Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 9 Ogos 2016

Jodohku Abang Doktor - Bab 5

Tajuk: Jodohku Abang Doktor
Penulis: Nurfaza Alisya
ISBN: 978-967-365-272-3
Harga: RM24.00 / RM27.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

SURAYA memandang Che Hannah yang sedang bermain-main dengan nasinya. Dia sudah pun menghabiskan separuh nasi bungkusnya. Tetapi, Che Hannah dari tadi langsung tidak menjamah.
“Hannah sakit ke?” soal Suraya mulai bimbang.
Che Hannah hanya menggelengkan kepalanya tanpa berpaling ke arah Suraya.
“Dah tu kenapa dari tadi monyok aje? Semalam balik daripada pengisian jodoh, Hannah tak habis-habis membebel. Marahkan mamat yang langgar Hannah tu. Hari ni senyap tak berkutik,” bebel Suraya pula.
“Entahlah Kak Su. Malam tadi masa Kak Su tidur, mak call lagi. Dia minta Hannah beri keputusan cepat. Hannah tak tahu nak cakap apa. Hannah tak nak kahwin dengan Suhaimi. Suhaimi tu mata keranjang!” bentak Che Hannah. Kemudian dia mengeluh panjang.
“Alah, dah kahwin nanti tak adalah mata keranjangnya tu. Lelaki kan semua macam tu kalau tengok perempuan,” balas Suraya. Air minuman di dalam bungkusan plastik disedutnya.
“Masa arwah isteri dia masih hidup, memang dia tu jenis mata keranjang. Tengok perempuan suka tenung lama-lama. Hannah tak suka. Dia tu memang miang keladi,” cerita Che Hannah lagi.
“Habis tu sekarang ni Hannah nak buat apa?”
“Entahlah Kak Su. Hannah hairanlah dengan mak ni. Kenapa beria-ia benar mak nak Hannah kahwin dengan Suhaimi tu!” Che Hannah meluahkan rasa hatinya. Memanglah di Felcra Sri Makmur, Suhaimilah yang paling kaya. Ada kebun kelapa sawit berekar-ekar.
Semenjak ayahnya meninggal sewaktu umurnya berusia 15 tahun, dia terasa benar-benar kehilangan tempat untuk bergantung. Tetapi, keluarganya belum hidup merempat lagi. Emaknya, Puan Zaharah pun ada pekerjaan tetap. Emaknya merupakan guru Tadika KEMAS di Felcra Sri Makmur tu. Makan pakai mereka cukup walaupun sudah lima tahun arwah ayahnya pergi meninggalkan mereka sekeluarga.
Ketukan pada pintu mematikan perbualan mereka. Segera Suraya bangun dan membuka pintu stor. Muncul Puan Juliana di sebalik pintu.
“Ada seorang lelaki cari kat depan. Tak tahu siapa yang dia cari. Mungkin Su atau Hannah kenal dia?” beritahu Puan Juliana.
Che Hannah dan Suraya saling berpandangan. Lelaki mana pula yang cari mereka?
“Dia cari Kak Su kut,” kata Che Hannah.
Tanpa bersuara Suraya berlalu mengekori Puan Juliana ke depan.
“Encik?” panggil Suraya sebaik dia berdiri di belakang lelaki yang mahu berjumpa dengannya. Sebaik lelaki itu berpaling Suraya tergamam seketika.
“Maaf mengganggu. Cik kenal saya lagi?” soal Rizz Fahim sambil tersenyum.
Perlahan-lahan Suraya mengangguk. Terus hatinya tertanya-tanya kenapa tiba-tiba lelaki ini mahu berjumpa dengannya? Mahu meminang dia ke? Dia dah jatuh hati dengan aku ke? Tiba-tiba hati Suraya berbunga riang.
“Sebenarnya saya datang sini nak minta tolong daripada cik. Sebelum tu boleh saya tahu siapa nama cik?”
“Panggil saya Suraya. Apa yang saya boleh tolong encik?”
“Saya Rizz Fahim. Sebenarnya, saya datang nak berjumpa dengan kawan Cik Suraya. Kawan cik yang datang ke pengisian jodoh semalam. Cik tahu dia tinggal kat mana? Saya teringin sangat nak jumpa dia,” jelas Rizz Fahim tanpa berselindung.
“Ooo... Nak jumpa dengan Hannah?”
“Kawan cik tu nama Hannah?”
“Ooo... Encik suka dia ya?” teka Suraya.
Rizz Fahim sudah pun tersengih. Malu pula dia dikata begitu oleh Suraya.
“Boleh tak saya nak minta nombor telefon dia? Saya ada hal sikit nak jumpa dia,” kata Rizz Fahim lagi.
“Encik nak jumpa dia sekarang pun boleh. Tunggu sini kejap,” kata Suraya lalu berlalu.
“Hannah, cepat basuh tangan. Ada putera datang nak jumpa awak,” beritahu Suraya.
Terkelip-kelip mata Che Hannah memandang Suraya yang sedang tersenyum ke arahnya.
“Putera mana pula ni Kak Su? Merepeklah Kak Su ni...” balas Suraya.
Melihat Che Hannah yang seakan-akan tidak mengendahkan kata-katanya, terus tangan Che Hannah ditarik oleh Suraya ke arah singki. Berkeras Suraya menyuruh Che Hannah mencuci tangannya.
Dengan rasa malas Che Hannah mencuci tangannya di singki yang terdapat di sudut dinding. Selepas itu dia ditarik oleh Suraya untuk keluar dari bilik stor.
“Ni kawan saya cik. Nama dia Che Hannah,” beritahu Suraya.
Terkejut Che Hannah sebaik melihat lelaki yang diperkenalkan oleh Suraya. Terjegil biji matanya memandang Suraya yang sedang tersengih ke arahnya. Eee... Apa hal mamat ni tiba-tiba datang nak jumpa aku ni?
Rizz Fahim tersenyum ke arah Che Hannah. Tak sangka pula dia rupa-rupanya Che Hannah bekerja di sini. Oh, patutlah dia terlanggar Che Hannah yang waktu itu baru keluar dari kedai bunga ini. Rupa-rupanya gadis ini bekerja di sini.
“Saya datang nak minta maaf daripada awak pasal kejadian saya langgar awak tempoh hari dan semalam,” tutur Rizz Fahim lembut.
“Ermm, baru mengaku salah?” perli Che Hannah.
“Ya, saya mengaku saya salah. Saya datang nak jumpa awak. Boleh tak kita keluar sekejap? Ada hal yang saya nak bincangkan,” kata Rizz Fahim.
“Hal apa pulak? Setahu saya, saya tak pernah berhutang apa-apa dengan awak. Lagipun saya sibuk dan sekarang tengah bekerja,” hambur Che Hannah geram. Geram dengan Rizz Fahim yang tiba-tiba datang berbaik dengannya dan mengajaknya keluar tiba-tiba.
“Isy, kita kan tengah rehat ni. Masa ada setengah jam saja lagi. Pergilah Hannah, orang dah ajak date tu,” sampuk Suraya.
Belum sempat Che Hannah berkata apa-apa, tubuhnya sudah ditolak oleh Suraya ke arah pintu keluar.
“Puan Ju, Hannah nak keluar kejap. Ada hal,” laung Suraya.
Puan Juliana yang sedang sibuk dengan kerjanya di kaunter hanya mengangguk. Majikannya itu tidak kisah kerana waktu ini adalah masa rehat untuk pekerjanya.
“Kak Su! Apa hal main tolak-tolak orang ni? Yang Kak Su beria-ia sangat nak suruh saya keluar dengan mamat ni kenapa? Macam mana kalau dia ni orang jahat?” marah Che Hannah sambil berpeluk tubuh. Kemudian dia menjeling ke arah Rizz Fahim yang sudah melangkah keluar dan berdiri di hadapannya.
“Saya takkan buat apa-apa kepada awak, Hannah. Bagi saya masa 10 minit pun jadilah. Ada hal yang saya nak cakapkan dengan awak. Kita ke sana?” kata Rizz Fahim sambil tangannya menghala ke kedai makan yang berada di seberang jalan. Kedai makan yang selalu dikunjunginya setiap hari.
“Saya tak nak ikut awak!” balas Che Hannah geram.
Ini Suraya punya pasallah pandai-pandai beritahu namanya kepada lelaki ini. Kak Su ni pun satu, yang sokong mamat ni nak jumpa aku apa hal? Macam mana kalau dia culik aku? Che Hannah sudah berfikir bukan-bukan.
“Hannah, Encik Rizz ni nak bercakap dengan Hannah. Cubalah bagi dia peluang sebelum Hannah marah-marah. Jangan masuk selagi tak dengan penjelasan encik Rizz ni,” sakat Suraya lalu masuk ke dalam kedai.
Dia pun hairan kenapa lelaki yang cuba cari gaduh dengan Che Hannah hari ini mahu datang berjumpa dengan Che Hannah. Atau dia dah jatuh hati dengan Che Hannah? Suraya tersenyum sendirian. Hai, bertuahnya badan Hannah kalau ianya betul. Aku yang beria-ia nak dapatkan jodoh, tetapi Hannah pula yang dapat dulu. Hati kecil Suraya berbisik.
“Nama saya Rizz Fahim. Panggil aje saya Rizz.” Rizz Fahim mula memperkenalkan dirinya kepada Che Hannah yang sedang berpeluk tubuh di hadapan pintu kedai.
“Saya tak minat nak tahu nama awak. Apa hal awak datang cari saya tiba-tiba ni?” soal Che Hannah curiga.
Dulu bukan main lagi marah maki hamun dia. Hari ini pula Rizz Fahim datang pandai pula bercakap baik-baik dengannya.
Che Hannah yang mahu masuk ke dalam kedai kembali dihalang oleh Rizz Fahim.
“Saya datang nak jumpa awak sebab nak melamar awak jadi isteri saya. Saya janji akan jaga awak dengan baik. Kalau awak terima saya, insya-Allah saya akan belajar mencintai awak.” Laju Rizz Fahim menuturkan bicaranya.
Tercengang Che Hannah dibuatnya.
“Awak sudi jadi isteri saya?” soal Rizz Fahim apabila melihat Che Hannah tidak berkelip memandangnya.
“Awak ni dah kenapa? Tiba-tiba ajak saya kahwin!” marah Che Hannah bengang.
“Sebab saya nak awak jadi isteri saya. Dan janji akan jaga awak baik-baik,” kata Rizz Fahim lagi.
Ternganga Che Hannah dengan kata-kata Rizz Fahim. Tak faham betul dia dengan lelaki ini. Tiba-tiba ajak dia kahwin. Lepas tu bercinta. Eee... Apa kena dengan dia ni? Kenal aku secara mendalam pun tak, tiba-tiba ajak kahwin.
“Saya tak nak kahwin dengan lelaki yang saya tak kenal. Manalah tahu awak ni penyangak ke, bapak ayam ke? Silap-silap hari bulan awak jual saya!” hambur Che Hannah.
Mahu tergelak Rizz Fahim dengan kata-kata Che Hannah tentang dirinya. Namun, tawanya ditahan agar sikapnya tidak menaikkan kemarahan Che Hannah.
“Sebenarnya saya betul-betul perlukan pertolongan awak. Kalau awak belum ada mana-mana lelaki dalam hidup awak, saya nak jadikan awak isteri saya. Kalau awak setuju, hujung minggu depan saya nak bawa awak jumpa famili saya. Saya terdesak sangat sebab teman wanita saya dah tolak saya untuk kahwin dengan lelaki lain. Famili saya pulak nak saya kahwin cepat-cepat,” beritahu Rizz Fahim terus terang.
“Awak ni dah gila agaknya. Awak tak tahu asal usul dan saya pun tak tahu asal usul awak. Tiba-tiba ajak kahwin. Ingat senang ke main setuju pasal kahwin-kahwin ni? Kahwin dua tiga bulan bercerai!” balas Che Hannah geram.
Kalau dah putus dengan teman wanita, kenapa cari aku pulak? Main senang aje ajak aku kahwin. Bodohlah dia ni! marah Che Hannah dalam hati.
“Siapa cakap nak bercerai? Saya akan kahwin dengan awak dan akan belajar mencintai awak. Saya rasa kita boleh lakukan. Semalam saya tak boleh nak tidur sebab asyik fikirkan awak. Saya rasa awak memang jodoh saya,” balas Rizz Fahim.
“Eee... meluatlah dengar. Sudahlah merepek sorang-sorang. Saya banyak kerja,” kata Che Hannah geli.
Dia yang mahu menolak daun pintu kedai sekali lagi dihalang oleh Rizz Fahim.
“Awak, ini kad saya. Kalau awak berubah fikiran untuk berkahwin dengan saya, call atau mesej saya. Saya yakin awak adalah jodoh saya,” kata Rizz Fahim lagi. Kad nama yang berada di tangannya diselitkan di jari Che Hannah.
Tergamam Che Hannah dengan tindakan Rizz Fahim. Matanya menghantar Rizz Fahim yang berlalu pergi. Kad nama lelaki itu dibacanya. Doktor Rizz Fahim? Dia doktor? Wah, hebatnya dia. Sempat hatinya memuji.
Che Hannah memandang lelaki yang semakin jauh meninggalkannya. Sebaik sahaja bayangan lelaki itu hilang daripada pandangannya, terus dia masuk ke dalam kedai.
“Hannah, ada call!” beritahu Suraya seraya menghulurkan telefon kepada Che Hannah.
Che Hannah memandang skrin telefon yang tertera nama emaknya. Dia sudah dapat mengagak apa yang mahu ditanya oleh emaknya. Che Hannah memandang Puan Juliana yang sedang bekerja di kaunter. Terus dia bergegas masuk ke bilik stor dan menjawab panggilan ibunya.
“Assalamualaikum, mak. Hannah tak nak kahwin dengan Abang Suhaimi. Minggu depan Hannah bawa balik calon bakal menantu mak!”
Lega! Ya, itulah yang dia rasakan saat ini sebaik ayat itu meluncur laju di bibirnya.

RIZZ Fahim mengatur langkah ke arah Jabatan Pesakit Luar. Dia mengutuk dirinya sendiri sebaik sahaja lamarannya ditolak oleh Che Hannah. Mana mungkin seorang gadis akan menerima lamaran seorang lelaki yang belum dikenalinya. Aduh, malu pula apabila teringat dia seperti terhegeh-hegeh mahukan Che Hannah. Ah, lupakan, desis hatinya.
iPhone yang berbunyi dicapainya. Bulat matanya memandang mesej yang diterima daripada WhatsApp. Berkali-kali dia membaca mesej yang diterimanya.

Saya setuju nak kahwin dengan awak. – Che Hannah 

Yes! Yes! Segera Rizz Fahim mengangkat tangannya dengan rasa gembira. Seakan-akan dia mahu menari ketika ini. Lega hatinya kerana dia akan membawa pulang bakal menantu untuk ditunjukkan kepada umi dan neneknya.
“Eh, doktor okey ke ni?” soal seorang jururawat yang lalu di hadapannya.
Segera Rizz Fahim menghentikan tingkah lakunya yang berada di luar kawalan tadi. Tersengih-sengih dia memandang Intan, jururawat yang menegurnya tadi. Isy, dia sudah berada di pintu masuk hadapan Jabatan Pesakit Luar rupa-rupanya. Malunya dia apabila ada beberapa orang yang lalu-lalang di situ tersenyum-senyum ke arahnya.
“Tak ada apa-apa,” balas Rizz Fahim lalu berlalu.
Sambil berjalan menuju ke bilik kerjanya, dia membaca sekali lagi WhatsApp yang dihantar oleh Che Hannah tadi. Bagaimana ya Che Hannah tiba-tiba boleh bersetuju nak kahwin dengan dia? Cepat benar pula tu. Nampaknya, usaha dia bertemu Che Hannah tadi berjaya juga. Rizz Fahim tersenyum sendirian.
Asmidar yang berselisih dengannya langsung tidak ternampak oleh Rizz Fahim. Asmidar menoleh ke arah Rizz Fahim yang sedang tersenyum sendirian memandang iPhonenya.
Baharu sahaja iPhonenya mahu dimasukkan ke dalam poket seluar, sekali lagi dia mendapat WhatsApp daripada gadis itu.

Tengah hari esok kita jumpa. Hujung minggu depan saya nak ajak awak balik kampung saya. Awak kena jumpa emak saya! 
           
Ternganga Rizz Fahim membaca WhatsApp daripada Che Hannah. Dia baru berkira-kira hendak membawa Che Hannah ke kampungnya hujung minggu ini, lain pula jadinya. Argh, takkan hendak mungkir janji lagi kepada nenek? Sudahlah semalam dia tidak dapat balik ke kampung kerana mengikuti pengisian cari jodoh selepas disyorkan oleh sahabatnya Doktor Aiman untuk mencari calon di agensi cari jodoh itu.
Apa yang dia hendak cakap dengan nenek lagi? Takkan nak mungkir janji lagi?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan