Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 28 Julai 2016

Isteri Mr. Troublemaker - Bab 5

Harga: RM27.00 / RM30.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

NORA dan Syazrina berjalan beriringan menuju ke kafeteria.
“Wei, macam mana dengan mamat jerung tu? Okey ke?” Nora cuba korek rahsia.
Syazrina angkat kening.
“Okey. Aku rasa aku dah syoklah kat dia,” akui Syazrina sambil merenyeh nampak gigi.
“Serius?” Nora macam biasa terlebih teruja.
Syazrina tertawa kecil. Kelakar tengok riak muka Nora. “Entahlah. Kawan kat alam maya ni bukan boleh percaya sangat. Aku pun banyak tipu dia. Entah-entah dia pun penipu juga. Tapi, bestlah kawan dengan dia. Nampak macam matang, sweet, comel dan sebagainya.”
“Fuyoo. Sweet. Tak apa, teruskan. Hei, dia tak ajak jumpa ke?” Nora angkat kening.
“Ada. Tapi, tak naklah aku jumpa. Entah-entah gemuk, buncit. Pastu gengster pula. Eee, takutnya.” Tubuh Syazrina menggeletik ketakutan.
“Amboi, memilih betul kau ya. Ke, kau tak boleh lupa dengan si Syakeef tu lagi?” usik Nora sambil menyiku lengan Syazrina.
Syazrina buat muka loya. “Syakeef? Eee. Blahlah.”
“Hoi, mengumpat aku ke?”
Sergahan dari belakang menyebabkan mereka berkalih ke belakang. Syakeef merenyeh lebar.
“Hai,” sapanya mesra, siap mengangkat tangan.
Syazrina mencebik meluat. Ada sahaja dia ni kat mana-mana. Menyampah betul, gerutunya dalam hati.
“Minah, sinilah,” panggil Syakeef dengan muka baik gila-gila.
“Siapa Minah?” Syazrina angkat kepala. Riak wajahnya garang tak kira.
Syakeef pegang belakang kepala. Garang betul minah senget ni. “Syaz, sini kejap.”
“Ooo. Kau tahu nama aku? Aku ingat selama ni kau tak tahu nama aku siapa. Sebab tu kau asyik panggil aku Minah,” sembur Syazrina masih tak menghiraukan panggilan lelaki itu.
“Wei, wei. Kau orang nak gaduh, gaduhlah ya. Aku lapar ni, nak makan. Bye.” Nora terus angkat kaki. Tak kuasa nak melayan pergaduhan anjing dan kucing ini.
Syazrina juga hendak membuntuti langkah Nora tetapi Syakeef lebih pantas bertindak. Lengan baju sekolah Syazrina ditarik.
Syazrina terkejut dengan tindakan Syakeef. “Apa pegang-pegang? Repot cikgu kang.”
Syazrina menarik tangannya semula. Mukanya merah menyala menahan bengang di hati.
“Suka hati tok nek kau nak pegang-pegang orang,” bentak Syazrina sambil mengibas-ngibas lengan baju sekolah.
Syakeef mengangkat kedua-dua tangan tanda memohon maaf atas keterlanjuran tindakannya. “Sorrylah, Syaz. Aku tak sengaja.”
“Jomlah pergi depan tu kejap. Aku ada hal nak cakap,” ajak Syakeef buat sekian kalinya.

“NAK apa?” soal Syazrina acuh tak acuh sambil fokusnya tertala pada pokok-pokok bunga di taman sains sekolah.
Eh, marah, tapi sempat pula ajak dating kat taman bunga. Aduh, apa nak jadi dengan kau ni Syaz?
“Kau lupa janji er? Hari ni kan kau janji nak bagi aku nombor telefon Nora,” ungkit Syakeef.
“Ingat. Saja buat tak ingat,” respons Syazrina tanpa perasaan.
Syakeef menghela nafas panjang. Kalau ikutkan hati, memang lunyai mulut minah ni aku kerjakan. Nasib baik aku nak sesuatu daripada dia. Sabar Syakeef, sabar.
“Baklah.” Syakeef menghulur tangan. Dia membuat muka ihsan.
Syazrina mengerling tangan Syakeef. “Atas sebab apa ya aku kena bagi nombor telefon Nora kat kau?”
Syakeef garu kepala. “Err... Sebab... Sebab kau aje yang boleh tolong aku.”
“Kenapa aku nak tolong kau? Kau kan benci aku? Aku kan benci kau?” Syazrina menggunakan kesempatan hari ini untuk melampiaskan perasaan marahnya selama ini.
“Kau ni banyak bunyi ya. Sekarang ni kau nak bagi ke tak nak?” Tahap kesabaran Syakeef sudah sampai tahap maksima. Tak dapat lagi nak dikawal.
“Oh, oh. Kau marah aku? Memang taklah aku nak bagi.” Syazrina terus sengaja membuat provokasi.
Syakeef pejam mata. Dia cuba mengumpul kembali kesabaran di hati. “Okay, sorry. Kau nak aku buat apa untuk kau bagi aku nombor telefon Nora tu?”
Syazrina terus menguntum senyum puas. Ha. Faham pun. “Ermm. Kau sanggup buat apa?”
“Apa sahaja aku sanggup buat selain daripada mencederakan diri aku sendiri. Mintalah,” pelawa Syakeef agak riak. Dia tak takut.
“Oh ya? Okey. Aku nak hidup aman damai. Kau jangan kacau aku lagi. Lagi bagus kalau kau buat tak kenal aku. Jarakkan diri kau daripada aku, 30 meter. Boleh?” Syazrina meletakkan syarat.
“Apa? Aku tak boleh kacau kau? Haisy. Macam mana aku nak enjoy hidup aku kalau tak tengok kau sengsara?” bangkang Syakeef nyata tak setuju dengan syarat yang dikenakan.
Syazrina berdengus tak percaya. Ooo. Selama ni kau mensengsarakan aku untuk enjoy? Kurang ajar betul!
“Setuju ke tak? Kalau tak, aku nak blah,” ugut Syazrina sambil-sambil melakonkan aksi angkat kaki untuk pergi.
“Hei. Okey. Okey. Aku setuju,” pintas Syakeef, akhirnya.
Syazrina tersengih. Yahu. Akhirnya, badi bertahun-tahun dengan si mamat poyo itu terlepas. Merdeka! Merdeka!

SYAZRINA merenung kosong skrin komputer. Jari-jemari diketuk-ketuk di atas meja, tanda dia sudah bosan menunggu. Mana pula si jejaka jerung ni? Dah pukul 3.30 tak muncul lagi. Janji hari ni nak online pukul 3.00. Sekarang dah pukul berapa?
Dia ni pun, masa nilah nak buat perangai. Dia tak tahu ke? Macam-macam aku nak cerita dengan dia.
Buzz! Buzz!
Mata Syazrina terus tertancap pada kotak chat. Yes! Jejaka jerung. Dia tersenyum lega.

jejaka_jerung: Hai. Lama tunggu?
bawang_merah: Hai.
jejaka_jerung: Eh. Marah ke? Maaflah tadi ada kerja sikit.
bawang_merah: Eh. Tak marahlah. Cuma hari ini tekanan sikit.
jejaka_jerung: Tekanan? Kenapa? Ada yang tak seronok ke kat sekolah?

Syazrina mengeluh panjang. Entahlah. Sejak perjanjian dia dengan mamat poyo termetrai seminggu lalu, dia rasa kebosanan pula. Macam ada yang tak kena. Mamat poyo tu pun memang betul-betul menjarakkan diri. Tengok dia pun tak. Apalagi nak mengacau macam dulu, memang taklah.
Dulu kalau kena kacau, dia benci sangat mamat poyo tu. Tapi sekarang, rasa rindu pula. Ah! Kacau!

bawang_merah: Awak tahu tak saya kan ada seorang musuh kat sekolah.
jejaka_jerung: Musuh? Lelaki ke?
bawang_merah: Ha’ah. Musuh. Lelaki.
jejaka_jerung: Kenapa dengan dia? Dia cederakan awak? Dia ganggu awak ke?
bawang_merah: Emm. Macam mana nak cakap ya? mamat poyo ni kan selalu sangat kacau saya kat sekolah. Saya tak tahu apa masalah dia. Dia buat macam-macam kat saya. Daripada buat saya kena denda dalam kelas, kacau saya kat atas bas. Hidup saya kacau-bilau disebabkan dia. Saya benci sangat kat dia. Tapi, beberapa hari ni...
jejaka_jerung: Mamat poyo?
bawang_merah: Ha’ah. Tu nama gelaran saya bagi kat dia. Dia memang poyo pun. Dia ingat dia bagus sangat dengan rambut berceracak dia. Jalan macam samseng sekolah. Neck tie sampai dada. Meluat betul!
jejaka_jerung: Amboi. Benci sangat awak kat mamat poyo tu ya?
bawang_merah: Bencilah. Bukan sangat aje. Sangat, sangat, sangat.
jejaka_jerung: Saya nampak awak memang benci sangat, sangat, sangat dengan dia. Tapi, kenapa dengan beberapa hari ni? Dia cederakan awak ke? Biar saya belasah dia kalau dia apa-apakan awak.
bawang_merah: Eh, mana ada dia belasah saya. Apalah awak ni. Garang sangatlah.
jejaka_jerung: Garang tak garang. Saya memang tak suka orang lain apa-apakan kawan saya. Awak faham kan niat saya. Saya sanggup jadi pengawal peribadi awak untuk melindungi awak daripada musuh awak tu. Awak nak tak?

Syazrina tersenyum terharu. Alahai. Sweetnya awak. Alangkah bagusnya kalau jejaka jerung ni bukan sekadar kawan di alam maya tetapi kawan sebenar di dunia nyata yang bersiap siaga untuk mempertahankan dia. Jadi pengawal peribadi bila si mamat poyo tu cuba nak cederakan dia.

bawang_merah: Terima kasih sebab awak baik sangat dengan saya. Tapi, dia bukan nak cederakan saya. Cuma, saya rasa ada yang tak kena dengan saya dua tiga hari ini. Lepas saya suruh dia jarakkan diri dia daripada saya, dia buat dan saya rasa tak seronok. Entahlah. Saya pun tak faham apa maksud hati saya ni.
jejaka_jerung: Ha. Baguslah kalau macam tu. Awak tak akan menderita lagi, kan? Awak pun memang dah bencikan dia. Kenapa rasa tak seronok pula?
bawang_merah: Mula-mula memang saya rasa bahagia sangat. Tak ada orang kacau saya. Tapi, bila dah lama-lama, perasaan gembira itu dah jadi lain. Saya bosan tak diganggu dia. Pelik kan perasaan saya ni?
jejaka_jerung: Pelik. Memang pelik. Tapi, apa yang saya tahu awak jadi macam ni bersebab.
bawang_merah: Bersebab? Sebab apa?
jejaka_jerung: Sebab awak suka dia.
bawang_merah: Suka dia? Mana ada!
jejaka_jerung: Awak suka dia, kan? Mengaku dengan saya. Cepat. Tak baik menipu, Tuhan marah.
Syazrina menyandarkan tubuh ke kerusi. Benarkah kata jejaka jerung? Aku suka Syakeef? Benarkah masih ada sisa suka itu buat Syakeef? Aduh, berbabitkan soal hati, sukar sungguh nak ditafsir hatta hati itu sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan