Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 9 Ogos 2016

Jodohku Abang Doktor - Bab 3

Tajuk: Jodohku Abang Doktor
Penulis: Nurfaza Alisya
ISBN: 978-967-365-272-3
Harga: RM24.00 / RM27.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

PAGI ini Rizz Fahim bertugas di jabatan pesakit luar. Walaupun saat ini fikirannya tengah berserabut dengan Asmidar, dia cuba mengawal perasaannya itu. Masalah peribadinya tidak boleh dicampur dengan tugasnya sebagai seorang doktor di HKL.
Bekerja di jabatan pesakit luar agak memenatkan. Setiap hari bermacam-macam pesakit yang ditemuinya. Sebagai doktor dia harus bersikap profesional. Masalah peribadinya sesekali tidak akan dicampur dengan masalah kerjanya.
Selesai tugasnya di jabatan pesakit luar dan digantikan dengan doktor lain, Rizz Fahim mengatur langkahnya ke kantin hospital. Setengah jam lagi dia perlu berada di wad untuk memeriksa pesakit yang berada di wad dan membuat laporan kepada doktor pakar nanti. Memang agak memenatkan apabila dia terkejar-kejar ke wad, memeriksa keadaan pesakit selepas setengah hari bekerja di jabatan pesakit luar.
Segelas Milo dan sepotong sandwic dibeli oleh Rizz Fahim lalu dia mencari tempat duduk yang agak tercorot. Sesekali matanya meliar mencari kelibat Asmidar. Manalah tahu kalau-kalau Asmidar berada di sini. Tugas mereka sebagai doktor memang mempunyai masa yang agak terbatas untuk bersua. Waktu rehat mereka juga tidak menentu.
Rizz Fahim mengeluh. iPhone dikeluarkan dari saku seluarnya. Sekali lagi dia mengeluh hampa apabila tiada WhatsApp dan sebarang mesej daripada Asmidar. Sudahlah panggilan langsung tidak dijawab oleh gadis itu. Apakah Asmidar memang benar-benar tekad untuk melupakan cinta mereka?
“Hoi, jauhnya termenung?” tegur Aiman rakan sejawatnya.
Tersentak Rizz Fahim memandang Aiman yang tersengih di hadapannya. Pinggan nasi yang dipenuhi lauk-pauk dan segelas Nescafe ais diletakkan di atas meja. Tanpa dijemput, rakannya itu menarik kerusi lalu duduk.
“Apa yang kau fikirkan?” soal Aiman. Nescafe ais disedutnya sebelum dia memulakan suapannya.
“Cuma penat aje. Yalah, lepas bekerja di OPD, terkejar-kejar ke wad pula. Manalah tak letih. Dengan on call lagi. Kadang-kadang terpaksa bekerja lebih 24 jam,” kata Rizz Fahim.
Bukannya dia merungut dengan tugasnya sebagai doktor. Dia sudah lali dengan tugasnya sebagai doktor yang kadang-kadang bekerja lebih daripada 24 jam. Namun, hanya jawapan itu yang terlintas di fikirannya. Dia tidak mahu Aiman tahu apa yang dia fikirkan sebenarnya.
“Nak buat macam mana, dah tugas kita sebagai doktor kat sini. Lepas sambung kerja terpaksa on call lagi. Lagi teruk dah habis on call pagi esoknya, sambung kerja pula pukul 8.00 pagi sampai pukul 5.00 petang. 33 jam kita terpaksa bekerja tanpa henti. Dari awal lagi kita kena tahu cabaran jadi doktor ni. Bukan setakat nak kejar glamor dan bangga sebab kita ni bergelar doktor. Orang nampak kita ni bekerja sebagai doktor dah hebat, tapi mereka tak tahu tugas kita kat sini memang berat, beb,” ujar Aiman. Terus dia menyambung suapannya kembali.
Rizz Fahim tersenyum. Aiman kalau sudah bercakap memang akan berceramah panjang lebar. Namun, makanan yang berada di depan matanya mengganggu sahabatnya itu untuk berceramah lebih panjang. Kalau tak sampai bila pun takkan habis. Dia yang terpaksa menadah telinga.
“Eh, kau makan sandwic aje? Cukup ke?” soal Aiman.
“Dah habis separuh nasi baru nak bertanya?” perli Rizz Fahim.
Aiman tersenyum. Yalah, kalau dia sudah lapar apa pun dia tak nampak selain daripada makanan yang akan menjadi santapannya.
“Lapar sangat. Tak sempat nak tanya,” balas Aiman sambil tersengih.
Rizz Fahim menggeleng-gelengkan kepalanya. Baharu dia mahu meneguk minumannya, dia dikejutkan oleh suara Aiman.
“Hah, Asmidar tu. Kekasih hati kau.” Aiman memuncungkan mulutnya ke arah Asmidar yang sedang berjalan dengan seorang doktor lelaki.
Segera Rizz Fahim berpaling. Dia memandang Asmidar yang berjalan seiring dengan Raja Faqih yang merupakan salah seorang doktor bedah di HKL ini. Dia bingkas bangun lalu mengatur langkah ke arah Asmidar.
Asmidar yang sedang berbual dengan Raja Faqih segera mematikan senyumannya. Tidak disangkanya Rizz Fahim berada di sini.
“Faqih, you pesan makanan dulu. Kejap lagi I datang,” kata Asmidar.
Raja Faqih hanya mengangguk dan berlalu untuk memesan makanannya.
“As, Rizz nak bincang dengan As sekejap. Lima minit aje tak mengapa. Betul ke dengan keputusan As semalam? As tahu kan Rizz sangat sayangkan As?” hambur Rizz Fahim sebelum sempat Asmidar bersuara.
“Tak cukup lagi ke penjelasan yang As bagi kepada Rizz semalam? Kita tak boleh teruskan perhubungan ni. As dah nak kahwin dan kita...”
“Kita apa?” soal Rizz Fahim sebelum sempat Asmidar bersuara.
Asmidar memandang Raja Faqih yang melambai-lambai tangan ke arahnya. Kemudian pandangannya dikalihkan ke arah Rizz Fahim.
“Maaf Rizz, bakal suami saya panggil. Lepas ni saya harap kita akan terus menjadi kawan baik,” balas Asmidar lalu melangkah.
Bakal suami? Doktor Raja Faqih anak Dato’ Raja Fuad itu bakal suami Asmidar? Bagai dipanah petir sebaik dia mendengar pengakuan Asmidar. Rupa-rupanya Asmidar memilih Raja Faqih anak Dato’ yang kaya-raya itu daripada dirinya. Mudahnya Asmidar mahu dia melupakan cinta mereka. Adakah kerana Raja Faqih itu lebih berada orangnya?
Saat ini hatinya benar-benar terasa sakit. Tidak pernah dia merasa gagal dan kecewa begini dalam percintaan. Asmidar adalah cinta pertamanya. 10 tahun dia bercinta dengan Asmidar. Bukan mudah untuk dia melupakannya. Bagaimana dia harus menghadapi hari-harinya tanpa mendengar suara manja, gelak ketawa Asmidar? Rizz Fahim benar-benar tertekan.
Dia memandang Asmidar yang berbual mesra dengan Raja Faqih. Tidak lekang senyuman manis Asmidar yang sedang berborak dengan Raja Faqih. Timbul rasa cemburu di hatinya. Tergamak Asmidar menyakiti hatinya begini.
Tangannya digenggam erat. Terus dia mengatur langkahnya untuk ke wad yang ditugaskan. Dia harus mengawal emosinya. Tumpuannya harus peka terhadap pesakit-pesakit di dalam wad nanti. Namun begitu, perasaan sakit hati dan kecewanya sukar untuk dihindarkan. Dia masih belum puas untuk mendapatkan kepastian daripada Asmidar. Mana mungkin terlalu mudah Asmidar mahu melupakan cinta mereka.
           
PERASAANNYA yang tidak menentu cuba dikawal. Dia perlu menyelesaikan tugasnya meronda wad petang ini untuk melihat pesakit-pesakitnya. Masalah hubungannya dengan Asmidar perlu dilupakan sekejap walaupun saat ini hatinya benar-benar luluh.
Sebaik sahaja dia masuk ke wad, dua orang doktor pelatih mendekatinya.
“Bila patient ni dimasukkan?” soal Rizz Fahim kepada kedua-dua doktor pelatih di hadapannya. Dia tersenyum ke arah pesakit lelaki yang terlantar di katil.
Patient dimasukkan ke wad ni satu jam tadi daripada emergency. Complaining about stomach pain and vomits since morning. Result blood and urine test menunjukkan patient ada radang apendiks,” terang doktor pelatih yang bernama Mazni.
Background patient?” soal Rizz Fahim lagi.
“Pesakit berumur 45 tahun dan ada darah tinggi sejak dua tahun yang lalu. Dan setiap dua bulan mendapat rawatan dari klinik harian. Tekanan darah masa masuk ke wad ini tadi 160/100mmHg. Ubat untuk turunkan tekanan darah dah bagi setengah jam tadi. Sejak semalam patient tak ambil apa-apa ubatan darah tinggi,” jelas seorang lagi doktor pelatih yang bernama Fitri.
Rizz Fahim mengangguk. Dia bangga dengan kedua-dua orang doktor pelatih yang berada di hadapannya ini yang cekap menjalankan tugas-tugasnya. Itu barulah betul-betul semangat seorang doktor bekerja. Dia yakin Mazni dan Fitri akan berjaya menjadi seorang doktor yang profesional.
“Doktor, saya akan dibedah? Bila?” soal pesakit yang sedang terlantar lemah.
Rizz Fahim tersenyum. Dia tahu pesakitnya sedang gelisah dengan sakit yang ditanggungnya.
“Sabar ya encik. Tekanan darah encik masih tinggi dan kami terpaksa memantau keadaan encik sebelum melakukan pembedahan. Kalau bacaan tekanan darah encik mencapai paras 130/80mmHg dan ke bawah, baru kami boleh menjalani pembedahan ni. Kalau pembedahan itu dilakukan juga dengan tekanan darah encik yang masih tinggi, risiko komplikasi bahaya seperti kegagalan fungsi jantung, buah pinggang otak dan risiko-risiko lain sangat tinggi. Ia mungkin boleh membahayakan nyawa encik. Encik rehat banyak-banyak dan jangan fikirkan apa-apa. Kejap lagi saya akan memeriksa semula tekanan darah encik.” Rizz Fahim menjelaskan kebenaran kepada pesakitnya.
Kelihatan pesakit itu mengangguk tanda faham.
Baharu sahaja Rizz Fahim mahu bergerak ke arah katil pesakit lain, kedengaran tapak kaki seseorang membuatkan dia berpaling. Doktor Raja Faqih? Terus sahaja hatinya bagai disiat-siat. Dia tahu Raja Faqih ke sini mahu melawat pesakit yang akan dibedahnya esok. Sebagai doktor bedah wajib seorang doktor bedah memeriksa dan memantau pesakitnya sebelum melakukan pembedahan esok harinya.
Raja Faqih melemparkan senyuman dan mengangguk ke arah Rizz Fahim.
Lambat-lambat Rizz Fahim membalas senyumannya. Itu pun kerana terpaksa. Asmidar kenapa buat aku macam ni? Hatinya merintih sengsara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan