Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 5 Ogos 2016

Abang Sado Hati Jambu - Bab 7

Tajuk: Abang Sado Hati Jambu
Penulis: Aunie Ayunie
ISBN: 978-967-365-271-6
Harga: RM26.00 / RM29.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

YUZMA melangkah masuk ke dalam restoran yang menjadi tempat kegemarannya untuk menjamu selera waktu tengah hari. Restoran yang menyajikan makanan kampung itu sangat menyelerakan.
Hayyad ikut masuk dan dia berjalan di belakang Yuzma. Dari jarak kira-kira dua meter, mata Hayyad menangkap wajah Ammar dan Abby yang beria-ia melambai ke arah mereka. Awalnya dia orang sampai! desis Hayyad dan dia membalas lambaian mereka.
“Hai, dah lama ke kau orang tunggu?” sapa Yuzma mesra tatkala sampai di meja yang diduduki oleh Abby dan Ammar.
“Taklah lama sangat, nok! Setengah jam aje,” jawab Abby dan serentak itu, Abby mencebik sambil tangannya berada di bahu. Ayat perli!
“Alah, setengah jam aje, kan? Bukan setengah hari pun!” balas Yuzma tanpa riak bersalah. Lagipun, dia memang selalu akan sampai lewat daripada mereka berdua.
“Kalau setengah hari alamat mati kebulurlah kami Cik Yuzma!” tokok Ammar disambut hilai ketawa daripada Abby.
Dalam lingkungan kerja memang dia tidak berani dengan Yuzma, tapi bila di luar waktu bekerja dia, Abby dan Yuzma adalah kawan baik yang selalu berkongsi rahsia.
“Ialah! I tahu I salah. Dah oder ke belum?” Yuzma mengalah juga.
Done! Macam selalu,” jawab Abby dan Ammar serentak.
Ketika itu Hayyad turut mengambil tempat di atas kerusi di sebelah Yuzma.
“Eh, siapa suruh you duduk ni? Ada I suruh ke?” tanya Yuzma dengan mata yang membulat.
“Saya tak perlukan kebenaran sesiapa untuk duduk di sini. Kenapa? Ada punggung Cik Yuzma tu rasa tercucuk ke kalau saya duduk kat sini? Tak pun, kan?” kata Hayyad bersahaja dan akibatnya dia mendapat satu jelingan maut daripada gadis itu.
“Menyakitkan hati orang aje kerjanya,” getus Yuzma antara dengar dan tidak.
“Kalau nak cakap tu biar terang-terang. Tak payah bisik-bisik macam tu. Mengumpat namanya tu!” sindir Hayyad lagi.
Yuzma tarik nafas dalam-dalam dan dihembuskan deras. Lelaki itu memang menguji kesabarannya. Setiap patah perkataan yang keluar dari mulutnya, semuanya menyakitkan hati sahaja.
“Isy, sudahlah tu! Kau orang ni nama aje majikan dengan bodyguard, tapi bergaduh macam anjing dengan kucing.” Abby menggelengkan kepalanya.
Pening dengan tingkah kedua-dua manusia yang sedang mencuka di hadapannya. Asyik bertengkar saja kerja mereka. Naik letih telinga mereka yang mendengar.
“Aku kucing. Dia yang anjing!” kata Hayyad lagi.
What? Anjing? Who’s anjing? Kurang ajar betul!” Yuzma mula berang dan tanpa disedari dia mencapai gelas berisi air kosong dan dicurahkan ke wajah Hayyad. Geram sangat sampai dia tak boleh nak berfikir dengan waras.
“Memang saya kurang ajar...” Giliran Hayyad pula mengambil gelas yang berada di hadapannya dan tanpa berfikir dua kali dia mencurahkan air itu ke wajah Yuzma.
Gadis itu menjerit dek terkejut.
Ammar dan Abby yang menonton membeliakkan mata dan mulut mereka ternganga luas. Mereka tidak sempat nak menghalang kerana babak itu berlaku dalam sekelip mata sahaja. Ammar meneguk liur dan menepuk dahi. Abby pula cepat-cepat menghulurkan tisu kepada Yuzma dan Hayyad.
“Kau orang boleh tak jangan jadi childish sangat. Malu tau orang tengok. Yuz, kau nak muka kau masuk paper lagi ke bergaduh dengan bodyguard sendiri? Kawallah sikit perangai tu...” Abby mengetap bibir.
Dia perasan ada yang memandang sinis ke arah mereka. Restoran itu pula memang restoran tip top. Ramai yang berkunjung ke situ waktu makan tengah hari. Dia tidak mahu Yuzma menjadi bahan ejekan orang ramai sekali lagi. Berita tentang dia bergaduh di kelab malam tempoh hari pun masih lagi hangat dikatakan. Nak tambah masalah pula. Huh!
“Dia yang mulakan dulu!” Yuzma merengus sebal.
“Siapa yang curah air dulu?” Hayyad menengking kuat. Giginya dikancing kejap.
Tiba-tiba dia tengok Yuzma berubah menjadi seekor tikus kecil yang ketakutan dan dia tentunya menjadi seekor kucing besar yang sudah bersedia untuk menerkam tikus kecil itu.
“Hoi, sudahlah!” Suara Abby versi garau sudah mula kedengaran.
Namun, cepat-cepat dia berdeham bila tiga pasang mata itu merenungnya. Abby menekup mulut dengan tapak tangan. Ups, terlebih sudah!
“Kalau dah lelaki tu, jangan mengada-ada nak jadi perempuan. Kau tahu tak yang perempuan ni menyusahkan! Harap muka aje cantik, tapi...” Hayyad menoleh ke arah Yuzma. Matanya dikecilkan saat wajah Yuzma menjadi sasaran renungannya.
“Perangai macam orang tak sekolah!” Tambah Hayyad sambil tersenyum sumbing. Puas hati dapat menyakitkan hati gadis itu.
“You ni...” Yuzma mengetap bibir. Rasa macam nak menjerit sekuat hatinya. Geram sungguh dengan mulut Hayyad yang celopar tahap bengang anak telinga.
“Cik Yuzma, bertenang okey? Angah, kau pun tutup mulut kau tu. Makanan dah sampai.” Ammar memberikan amaran sebaik melihat pelayan restoran yang sedang menghala ke arah meja mereka sambil menatang makanan yang dipesan tadi.
Masing-masing membisu, tapi dalam hati ada rasa benci yang kian membuak-buak. Yuzma mengesat wajah dan bajunya yang basah kerana perbuatan Hayyad. Lelaki itu juga sedang melakukan perkara yang sama.
Ammar dan Abby saling berpandangan sebelum mereka menjongketkan bahu serentak. Ammar terfikir adakah tindakan Tan Sri Mokhtar menjadikan Hayyad sebagai pengawal peribadi Yuzma adalah satu tindakan yang bijak atau sebaliknya. Mereka berdua nampaknya langsung tidak boleh berkomunikasi dengan baik.
Ammar mengeluh perlahan. Pandangannya jatuh kepada adiknya yang sedang menyuap nasi ke dalam mulut.

YUZMA menolak pintu bilik Pengarah Urusan Syarikat Setia Holdings dengan kasar. Dia terus tayang muka mencuka sebaik ternampak ayahnya yang sedang berbincang sesuatu dengan setiausaha sulitnya, Encik Kamal.
“Hai, Yuzma! Kenapa nampak masam aje ni?” tegur Encik Kamal dengan manis wajah.
Gadis itu tidak menjawab sebaliknya dia menghempaskan beg tangannya di atas meja Tan Sri Mokhtar.
“Yuzma, kenapa ni? Tak boleh ke kamu beradab sikit?” gumam Tan Sri Mokhtar.
Tidak gemar dengan sikap Yuzma yang suka memberontak tidak kira tempat dan masa itu. Ikut kepala dia sahaja. Degil!
“Yuzma tak nak lelaki kurang ajar tu jadi bodyguard Yuzma! Yuzma tak nak! Ayah faham tak?” bentak Yuzma lantang.
Tidak dipedulikan kewujudan Encik Kamal dalam pejabat ayahnya. Biarlah! Lagipun, lelaki sebaya ayahnya itu rapat dengan keluarga mereka. Dia juga sudah masak dengan perangai dan fiilnya.
“Kamal, awak keluar dulu. And please come in after ten minutes.”
“Baik, Tan Sri.” Encik Kamal mengangguk. Seraya itu dia mengatur langkah menuju ke pintu kayu.
“Kenapa kamu tak habis-habis nak peningkan kepala ayah, Yuzma? Tak boleh ke kamu fikir tentang ayah? Tak boleh ke kamu biarkan ayah buat kerja dengan tenang? Apa masalah dengan Hayyad tu?” Tan Sri Mokhtar memerhatikan anak daranya yang tidak pernah sunyi daripada memberikan masalah kepadanya.
“Ayah tahu tak apa yang dia dah buat kepada Yuzma? Ayah tengok baju Yuzma ni...” Yuzma beria-ia menunjukkan bajunya yang masih ada kesan basah. Dia memang dah tak boleh bersabar lagi dengan Hayyad.
“Kenapa?”
“Kenapa ayah tanya? Lelaki tak guna tu dah melampau! Dia simbah air pada muka Yuzma. Depan orang ramai pula tu. Ayah tahu tak dia dah malukan Yuzma? Yuzma tak buat apa-apa pun.” Yuzma mengadu dan seperti kebiasaan, dia menambah sedikit jalan cerita supaya ayahnya yakin.
“Kamu tak buat apa-apa? Habis, takkanlah Hayyad tu saja-saja nak siram air kepada kamu? Ayah yakin yang dia tu masih waras,” tukas Tan Sri Mokhtar seperti dapat mengagak perkara yang sebenar.
Yuzma anak kandungnya dan dia arif tentang perangai anak sulungnya itu. Hayyad takkan buat macam itu kalau Yuzma tidak mulakan dulu.
“Memang dia tu tak waras, ayah! Psiko! Gila! Dia langsung tak dengar arahan Yuzma dan bila Yuzma marah, dia marah Yuzma balik. Ayah nak ke anak ayah ni nanti kena pukul dengan lelaki psiko macam tu?” Yuzma mengarang skrip bagi memburuk-burukkan Hayyad.
Selagi dia tidak berjaya mempengaruhi ayahnya selagi itulah dia terpaksa berdepan dengan lelaki itu.
“Baguslah kalau dia tak ikut cakap kamu. Kalau tidak dia pun sama jugak dengan bodyguard-bodyguard lama kamu yang ayah dah pecat tu. Semua makan rasuah! Sekurang-kurangnya dia boleh pastikan kamu tu tak masuk kelab malam lagi,” ujar Tan Sri Mokhtar pula. Ternyata aduan Yuzma membuatkan hatinya senang.
Sebelum ini, pengawal-pengawal yang diupahnya akan ikut apa sahaja cakap Yuzma. Yuzma suka sogok mereka dengan duit. Mereka pula akan ikut kehendak Yuzma macam lembu dicucuk hidung. Kalau Yuzma mengamuk macam ni, maknanya Hayyad boleh diharap. Tan Sri Mokhtar tersenyum senang.
“Yuzma janji Yuzma tak masuk kelab malam lagi, tapi ayah kena pecat Hayyad tu hari ni jugak! Yuzma tak suka dia jadi bodyguard Yuzma. Ayah faham tak? Dia tu suka cari pasal dengan Yuzma.”
“Ayah lantik dia jadi bodyguard kamu selama tiga bulan. Ayah tak nak kamu lari masa hari perkahwinan kamu nanti dan sehingga itu, ayah tidak akan melayan sebarang permintaan kamu. Faham? Jadi, tolong jaga perangai kamu tu. Jangan sampai keluarga Edrian putuskan pertunangan kamu berdua. Ayah tak nak dengar yang kamu buat perangai tak senonoh tu,” tegas Tan Sri Mokhtar.
Kali ini dia tidak akan berkompromi lagi. Kalau dibiarkan Yuzma akan mencalarkan nama baiknya sekali lagi.
“Kalau ayah tak paksa Yuzma kahwin dengan Edrian, Yuzma takkan buat perangai macam tulah. Yuzma buat semua tu sebab Yuzma nak keluarga Edrian sendiri yang putuskan pertunangan kami. Yuzma masuk kelab malam sebab memang Yuzma nak keluarga dia fikir yang Yuzma ni perempuan tak baik. Ayah faham tak yang Yuzma tak rela berkahwin dengan Edrian si buaya darat tu?” Yuzma masih lagi berdegil. Dia menepuk meja tulis ayahnya sekuat hatinya tanda protes.
Tapi, Tan Sri Mokhtar buat muka selamba seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia tahu Yuzma sengaja mahu menarik perhatiannya, tapi dia dah masak dengan perangai Yuzma. Dia duduk kembali dan fail yang disemak bersama Encik Kamal tadi diselak semula.
“Ayah dengar tak apa yang Yuzma cakap ni? Yuzma belum habis cakap lagi!”
“Dah cukup 10 minit. Kamu boleh keluar sekarang. Ayah ada hal penting nak dibincangkan dengan Uncle Kamal,” kata Tan Sri Mokhtar tanpa memandang anaknya yang sedang berdiri sambil berpeluk tubuh itu. Dia mengambil telefon dan menelefon seseorang.
“Helo, Hayyad. Awak ada di mana?” tanya Tan Sri Mokhtar sebaik sahaja panggilannya dijawab.
“Saya ada kat depan pintu pejabat Tan Sri ni.”
“Awak masuk sekarang.”
Tidak sampai dua saat, pintu itu ditolak dari luar.
“Ya, Tan Sri.” Hayyad menjawab dan telefon masih melekat di telinganya.
Tan Sri Mokhtar terus mematikan talian. Hayyad melangkah gagah menghampiri meja Tan Sri Mokhtar. Sempat matanya melirik Yuzma di sebelahnya.
“Hayyad, saya ada perbincangan penting dengan setiausaha sulit saya. Tolong uruskan dia,” arah Tan Sri Mokhtar dan dia masih dalam posisi tadi. Tunduk membaca isi kandungan fail kewangan syarikat.
“Baik, Tan Sri!” Hayyad mengangguk laju.   
“Ayah, Yuzma tak habis cakap lagi. Ayah tak adil tau buat Yuzma macam ni. Yuzma tak...” Yuzma tidak menghabiskan kata-katanya bila tangan kekar Hayyad mula merangkul pinggangnya.
Gadis itu menepis tangan itu sekuat hatinya, tapi semakin kejap pula pautan itu. Hayyad mengambil beg tangan Yuzma dan disilangkan ke bahunya.
“Isy, apa ni? Lepaslah! Lepaskan I, bodoh!” Yuzma menumbuk dada Hayyad berulang kali.
Tapi, lelaki itu langsung tidak rasa sakit agaknya. Dia nampak tenang sahaja. Yuzma meronta-ronta bila diheret oleh Hayyad mendekati pintu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan