Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 28 Julai 2016

Isteri Mr. Troublemaker - Bab 9

Harga: RM27.00 / RM30.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

SYAZRINA termangu macam orang bodoh. Dia melihat sekeliling Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon yang baru dijejak kaki buat kali pertama. Besarnya. Mana arah nak pergi ni? Nak ke kiri terasa salah jalan. Nak ke depan, takut sesat. Ah, pusing!
“Cik Seo Yeon? Mana nak cari ni?” Keningnya berkerut seribu. Mata melingas macam rusa masuk kampung. Di tempat asing ini satu apa pun dia tidak tahu. Kenal orang pun tidak.
Sambil-sambil Syazrina terjenguk-jenguk melihat gelagat daripada pelbagai jenis orang di situ. Ada yang sedang memeluk pasangan apabila bertemu. Ada yang bercium... Cium? Eeukkk. Macamlah tak boleh nak bercium kat tempat lain. Kepala digeleng jelik.
Syazrina mencari-cari orang yang boleh dijadikan mangsa untuk dijadikan kaunter pertanyaan, sekali gus membantunya mencari Cik Seo Yeon, pemandu pelancongnya sepanjang berada di sini. Sambil-sambil dia berdoa, ada orang Malaysia yang tersesat di sini macam dia. Seorang pun tak apa. Please!
“Aisy. Tak ada pula orang Malaysia. Muka mat salih aje semua.” Syazrina menggigit bibir. Dia makin tak betah berdiri.
Fon di tangan dihentak ke kepala. “Ouch. Sakitlah. Buat perangai betullah kau ni.”
Amarah dilepaskan pada telefon pintar yang entah kenapa hari ini nak buat perangai. Nak on tak boleh. Eee. Geramnya. Kalau tak boleh on, macam mana nak telefon Cik Seo Yeon tu? Pihak agensi pelancongan pun tak boleh nak berhubung. Sekarang macam mana?
Bersama helaan nafas yang berbaur penat dan lapar, Syazrina mendekati kerusi panjang di hujung tiang berdepan dengannya. Bagasi diletak ke tepi lalu dia melabuhkan punggung.
Tak tahu nak buat apa, Syazrina ternganga melihat sekeliling lapangan terbang entah ke berapa kali. Tiba-tiba dia sebik. Sedih sendiri dengan keadaan diri di tempat orang. Tak ada sesiapa nak bergantung harap. Air mata yang mengalir disapu dengan hujung tudung bawal warna ungu muda.
“Kenapa awak menangis?”
Sapaan daripada bahasa yang dapat dikenal pasti menyentakkan kesedihan Syazrina. Dia menoleh memandang seseorang di sebelah. Seorang lelaki. Syazrina mengesat sisa air mata yang mengalir di pipi.
“Awak orang Malaysia?” Teragak-agak dia bertanya.
“Ya. Saya orang Malaysia,” akui lelaki itu sambil menjenguk kepala ke wajah sugul Syazrina.
Syazrina cepat-cepat memeluk erat beg sandang. Bagasi di sebelah ditarik ke tepi paha. Dia rasa ada yang tak kena sahaja dengan lelaki ni. Tiba-tiba tegur aku. Kenapa?
“Awak bukan penculik, kan? Awak bukan sindiket pemerdagangan orang, kan?” soal Syazrina berbaur curiga.
Lelaki itu tergelak kecil. Dia melibas tangan kanannya. “Mana ada. Saya bukan penculik. Apa lagi sindiket pemerdagangan orang. Saya nampak awak kat sini dari tadi. Menangis. Jadi, saya terasa nak tegur. Salah ke?”
Syazrina mengecilkan anak mata memandang lelaki itu atas dan bawah. Masih ada bibit-bibit rasa curiga terhadap lelaki itu.
“Betul. Saya orang baik-baik. Jangan risau.” Lelaki itu menghulur senyum lebar. “Saya Farizuan. Awak boleh panggil saya Ari. Awak?”
“Saya... Syazrina.” Teragak-agak, Syazrina masih memperkenalkan diri.
“Ah. Syazrina. Saya Ari, awak Arina. Ari, Arina.” Lelaki itu ketawa lagi, menonjolkan lesung pipit di kedua-dua pipi.
Syazrina mencebik pelik. Dia ni macam orang kenal dia lama pula nak gurau macam tu. Psiko apa mamat ni?
“Awak tak jawab soalan saya lagi. Kenapa awak menangis?” soal Farizuan.
“Saya... Ah, macam-macamlah jadi kat saya. Panjang sangat nak cerita. Awak penat pula nak dengar nanti.”
“Ceritalah. Saya boleh dengar.”
“Saya datang sini dengan agensi pelancongan. Lepas tu fon saya buat perangai. Saya sepatutnya jumpa dengan pemandu pelancong saya saya kat sini. Cik So, Seo... Ah, apa entah nama dia. Tapi, masalahnya, fon saya buat perangai, jadi tak boleh nak berhubung dengan dia. So, saya tak tahu nak buat apa. Sebab tu menangis,” cerita Syazrina panjang lebar.
Farizuan tertewa kecil. Terasa kelakar melihat gelagat gadis comel itu bercerita kalut.
“Awak ingat kelakar ke?” sergah Syazrina. Mematikan tawa Farizuan.
“Saya nak tolong awak ni. Awak cakap dengan saya, agensi tu nama apa. Nanti saya bawa awak pergi sana,” pelawa Farizuan bersedia untuk menolong.
“Pergi dengan awak?” Syazrina berkerut dahi.
“Yalah. Dengan saya. Takkan dengan Pakistan kat belakang tu kut,” celoteh Farizuan sambil memuncung bibir ke arah lelaki berpakaian gamis kurta di belakang mereka.
“Eee. Tak nak saya. Kalau awak ni jahat macam mana? Nanti awak tangkap saya, jual kat sini, macam mana?” Syazrina masih berkeadaan berjaga-jaga.
“Okey. Kalau awak tak percayakan saya, kita naik bas pergi ke agensi. Selamat sikit, kan?” cadang Farizuan. Dia tidak tahu bagaimana cara lagi hendak meyakinkan gadis itu.
Syazrina berjeda sebentar. Membuat pertimbangan yang waras. Kalau tak ikut lelaki ini, ada lagi ke yang nak tolong aku? Emm. Baik aku ikut sahajalah! Terus dia bangun daripada duduk.
“Pergi mana?” soal Farizuan hairan dengan tindakan tiba-tiba gadis itu.
“Cakap nak pergi agensi. Jomlah,” ajak Syazrina selamba. Hilang terus rasa takutnya.

SYAZRINA memandang lelaki berjaket tebal warna hitam di sebelah. Hem. Handsome juga mamat ni. Baik pula tu. Sanggup tolong aku walaupun aku curiga dengan dia. Siap sanggup tinggalkan kereta dia, naik bas awam dengan aku. Siapa dia ni ya?
“Tak payahlah tengok saya sampai macam tu. Kalau awak nak tahu pasal saya, awak tanya sayalah,” sergah Farizuan tiba-tiba.
Syazrina berdeham. Dia buat-buat memandang ke luar tingkap bas. Mukanya berkerut beribu. Adoi. Malunya, dah kantoi aku tengok dia.
“Awak buat apa kat Korea ya?” Tiba-tiba Syazrina dapat idea untuk menghilangkan rasa kekok antara mereka.
“Ada hal kerja sikit kat sini,” jawab Farizuan ringkas.
“Yalah. Kerja apa?”
“Nak terang macam mana ya. Okey, macam ni. Saya datang melawat jurutera syarikat saya kat sini. Syarikat saya ada hantar beberapa orang jurutera untuk kursus kat sini. Pertukaran teknologi enjin kereta. Macam tulah,” terang Farizuan.
“Oh. Awak bos ke?”
“Eh, bukan bos. Saya dengan kawan saya ada tubuhkan sebuah syarikat kereta kecil-kecilan. Baru nak berkembang dalam industri automobil beberapa tahun ni.” Farizuan merendah diri.
“Kira macam bos jugalah tu, kan? Rakan kongsi.”
“Ha’ah. Lebih kuranglah.” Lelaki itu memegang belakang kepala.
“Habis tu apa awak buat kat airport hari ni?”
“Saya hantar kawan saya. Dia nak balik KL sebab ada kerja lain kat sana. So, sebab tu saya kat sana. Tak sangka nak jumpa awak.” Farizuan menghulur senyum sambil melabuhkan matanya ke anak mata Syazrina.
Syazrina cepat-cepat melarikan anak mata. Bab usyar-usyar mata ni, dia memang akan menyerah kalah awal. “Emm. Yalah tu, kut. By the way. Saya nak ucap terima kasih banyak-banyak kat awak. Kalau awak tak ada mungkin saya tengah meraung lagi kat airport tu.”
“Tak ada masalahlah. Kita orang Malaysia, mestilah bantu orang Malaysia. Eh. Dah sampai dah. Jom turun,” ajak Farizuan sambil mengangkat punggung.

“THANKS for bringing my client to the hotel. I don’t know what to do if I can’t find her. Thanks again.” Cik Seo Yeon bersungguh-sungguh mengucapkan terima kasih sedari tadi.
“It’s okay,” balas Farizuan sambil tersenyum lebar.
Syazrina yang berada di sebelah menghembus hidung. Aduh, mamat ni suka sangat tersenyum macam tu. Tak tahu ke awak tu comel sangat? Dengan lesung pipit kiri kanan. Tak tahan cik oi.
“Awak? Awak...” panggil Farizuan.
Panggilan itu mengejutkan lamunan Syazrina. Terbeliak kedua-dua bebola mata apabila melihat wajah Farizuan yang sudah mendekat ke wajahnya. Lelaki itu sedang tunduk ke arah tubuhnya.
“Kenapa awak senyum sorang-sorang?” soal Farizuan sambil kembali berdiri tegak. Dia memasukkan kedua-dua tangan yang bersarung tebal ke dalam poket jaket.
Syazrina memeluk tubuh yang kesejukan. Beberapa kali dia menggeleng kepala.
“Tak ada apa,” dalih Syazrina. “By the way, awak...”
“Ya...” sahut Farizuan panjang.
Syazrina rasa nak pitam. Suara serak-serak basah lelaki itu menusuk ke telinga. Tercair tak tersengaja rasanya. Adoyai.
“Aaa... Terima kasih sekali lagi. Sebab tolong saya hari ni. Menyusahkan awak pula. Dahlah saya curiga dengan awak, tuduh awak macam-macam.”
“Eh. Tak apalah. Saya okey. Mempertahankan diri itu perlu untuk seorang perempuan. Jangan terlalu percayakan orang yang awak baru kenal. Tu tabiat tak elok, tau,” nasihat Farizuan.
“Ooo. Jadi, awak pun saya tak boleh percayalah?” uji Syazrina sekadar hendak bergurau.
“Eh.” Farizuan tersengih lebar. “Saya lain sikit. Awak boleh percayakan saya.”
Mereka tertawa.
“So, moga kita berjumpa lagi pada masa akan datang. Kalau ada masa terluang hubungi saya. Saya dah bagi nombor fon kan. Selamat melawat Korea. Assalamualaikum.” Farizuan angkat tangan, lalu menghilang ke dalam perut teksi.
“Waalaikumussalam,” balas Syazrina, kini sudah berterbangan di awangan.

SYAZRINA menghempaskan tubuh yang kelesuan ke atas katil bilik hotel yang telah sedia ditempah buatnya. Beralun-alun lembut tubuh kecil itu mengikut rentak alunan katil yang berbuai. Terasa hilang segala keletihan sepanjang hari. Kemudahan dan keselesaan bilik hotel ini memang tidak dapat disangkal. Terbaik.
“Ah.” Syazrina teringatkan sesuatu.
Dia bangun daripada baringan lalu menggapai beg yang tadi diletakkan di atas meja solek. Diselongkarnya beg itu mencari sesuatu. Pamphlet lawatan Korea yang disimpan di celah beg diambil lalu dia kembali membaringkan tubuh.
“Okey, mari kita tengok jadual perjalanan untuk esok.” Matanya membuntang saat melihat jadual yang terlampau padat. Dari pagi sampai ke malam dia akan sibuk melawat sekitar kawasan di ibu kota utama Korea ini.
“Alah, bosannya bercuti macam ni. Tak bebas nak berjalan-jalan sendiri. Kan best kalau datang dengan Suha. Bolehlah jalan-jalan dengan dia,” rungut Syazrina dengan hati yang ralat.
Kasihan pula dengan Nasuha. Nasuha yang beria-ia nak datang, tapi dia pula yang sampai dahulu.
Tiba-tiba wajah Farizuan muncul dalam kotak fikiran. Terus bibir mungil Syazrina terukir senyuman lebar. “Kalaulah dia boleh temankan aku jalan-jalan kat sini, seronok juga, kan? Aisy. Kau ni, Syaz. Berangan lebih. Entah-entah dia dah kahwin. Orang cakap, lelaki baik ni selalunya dah kahwin. Kalau dah kahwin, melepaslah kau Syaz...” 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan