Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 9 Ogos 2016

Jodohku Abang Doktor - Bab 8

Tajuk: Jodohku Abang Doktor
Penulis: Nurfaza Alisya
ISBN: 978-967-365-272-3
Harga: RM24.00 / RM27.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

“MAK...”
Nek Yam berpaling sebaik dia dipanggil oleh menantunya, Puan Mahana.
“Ini bakal isteri Rizz,” beritahu Puan Mahana.
Che Hannah tersenyum lalu menghulurkan tangan ke arah Nek Yam. Segera tangan wanita tua itu diciumnya lembut.
Nek Yam masih memandang Che Hannah tanpa bersuara.
Che Hannah sekadar menghadiahkan senyumannya kepada wanita itu. Namun, tetap tidak berbalas. Malu Che Hannah dibuatnya apabila senyumannya tidak diendahkan oleh Nek Yam. Dari tadi wanita itu asyik memandangnya dari atas ke bawah.
“Asmidar?” soal Nek Yam.
“Bukan. Saya Che Hannah.” Laju sahaja Che Hannah menuturkan kata.
Otak Che Hannah cepat sahaja menafsir nama Asmidar yang disebut oleh Nek Yam. Pastinya Asmidar bekas kekasih Rizz Fahim. Fikir Che Hannah begitu.
Nek Yam terdiam.
Puan Mahana mulai gelisah. Dia mula terasa geram dengan anaknya yang tiba-tiba membawa pulang perempuan lain. Bukannya Asmidar. Apa sudah jadi akan ditanyakan nanti kepada anaknya itu kemudian. Sekarang ini dia perlu selesaikan masalah Nek Yam dengan Che Hannah.
“Berapa lama kenal dengan Rizz?” soal Nek Yam lagi.
Che Hannah meneguk air liurnya. Nak bohong ke nak cakap benar ni? Rizz Fahim sudah memintanya untuk berbohong. Tetapi, bila dia pandang muka Nek Yam yang garang tu nak menipu pun tak menjadi.
“Saya kenal Rizz lebih kurang seminggu. Saya kenal dia masa kami pergi ke agensi pengisian cari jodoh. Esoknya dia datang jumpa dan melamar saya. Dan saya terima lamaran dia,” beritahu Che Hannah terus terang. Rizz Fahim yang sedang mengintai hampir terjatuh mendengar jawapan jujur Che Hannah. Habislah dia kali ini.
Jelas Puan Mahana dan Nek Yam terperanjat besar. Ya, masakan mereka tidak terkejut mendengar jawapan Che Hannah. Sudahlah gadis yang selalu diceritakan oleh Rizz Fahim adalah Asmidar, bukannya Che Hannah. Lagi terkejut apabila Rizz Fahim dan Che Hannah hanya berkenalan sekejap cuma. Habis Asmidar macam mana?
“Umur?” soal Nek Yam lagi.
Mereka bertiga masih berdiri di situ. Tiada pula Che Hannah disuruh duduk oleh Nek Yam.
“20 tahun nenek. Ayah saya dah meninggal lima tahun yang lepas. Saya ada lagi tiga orang adik, saya anak sulung. Maaf, nek, mak cik. Saya kenal Rizz pun baru lagi. Insya-Allah, kami akan bercinta lepas nikah. Itu yang kami fikirkan lebih baik. Saya minta maaf banyak-banyak. Saya bukannya daripada keluarga yang hebat macam keluarga Rizz. Emak saya hanya guru tadika, arwah ayah dulu pemandu lori. Saya pun bukannya budak pandai. Keputusan SPM pun cukup-cukup makan saja. Saya kerja sebagai pembantu di kedai bunga. Tapi, kalau mak cik dan nenek tak suka saya, saya faham. Saya akan undur diri,” kata Che Hannah panjang lebar tanpa dipinta.
Rizz Fahim yang mendengar kata-kata Che Hannah tergamam. Tidak disangkanya Che Hannah sudah kehilangan seorang ayah. Jujur betul kata-kata Che Hannah kepada umi dan neneknya. Pasti kejap lagi melenting neneknya itu.
“Siapa cakap nenek tak suka? Kamu diterima sebagai menantu di rumah ini!” Tegas suara Nek Yam bersuara.
Terkejut Che Hannah memandang Nek Yam. Entah dia perlu senyum atau berterima kasih ataupun tidak. Kata-kata Nek Yam memang menggembirakan hatinya, namun dia hairan mengapa tiada secubit senyuman di bibir wanita tua itu.
Puan Mahana menarik nafas lega dengan kata-kata ibu mertuanya. Macam tidak percaya pula Che Hannah diterima dengan mudah dalam keluarga ini.
“Pandai masak?” soal Nek Yam lagi.
Che Hannah teguk air liur.
Rizz Fahim yang sedang mengintai sudah berjaya bernafas dengan lega selepas Che Hannah diterima dengan mudah dalam keluarganya. Namun, pertanyaan nenek sekali lagi tentang kepandaian Che Hannah dalam bidang masakan, membuatkan Rizz Fahim cemas semula.
“Secara jujurnya saya memang tak pandai masak. Tetapi, hujung minggu saya akan belajar masak dengan individu yang membuat kelas masakan. Tapi, mak saya cakap dia paling suka mi rebus telur gedik yang saya buat. Itu pun saya belajar dengan seorang kakak yang berasal dari Terengganu. Memang sedap mi rebus telur gedik Terengganu,” beritahu Che Hannah.
Terangkat kening Nek Yam mendengar kata-kata gadis muda di hadapannya.
Puan Mahana yang mahu tergelak dengan kata-kata Che Hannah, hanya menahan. Lucu benar nama makanan yang disebut Che Hannah. Telur pun pandai bergedik ke?
“Rizz, tak payahlah nak curi-curi dengar. Ingat nenek tak tahu ke Rizz intai kami? Mari sini, bawa Hannah ke pasar. Tengah hari ni kita makan mi rebus telur gedik,” laung Nek Yam.
Ternganga Che Hannah dibuatnya. Sudahlah tidak dijemput duduk dan dipelawa air seteguk pun. Alih-alih sudah suruh dia ke pasar dengan Rizz Fahim untuk masak mi rebus telur gedik. Memang kes aniaya betul ni. Memang tegas betul Nek Yam ni. Hendak tengok dia senyum pun susah. Kedekut senyuman betul! kutuk Che Hannah dalam hati.
Rizz Fahim tersengih-sengih mendekati neneknya.
“Bawa Hannah ke pasar. Setengah jam nenek bagi masa,” pesan Nek Yam.
“Jom Hannah,” kata Rizz Fahim ke arah Che Hannah yang masih terkaku.
Lambat-lambat Che Hannah mengangguk lalu mengikuti langkah Rizz Fahim.

CHE Hannah menarik nafas lega sebaik sahaja dia selesai menghidangkan lima mangkuk mi rebus. Teringat pula dia sewaktu ke pasar bersama Rizz Fahim tadi. Bermacam-macam soalan yang dia tanyakan kepada Rizz Fahim tentang Nek Yam.
Mahu gugur jantungnya sebaik Nek Yam menyuruhnya memasak mi rebus telur gedik hari ini juga. Mahu pitam dia dibuatnya. Dia yang baru hendak berkenalan dengan keluarga Rizz Fahim, alih-alih disuruh memasak tanpa terlebih dahulu diberi seteguk air.
Sudahlah pasar ke rumah Rizz Fahim memakan masa 10 minit. Terkejar-kejar dia mencari barang-garang yang diperlukan untuk membuat mi rebus.
Rizz Fahim pula ikut saja ke mana kakinya melangkah kerana dia sendiri tidak tahu mana tempat menjual barang-barang yang Che Hannah perlukan.
Geram pula Che Hannah dengan Rizz Fahim. Sudahlah lambat betul menolongnya mencari barang-barang yang diperlukan. Nasib dia pantas mencari bahan-bahan yang diperlukannya lebih kurang 10 minit. Berpeluh habis badannya terkejar-kejar mencari barang. Terpaksa mencari sendiri.
Dan mereka berdua memang tepat-tepat pulang ke rumah cukup setengah jam. Kata Rizz Fahim, neneknya tidak suka orang yang tidak menepati masa. Dalam keadaan nafasnya yang termengah-mengah di dalam kereta tadi, sempat Rizz Fahim menghulurkan air Milo kotak kepadanya.
“Maaf, buat awak terkejar-kejar macam ni,” kata Rizz Fahim mendatar.
“Nenek awak bukan saja tegas, tapi garang sebab tak suka senyum!” hambur Che Hannah.
Rizz Fahim hanya ketawa geli hati.
Hairan Che Hannah dengan gelagat Rizz Fahim yang mentertawakannya.
“Nenek saya tu baik hati sebenarnya. Nenek dah terima awak, itu maknanya dia memang sukakan awak,” balas Rizz Fahim lalu dengan selamba mengenyitkan matanya ke arah Che Hannah.
Terus sahaja wajah Che Hannah diserbu darah merah.
           
“Ini ke mi rebus telur gediknya? Mana telurnya?” soal Nek Yam yang berada di belakang Che Hannah.
Opocot mak kau!” latah Che Hannah yang terkejut.
Uiii... Mana tak terkejut apabila tiba-tiba sahaja terdengar suara Nek Yam di belakangnya? Sudahlah tadi dia sedang mengelamun.
Puan Mahana yang siap menatang minuman hanya tersenyum dengan gelagat Che Hannah.
“Kejap nek,” kata Che Hannah lalu berlalu ke dapur. Dia kembali semula bersama telur gedik yang berada di dalam besen kecil.
“Inilah telur gediknya nenek, mak cik. Telur ayam ni dimasak di dalam air yang tengah mendidih. Telur ni dipecahkan lalu dimasukkan ke dalam plastik dan diikat dengan getah. Tujuan buat macam ni, tak nak bagi telur tu masak berkecai. Macam ni barulah cantik,” terang Che Hannah. Telur yang masih berada di dalam plastik digoyang-goyangkan.
“Bila telur ni digoyangkan di dalam plastik ni, nampak ia tergedik-gedik bergerak. Comel, kan? Sebab tu nama mi rebus ni mi rebus telur gedik.”
Puan Mahana meletuskan ketawanya. Terasa lucu pula dia dengan kata-kata Che Hannah. Gadis muda ini mudah mesra benar dengannya. Ada sahaja kata-kata Che Hannah yang memikat hatinya. Nampaknya, pilihan anaknya memang tepat memilih Che Hannah sebagai isteri.
Che Hannah menghentikan perlakuannya menggoyangkan telur yang berada di tangannya apabila melihat Nek Yam langsung tidak memberikan sebarang reaksi. Dia menoleh ke arah Puan Mahana yang sedang menahan senyum.
“Err, jemput duduk nek. Kejap saya letakkan telurnya,” kata Che Hannah lalu meletakkan telur gediknya di dalam setiap mangkuk mi rebus.
“Mak cik pergi panggilkan pak cik dan Rizz,” sampuk Puan Mahana lalu berlalu.
Beberapa minit kemudian muncul Rizz Fahim dan Encik Iswadi bersama Puan Mahana. Hari ini memang sengaja Encik Iswadi pulang awal untuk berkenalan dengan bakal isteri anaknya.
“Ini ke mi rebus telur gedik bakal menantu abah?” tegur Encik Iswadi sambil tersenyum ke arah Che Hannah.
Tersipu-sipu Che Hannah menahan malu.
“Makan dengan lada jeruk ni lagi sedap,” beritahu Che Hannah.
“Rizz, cepat baca doa,” suruh Puan Mahana.
Tanpa membantah Rizz Fahim membaca doa makan.
Sempat Che Hannah mengerling Rizz Fahim. Terasa damai hatinya melihat Rizz Fahim ketika ini.
“Ermm, sedap mi rebus ni. Pertama kali abah makan mi rebus sedap macam ni. Kuahnya rasa macam sup sikit kan? Memang sedap,” puji Encik Iswadi.
Tebal wajah Che Hannah saat ini.Malu betul dia dengan pujian Encik Iswadi.
“Bahan-bahan pun biasa saja pak cik. Cuma tumis bawang blend dan lada hitam tumbuk,” balas Che Hannah menahan malu.
“Sedap. Memang sedap mi rebus telur...”
“Gedik!” sampuk Puan Mahana lantas melorek senyum ke arah suaminya.
Nek Yam berdeham. Terus mematikan senyuman Che Hannah. Dia memang takut dengan Nek Yam yang berwajah kelat.
“Ermm... bolehlah tahan sedap. Tapi lepas kahwin nanti, Hannah jangan tiap-tiap hari masakkan Rizz mi rebus ni. Apa yang Rizz suka, Hannah kena tahu masak!”
Che Hannah mengerling Rizz Fahim yang sedang menjamah mi rebus tanpa memandangnya. Dia yang mahu meminta Rizz Fahim untuk berbicara dengan neneknya tidak menjadi apabila lelaki itu asyik dengan mi rebusnya.
“Insya-Allah, nek. Hannah cuba usahakan,” balas Che Hannah.
“Bagus! Esok kita pergi jumpa keluarga Hannah bincang pasal kahwin,” bahas Nek Yam lagi.
Rizz Fahim yang sedang ralit menjamah mi rebus tersedak dengan kata-kata neneknya. Esok dia baru bercadang hendak berkenalan dengan keluarga Che Hannah. Isy, nenek ni biar betul. Macam nenek pula yang tak sabar-sabar hendak kahwin.
Begitu juga dengan Che Hannah. Ketar lututnya mendengar kata-kata Nek Yam. Terkejut beruklah mak dia nanti tiba-tiba datang rombongan meminang untuknya esok. Sudahlah maknya itu selalu kalut kalau ada yang datang bertandang ke rumahnya tiba-tiba. Becoklah mulut Puan Zaharah menyuruhnya itu ini. Kalau tak kena yang ditolongnya, berdesinglah telinga menjadi mangsa bebelan Puan Zaharah. Anak dara kena pandai masak, bukan tahu makan tidur saja!
“Esok baru Rizz nak kenal dengan keluarga Hannah. Takkan esok nenek dah terus nak jumpa dia? Tak terkejut ke mak Hannah nanti?” beritahu Rizz Fahim yang menyepi sejak tadi.
Boleh tahan juga mi rebus Che Hannah ni. Sedap! pujinya dalam hati.
“Betul kata Rizz tu mak. Apa kata biar Rizz jumpa keluarga Hannah dulu? Lepas tu kita pula yang menyusul jumpa keluarga Hannah. Biar mereka lebih bersedia. Tak adalah kalut-kalut nak buat persiapan nanti. Lagipun Hannah ni dah tak ada ayah. Tentulah mak Hannah kena carikan wali daripada keluarga arwah ayah Hannah untuk berbincang,” sampuk Encik Iswadi.
Puan Mahana sempat menceritakan tentang keluarga Che Hannah kepadanya tadi sebaik sahaja dia pulang dari kliniknya.
“Ermm, baiklah kalau macam tu. Hujung minggu depan kita jumpa keluarga Hannah,” akur Nek Yam.
Encik Iswadi mengerling isterinya. Kalau sudah begitu kata ibunya, usahlah dibantah. Nanti puting beliung pula yang melanda.
Rizz Fahim dan Che Hannah sama-sama memandang. Jantung Che Hannah semakin hebat berdegup kencang apabila memikirkan keputusan Puan Zaharah esok. Keluarga Rizz Fahim sudah menerimanya. Esok, dia pula yang terpaksa berperang dengan ibunya. Doa hatinya, semoga semuanya berjalan lancar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan