Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Sabtu, 25 Jun 2016

#SuamiIsteri - Part Isteri Sejuta Rasa

Harga: RM21.00 / RM24.00

SAFIEYA tersenyum melihat Farisha berlari sambil ketawa mengekek apabila dikejar oleh Riezman. Dia yang sedang menatang dulang untuk mereka minum petang melangkah dengan berhati-hati. Sesekali matanya memandang dua beranak itu leka bermain sembunyi-sembunyi pula.
Kemudian Riezman menoleh ke arah isterinya yang terkial-kial melangkah sambil menatang dulang. Dia menggeleng kepala dengan kedegilan Safieya.
“Isy, Fieya ni kenapalah degil sangat? Abang suruh panggil abang kan kalau dah siap? Suka tau bagi abang rasa bersalah.” Riezman segera mencapai dulang dari tangan isterinya. Diletakkan di atas meja besi berbentuk bulat dan berkerawang bunga berwarna putih.
“Alahai, Fieya larat lagilah. Kenapa abang nak rasa bersalah pulak?”
Berhati-hati Riezman menahan kerusi dan memegang lembut lengan Safieya untuk duduk. Dia memandang Safieya yang nampak keletihan dan tercungap-cungap.
“Larat apanya? Jalan pun dah macam penguin. Tengok tu, tercungap-cungap. Perut Fieya tu dah makin besar abang tengok,” usik Riezman.
“Jahatlah abang ni! Ada pulak kata Fieya ni penguin. Sampai hati. Siapa yang jadikan Fieya macam ni kalau tak abang?” rajuk Safieya. Muncungnya sudah panjang sedepa.
“Alamak, isteri abang dah merajuk pulak. Abang gurau ajelah, sayang. Isteri abang ni comel.” Riezman mencubit manja pipi Safieya yang semakin gebu semenjak hamil anak kedua.
“Fieya ni dah tujuh bulan. Bila-bila masa pun boleh beranak tau.” Safieya menjeling manja.
“Ya, abang tahu. Abang dah suruh cuti, tapi Fieya tak nak.” Riezman menuang sendiri air ke dalam cawan untuknya dan Safieya.
“Buat masa sekarang ni, tak bolehlah abang. Banyak fashion show yang nak kena handle.” Safieya mencicip air Milo panas perlahan-lahan.
“Kita suruh mama tak pun ibu abang datang jaga Fieya, ya?” pujuk Riezman.
Dia sebenarnya risau dengan keadaan Safieya yang sarat hamil tujuh bulan. Semua kerja di rumah Safieya nak buat sendiri. Mujur Farisha yang berusia empat tahun itu sudah dihantar ke taska, kemudian tengah hari Puan Hazimah yang akan menjaganya sementara Safieya bekerja.
“Tak naklah, abang. Mama dah jaga Icha. Ibu dengan ayah kan jauh kat Singapura? Tak apalah, abang. Fieya larat lagi.” Bersungguh-sungguh Safieya beritahu.
Riezman hanya menggeleng kepala. Safieya memang degil kalau perihal dirinya. Ada sahaja alasan yang dia berikan kalau Riezman minta dia bercuti atau berhenti kerja.
“Eh, Icha! Abang ni, borak sampai lupa si Icha tu ha.” Safieya sudah berdiri. Satu tangan memegang belakang pinggangnya, satu tangan lagi menunjuk ke arah Icha yang leka berdiri di tepi kolam ikan.
“Icha,” seru Riezman sambil mendekati anak perempuannya.
“Icha buat apa tu?” Riezman memegang kedua-dua belah bahu anak kecil itu.
“Icha bagi fish makan, papa.” Farisha ambil lagi segenggam makanan ikan dan dicampak ke dalam kolam.
“Astaghfirullah al-azim, Icha. Kenapa bagi fish makan banyak-banyak macam ni? Habislah semua fish ni bulat-bulat macam mama,” rungut Riezman sambil mengambil bekas makanan ikan dan diletakkan di atas para yang dibuat sendiri.
“Abang, Fieya boleh dengar tu.” Safieya sudah berpeluk tubuh. Masam mencuka wajahnya bila dia pula jadi mangsa ejekan suaminya.
Ayo, papa. Mama dah merajuk.” Farisha gerak-gerakkan jari telunjuknya.
“Alah, mama Icha tu semenjak ada adik dalam perut mama, selalu merajuk. Shhh... Jangan bagi tahu mama tau,” bisik Riezman sambil letak jari telunjuk di mulutnya.
Kedua-dua beranak itu memandang serentak Safieya yang sedang merenung mereka. Safieya jegilkan biji mata sambil bercekak pinggang. Riezman dan Farisha ketawa geli hati pula.
“Sudah, Icha. Mama nak Icha masuk dan mandi dalam masa lima minit.” Safieya tunjuk lima jari kepada Farisha.
Perlahan-lahan Farisha berjalan sambil tunjuk wajah protes ke arah mamanya kemudian berlari masuk ke dalam rumah.
“Fieya pun... Kesian Icha.” Riezman berjalan merapati isterinya yang masih merajuk.
“Biarlah. Abang dengan Icha sama aje. Suka nak kenakan Fieya,” bentak Safieya kemudian dia juga masuk ke dalam rumah.
Riezman hanya tersenyum dan menggeleng kepala. Sudah masak benar dengan sikap isterinya yang sangat sensitif semenjak disahkan hamil anak kedua. Sudahnya, Riezman juga turut masuk sambil tatang dulang minum petang mereka.

SELESAI mandikan dan pakaikan baju untuk Farisha, anak itu masih merajuk tak mahu keluar bilik. Safieya memandang sayu anak perempuannya yang sedang sibuk mewarnakan buku.
“Kejap lagi kita makan ya, sayang. Mama masakkan telur hancur kegemaran Icha tau,” pujuk Safieya.
Dia pandang lagi Farisha untuk lihat respons anaknya. Farisha masih diam membatu sambil mewarna. Akhirnya Safieya tutup semula pintu bilik Farisha dan masuk ke biliknya. Kelihatan Riezman baru selesai solat maghrib dan sedang melipat sejadah. Safieya duduk di birai katil sambil memegang perut boyotnya.
“Icha buat apa?” soal Riezman.
“Merajuk. Tak nak cakap dengan Fieya.” Safieya menghela nafas kemudian dia bangun menuju ke jendela. Memandang ke arah laman yang kelihatan berbalam-balam.
“Sayang, merajuk dengan abang lagi ke?”
Ini yang Safieya lemah. Bila Riezman mula memeluknya dari belakang, boleh sejuk hatinya sehingga tembus ke tulang belakang. Dia masih diam kaku menikmati pelukan hangat itu.
“Fieya janganlah tegas sangat dengan Icha. Dia bukan faham sangat pun. Hidup dia cuma tahu main, mewarna, melukis dengan cara dia, berbual dan luahkan perasaan dengan kita. Dia masih belum faham macam mana nak sorok perasaan dia,” pujuk Riezman. Dia mengucup perlahan pipi isterinya.
“Fieya tak nak abang lupakan Fieya. Abang tu, macam tak sayang Fieya lagi semenjak Icha ada. Ini belum yang dalam perut ni keluar. Mesti abang lupakan Fieya terus, kan?” Safieya mula menangis.
“Ya Allah, Fieya. Fieya cakap apa ni? Kenapalah sampai ke situ Fieya fikir? Dah, jangan fikir bukan-bukan. Fieya tahu kan abang sayang Fieya? Abang sayang anak-anak kita. Semua sama rata. Sekarang ni, Fieya pergi solat maghrib. Jangan fikir macam ni lagi.” Riezman memeluk erat isterinya.
Lima saat kemudian dia leraikan pelukan. Tubuh isterinya dipusing dan mereka bertentangan pula. Dia mengusap lembut perut Safieya. Di dalam perut itu ada bayi lelaki yang akan mewarisi keturunannya.
Safieya tersenyum. Hatinya sedikit terubat mendengar kata-kata Riezman. Dengan langkah perlahan-lahan dia menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk.
Riezman hanya tersenyum kecil. Dia tak ambil hati langsung dengan kata-kata Safieya. Dia tahu Safieya pun keliru dengan perasaannya semenjak hamil kali kedua.

SELEPAS makan malam, Safieya menjenguk Farisha di dalam bilik tidurnya. Anak kecil itu sudah mula belajar tidur sendiri di dalam bilik yang terletak bertentangan dengan bilik tidur utama. Kecuali ketika hujan lebat dan bunyi guruh yang berdentum-dentum, Farisha akan lari dan tidur bersama papa dan mamanya.
“Icha?” seru Safieya sambil melabuhkan punggung di atas katil.
Farisha sedang duduk bersandar pada kepala katil sambil bermain dengan anak patungnya.
“Icha merajuk dengan mama lagi ke?” soal Safieya lembut.
Farisha menggeleng kepala. Tetap tidak mahu bersuara.
“Kalau Icha tak merajuk, Icha cakaplah dengan mama,” pujuk Safieya lagi.
Kali ini Farisha menoleh, memandang wajah mamanya.
Wajah sedih itu buat jiwa Safieya meruntun. Dia menarik bahu si kecil dan memeluk erat tubuh itu.
“Mama tak sayang Icha lagi?” soal Farisha.
“Hei, siapa kata mama tak sayang? Mama sayang Icha banyak-banyak tau.” Safieya tersenyum sambil mengelus pipi anaknya.
“Tu, mama marah-marah Icha.” Farisha peluk tubuh tanda protes.
“Taklah, sayang. Mama tak marah. Itu mama penat. Icha kenalah dengar cakap mama, cakap papa, ya?” Safieya berusaha pujuk Farisha lagi.
“Nanti adik dah keluar, mama sayang Icha lagi tak?” soal Farisha.
Safieya ketawa kecil. Dia membelai rambut panjang Farisha. Rambut ikal dan halus yang diwarisi daripada Riezman.
“Mestilah mama sayang. Icha anak mama. Adik pun anak mama. Dua-dua mama sayang,” luah Safieya lagi.
“Kalau mama dengan papa tak sayang Icha, Icha nak lari duduk dengan tok daddy dengan tok mama.” Pandai pula Farisha mengugut Safieya.
Safieya mahu ketawa, tetapi dia tahan. Cuba untuk layan lagi perasaan Farisha yang bijak. Safieya pura-pura menangis sehingga gelisah Farisha dibuatnya.
“Mama, janganlah nangis. Okey, okey, Icha tak jadi lari rumah tok daddy dengan tok mama. Icha duduk rumah kita aje baca buku. Okey mama?” Farisha melutut dan berusaha buka kedua-dua belah tangan Safieya yang menekup muka.
“Icha tak sayang mama dah...” Safiey mengongoi.
“Icha sayang mama. Mama janganlah nangis.” Suara Farisha sudah berubah.
Safieya intai dari celahan jari-jemarinya. Dia tahu sedikit masa lagi mesti Farisha pula akan menangis. Belum sempat Safieya berlakon lama, Riezman masuk ke dalam bilik anaknya dan melihat dua beranak itu sama-sama menangis.
“La... Ini kenapa pulak dua-dua menangis ni?” soal Riezman sambil duduk di birai katil.
Dia lihat Safieya beri isyarat. Riezman hanya menggeleng kepala bila tahu Safieya sengaja mahu mengusik anaknya.
“Dahlah, Icha. Jangan nangis, okey. Papa kan ada? Mama saja aje tu. Tu tengok mama tipu-tipu nangis.” Riezman pangku Farisha kemudian tunjuk ke arah Safieya.
“Cak!” Tangan yang menekup muka dibuka dan Safieya tersengih-sengih memandang Farisha.
“Mama!” Farisha beralih ke pangkuan Safieya pula. Safieya mencium wajah anaknya bertubi-tubi.
Riezman hanya melihat dan tersenyum bahagia.
“Okey, sekarang waktu tidur. Esok Icha nak pergi school jumpa kawan-kawan, kan?” Riezman membaringkan Farisha dan menyelimutkan tubuh kecil itu.
“Okey sayang, good night,” ucap Safieya sambil mencium dahi Farisha.
Good night, mama. Good night, papa,” balas Farisha kemudian tutup wajahnya dengan selimut.
Riezman dan Safieya keluar dari bilik Farisha dan masuk ke bilik mereka. Seperti biasa sebelum tidur, Riezman akan urut manja belakang Safieya sebelum isterinya itu tidur. Kerap benar Safieya mengadu sakit belakang semenjak kandungannya masuk tujuh bulan.
“Okey, thanks abang. Good night.” Safieya mengucup pipi suaminya sebelum melelapkan mata.
Riezman hanya memandang simpati wajah yang banyak berkorban untuknya. Dia tahu Safieya keletihan dan tak larat lakukan semua kerja-kerja rumah. Sudahlah dia bekerja, hal menguruskan rumah tangga juga dia kena ambil tahu. Riezman cuba cari jalan macam mana mahu meringankan beban isterinya. Selalu dia bantu juga apa yang patut, tetapi tetap juga Safieya keletihan dan tidur awal.

SELESAI bermesyuarat dengan ketua setiap bahagian, Riezman kembali semula ke biliknya. Hazmir turut mengekori kawan baiknya itu. Riezman duduk bersandar pada sofa berangkai tiga dan Hazmir hanya duduk di kerusi yang diletakkan di depan meja kerja.
“Ha, kenapa kau panggil aku ni?” soal Hazmir sambil bermain-main pen di tangan.
“Fieya.”
“Eh, dah bersalin ke dia?” Terkejut Hazmir bila Riezman menyebut nama isterinya.
“Eh, bukan. Aku nak cakap yang aku kesiankan Fieya yang sarat tu,” sambung Riezman sambil tersengih-sengih bila memandang Hazmir yang menjelingnya.
“Apa yang susahnya? Suruhlah isteri kau cuti awal.” Hazmir memberi cadangan.
“Aku dah suruh. Kau tahu ajelah Fieya, memang dia tolak mentah-mentahlah cadangan aku.” Riezman tersengih sambil mengurut tengkuknya.
“Takkan kau pulak nak cuti? Projek banyak ni. Rezeki anak kau.” Hazmir menjongketkan kening.
“Eh, tak adalah. Sebab tulah aku nak tanya kau ni. Apa cadangan yang kau ada?” soal Riezman.
“Mentang-mentanglah aku ni kahwin dengan kawan baik isteri kau, dan-dan mintak cadangan aku,” seloroh Hazmir.
Akhirnya berjaya juga percintaan Hazmir dan Zalina sehingga ke jenjang pelamin.
“Eh? Tak ada pasallah! Dari aku mula-mula kahwin dengan Fieya lagi kau tu aku lantik jadi penasihat aku. Cuma tak bagi 25 persen aje.” Riezman tesengih.
Masing-masing ketawa galak. Kemudian senyap semula dan fikirkan apa cadangan yang bernas untuk menyelesaikan masalah Safieya yang sudah sarat, tetapi masih mahu buat semua kerja.
“Okey, aku tak tahu cadangan aku ni bernas ataupun tak.” Hazmir bersuara. Dia beralih duduk di sofa tunggal.
“Apa dia?”
“Kau carikanlah pembantu rumah. Made in Malaysia. Bukan kau tak mampu nak gajikan pembantu rumah, kan? Kahwin lagi tiga pun aku rasa kau mampu sangat-sangat,” usik Hazmir.
Maid?” Riezman diam memikir. Dia sebenarnya tak pasti Safieya setuju ke tidak dengan cadangan itu.
“Ya, cari maid. Kalau boleh dari kampung ke. Aku tak galakkan ambik daripada agensi. Baik ambik orang kita. Mesti ada. Kalau kau takut Fieya tak setuju, kau jangan bagi tahu dia. Rahsiakan dulu.” Bersungguh-sungguh Hazmir memberi cadangan.
“Betul jugak tu. Aku trylah cari. Kalau kau ada kenal siapa-siapa yang nak kerja jadi maid, kau bagi tahulah.” Riezman tersenyum.
Sekurang-kurangnya dia lebih tenang sekarang. Hazmir memang banyak membantunya.

FARISHA berlari-lari anak ke pintu pagar utama bila terlihat mamanya datang untuk ambil dia pulang. Terloncat-loncat gembira dia bila mamanya turun dari kereta sambil pegang beberapa keping coklat.
Farisha memimpin tangan Safieya dan masuk ke dalam rumah.
“Assalamualaikum.” Safieya melangkah masuk dan terus duduk di ruang tamu melepaskan lelah.
Baru berjalan dari kereta yang dia parkir depan pintu pagar sampai ke dalam rumah, dia sudah termengah-mengah.
“Waalaikumussalam. Amboi, Fieya. Mama tengok perut Fieya tu besar macam anak kembar pulak,” sapa Puan Hazimah.
“Ha, itulah mama. Fieya pun rasa gitu. Tapi, dah scan berkali-kali tetap sorang aje,” balas Safieya tersenyum-senyum.
“Tak apalah, Fieya. Janji sempurna dan sihat sudahlah.” Puan Hazimah meletakkan minuman petang untuk mereka sekeluarga.
“Mana papa?” soal Safieya sambil meneguk rakus air suam yang memang khas Puan Hazimah sediakan untuknya. Kering betul tekaknya.
Farisha pula sedang sibuk bermain dengan anak patung sambil menonton kartun di televisyen.
“Tu, cucu mama tu mengadu yang bukan-bukan.” Puan Hazimah mengerling ke arah Farisha yang leka bermain.
Belum Puan Hazimah terangkan lebih lanjut, Safieya sudah tergelak besar. Dia tahu apa yang Puan Hazimah mahu katakan. Kebiasaannya begitulah. Farisha pasti mengadu kalau ada perkara yang dia tidak puas hati.
“Isy, mama dengarlah cakap si Icha tu. Drama queen aje lebih,” kerling Safieya.
“Dia terasa lebihlah tu nak dapat adik. Takut kita tak sayang dia lagi,” rungut Safieya kemudian tersenyum melihat keletah Farisha yang berbual dengan anak patungnya.
“Bagilah perhatian sikit kat dia. Budak besar ni memang cepat terasa yang kita tak sayang dia. Lagi-lagi kalau kita asyik marah-marah dia aje,” nasihat Puan Hazimah.
Gulp! Terasa tercekik air liur sendiri. Serba salah Safieya mahu memandang mamanya. Memang sejak akhir-akhir ini Farisha selalu menjadi mangsa. Tambahan pula anaknya itu nakal dan lasaknya boleh tahan.
“Tak apalah mama, sekejap aje tu. Bila dia dah faham sikit lagi, dah pandai sayang adik, tak adalah dia mengadu yang bukan-bukan.” Safieya cuba tersenyum.
“Fieya tu pun jangan terlalu sensitif sangat, ya.” Puan Hazimah tersenyum penuh makna.
“La... Ada drama king jugak ke?” keluh Safieya.
Nampaknya dia tidak dapat lari lagi. Perasaan sensitif terlebihnya pun sampai ke pengetahuan mama dan papanya.
Puan Hazimah hanya ketawa bila Safieya menggelarkan Riezman seperti itu. Wajah anak perempuannya itu sudah muncung. Nanti balik rumah sana panjang lagilah rajuknya dengan Riezman.
“Mama yang mengandungkan Fieya. Mama tahulah perangai Fieya tu macam mana. Dulu mengandungkan Icha pun sama jugak.” Puan Hazimah mencebik.
“Alah, mama. Mungkin sebab penat kut.” Safieya cuba beri alasan.
“Mama tahu Fieya penat. Bawak perut lagi, kerja lagi, balik kena uruskan rumah lagi. Mama pun rasa semua tu, Fieya. Bila Riez suruh Fieya berhenti kerja, Fieya tak nak. Suruh cuti awal pun Fieya tak nak. Fieya tu yang degil.” Puan Hazimah sudah membebel.
“Ialah, ialah, Fieya degil.” Muncung Safieya sudah panjang sedepa.
“Ha, tengok tu. Baru aje cakap,” balas Puan Hazimah sambil menggeleng kepala.
Safieya berdiri. Dia tersenyum-senyum pula.
“Okeylah mama, dah petang sangat ni. Nanti malam dah takut Fieya nak bawak kereta. Fieya balik dulu ya, mama.” Safieya bersalaman dengan Puan Hazimah dan menggamit Farisha untuk bersalam dengan tok mamanya.
Bye, tok mama.” Halus dan merdu sahaja suara anak kecil itu di telinga Puan Hazimah.
Safieya dan Farisha masuk ke dalam kereta dan terus sahaja pergi meninggalkan pekarangan rumah orang tuanya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan