Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 5 Ogos 2016

Abang Sado Hati Jambu - Bab 2

Tajuk: Abang Sado Hati Jambu
Penulis: Aunie Ayunie
ISBN: 978-967-365-271-6
Harga: RM26.00 / RM29.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

KERETA Hayyad berhenti di hadapan sebuah rumah teres bernombor 145. Enjin kereta segera dimatikan dan dia membuka pintu pagar. Rizman membuntutinya dari belakang. Hayyad cepat-cepat mengetuk pintu rumah sewa abangnya. Tapi, tiada sebarang jawapan dari dalam. Hati Hayyad dipagut rasa bimbang.
“Kenapa tak ada orang jawab ni, Hayyad? Along kau pergi mana?” tanya Rizman.
“Entahlah, Riz! Tadi dia cakap nak tunggu aku datang. Kau rasa along aku tu ada hutang dengan along ke?” Hayyad mula rasa tidak sedap hati.
Manalah tahu. Tapi, along kan dah ada kerjaya yang agak hebat? Takkan nak pinjam along pula.
“Eh, bro! Berapa orang along yang kau ada ni? Setahu aku, kau ada seorang aje along,” jawab Rizman seraya menggaru-garukan kepalanya yang keliru dengan kata-kata Hayyad tadi.
“Isy, kau ni! Memanglah aku ada seorang aje along. Along yang aku cakap tadi tu... Ceti! Ceti haram. Macam cerita dalam TV tu.”
“Oh, along tu!” Rizman ketawa sendiri. Lucu pula bila teringatkan soalan bodohnya tadi.
Rizman berdiri di belakang Hayyad yang sedang melekapkan wajahnya di pintu cermin itu. Mahu mengintai keadaan di dalam rumah. Tapi, pandangannya terhalang oleh kain langsir. Hayyad mengeluh perlahan. Mana along ni?
“Kau telefon ajelah! Kalau lama-lama sangat kau buat macam ni, nanti tak pasal-pasal orang kata kita ni perompak. Pukul 4.00 pagi ni, bro!”
“Betul juga tu. Kenapalah kau tak terfikir tadi, kan?” Hayyad tersengih.
Telefon dikeluarkan dari poket seluar dan nombor alongnya didail. Sekejap sahaja, panggilannya dijawab.
“Helo, along? Aku dah sampai kat rumah along ni. Kau kat mana?”
“Along ada dalam rumahlah. Along tak nampak pun kau?” Terdengar suara Ammar dari corong telefon.
“Adalah. Aku datang dengan Riz ni. Aku ketuk pintu, tapi kau tak keluar pun. Cepatlah keluar!” arah Hayyad sebal.
Dari tadi lagi dia dan Rizman tercegat di depan pintu ni boleh pula alongnya cakap tak nampak. Dah rabun ke?
“Mana? Kau orang silap rumah ke? Along ada depan rumah along ni. Dah dekat tiga jam along berdiri depan pintu ni tau?” jawab Ammar beria-ia.
Hayyad menggarukan kepalanya. Biar betul? Matanya meliar memerhatikan sekeliling. Baru dia perasan tentang kasut yang tersusun di depan pintu itu. Semuanya kasut orang perempuan! Alamak, betullah mereka tersilap rumah!
Bro, ini bukan rumah along kaulah!” kata Rizman setelah lelaki itu ternampak Ammar yang sedang berdiri di depan pintu rumah sebelah.
Hayyad mengangguk seraya memberikan isyarat supaya Rizman mendiamkan diri. Dia pun baru tahu yang mereka tersilap rumah. Ketika itu, alongnya sudah berdiri di tepi tembok paras dada yang memisahkan rumahnya dengan rumah sebelah itu.
“Kau orang buat apa kat situ? Sinilah!” bisik Ammar sambil mengancing gigi. Kalaulah tuan rumah terjaga, matilah!
Hayyad dan Rizman melangkah keluar dari kawasan rumah itu dengan berhati-hati. Nasib baik tuan rumah tak terjaga masa dia ketuk pintu dan beri salam tadi.
“Apa hal yang kau orang pergi rumah sebelah? Dah tak sabar nak jadi allahyarham ke?” herdik Ammar sebaik sahaja mereka berdua berdiri di depannya.
“Angah silap tengok nombor rumah. Lagipun, malam-malam macam ni, normallah kalau tersilap pun, kan?” jawab Hayyad pula.
Entah kenapa pula dia boleh tersilap rumah. Dia pernah datang ke situ berpuluh kali, tapi masih lagi tersilap.
“Ialah tu! Macam-macam hal kau orang ni. Dah, jom masuk dulu.”
“Kau nampak okey aje, along? Tadi cakap bukan main lagi. Soal hidup dan matilah, siap suruh kita orang tunggu van jenazah lagi! Apa hal?” soal Hayyad membuntuti langkah alongnya masuk ke dalam rumah.
Rizman terus merebahkan tubuhnya atas sofa dan mula memejamkan matanya. Mengantuk! Dia malas nak ikut serta dalam perbualan dua beradik itu.
“Memang ini soal hidup dengan mati! Nanti kau tahulah. Sekarang ni kau jangan fikir apa-apa lagi, angah,” ujar Ammar sambil berjalan mundar-mandir di hadapan adiknya. Lagaknya seperti sedang berfikir tentang masalah yang besar dan rumit.
“Kau cakaplah apa masalah kau ni, along. Pening kepala aku tengok kau ke hulu ke hilir macam ni.”
Ammar terus duduk di sebelah Hayyad sebaik sahaja mendengar kata-kata itu. Pucuk dicita, ulam mendatang.
“Angah, kau dengar apa yang along nak cakap ni. Sebenarnya, along perlukan pertolongan kau. Tapi, along tak boleh cakap sekarang. Along nak kau tahu walau apa pun yang terjadi nanti, bukan niat along nak tipu kau. Tapi, along terdesak dan along tak tahu siapa lagi yang along boleh minta tolong. Kau aje yang ada, angah!”
Hayyad mengerutkan dahi. Kenapa pelik benar sikap abangnya? Selalu kalau nak minta tolong dengannya, tak adalah sampai nak karang ayat dramatik macam itu.
“Kau buat apa sebenarnya ni along? Kau buat bulu roma aku berdiri. Seram sejuk pula dengar kau cakap macam tu.”
“Macam ni, sekarang kau kena ikut along pergi satu tempat,” jawab Ammar dengan secalit senyuman.
Dia tahu, Hayyad tentu boleh melakukan kerja itu sebab Hayyad ada silat gayung dan cekak harimau.
“Pergi mana? Kau tak buatkan air untuk aku dulu ke, along?” Hayyad terkial-kial apabila Ammar menarik tangannya.
“Minum tu bila-bila pun boleh! Jomlah ikut along. Kalau kita lambat nanti, along kena buang kerja.”
Jawapan itu membuatkan Hayyad akur. Dengar macam serius juga masalah alongnya. Apa pula yang dia buat kali ini? Takkanlah dia bergaduh? Tak logik sebab alongnya penakut. Kalau tengok cerita aksi dalam TV pun dia tutup muka dengan bantal. Hayyad memaksa otaknya untuk meneka, tapi dia buntu. Tunggu dan lihat sajalah nanti.
“Eh, Riz macam mana along?”
“Tak apa! Kau orang pergilah. Aku nak sambung tidur. Along, kau kunci aje pintu tu. Balik nanti tapau nasi lemak untuk aku lima bungkus!” Suara Rizman kedengaran menjawab.
Hayyad mengeluh perlahan sambil ketawa. Ingatkan dah lena.
“Tak sikit sangat ke lima bungkus tu, Riz?” tanya Hayyad bernada sinis. Ketika itu, dia sedang memakai kasut di muka pintu.
“Okeylah tu! Satu lagi, bungkus teh panas sekali ya?”
“Ialah, nanti aku tapaukan. Badan kecik aje, tapi makan mengalahkan dinasour.” Ammar mencelah sebelum menarik daun pintu dan dia mengunci pintu itu dari luar.
“Isy, hati aku rasa tak sedaplah, along. Boleh tak kau cakap aje terus terang apa sebenarnya kau nak aku buat ni?” Hayyad buat muka risau.
“Tak bolehlah, angah. Nanti kau tahulah. Jom, masuk dalam kereta cepat,” arah Ammar lagi.
Kalau dia beritahu sekarang, tentu Hayyad tidak akan setuju mengikutnya ke tempat itu. Dan bila Hayyad tak ikut, mesti masalahnya tidak selesai. Bila masalahnya tidak selesai, menjelang pagi esok tentu dia kena tahan telinga dengar Tan Sri Mokhtar Lee Abdullah memarahinya.
Tak sanggup dia kena marah lagi. Sejak seminggu yang lalu, dia asyik kena marah saja. Sebab itu, dia terpaksa mengheret Hayyad dalam masalah itu.
Mahu tidak mahu, Hayyad tetap meloloskan diri ke dalam kereta Toyota Vios berwarna biru milik alongnya. Ammar sudah pun menghidupkan enjin kereta. Apalah masalah alongnya kali ini? Persoalan demi persoalan membelit mindanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan