Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 10 Ogos 2016

Tanpa Awak Macam Nak Gila! - Bab 7

Tajuk: Tanpa Awak Macam Nak Gila!
Penulis: Zara Ryana
ISBN: 978-967-365-273-0 
Harga: RM25.00 / RM28.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

PUAN HAJAR membetulkan selendangnya di depan cermin. Tiba-tiba dia teringatkan anak gadisnya itu. Jangan-jangan dia pakai macam pelangi tak? Lebih baik pergi tengok. Tanpa membuang masa, Puan Hajar keluar dari biliknya dan bergegas ke bilik anak daranya. Pintu tidak tertutup rapat. Lalu dia menolak pintu perlahan-lahan dan lihat Hessa sedang memadan-madankan baju pada tubuhnya.
“Ya Allah. Tak bersiap lagi?” Puan Hajar terkejut.
Hessa tersentak lalu berpaling. “Hessa tak tahu nak pakai baju apalah ibu.”
Puan Hajar geleng kepala. Dia masuk ke dalam bilik Hessa dan membelek pakaian-pakaian Hessa di dalam almari. Dia mengambil baju kurung dan menyerahkannya kepada Hessa.
“Nah, pakai baju kurung. Ada ke nak pergi rumah orang nak pakai macam tu. Tukar cepat. Abah dah menunggu kat bawah tu,” tegas Puan Hajar lalu keluar dari bilik Hessa.
Hessa tercengang sambil merenung baju kurung berwarna merah jambu berona hijau muda. Baju kurung? Bila hari raya saja dia akan pakai. Aduh, ibu ni dah tahap mendesak ni, omelnya dalam hati. Mahu tak mahu, terpaksalah dia menyarungkan baju kurung ke tubuhnya.
Selesai, dia menayang tubuhnya di depan cermin. Hmm, cantik jugak. Terserlah keayuan aku. Hessa syok sendiri. Dia merapati meja solek dan mencalitkan sedikit gincu berwarna merah jambu muda ke bibirnya. Pipinya disapu pemerah pipi agar tidak kelihatan pucat. Kulitnya yang kering itu dibedakkan sedikit. Cukup sekadar gincu dan pemerah pipi saja.
Selesai, Hessa keluar dari biliknya bersama beg tangannya. Ketika dia keluar, ibunya juga baru keluar dari bilik. Terus bibir ibunya terukir senyuman.
“Ha, macam nilah anak ibu. Ayu, cantik. Lekas.” Puan Hajar memaut lengan Hessa dan menuruni tangga beriringan.
“Jomlah, bang,” ajak Puan Hajar seraya mencuit bahu Encik Zikri yang sedang membaca surat khabar.
Encik Zikri berpaling dan terkejut melihat Hessa. Dia senyum. “Kan cantik anak abah pakai macam ni. Baru nampak ciri-ciri gadis Melayu. Tak gitu ibunya?”
“Tengoklah anak siapa.” Puan Hajar bangga.
Hessa cemik bibir. Mestilah anak ibu dan abah. Takkanlah anak bulan pulak.

PUAN AZZAH merupakan orang yang paling sibuk di dapur. Padahal tugas memasak adalah tugas pembantu rumahnya, tetapi dia pula yang lebih-lebih mengarah dan mengatur. Maklumlah, nak sambut tetamu dan bakal besan. Selepas ini, giliran mereka pula bertandang ke sana. Kalaulah tiada aral melintang.
“Kiah, susun elok-elok lauk tu. Jauh pulak dia orang nak capai,” kata Puan Azzah.
Kiah, pembantu rumahnya hanya menurut dan menyusun lauk-pauk yang sudah sedia terhidang mengikut arahan Puan Azzah.
Sedang Puan Azzah sibuk-sibuk di dapur, Zafrel datang sambil menyarung jaket ke tubuhnya.
“Mama, Zaf nak keluar kejap,” kata Zafrel. Dia tahu sangat ada tetamu nak datang hari ini, tetapi dia tidak berminat untuk menyertai mereka.
“Eh, nak keluar ke mana pulak? Kan hari ni ada orang nak datang rumah kita. Tak payah keluar. Lepas ni pun boleh keluar.” Puan Azzah melarang.
Zafrel mendengus kecil. “Mama, yang nak datang tu tetamu mama. Takkanlah Zaf nak layan tetamu mama pulak?”
“Zaf, tetamu mama, tetamu Zaf jugak. Sudah. Kejap lagi dia orang nak sampai. Jangan mengada-ada nak keluar pulak.”
Zafrel mengeluh hampa. Dia beredar dari dapur dengan rasa kecewa. Jaket yang baru disarung ditanggalkan semula dari tubuhnya. Lalu dia menyertai papanya yang sedang membaca majalah korporat di ruang tamu.
“Apa yang mama beria-ia sangat tu papa? Macam nak sambut anak raja datang rumah aje,” rungut Zafrel bengang sambil melabuhkan punggungnya ke atas sofa. Dia mencapai bantal kecil berbentuk empat segi itu lalu didakap ke tubuh.
“Bukan nak sambut anak raja, tapi nak sambut anak menantu,” jawab Encik Shahadan bersahaja.
“Apa? Anak menantu? Apa maksud papa?” Zafrel terkejut.
“Kamu tunggu ajelah, Zaf,” kata Encik Shahadan tanpa mengulas lanjut persoalan Zafrel.
Zafrel mengerutkan dahi dan berfikir sejenak. Dia mula rasa curiga. Hai, takkanlah papa nak bergurau pulak pasal ni. Papa ni jenis serius orangnya. Nak tanya mama, dia sibuk pulak. Haisy, ni yang aku rasa tak sedap hati ni. Jangan-jangan dia orang ada rancang apa-apa tak? Zafrel berfikir sendiri. Hmm...
Tidak lama selepas itu, kedengaran bunyi ngauman enjin kereta di halaman kediaman mereka. Tentu tetamu mereka sudah sampai.
“Hah, tu dah sampai pun.” Encik Shahadan menutup majalahnya dan diletak ke atas meja. Dia bingkas dan menuju ke pintu untuk menyambut kedatangan tetamunya itu.
Zafrel tidak berganjak sebaliknya membatu di sofa. Puan Azzah yang sibuk di dapur tergesa-gesa keluar untuk menyambut tetamunya.
Puan Hajar dan Encik Zikri keluar dari perut kereta sambil membawa buah tangan yang dibeli dalam perjalanan tadi.
“Dah sampai pun. Jemputlah masuk,” pelawa Puan Azzah apabila sahabatnya itu sudah keluar dari kereta.
Puan Hajar menghulurkan buah tangan yang dibeli kepada Puan Azzah. Encik Zikri dan Encik Shahadan bersalaman.
Sebaik saja melangkah ke dalam rumah banglo itu, Hessa terus didakap oleh seorang wanita iaitu Puan Azzah. Dia terpinga-pinga seketika.
“Ya Allah, lama betul tak jumpa Hessa. Dah besar panjang pun. Amboi, manisnya.” Puan Azzah merenggangkan pelukan dan mengamati wajah Hessa. Gembira betul hatinya.
“Aunty Azzah?” Hessa menyoal.
“Ingat lagi kamu ya. Dah besar panjang dah. Hessa, tu Uncle Adan, ingat lagi?” Puan Azzah menuju ke arah suaminya.
Encik Shahadan senyum.
Hessa angguk dalam keadaan teragak-agak. Dia masih cam wajah lelaki itu. Kemudian matanya teralih ke arah seorang lelaki muda yang berwajah serius dan kerek. Lelaki itu? Budak gemuk? Rahangnya jatuh.
Hessa memalingkan wajah. Benar ke apa yang dia lihat itu? Lelaki yang dia kerap terserempak itu adalah Zafrel? Ya Tuhanku, apa semua ini? Adakah ini satu kebetulan atau takdir yang tersurat untukku? Benarlah jangkaannya sejak kali pertama terserempak lelaki itu.
Hessa memberanikan diri untuk memandang Zafrel sekali lagi. Manalah tahu ia hanya bayangan lelaki itu. Hessa terpempan. Memang betul. Memang dia.
“Yang sebelah tu Hessa ingat lagi tak?” soal Puan Azzah lagi.
“Hessa?” Kening Zafrel terjongket ketika mamanya menyebut nama itu.
Hidup lagi dia rupanya. Tak sangka, gadis yang melanggarnya tak lama dulu ialah Hessa. Malah, beberapa kali pertemuan antara mereka berlaku, namun dia langsung tidak tahu yang gadis itu ialah Hessa. Memang sukar untuk dia percaya.
Hessa memandang Puan Azzah dan geleng kepala. Sengaja dia menggelengkan kepalanya. Dia langsung tidak memandang Zafrel. Apatah lagi bila dia dapat rasakan pandangan lelaki itu sedang tertumpu ke arahnya. Hessa angguk ringan sambil teragak-agak berbalas renungan dengan Zafrel.
“Oh. Zafrel. Baru Hessa ingat, aunty. Tapi, rasanya kami pernah jumpa sebelum ni. Hessa tak cam langsung,” kata Hessa dengan senyum dibuat-buat.
“Dah jumpa? La... Takkan kamu tak cam si Zaf ni?”
Hessa geleng. “Serius tak cam. Dia... dia dah kurus.”
Tersekat-sekat Hessa ingin menyebut perkataan kurus. Apatah lagi Zafrel kerutkan kening saat dia menyebut perkataan itu.
“Segak Zaf sekarang,” puji Puan Hajar.
Pujian daripada Puan Hajar membuatkan Zafrel dan Hessa mengalihkan pandangan masing-masing. Zafrel senyum bangga. Sesekali dia menjeling Hessa. Patutlah wajah Hessa begitu familiar di matanya. Rupa-rupanya jiran lama.
“Eh, apa tunggu lagi? Marilah kita makan dulu. Lepas tu kita sambung berborak. Jom.” Puan Azzah menarik tangan Puan Hajar dan Hessa untuk ke bilik makan. Yang kaum lelaki pula menyusul di belakang mereka.
Zafrel merenung Hessa. Dia mula mengesyaki sesuatu.

DI bilik makan, masing-masing mengambil tempat duduk. Hessa duduk di sebaris dengan ibu dan abahnya. Manakala Zafrel pula duduk di sebelah Puan Azzah.
“Silalah,” pelawa Encik Shahadan.
Tanpa membuang masa, mereka berenam mula menjamu makan tengah hari dengan penuh berselera. Yang lain bukan main rancak berbual. Bersembang dan mengimbau tentang kisah lama. Kecuali Zafrel dan Hessa.
Sebiji-sebiji nasi disua ke mulut. Kadangkala mereka berdua saling berpandangan, tetapi cepat-cepat dialihkan. Hessa masih belum dapat menerima hakikat bahawa lelaki itu ialah Zafrel.
Begitu juga Zafrel. Sejak ternampak Hessa, dia cuba menafikan bahawa gadis yang dia jumpa sebelum ini ialah Hessa. Dia harap dia bermimpi, tetapi ternyata tidak.
Puan Azzah hairan melihat dua anak muda itu menjeling ke muka masing-masing. Nasi di pinggan tak luak pun. Hessa hanya makan nasi putih. Zafrel pula cubit-cubit saja isi paha ayam. Apa kena mereka berdua ni?

HESSA mengambil angin di laman rumah sambil memerhatikan ikan-ikan koi di dalam kolam hiasan. Dia perlu leraikan fikirannya yang kusut.
Sementara Puan Azzah pula sedang menolak-nolak tubuh Zafrel supaya pergi berbual-bual dengan Hessa di luar. Zafrel enggan, tetapi Puan Azzah semakin memaksa. Akhirnya Zafrel akur. Dia melangkah lambat-lambat menuju ke kolam ikan koi.
Melihat ikan-ikan yang sedang berenang dengan gembira, Hessa cuba menangkapnya.
Zafrel berdeham. Hessa terkejut lalu merentap tangannya yang basah ke arah Zafrel. Air dari tangannya itu terpercik ke muka Zafrel. Menyinga Zafrel seketika.
“Eh, awak ni sawan ke apa?” marah Zafrel seraya mengesat mukanya dengan lengan baju.
Hessa yang duduk mencangkung terus bangun dan menghadap Zafrel.
“Yang awak tiba-tiba tercegat kat sini kenapa? Terperanjatlah saya!” Hessa mengurut dada. Dia ingin beredar. Namun, panggilan Zafrel menghentikan langkahnya.
“Hessa Yasmin.”
Hessa pandang Zafrel. Lelaki itu masih ingat nama penuhnya?
“Kita dah beberapa kali jumpa, tapi langsung tak kenal diri masing-masing. Tapi, hari ni, kita jumpa balik.”
“Mestilah saya tak kenal awak. Dulu awak gemuk.”
“Kalau gemuk, tak boleh kuruslah?” Zafrel menyindir. “Patutlah muka awak ni familiar sangat. Macam pernah tengok. Rupa-rupanya...”
Zafrel berjalan mundar-mandir di belakang Hessa. Kedua-dua tangan menyeluk kocek seluar. “By the way, hari awak kena ragut tu, awak dapat balik tak beg awak? Sebab, bila saya nak pergi, kereta awak dah tak ada. Maknanya awak dapat baliklah beg awak?”
“Mestilah dapat balik. Lagipun masa tu awak memang tak membantu langsung,” cemuh Hessa.
“Kalau masa tu saya tahu awak Hessa Yasmin, mungkin saya tolong awak kejar peragut tu sampai dapat.”
Hessa mengetap bibir sambil merengus kecil. Cakap kosong bolehlah, desisnya dalam hati.
“Saya dapat tahu yang keluarga kita nak jodohkan kita. As for me, lupakan niat awak nak berkahwin dengan saya. Saya tak suka jodoh yang dipilih oleh orang tua.”       
Hessa mencemik. “Untuk pengetahuan awak, saya jugak tak pernah terfikir nak berkahwin dengan awak. Saya datang sini pun sebab terpaksa. Ibu yang paksa saya datang. Awak tolonglah, jangan nak perasan. Bagi saya, awak tetap budak gemuk yang annoying.”
Berdesing telinga Zafrel apabila Hessa memanggilnya budak gemuk. “Dan awak pulak budak perempuan yang cengeng!”
Hessa tercengang. Dia terus bercekak pinggang apabila Zafrel memanggilnya cengeng. Ini dah lebih.
“Helo! Cakap baik-baik sikit.” Hessa memberi amaran dengan jari telunjuk. Dia merenung tajam ke mata Zafrel yang berwarna coklat itu.
“Whatever! Dengar sini, rancangan awak takkan berjaya. Saya dah ada girlfriend,” beritahu Zafrel, berbohong.
Teman wanita? Memang tak ada buat masa sekarang. Sengaja dia mahu buat Hessa bengang dengannya. Namun, jauh dalam lubuk hatinya, dia tak kisah jika dijodohkan dengan Hessa. Dia tak tahu kenapa.
“Baguslah kalau awak dah ada pilihan hati. Selamat hidup saya. Tak perlulah saya habiskan hidup saya dengan lelaki macam awak. Lagipun, saya belum terdesaklah nak kahwin.” Hessa senyum sinis.
Perkataan ‘selamat’ sengaja ditekankan supaya Zafrel sedar yang dia memang tak terfikir langsung untuk berkahwin dengan Zafrel. Dia belum puas lagi menyakiti hati Zafrel. Tanpa sedar, dia turut mengangkat bakulnya sendiri.
Zafrel ketap bibir. Perempuan ni memang tak sayang mulut nampaknya. Tak apa. Tengoklah nanti. Zafrel mendengus geram lalu beredar dari situ. Malas nak melayan Hessa yang menjengkelkan dan kebudak-budakan itu. Buat sakit hati saja.

Apabila melihat Zafrel pergi, Hessa tergelak kecil. Hatinya puas. Dia menang hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan