Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 24 Jun 2016

Jodoh Satu Rumah - Bab 2

ARA ADALEA masih bersimpuh di hadapan kubur abah dan uminya. Hujan yang mencurah-curah tidak dihiraukan. Bagaikan mengiringi pemergian umi dan abahnya ke alam barzakh. Ara Adalea masih mahu menemani abah dan uminya.Tiada lagi air mata yang mengalir. Dia sudah puas meratapi kehilangan kedua-duanya.           
“Sudah berapa lama dia di situ?” seorang wanita bertudung bertanya kepada salah seorang lelaki yang berada di situ.
“Sejak awal tadi. Kasihan dia.” Pak Ahmad menggeleng-gelengkan kepala.
Dia mengenali keluarga itu. Kedua-dua orang guru itu cukup baik dengan semua jiran. Adat dunia barangkali, orang yang baik akan dijemput lebih awal.
“Tak tahulah di mana Adalea akan menumpang selepas ini. Setahu saya mereka memang tiada ahli keluarga. Masing-masing anak yatim. Puan ni siapa?” tanyanya hairan kerana dia tidak penah melihat wanita itu di kawasan kejiranan mereka.
“Saya ni kawan kepada mereka berdua. Baru balik dari London. Sampai aje kat sini kawan saya telefon beritahu hal ini. Niat nak buat kejutan untuk mereka, tapi saya yang terkejut,” beritahunya.
Sufi sudah puas menangis tadi, sejak dia tahu tentang itu daripada peguam Alfira dan Haris yang menelefonya.
“Saya Pak Ahmad, jiran mereka.” Pak Ahmad memperkenalkan dirinya.
“Saya Sufi...” Sufi memperkenalkan dirinya.
Ara Adalea bangun. Menunduk memerhatikan hujung kain baju kurungnya yang sedang menitiskan air. Hatinya berat mahu meninggalkan tanah kubur itu. Mindanya masih berfikir bagaimana kehidupannya selepas ini. Bagaimana dia mahu meneruskan hidup?
“Assalamualaikum, Ara.” Satu suara memberi salam.
Ara, panggilan daripada kedua-dua orang tuanya. Orang luar lebih menyukai nama keduanya, Adalea. Hatinya tertanya-tanya siapakah wanita ini. Kawan umikah? Hati gadis 14 tahun itu diserbu perasaan pelik.
Dia memandang wanita cantik itu. Baru dia teringat wanita inilah yang menemaninya di dalam biliknya tadi. Tapi, kenapa dia macam pernah lihat dia? Cuma dia tidak ingat di mana.
“Waalaikumussalam.” Lambat dia menjawab. Wanita itu memayunginya yang sememangnya sudah basah kuyup.
“Siapa mak cik ni? Ara tak pernah kenal pun?” tanya Ara Adalea.
“Nama mak cik, Sufi. Kawan baik umi dan abah Ara. Ara ingat tak kita pernah jumpa ketika umur Ara lapan tahun? Masa tu mak cik balik sebab nak jumpa umi Ara. Mak cik baru sampai dari London semalam.” Wanita yang memperkenalkan diri sebagai Sufi bercerita serba sedikit.
Ara Adalea cuba mengingati. Ya, dia masih ingat. Mak Cik Sufi inilah yang menghadiahkan loket berbentuk bulat dan di tengah-tengahnya dan ada dua huruf A. Mewakili Ara Adalea.
“Mak cik yang hadiahkan loket ni, kan?” Ara Adalea mengeluarkan loket yang tersangkut di rantainya. Rantai ‘gila-gila’ itu dihadiahkan oleh umi dan abah kerana mendapat tempat pertama di dalam kelas.
Sufi senyum. Lantas dipeluknya tubuh kecil Ara Adalea. Ara Adalea membalas pelukan itu.
Ingatan Ara Adalea masih lagi kuat biarpun sudah beberapa tahun berlalu. Rantai itu adalah hadiahnya kerana katanya dahulu dia mahu berbesan dengan Alfira. Ara Adalea dibawa ke kereta. Dibukakan pintu kereta untuk Ara Adalea. Sementara dia beralih ke tempat pemandu.
Dia memandu keluar dari tanah perkuburan itu. Ara Adalea cuma memandang kosong ke luar kereta. Benar kata Alfira, anaknya ini pendiam. Tapi, bila kena gayanya, tak terlayan.
“Macam mana mak cik tahu pasal umi dan abah?” tanya Ara Adalea setelah lama dia mendiamkan diri.
Sufi menoleh seraya mengukirkan setaman senyuman buat Ara Adalea.
Manisnya semyuman Mak Cik Sufi ni, desis hatinya.
“Peguam umi yang call mak cik. Ada kaitan dengan insurans. Insurans nyawa dia orang berdua diletakkan nama Ara sebagai penerima, mak cik pula sebagai pemegang amanah dan...” Sufi berhenti. Tidak terlalu awalkah untuk dia memberitahu Ara Adalea pasal perkara itu?
Ara Adalea tahu ada sesuatu yang membuatkan Sufi berhenti.
“Beritahulah mak cik, Ara boleh terima.”Ara Adalea bersuara perlahan.
Baik atau buruk sudah tidak membawa apa-apa. Umi dan abah sudah tiada. Tiada perkara yang lebih menyakitkan selain daripada kehilangan kedua-duanya.
“Umi dan abah Ara lantik mak cik sebagai penjaga Ara yang sah setelah ketiadaan mereka.” Sufi melontarkan suara selembut yang mungkin. Takut hati gadis kecil itu makin terluka.
“Oh, ingatkan apa tadi. Ara tak kisah. Ikut aje. Lagipun Ara tidak ada ahli keluarga lain. Jika mak cik mahu menjaga Ara, Ara bersyukur sangat,” katanya sambil mengukirkan senyuman.
Tidak semanis mana. Mungkin kerana masih bersedih. Cuma lesung pipit kecil di sebelah pipi kanannya terserlah.
“Ara tak nak tahu pasal insurans tu?” tanya Sufi.
“Mak cik beritahulah apa yang patut.”
Sufi masih fokus pada pemanduannya, cuba untuk memotong sebuah kereta. Dia memasuki laluan kiri semula selepas memotong kereta tadi.
“Ginilah... Sebelum Ara mencapai umur 21 tahun, mak cik tak boleh serahkan wang tu. Lepas 21 tahun baru boleh. Tak banyak, tetapi bolehlah untuk hidup Ara.” Sufi menoleh. Ingin melihat reaksi Ara Adalea. Tetapi, gadis sunti itu hanya diam.
“Agaknya sebab dia orang dah tahu dia orang akan pergi dahulu,” sambung Sufi lagi.
“Banyak duit pun dah tak ada makna, mak cik. Mereka berdua dah tak ada,” balas Ara Adalea perlahan.
Sufi mengusap belakang Ara Adalea.
Ara Adalea membalas dengan pandangan manja. Adakah dia dapat menumpang kasih pada Mak Cik Sufi? Dia tidak tahu, tetapi dia akan mencuba.
“Tapi, Ara ada mak cik, kan?” kata Sufi.
“Entahlah mak cik, Ara betul-betul terkejut dengan kehilangan mereka. Lepas tu pula timbul pasal wang insurans ni. Peninglah kepala Ara,” luah Ara Adalea.
“Tak apa Ara, selagi mak cik ada dan selagi mak cik boleh tolong, mak cik akan tolong. Lagipun mak cik tak ada anak perempuan. Anak perempuan ni boleh dibuat kawan. Kata kawan-kawan mak cik. Anak mak cik yang sorang tu bukannya nak tinggal dengan mak cik, ” katanya. Teringat anak bujangnya yang dia tinggalkan di London.
“Mak cik ada anak lelaki ke?” tanya Ara Adalea. Susahlah kalau macam ni.
“Hmm... Dia kat London. Belajar. Tapi, hampir habis dah. Sebenarnya mak cik dengan anak mak cik menetap di sana. Sekarang ni mak cik dah bosan kat negara orang, sebab tu mak cik balik. Bolehlah bersama umi Ara lagi, tapi Allah lebih sayangkan dia,” katanya tersenyum dalam kesedihan. Alfira banyak menolongnya sejak sekolah hinggalah dia ke luar negara.
“Tapi, Ara jangan risau. Dia tak akan balik dalam waktu yang terdekat ni. Dia dah dapat ofer kerja kat sana. Habis aje belajar dia akan terus bekerja. Jadi, tak ada sesiapa yang tinggal dengan mak cik,” katanya. Menghalau kebimbangan Ara Adalea.
“Jadinya Ara ni kena tinggal dengan mak ciklah ya?” kata Ara Adalea.
“Boleh atau Ara...?”
“Bolehlah. Mak cik memang pandai bagi hint, Ara fahamlah,” kata Ara Adalea tergelak. Gelaknya yang pertama selepas pemergian umi dan abahnya.
Sufi senyum senang. Tidak payah untuk berkomunikasi dengan Ara Adalea sebenarnya. Gadis sunti yang cerdik sepertinya tentulah tidak susah untuk menangkap apa yang mahu diberitahunya tadi.
“Tapi, nanti kita tak tinggal kat sini. Kita akan kembali ke Penang,” katanya kepada Ara Adalea.
“Cara mak cik cakap ni macamlah kita ni dari Penang.” Ara Adalea berkata hairan. Dia senyum.
“Mak cik memang orang sana. Umi dan abah Ara pun sama,” ujarnya.
“Ya ke? Umi dan abah tak pernah cakap pun.” Ara Adalea hairan.
“Yalah,” balas Sufi.
“Di mana-mana pun tak apa, asalkan Ara ada teman untuk meneruskan hidup,” ujarnya sambil mengukirkan senyuman kepada Sufi.                       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan