Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 24 Jun 2016

Jodoh Satu Rumah - Bab 3

TUJUH tahun Ara Adalea hidup bahagia bersama Sufi yang sudah dipanggil mama. Sekurang-kurangnya hilang rasa kehilangan kedua-dua orang tuanya. Mereka berdua saling memerlukan antara satu sama lain. Saling teman-menemani. Anak lelaki Sufi sudah lama berada di luar negara. Ara Adalea hanya sekali bertemu mata dengan lelaki itu.
“Hai! Mama senyum aje? Boyfriend call ya?” Ara Adalea mengusik. Dia duduk di sisi mamanya.
“Haisy, mama tak mainlah boyfriend ni. Malas dah. Si tenuk call mama.” Senyum sumbing mamanya apabila bercerita perihal anak lelaki tunggalnya itu.
“Sampai hati mama panggil anak sendiri tenuk. Kecik hati dia kalau dengar,” usik Ara Adalea lagi. Ara Adalea ketawa sambil melentokkan kepalanya di atas bahu Sufi.
“Aralah yang selalu panggil dia macam tu. Mama pun dah terikut,” balasnya.
Tak patut betul panggil anak sendiri dengan gelaran itu. Adif Ashman. Indah benar nama itu. Nama yang dipilih bersama arwah suaminya.
“Alah... itu Ara, mama. Ara tak sukalah perangai sombong dan lepas cakap dia tu. Mulut dia tu tak ada insurans. Malaslah Ara nak cakap pasal dia lagi. Dia dah nak balik ke?” Ara Adalea cuba mengorek rahsia. Dia mengerling mamanya sekilas.
Bolehkah aku tinggal sebumbung dengan lelaki itu? desis hati Ara Adalea. Cubalah dulu. Tak boleh nanti keluarlah dari rumah ini. Tapi, mahu ke mama lepaskan aku? Peningnya. Dia bermonolog sendiri.
“Hmm... Syarikat yang dia kerja, buka cawangannya di sini. Dia kata dah bosan tinggal kat sana,” ujar Sufi.
Maknanya tinggal kat sini teruslah. Aduh! Macam mana ni? desis hati Ara Adale lagi.

PUAS meniarap, dia mengiring sambil tangan memegang kemas novel daripada penulis kesayangannya. Ara Adalea lebih banyak menghabiskan masa membaca novel sejak dia bercuti selama dua bulan. Selepas dua bulan dia mahu menumpukan perhatian pada pelajaran. Enam bulan yang akan datang adalah tahun akhir dia di kolej.
Irama lagu Arab daripada Amru Dhiab bergema daripada handsetnya. Cepat-cepat meletakkan novel itu. Dia melekapkan telefon ke telinganya.
“Helo, sayang!” Suara di sebelah sana menjerit.
“Wei! Kontrol sikit.” Ara Adalea menjauhkan sedikit telefon itu dari telinganya.
“Apa nak malu? Sejak dulu aku panggil kau sayang, kan?”
“Jadi ya esok? Ery dengan kasih pergi jemput. Dah beritahu mama sayang tak lagi?” Bertubi-tubi Hairi bertanya.
“Jadilah. Dah dapat green light pun,” beritahu Ara Adalea.
“Okeylah, jumpa esok ya, sayang.”
Gatal. Hairi, satu-satunya kawan lelaki yang paling disayangi. Jaslia aka kasih adalah kawan yang paling dicintai. Semua rakan di kolej hairan dengan persahabatan mereka bertiga. Ara Adalea dipanggil sayang manakala Jaslia dipanggil kasih. Selalu juga orang mengejek Hairi, tetapi Hairi dalam lembut dan diam buat tak tahu sahaja apa yang orang cakapkan.
“Hmm... Tak nak makan ke? Dah kematu punggung mama tunggu,” tanya Sufi.
Terjengul wajah mama di muka pintu bilik Ara Adalea. Ara Adalea senyum lantas mengangguk. Dia bangun menapak ke arah mamanya. Masakan mama sesedap masakan umi. Umi dah pergi, tapi Ara Adalea ada mama di sisi.
“Masak lemak pucuk ubi mama ni memang the best in the world. Sedap betul,” puji Ara Adalea sambil jarinya dicelup ke dalam mangkuk yang berisi masak lemak itu.
Sufi menampar perlahan belekang tangannya. Tersengih Ara Adalea dengan khilafnya. Mama memang pantang orang sentuh makanan di dalam bekas tanpa menggunakan sudu.
Berselera sungguh Ara Adalea menjamah nasi malam itu. Bagai bertahun tidak bertemu nasi.
“Esok tinggal mama soranglah.” Sufi bersuara setelah lama mereka menikmati makanan.
“Nak pergi, jomlah. Rugi tau kalau tak pergi,” balas Ara Adalea.
“Teringin nak pergi, tapi mama dah janji dengan kawan mama. Ada hal sikit. Lagipun petang ni si tenuk sampai.” Dia meneruskan suapan.
Ara Adalea tersengih. Sudah terlupa agaknya mama dengan nama anaknya itu. Panggilan si tenuk itu adalah disebabkan kesombongan lelaki itu. Lima tahun lepas pulangnya cuma seminggu, tapi mereka bagaikan anjing dan kucing. Pantang bertemu, pasti pergaduhan akan terjadi. Malas Ara Adalea mengingatinya lagi. Menyakitkan hatinya sahaja.
Pipi Sufi dicium. Dia mahu berehat kerana esok dia akan menempuh perjalanan yang agak panjang.

ARA ADALEA memandang siling yang dicat dengan warna merah itu. Masih runsing sebenarnya. Bagaimana agaknya rupa ‘tenuk’ itu setelah lima tahun mereka tidak bertemu? Kata mama dia sudah ada seseorang. Nak buat binilah tu. Siapalah agaknya somebodynya itu? Cantik ke tak? Kalau daripada gaya tenuk tu memang tak mainlah pilih orang yang tak ada rupa. Mesti yang mukanya macam Miss World atau Miss Universe. Tinggi lampai.
Ara Adalea bangun semula. Dia menuju ke cermin yang berada di sudut biliknya. Cermin yang lebih tinggi daripada dirinya. Ara Adalea menjongketkan kakinya sedikit. Hmm... Tak berapa nak tinggi ni. Pakai kasut tumit tinggi, tinggilah. Ara Adalea senyum lagi. Dia beralih ke katilnya semula.
Tak jadi pula nak tidur. Apa nak jadi ni? Ni tenuk punya pasallah ni. Buat orang terfikir pula.
“Ah! bencinya!” jerit Ara Adalea.
Pintu biliknya diketuk bertalu-talu. Lalu dibuka dari luar. Wajah Sufi cemas di muka pintu.
“Ara... kenapa ni?” tanya Sufi. Terkejut dengan jeritan Ara Adalea malam-malam begini.
“Tak ada apa-apalah, mama. Ara bosan sikit sebab lambat sangat nak boleh tidur.” Ara Adalea memberi alasan. Dia sengih dengan muka tak bersalah.
“Haisy... Ara ni, terkejutkan mama aje. Ingatkan apalah tadi,” kata Sufi.
Sorry mama... Mama dah boleh tidur dah,” kata Ara Adalea.
Sufi menutup pintu semula. Ditekan tombol kunci itu sebelum dia menutupnya dari luar.
Kesian mama, desis hatinya. Gara-gara dirinya yang asyik memikirkan anak bujang mamanya itu, mamanya terkejut pula. Anak bujang mama tu bukan macam lelaki lain, yang sopan dengannya. Adif Ashman itu versi lelaki yang menyakitkan hatinya. Teramat. Memikirnya saja sudah membuatkan hati Ara Adalea membuak-buak. Kkalau bertemu lagilah, seperti mahu bergusti.
Ara Adalea jika bertembung dengan Adif Ashman, dia bukan Ara Adalea yang elegan, tapi Ara Adalea yang serabut. Serabut dengan mulut tak ada insurans, serabut dengan perangai bengkengnya. Entah apa yang tidak kena dengan hubungan mereka. Sentiasa mahu bercakaran.
Sudahlah Ara, esok nak pergi bercuti, kan? Jadi, lupakan pasal dia dan tidur. Langkawi aku datang! Dia senyum lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan