Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 21 Julai 2016

Plot Cinta Untuk Big Boss - Prolog

Harga: RM28.00 / RM31.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069


“DINASTI Group?” Terbeliak mata Lisa tatkala mendengarnya.
“Kenapa kau terkejut macam tu? Macamlah kau tak pernah dengar nama syarikat tu sebelum ni,” tegur Suhaila.
Bila kawannya terkejut dia ikut serta terkejut. Rasanya Lisa memang tahu itulah nama syarikat dia mencari rezeki yang halal sekarang.
“Su, kau dah gila ke? Dinasti Group tu!”
“Kenapa dengan Dinasti Group?” tanya Suhaila kembali.
“Kau masih tanya kenapa? Kau tengok aku ni, seorang novelis yang tak popular dan hidup bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sekarang kau nak aku pergi temu duga sebagai setiausaha di sebuah syarikat yang terkemuka di Malaysia ni?” Lisa terasa seperti kerongkongnya tersekat air liur.
Memang dari dulu sampai sekarang dia fobia dengan nama-nama syarikat besar.
“Apa masalah dengan status novelis tak popular kau tu? Tak ada kena-mengena langsung. Kau juga yang suruh aku tengok-tengokkan kerja kosong. Kebetulan bekas big boss kami baru aje serahkan company tu kepada cucu dia. Jadi, bila pihak management buat rombakan, ada jawatan kosong untuk setiausaha kepada big boss baru. Aku apa lagi, terus submit resume yang kau bagi tempoh hari tu. Tak sangka nama kau pun tersenarai untuk sesi temu duga,” terang Suhaila.
Lisa mengeluh sambil memegang kepalanya. Memang dia ada suruh kawannya itu cari-carikan kerja untuknya. Masa itu dia sudah terdesak sangat. Setelah berfikir masak-masak, akhirnya dia mengambil keputusan untuk mencari kerja tetap.
Pendapatan sebagai novelis memang tidak menentu. Apatah lagi persaingan sekarang terlampau sengit. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja bakal novelis akan muncul. Ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin tinggi di Kuala Lumpur ini.
Oleh itu, dia mengambil keputusan untuk mencari pekerjaan tetap. Tidak kisahlah kalau kena jadi kerani asalkan dia ada duit untuk bayar hutang-hutang bank.
Itulah! Padan dengan muka sendiri. Murah hati lagi buat pinjaman untuk orang. Sekarang tanggunglah sendiri! Sempat lagi suara hatinya membebel.
“Alah, tak payahlah risau. Kau juga ada kelayakan juga. Kalau kau dah lupa, meh aku ingatkan. Kita pernah ambil jurusan kesetiausahaan semasa di universiti dulu. Ingat tak?” kata Suhaila.
“Memanglah tapi keputusan aku tak beberapa bagus. Tak macam kau, tiap-tiap semester dapat dekan. Aku ni cukup-cukup makan saja. Lagipun aku dah lupa macam mana nak buat minit mesyuarat, surat rasmi, note taking dan bla-bla-bla. Pendek kata semua tugas setiausaha langsung aku tak ingat. Aku cuma tahu macam mana nak taip dengan 10 jari aje.”
“Itu kau tak payah risaulah. Yang penting kau kena pergi juga interviu esok. Aku tahu kau boleh lakukan. Apa yang kau perlukan adalah keyakinan! Sentiasa percaya dengan diri kau,” pujuk Suhaila.
“Tak perlu ada keyakinan, aku dah tahu keputusannya. Aku tahu sangat dengan pencapaian diri aku. Level aku berada di tahap paling bawah. Mungkin sebab itulah apa yang aku buat selama ini langsung tak berjaya. Sekolah pun tak pandai. Masuk universiti pun keputusan cukup-cukup makan. Aku ingat bila aku jadi novelis, aku boleh kembalikan keyakinan diri tapi sedih betul bila tengok novel-novel aku tersorok di tempat yang paling bawah,” keluh Lisa mengenangkan nasib malang yang sering menimpanya.
“Sebab itulah kau perlukan sesuatu untuk ubah nasib kau. Mana tahu kan, nasib kau akan berubah jadi Cinderella selepas dapat jawatan ni.”
“Cinderellalah sangat!”
“Aku dengar big boss baru ada gaya-gaya hero novel yang selalu kau tulis. Cuba jadikan ini sebagai inspirasi supaya kau boleh tulis novel yang kebabom daripada sebelum ini.” Suhaila tersengih-sengih memujuk rakannya itu.
Lisa jeling pandang Suhaila. Ini ada bau-bau pujukan yang melemahkan nafsu ingin tahu seorang novelis. Apatah lagi seorang novelis cinta yang sedang ketandusan idea sekarang.
“Klise betul. Kalau aku betul-betul dapat kerja tu dan big boss baru kau tu handsome dan maco macam hero novel, tetap tak ada bezanya. Aku cuma penulis novel dan tak pernah terfikir nak jadi heroin.”
“Okey, pendek kata, esok pagi, kau kena ikut aku pergi kerja. Walau apa pun kau kena hadir sesi temu duga itu, faham?”
“Kalau aku tak nak?” Lisa masih berat hati hendak pergi.
“Kalau kau tak nak dan ingkar arahan aku, mulai esok, kau kena sediakan duit sewa rumah yang tertangguh selama ini.”
“Hah?” Lisa terkejut.
Gila! Dari tahun lepas lagi dia tertangguh bayar rumah sewa ini. Sebenarnya rumah yang ditumpangnya ini adalah rumah Suhaila juga. Suhaila tuan rumah ini. Pada awalnya dia memang bayar sewa tapi sudah banyak kali dia minta tangguh sebab tak cukup duit untuk membayarnya. Suhaila pula jenis yang tidak kisah. Tiba-tiba terbit pula rasa tak sedap hati. Agak-agak, Suhaila sudah bosan dengan alasannya itu.
“Tak mengapalah. Kalau kau tak nak bagi aku tumpang kat rumah kau, esok aku cari flat murah,” ujar Lisa penuh reda.
“Kau yakin ke kau boleh cari flat murah? Sebelum kau cari, cuba tengok dulu duit dalam bank kau. Cukup tak nak bayar deposit rumah sewa? Makan? Minum? Bil telefon? Bil Internet?”
Lisa tersentap. Adui, bercakap dengan Suhaila memang dia selalu kalah! Tersentap habis. Betul kata Suhaila, duit di dalam bank hanya ada beberapa ratus saja. Ada dalam tiga bulan lagi untuk dapat duit royalti. Itu pun mungkin sikit. Di mana lagi dia hendak cekau duit?
Sudahlah dia tiada sesiapa lagi di dalam dunia ini. Kedua-dua ibu bapanya sudah lama meninggal dunia. Dia ada beberapa orang saudara-mara tapi mereka semua langsung tidak mempedulikannya lagi. Hanya datang mencarinya apabila ada masalah kewangan. Banyak juga duit simpanannya habis sebab hendak tolong mereka tapi bila mereka sudah bersenang-lenang, langsung lupa pengorbanannya.
“Su...” Lisa pandang kawan baiknya itu dengan mata yang sudah berkaca-kaca.
“Tolonglah jangan halau aku. Hanya kau seorang manusia yang aku boleh bergantung harap. Aku tak ada sesiapa di KL ni. Tolonglah jangan halau aku. Aku janji, bila aku dah dapat duit royalti nanti aku bayarlah hutang aku,” kata Lisa dengan goncang-goncang tubuh Suhaila.
“Okey! Okey! Aku tahu. Berhenti goncang badan aku,” ujar Suhaila.
Serta-merta Lisa berhenti tapi dia tetap pandang muka kawannya itu dengan muka belas kasihan.
Suhaila yang tengok pun tak sanggup nak buat kawannya menangis. Nasib baiklah muka comel kalau tidak memang tak dilayannya.
“Kalau kau tak nak kena halau, kau kena ikut arahan aku.”
Lisa mengeluh. Akhirnya dia mengangguk setuju. Pergi temu duga sahaja. Dapat ataupun tidak, itu lain cerita. Lagipun Suhaila sudah banyak menolongnya. Biarpun belum dapat kerja tapi dapat hadir sesi temu duga kira bernasib baik juga. Apatah lagi di syarikat besar macam Dinasti Group!
Huh, lemah semangat bila dengar nama syarikat besar macam itu. Apa pun, Lisa... Jiayou!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan