Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 5 Ogos 2016

Abang Sado Hati Jambu - Bab 8

Tajuk: Abang Sado Hati Jambu
Penulis: Aunie Ayunie
ISBN: 978-967-365-271-6
Harga: RM26.00 / RM29.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

AMNIE menggarukan kepalanya yang mula pening melihat Mak Siti yang mundar-mandir di hadapannya. Puas dia memujuk, tapi ibunya tetap tidak mahu bertenang.
“Ibu, kan angah dah beritahu yang angah ada hal dengan along. Mungkin masalah besar, sebab tu angah tak balik.”
“Masalah apa? Besar mana masalah tu sampai angah tak balik? Ibu risau tahu tak? Angah tak pernah buat perangai macam ni. Adik telefon along sekarang juga. Ibu nak cakap dengan along. Kalau tidak, esok juga ibu pergi cari dia orang di Kuala Lumpur.” Mak Siti menyuakan telefon jenama Nokia 3310 yang besar gedabak itu kepada anaknya.
Dia tak tahu nak gunakan telefon itu. Setakat nak jawab panggilan bolehlah. Selebihnya, memang Amnie yang akan jadi pembantunya.
“Isy, kan dah malam ni? Esok ajelah adik telefon. Ibu jangan risaulah. Angah memang ada dengan along. Semalam angah telefon adik. Angah cakap angah akan balik tak lama lagi. Along pun cakap macam tu juga,” ujar Amnie sambil matanya tertancap ke kaca televisyen yang sedang menayangkan drama slot Akasia.
Drama kegemarannya dan ibunya juga. Tapi, petang itu dia tidak boleh menonton dengan tenang sebab ibunya asyik menceceh tentang angah dan along.
“Tak lama lagi tu bila? Kenapa angah tak cakap dengan ibu sendiri? Along pun sama juga. Semua suka buat ibu risau. Agaknya along dengan angah tu suka sangat kalau ibu susah hati macam ni,” luah Mak Siti dalam nada sedih.
Dia benar-benar risaukan Hayyad. Selalunya kalau dia ke Kuala Lumpur tidak pernah lebih daripada dua hari. Ini sudah lebih seminggu. Tapi, Hayyad masih tidak mahu pulang ke rumah. Kenapa? Dia risau kalau Hayyad menghadapi apa-apa kesulitan di sana. Apa agaknya masalah yang diberikan oleh Ammar kali ini?
“Nanti angah baliklah, ibu. Jangan risaulah. Bukan ibu tak tahu along tu macam mana. Dia takkan benarkan angah balik selagi masalahnya tak selesai. Mungkin masalah along kali ni besar sikit daripada sebelum ni. ”
Amnie sendiri tidak tahu apa masalah alongnya. Tapi, oleh kerana telinganya dah naik bengkak dengan soalan-soalan ibunya, jadi dia terpaksa membuat spekulasi sendiri. Kerepek pisang dalam balang diambil dan dikunyah perlahan. Pisang dari kebun angahnya.
“Sebab itulah ibu risau. Angah takkan tinggalkan kebun pisang dan kebun sayurnya lama-lama. Mesti masalah besar ni. Kalau along tu kena belasah sebab main cinta dengan bini orang macam mana? Atau along kena tangkap dengan polis sebab kes langgar lari?”
“Isy, ibu ni! Ke situ pulak. Bukanlah. Kan elok aje angah dengan along cakap dengan adik semalam? Mungkin masalah berkaitan dengan kerja along. Takkanlah along nak kacau bini orang pulak? Ibu ni, agak-agaklah!” Amnie ketawa geli hati.
Kuat sungguh imaginasi ibunya, mengalahkan penulis skrip. Memang gelaran YB Mak Siti itu kena sangat dengan ibunya.
“Manalah tahu, kan?” Mak Siti mencebik.
“Bukan macam yang ibu fikir tu. Lagipun, angah kan selalu mesej dengan Kak Aisyah. Kak Aisyah cakap angah tengah tolong along untuk satu kerja yang agak penting. Angah beritahu Kak Aisyah lagi yang mungkin tak lama lagi angah meminang Kak Aisyah,” balas Amnie lagi.
“Meminang? Bila? Kenapa ibu tak tahu pun?” Bulat mata Mak Siti memandang anak bongsunya. Tertarik dengan ayat-ayat terakhir yang meluncur dari mulut Amnie tadi.
Sudah lama dia menantikan berita gembira itu. Hayyad dan Aisyah Humaira sudah lama menyulam cinta. Jadi, berita itu sangat menggembirakan hatinya.
“Angah baru bincang dengan Kak Aisyah. Kan dia orang tu dah lama bercinta? Nanti mesti angah beritahu ibu jugak.” Kata Amnie lagi.
Dia dapat tahu perkara itu dari mulut Aisyah sendiri. Sepanjang ketiadaan angahnya, dia menumpang kereta Aisyah berulang-alik ke sekolah. Aisyah bertugas sebagai kerani di sekolahnya. Dalam perjalanan pergi dan balik ke sekolah itulah Aisyah menceritakan semua itu.
“Ermm, ibu tak kisah pun. Janji itu yang angah nak. Yang ibu risaukan sekarang ni, pasal along. Dia tak pernah pun cakap yang dia ada gelpren.” Mak Siti mengetuk-ngetuk dahinya beberapa kali.
Girlfriendlah ibu! Kalau tak reti jangan cakap orang putih,” selar Amnie sambil ketawa terbahak-bahak.
“Samalah! Gelpren jugak bunyi, kan?” jawab Mak Siti tidak mahu kalah.
“Suka hati ibulah!” Amnie membiarkan ibunya dengan pendapatnya sendiri.
Dia memfokuskan pandangan ke arah televisyen. Babak romantik antara Zul Ariffin dengan Ayda Jebat dalam drama itu menarik perhatiannya. Kedua-dua pelakon itu adalah pelakon kesayangannya.
“Amboi, segak sungguh Zul Ariffin ni kan, adik? Bila dia senyum tu memang handsome!”
Amnie menyeringai. Ibunya juga adalah peminat nombor satu pelakon lelaki itu. Amnie tergelak melihat telatah ibunya yang sudah bersila di depannya menghadap skrin LED itu. Sambil itu, mulutnya becok memuji dan mengagumi kekacakan pelakon itu. Terlupa sebentar dia tentang masalah anak-anaknya kerana Zul Ariffin.

JAKET kulit berwarna hitam itu dilemparkan ke atas sofa. Hayyad menghenyakkan punggungnya di atas sofa. Dia bersandar sambil mendongakkan kepalanya ke atas. Kipas yang sedang berpusing di siling direnung dengan pandangan kosong. Satu perkataan yang terlintas di benaknya saat itu.
Letih! Kerana siapa? Kerana Yuzma Khairunnisa’.
Setiap kelakuan dan pertuturan gadis itu mengundang kemarahan dalam hatinya. Yuzma melayannya seolah-olah dia yang terhegeh-hegeh mahu menjadi pengawal peribadinya. Kalau bukan kerana Ammar, dia tidak akan ambil risiko gila itu. Lebih baik dia balik kampung jaga kebun pisangnya. Dia sanggup berpanas dan berhujan di situ daripada menjadi pengawal peribadi kepada gadis sombong, bongkak dan riak seperti Yuzma. Buat sakit hati saja!
“Angah, lewat balik?” Ammar yang muncul dari biliknya menyapa.
“Biasalah bos kau tu, along. Bukan boleh percaya sangat. Aku tunggu sampai pukul 12.00 baru aku balik.” Hayyad berpaling ke arah abangnya yang sedang berjalan mendekatinya.
“Ya ke? Kau tunggu kat rumah Tan Sri ke?” tanya Ammar sebaik sahaja mengambil tempat di sebelah Hayyad.
“Ialah. Nak tunggu kat mana lagi? Kan Tan Sri tak nak dia pergi kelab malam lagi. Aku kenalah tunggu sampai aku yakin yang dia takkan keluar dari rumah tu.”
“Kesian kau, kan? Along rasa bersalah pula sebab libatkan kau dalam masalah ni. Along tak patut heret kau sekali. Cik Yuzma tu memang perangai dia macam tu. Dia akan memberontak kalau Tan Sri tak ikut kehendaknya.” Ammar mengeluh perlahan.
Sebenarnya, dia kesian sebab Hayyad terpaksa jadi kambing hitam untuk memastikan Yuzma tidak lagi mengulangi perbuatannya yang memalukan itu.
“Baru kau nak rasa bersalah, along? Sepatutnya awal-awal lagi kau dah kena fikir macam tu. Aku ni banyak kerja kat kampung tu. Hati aku tak tenang tau fikir pasal ibu dengan adik. Tak ada sesiapa yang nak tengok-tengokkan dia orang. Kalau bukan kerana kau tu along aku, jangan haraplah aku nak jadi bodyguard perempuan macam itu.” Hayyad meraup mukanya dengan tapak tangan.
Dia sanggup terima kerja itu kerana along. Sebab along nampak terdesak sangat dengan tekanan yang diberikan oleh Tan Sri Mokhtar.
“Along tahu. Nak buat macam mana? Kau aje yang boleh along minta tolong. Cik Yuzma tu buat perangai tak senonoh macam tu sebab nak keluarga Edrian putuskan pertunangannya dengan Edrian. Dia tak nak kahwin dengan Edrian, tapi Tan Sri pula nak Edrian jadi menantu dia. Sebab itulah Cik Yuzma buat perangai. Masuk kelab malam, mabuk, bergaduh dengan orang dalam kelab sampai masuk dalam surat khabar. Tapi, sampai hari ni keluarga Edrian senyap aje. Macam tak ada apa-apa yang berlaku.”
Ammar menjelaskan situasi yang sebenar. Tidak mahu Hayyad terus-menerus pandang serong kepada Yuzma. Di sebalik keburukan itu, tersembunyi seribu satu sikap Yuzma yang sangat menyenangkan.
“Itu bukan alasan dia boleh buat perkara yang Allah larang, along. Kalau dah tak suka dengan Edrian tu buatlah solat hajat ke, solat istikharah ke. Minta pertolongan daripada Allah. Bukannya buat benda maksiat macam tu. Selagi kita ni hidup sebagai Islam, selagi itulah kita terikat dengan lima hukum tu. Halal, sunat, harus, makruh dan haram. Apa yang dia buat tu haram! Dia tak tahu ke buat-buat tak tahu? Jangan haraplah angah nak perempuan macam tu buat bini. ”
Hayyad buat muka tak suka. Mati hidup semula pun dia takkan pilih perempuan spesies terancam itu jadi isterinya. Tak larat nak tanggung dosa!
“Isy, kau ni angah! Tak baik cakap macam tu. Along tahulah yang Cik Yuzma tu buat salah. Kau tahu ke siapa yang akan jadi isteri kau? Tak tahu, kan? Allah boleh terbalikkan kata-kata kau dalam sekelip mata aje tau,” ujar Ammar bersungguh-sungguh.
Kurang berkenan dengan cara Hayyad yang berfikiran buruk tentang Yuzma. Dia kenal Yuzma dan dia tahu, Yuzma bukanlah seteruk yang disangka. Itu cuma tindakan bodohnya yang tidak mengikut haluan akal yang waras. Itu sahaja.
“Aku cuma cakap benda yang betul aje, along. Nasib baik Aisyah tak ada perangai macam tu. Kalau perempuan macam tu jadi bini aku, aku kena buat kenduri tolak bala dulu tau,” tokok Hayyad sambil menggelengkan kepalanya.
Simpang malaikat 44! Memang dia tak sanggup. Terbayang di matanya figura Yuzma yang selalu berpakaian sendat dan ketat itu. Kus semangat...
“Cik Yuzma taklah teruk sangat angah! Cuma dia perlukan seseorang untuk membentuk dan membimbing dia. Kau ingat tak tiga tahun lepas masa adik kena buat pembedahan sebab jantung adik berlubang tu?”
“Ingatlah. Kenapa?” Hayyad kerutkan dahi. Kurang pasti apakah kaitan perkara itu dengan perkara yang sedang mereka bualkan.
“Masa tu kan, along baru aje dapat kerja di Setia Holdings dan angah sendiri baru nak mulakan projek kebun pisang tu. Kita semua dah usaha kumpulkan duit untuk bayar kos pembedahan adik, tapi kita tak mampu. Angah tahu tak siapa yang tolong berikan duit tu?” Ammar menduga dan dia tahu Hayyad tidak akan tahu jawapannya.
“Kan kau cakap kawan kau bagi pinjam?”
“Memang, tapi kawan yang along maksudkan tu Cik Yuzma. Walaupun along baru aje kerja, tapi dia dah sudi tolong along. Bukan sikit pula tu duit yang dia beri. Hampir 30 000 ringgit, angah. Jadi, along rasa kau tak patut cemuh dia macam tu sebab itu dosa dia dengan Allah. Kau kena berdoa supaya Cik Yuzma tak ulang lagi kesilapan dia tu bukannya hina dan maki dia macam tu. Bila kau betul-betul dah kenal dengan dia, kau akan tahu yang dia tu satu dalam seribu,” ujar Ammar penuh makna. Dia menepuk bahu Hayyad beberapa kali sebelum bangun dan kembali ke biliknya.
Hayyad diam membisu. Dia tak pernah pula bertanya tentang hal itu. Lebih-lebih lagi bila along beritahu yang kawannya tidak mahu wang itu dibayar balik. Mula-mula dulu ada juga mereka bertanya khabar, tapi perkara itu terus sepi dek masa yang berlalu. Tak sangka pula kawan along tu Yuzma!
Tapi, itu bukanlah alasan untuk menghalalkan apa yang dia lakukan dalam kelab malam itu. Haram tetap haram, tegas Hayyad lagi.
Bunyi telefon bimbitnya membuatkan nama Yuzma terbang bagai ditiup angin. Bibir Hayyad mengorak senyum melihat nama si pemanggil. Terus jarinya diseret ke skrin telefon Samsung Galaxy Note 3 miliknya.
“Helo, Aisyah...” jawabnya mesra.
“Dah lewat ni. Kenapa tak tidur lagi? Rindukan abang ye?” tokoknya lagi dengan senyuman yang semakin melebar.
“Helo, abang. Rindulah juga...” Suara Aisyah kedengaran di corong telefon disusuli dengan ketawa manja.
Hayyad mengurut dadanya. Suara itulah yang sekian lama menjadikan hatinya berbunga dan kembang setaman. Aisyah Humaira, sebaris nama indah itu terus membuai nalurinya.
“Aisyah jangan ketawa macam tu tau? Boleh pecah jantung abang ni,” usik Hayyad sambil bingkas bangun dari sofa.
Dia mencapai jaketnya dan disangkutkan ke bahu. Kakinya pula diatur menuju ke biliknya yang terletak bersebelahan dengan bilik along.
“Isy, mengada-adalah tu. Abang bila nak balik kampung? Kan abang cakap abang nak kita bertunang bulan depan? Bulan depan tu lagi seminggu aje tau?”
“Abang tahulah, sayang. Aisyah jangan risau. Minggu depan abang balik kampung. Abang rasa macam nak demam aje ni tau. Rindu kut...” Hayyad terus melompat ke atas katil. Dia tidur terlentang.
Kalau nak bercakap dengan buah hati, kena tidur macam itu. Baru feel...
“Tipu. Kalau rindu kenapa tak balik lagi?”
“Abang ada hal penting sangat kat sini, tapi Aisyah jangan risau okey? Abang akan balik juga minggu depan. Kita akan bertunang minggu depan. Abang janji.” Hayyad sendiri sudah tidak sabar lagi untuk menjadikan Aisyah miliknya yang mutlak.
Dia bercadang untuk tidak bertunang lama. Mungkin dalam sebulan sahaja. Kemudian, mereka akan diijabkabulkan sebagai suami isteri. Jadi, bolehlah dia berkepit dengan Aisyah 24 jam. Tak sabar rasanya menunggu saat indah itu.
“Okey. Aisyah tunggu tau? Ermm, dah lewat ni. Aisyah letak telefon dulu ya? Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam, Aisyah,” jawab Hayyad lembut.
Senyumannya semakin berbunga mengingati Aisyah Humaira. Gadis lemah lembut dan penuh adab sopan itulah yang sesuai untuk menjadi suri hidupnya. Kalau dia pandang muka Aisyah bukan sahaja matanya yang sejuk. Habis semua organnya sejuk. Nyaman dan damai saja bila dia bersama Aisyah.
Kalau nak dibandingkan Aisyah dengan Yuzma macam langit dan bumi. Macam baju kurung dengan ceongsam. Jauh berbeza!
Hayyad bangun daripada perbaringan. Tubuhnya terasa melekit pula. Rumah teres macam ini memang panas kalau malam. Along tak pasang air-cond dalam bilik itu. Harapkan kipas siling saja. Macam duduk dalam sauna! Tuala yang tersangkut di pintu almari baju diambil dan dia keluar untuk ke bilik air. Nak mandi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan