang dibeli untuk mamanya.
“Mama ni lepaskan dia pergi dengan jantan. Entah apa yang dia orang buat kat sana,” kata Adif Ashman.
Adif Ashman masih tidak berpuas hati. Ingin menyakitkan hati Ara Adalea. Tadi dia sudah terkena. Sedap saja mulut mungil itu mengatakan dia mengagungkan negara orang. Cakap tak serupa bikin.
“Hoi! Tolong sikit ya. Jantan tu ada nama!” jerit Ara Adalea.
“Sudah! Lima tahun tak bertemu, masih sama. Seorang jadi kucing seorang jadi anjing,” jerkah Sufi. Buntu dengan perangai anak-anak kesayangannya.
“Mama!” jerit Ara Adalea dan Adif Ashman serentak.
Sufi mendongak terkejut dengan jeritan mereka berdua.
“Mama cakap kami anjing dengan kucing?” Adif Ashman memandang mamanya. Tidak menyangka mamanya sanggup menyamakan mereka berdua dengan binatang.
“Salah ke? Asyik bergaduh aje, padanlah tu.” Sufi mempamerkan muka tidak bersalah.
Tetapi, sebenarnya dia juga tidak mahu mengalah. Serasa dia juga sudah terjangkit perangai anak-anaknya. Kedua-duanya terlampau ego. Ingin mempertahankan diri masing-masing.
“Mama gaduhlah dengan si te... ni. Ara letihlah. Cik abang, esok kita gaduh lagi ya.” Ara Adalea segera mencapai beg tangannya. Sempat menjelirkan lidah kepada Adif Ashman.
“Alah, sayang... Nantilah, mama tak puas dengar cerita lagi ni,” pujuk Sufi.
“Esok ya, mama,” rengek Ara Adalea. Lantas kakinya diayun.
Adif Ashman cuma memandang jelek dengan lenggok Ara Adalea mendaki anak tangga. Perasan cantiklah tu. Alfiya lagi cantik. Alis lentik Alfiya sudah terbayang di depan mata. Alis itulah yang membuatkan mata Alfiya bertambah cantik. Mata itu jugalah yang membuatkan Adif Ashman tak lena tidur.
“Adif, senyum aje? Ada apa-apa yang mama tak tahu?” tanya Sufi.
Dia memandang anak bujangnya. Ibarat dia melahirkan seorang lagi Amri. Itulah rupa arwah suaminya semasa muda. Tampan. Patutlah ada dua tiga orang nakkan anak bujangnya itu. Minah salih pun terpikat. Tetapi, itulah Adif Ashman. Cukup payah menyerahkan hatinya.
“Ingat girl oranglah, mama.” Selamba Adif Ashman menjawab.
“Kalau dah sampai senyum sorang-sorang ni, tak lama lagi adalah gelak ketawa budak kecik dalam rumah mama ni ya, Adif?” usik Sufi menggelengkan kepala sambil menepuk-nepuk bahu Adif Ashman.
“Adif tak pelan lagi bila nak kahwin, tapi Alfiya ada bagi hint.” Jujur jawapan daripada Adif Ashman kepada mamanya. Mungkin tika inilah waktu yang sesuai untuk berbincang.
“Mama tak kisah siapa pilihan Adif mama terima. Cuma apa yang mama mahu soulmate Adif nanti dapat menerima mama dan Ara seadanya. Mama bukan apa, takut nanti hubungan ‘si dia’ dengan Ara macam hubungan Adif dan Ara.” Sufi merenung mata anaknya. Ingin mencari kepastian dalam sinar mata itu.
“Alah, mama ni... Kalau hubungan Ara dengan bakal isteri Adif tak baik, tak kisahlah. Dia bukan adik kandung Adif pun,” selar Adif Ashman.
Cuak dengan kata-kata mamanya. Hatinya sakit apabila nama Ara Adalea dikaitkan sekali. Kalau boleh sepotong nama itu mahu dipadamkan. Ibarat kapur yang tertulis pada papan hitam. Tidak mahu ada dalam kamus hidup dia dan mamanya.
“Tak boleh ke kamu terima Ara? Dah lama dah pun. Lagipun mama memang tak boleh hidup tanpa Ara,” tukas Sufi. Masih mahu mengharap tolak ansur daripada Adif Ashman.
“Ah! Tak boleh mama. Sebab dialah mama tinggalkan Adif seorang di London. Kalau tak kerana budak berhingus tu, kita masih kat London lagi.” Bengis wajah Adif Ashman tatkala mengeluarkan kata-kata itu.
Hairan betul dia dengan mama. Kasihnya kepada Ara Adalea melebihi kasihnya kepada anak sendiri. Bukan dia tidak mahu memahami, tapi itulah perkara yang paling menyakitkan hati. Kerana Ara Adalea mama sanggup tinggalkan kerjaya sebagai pensyarah di salah sebuah universiti terkenal di London. Tinggalkan dia terkontang-kanting menguruskan diri.
Walaupun dia bukan budak hingusan lagi ketika itu, tetapi dia tidak pernah berpisah dengan mamanya. Sebab itulah dia terlalu sakit hati.
“Adif?” panggil Sufi lembut.
Adif Ashman menoleh. Belum pun sempat mamanya membuka mulut lagi, Adif Ashman terlebih dahulu mengeluarkan suara.
“Sudahlah mama, sikit-sikit pasal budak berhingus tu. Nantilah bila dah bincang dengan Alfiya, Adif beritahu mama.” Adif Ashman terus bangun.
Lebih baik berehat di dalam bilik daripada bertekak dengan mamanya. Tak pasal-pasal nanti pergaduhan itu menjadi besar pula. Mamanya pula terang-terang masuk sebelah Ara Adalea.

ADIF ASHMAN membilang satu demi satu anak tangga yang didaki. Sudah menjadi tabiat sedari kecil.
“Dah habis kira anak tangga?” sergah Ara Adalea.
Tersentak Adif Ashman. Hampir terbang semangatnya. Budak ni memang nak kena. Adif Ashman melintangkan kakinya ketika Ara Adalea melompat-lompat ketika menuruni tangga. Hampir tersungkur Ara Adalea.
“Tak guna!” Serta-merta tangan kanannya melibas. Pap!
Terkena lengan Adif Ashman. Pijar terasa. Tapi, ditahannya. Takkanlah nak tunjuk muka sakit depan budak berhingus ni? Kontrol macolah konon. Hatinya sakit dengan tamparan itu.
“Ehem...” Sufi berdeham. Sejak tadi dia melihat saja telatah dua ‘beradik’ itu dari bawah.
Tak boleh jadi ni. Dulu bergaduh dengan mulut, sekarang sudah pandai menggunakan kekerasan. Keras kepala betul. Tak nak mengaku kalah. Demi terdengarkan dehaman Sufi, seorang melangkah ke atas dan yang seorang lagi turun ke bawah.
“Alah, mama ni, main-main aje. Yang tu pun nak marah. Tengok sikit muka ni, entah-entah dah masak. Sedap ni kalau makan, cicah dengan air asam.” Ara Adalea bergurau. Dia membelek-belek muka Sufi.
Sufi masih diam.
“Eh! Eh! Dah boleh makanlah... Meh sini nak makan.” Ara Adalea membuka mulutnya. Membuat bunyi seperti harimau.
Akhirnya Sufi tergelak.
“Kamu ni Ara... Ada-ada saja. Tak jadi mama menyinga.” Pipi Ara Adalea dikucup hangat.
Adif Ashman yang melihat adegan itu melangkah masuk ke dalam bilik dengan hati yang sebal. Sebal kerana Ara Adalea pandai mengambil hati mamanya. Hatinya masih sakit kerana terpaksa berkongsi kasih mama dengan Ara Adalea. Tambahan pula kena pelempang tadi. Bencinya!
Bilalah Ara Adalea akan hilang daripada hidupnya? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan