Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 28 Julai 2016

Isteri Mr. Troublemaker - Bab 4

Harga: RM27.00 / RM30.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

SATU sengihan sinis dihadiahkan buat Syakeef yang sedang berjalan masuk ke dalam kelas melalui pintu belakang selepas menghilang beberapa lama bersama pelajar lelaki yang lain. Memang sengaja pun dia menunggu lelaki itu di pintu belakang kelas. Ada ‘hajat’ yang hendak dia sampaikan.
“Apa hal?” soal Syakeef apabila dia terpandangkan Syazrina.
“Kau pergi minta maaf kat Cikgu Saleha ya?” tebak Syazrina. Lelaki itu dipadang atas dan bawah.
“Aku pergi jumpa Cikgu Saleha? Buat apa?” Syakeef buat muka selamba badak.
Huh! Syazrina berdengus.
“Tak nak mengaku konon. Tadi, aku dah sekodeng kau dengan yang lain-lain merayu-rayu dengan cikgu Saleha, takut tak ada zuriat.” Terus terhambur tawa Syazrina di akhir ejekannya.
“Kau kurang ajar, kan? Kau nak makan penumbuk aku ke?” Penumbuknya didekatkan ke muka Syazrina.
Syazrina berhenti ketawa. Cepat-cepat dia menjauhkan muka daripada penumbuk Syakeef. Besar tu. Kalau kena, memang lebam biji mata.
Lelaki itu malas hendak melayan Syazrina lagi. Baru hendak melangkah masuk ke dalam kelas...
“Wei, Syak,” panggil Syazrina.
“Apa hal?” sahut Syakeef, kasar.
“Aku rasalah, lebih baik tau kalau kau tak ada zuriat. Aku takut, nanti keluar semua perangai macam kau. Boleh huru-hara dunia, tahu?” Tawanya terhambur lagi.
Nak tahan, tapi tak boleh. Maco-maco lelaki itu, boleh pula pergi minta maaf kat Cikgu Saleha pasal takut tak dapat zuriat. Ini kelakar. Adeh.
“Memang makan penampar juga kau ni, kang!” Syakeef mula mendekatkan diri ke arah Syazrina yang sudah agak menjauh. Memang dia geram gila dengan usikan perempuan itu.
Syazrina makin melebar langkah, cepat-cepat menjauh daripada lelaki itu. Sambil-sambil menjelir lidah, dia buat muka jelik. Biar lelaki itu makin sakit hati. Padan muka kau! Puas hati aku. Hahaha.

“HEI, khusyuk nampak?” tegur Nora apabila melihat kawan baiknya itu sedari tadi asyik menghadap komputer. Asyik sungguh sampai tak perasan orang di sebelah kiri dan kanan.
Syazrina sekadar tersengih.
“Kau chat dengan siapa? Macam best aje,” soal Nora ingin tahu.
Syazrina mengarahkan perhatian kepada Nora, bersedia untik menceritakan sesuatu kepada sahabatnya itu. “Sebenarnya, ada seorang mamat ni...”
“Mamat? Fuyoo,” pintas Syazrina, teruja sungguh kelihatannya.
“Nama dia, jejaka jerung,” beritahu Syazrina, sambil tersengih malu.
“Woo. Jejaka jerung pula. Macam mana orangnya? Handsome ke?” Nora yang bukan main teruja terus menjengul kepala ke skrin komputer Syazrina.
Cepat-cepat Syazrina menutup skrin komputer dengan kedua-dua tangan. “Jangan kacaulah.”
“Yalah, yalah. Mentang-mentang dah chat dengan jejaka jerung. Terus lupa kawan. Tak apa.” Nora buat-buat merajuk.
“Cis! Bila pula aku lupa kau,” sangkal Syazrina.
Kini, fokusnya kembali kepada skrin komputer. Ligat tangannya menaip di papan kekunci sambil bibirnya tersengih sendiri.
Nora mencebik. Dia kembali menghadap komputer sendiri, membiarkan Syazrina dengan dunia mayanya. Kerana dia juga ada ‘mamat’ yang hendak dilayan.

jejaka_jerung: Lambat balas mesej. Awak buat apa? Sibuk ke?
bawang_merah: Eh. Tak adalah sibuk. Ada hal tadi.
jejaka_jerung: Oh. Macam mana sekolah hari ni? Okey ke K.O?

“Sekolah?” Syazrina mencebik sendiri. Okey memang taklah. K.O berganda-ganda. Si Syakeef tulah. Asyik mengacau sahaja. Setiap hari menyakitkan hati aku!
Syazrina masih teringat lagi saat mukanya hampir mencium lantai kelas apabila kakinya disadung kaki Syakeef. Nasib baik ada meja buat penampan. Kalau tak, habislah muka comelnya. Mesti bersagat teruk.
“Buta ke?” soal Syakeef dengan riak jengkel.
Huh! Terus menyirap darah Syazrina ke meter teratas apabila mendengar soalan bangang Syakeef.
“Aku yang buta?” tempelak Syazrina.
Riak muka lelaki itu selamba badak. Tak ada tanda-tanda bersalah langsung. Nak insaf apatah lagi.
“Lain kali nak jalan tengok kiri kanan. Jangan main redah aje. Dah buta jangan nak salahkan orang lain.” Pernyataan yang dia katakan juga seselamba badak.
Darah Syazrina kali ini naik sehingga ke langit ketujuh. Tak percaya sungguh dengan kata-kata mamat poyo itu. Tadi sah-sah aku nampak kaki kau tahan kaki aku. Sekarang, kau kata aku yang buta?
“Kau tu yang gila. Tak ada pasal, nak cari pasal.” Syazrina tak cepat mengalah.
“Gila tak apa. Jangan senget. Otak senget apa pun tak boleh,” tempelak Syakeef pula, menambah sakit di hati Syazrina.

BUZZ! Buzz!
Bunyi daripada kotak chat itu mengembalikan Syazrina ke alam nyata semula. Dia kembali teringatkan perbualannya dengan jejaka_jerung.

bawang_merah: Sekolah okey. Cuma kadang-kadang geram dengan sesetengah orang yang menyakitkan hati tak habis-habis.
jejaka_jerung: Siapa pula yang menyakitkan hati awak? Balak er?
bawang_merah: Huh! Balak? Tak ada maknalah.
jejaka_jerung: Cubalah cerita kat saya. Kut-kut saya boleh tolong awak.

SEUSAI menyalin baju sekolah, Syazrina keluar dari bilik, menuju ke dapur. Tudung periuk terus diangkat. Wau, gulai ikan bilis dengan rebung. Kecur selera melihat makanan kegemaran dimasak oleh emak. Cepat-cepat Syazrina mengambil pinggan di rak kayu buatan ayahnya. Nasi dicedok ke dalam pinggan.
“Mak,” sapa Syazrina apabila melihat maknya sedang asyik menonton drama Filipina di ruang tamu.
Begitulah rutin maknya setiap hari. Balik menoreh, masak, mandi, solat, kemudian merehatkan diri dengan menonton drama kesukaannya. Lantas Syazrina melabuh punggung di kerusi rotan, bersebelahan dengan maknya.
“Mak dah makan nasi ke?” tanya Syazrina. Sambil-sambil, dia menyuapkan nasi ke dalam mulut seusai membacakan bismillah.
“Dah makan dah. Lewat balik hari ni?” soal Mak Cik Syihah, masih memberi fokus ke skrin televisyen.
Kunyahan Syazrina terhenti dengan pertanyaan tiba-tiba maknya.
“Oh. Lepas tuisyen, along pergi pekan dengan Nora,” ujar Syazrina, agak berhati-hati. Takut juga kalau-kalau maknya marah.
“Buat apa kat pekan?” Maknya terus bersoal lagi.
“Ermm. Main komputer mak,” jawab Syazrina jujur. Dia menyuap sepotong rebung ke dalam mulut.
“Pandai ke along main komputer?”
Syazrina tersengih. “Bolehlah.”
“Main, main juga. Mak tak nak sampai keputusan peperiksaan menurun,” ujar maknya berbaur ugutan.
Syazrina tersengih lagi. “Insya-Allah, tak ada apalah mak. Along cuma keluar lepaskan tekanan belajar sahaja. Along takkan abaikan pelajaran. Along janji. Mak jangan risau ya.”
Mak Cik Syihah menarik nafas lega. Lega dengan janji ditabur Syazrina, anak harapannya. Setiap tahun anak gadisnya itu tidak pernah mengecewakan. Keputusan peperiksaan Syazrina menyebabkan dia selalu dijemput ke sekolah, di hari Anugerah Kecemerlangan Pelajar. Dia tahu Syazrina agak nakal di sekolah, tetapi dia juga tahu anak gadisnya itu pandai menjaga diri dan nama baik keluarga.
“Petang ni pergi ambil adik Syazril dengan Syahir ya. angah tak ada. Dia ada kem motivasi kat sekolah,” pinta Mak Cik Syihah.
“Yalah. Syamimi mana mak?” Adik ketiganya itu tak kelihatan sedari tadi.
“Tidur. Lepas makan terus tidur. Sebab tulah badan montel aje,” celoteh maknya.
Syazrina mengeleng kepala. Adiknya, Syamimi itu memang kuat tidur. Makan tidur, makan tidur. Apa nak jadi? Belajar malas. Tak sedar diri yang tahun ni dia dah nak menduduki UPSR.

MOTOSIKAL EX5 buruk ayah dipecut laju menuju ke sekolah rendah adik-adiknya, Syazril dan Syahir. Pada masa yang sama, dia berangan-angan sendiri. Motosikal itu bertukar jadi skuter Passion Shila yang dicuba pandu dua hari lalu. Ah... Seronoknya kalau dapat skuter sebiji. Tapi, bila dapatnya?
Pin! Pin!
Esh! Hon motor siapa pula mengacau angan-angan aku ni? Dengan hati yang bengang, Syazrina mengalih pandang ke belakang. Coi! Memang tak ada orang lain nak muncul. Kat sekolah dia, kat kampung dia. Syakeef, Syakeef, Syakeef, rungutnya, dengan muka menyampah.
“Hoi, senget! Cantik motor? Ambil kat besi buruk ke?” perli Syakeef sambil mendekatkan motosikalnya ke arah motosikal Syazrina.
Syazrina buat pekak telinga. Malas sungguh dia nak melayan kerenah Syakeef. Apalagi, terus dia memulas minyak, memecut laju.
“Hoi, senget! Kau tinggalkan aku?” jerit Syakeef terkebil-kebil ditinggalkan Syazrina. Apalagi, dia pun memulas minyak. Mengejar Syazrina yang sudah jauh ke depan.
“Senget, senget,” panggil Syakeef apabila motosikal mereka sudah mendekat.
Syazrina masih seperti tadi. Dia bisu, dia pekak. Sampai di hadapan sekolah rendah adik-adiknya, dia memberhentikan motosikal. Motosikal ditongkat.
Syakeef juga menghentikan motosikal di sebelah Syazrina.
“Wei, aku cakap dengan kau baik-baik ni. Buat pekak pula,” bentak Syakeef.
Syazrina mencebik. Baik sangat cakap kau macam tu? Tau nak membentak orang aje.
“Kau nak apa?” Dia menyilang tangan sambil menjenguk pintu pagar sekolah. Lambat pula adik-adiknya nak keluar dari sekolah hari ini.
“Aku nak minta tolong kau sikit. Boleh?” Nada suara Syakeef tiba-tiba berubah lembut.
Syazrina berkerut dahi. Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba minta tolong.
“Tolong apa?” Nada dia masih kasar.
Syakeef pegang belakang kepala. Dia serba tak kena nak minta tolong dengan si minah senget. Takut juga kalau-kalau minah senget tak sudi pula.
“Apa?” Syazrina angkat kepala. Tak sabar nak tahu maksud minta ‘tolong’ si mamat poyo itu.
“Errr... Aku nak nombor telefon Nora. Boleh tak?” Tergagap-gagap Syakeef meluahkan keinginan hati.
Kerutan di dahi Syazrina makin bertambah. “Nak buat apa?”
“Tanya soalan bodoh pula Minah ni. Nak buat apa nombor telefon, nak telefonlah.” Syakeef bergetap gigi, menahan kesabaran di hati.
“Kau cakap apa?” soal Syazrina. Dia kurang dengar butir-butir yang dikatakan oleh Syakeef.
Spontan Syakeef berubah riak. Dia tersengih-sengih.
“Tak ada apa,” sangkal Syakeef. “Baklah, nombor telefon Nora. Boleh ya?”
Syazrina mencebik. Berbulu pula telinga dengar nada suara lemak manis bermadu si mamat poyo. “Aku tak ingat nombor dia. Esok kat sekolah aku bagi.”
Syakeef menguntum senyum. “Janji ya?”
“Hem,” balas Syazrina acuh tak acuh.
Tiba-tiba benaknya dilanda resah. Syakeef nak buat apa dengan nombor telefon Nora? Takkan Syakeef minat dengan Nora pula? Hatinya dicuit rasa cemburu. Tapi, kenapa? Takkan perasaan suka kepada Syakeef masih lagi bersisa? Bukan ke dia dah benci kat mamat poyo ni?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan