Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 5 Ogos 2016

Abang Sado Hati Jambu - Bab 4

Tajuk: Abang Sado Hati Jambu
Penulis: Aunie Ayunie
ISBN: 978-967-365-271-6
Harga: RM26.00 / RM29.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

TAN SRI MOKHTAR berdiri sambil bercekak pinggang. Giginya dikancing kejap. Dia memandang anak sulungnya dari atas ke bawah. Matanya dikecilkan menunjukkan bahawa meter kemarahannya sudah sampai kemuncak.
Yuzma cuma buat muka selamba. Langsung tidak gentar dengan pandangan marah ayahnya.
Could you stop being so ridiculous, Yuzma? Ayah rasa kamu dah cukup matang untuk menilai setiap perbuatan kamu tu. Baru tiga hari lepas heboh dalam akhbar yang kamu bergaduh di kelab malam. Kamu sedar tak setiap perbuatan bodoh kamu tu bakal berikan kesan pada syarikat ayah?” Tan Sri Mokhtar mengetap bibir.
Dia melirik ke arah Ammar sekilas. Lelaki itu cuma tunduk. Kemudian, dia memerhatikan seorang lagi lelaki yang sedang berdiri di sebelah Ammar. Lelaki itu berbadan tegap dan sasa. Tan Sri Mokhtar terkejut juga melihat lelaki itu memikul Yuzma di atas bahunya ketika mahu membawa Yuzma masuk ke dalam rumah.
“Ayah, sejak bila pula Yuzma beri imej yang tak baik pada kompeni ayah ni? Ayah jangan nak berdrama sangatlah! Bukan Yuzma mabuk pun. Yuzma tahulah nak jaga diri Yuzma. Ayah jangan risau sangat boleh tak?” jawab Yuzma acuh tak acuh. Dia duduk di atas sofa dengan wajah yang mencuka.
“Kamu tahu tak semua orang tengok muka kamu dalam akhbar tu? Kamu tahu tak nama kamu dan nama ayah tertulis di situ? Tentu keluarga Edrian pun dah tahu tentang perangai tak senonoh kamu tu.”
“Baguslah kalau dia orang dah tahu! Memang itu yang Yuzma nak. Ayah takkan dengar cakap Yuzma, kan? Yuzma tak nak kahwin dengan Edrian! Yuzma tak kisah langsung kalau orang nak cakap yang Yuzma ni perempuan tak baik asalkan Yuzma tak perlu kahwin dengan Edrian!” bentak Yuzma dan pandangan ayahnya dibalas dengan pandangan yang sama. Tak puas hati.
“Yuzma, ayah buat semua ni untuk kamu. Edrian adalah lelaki yang paling sesuai dengan kamu. Kenapa susah sangat kamu nak faham pasal hal ni? Apa yang kurang dengan Edrian tu? Dia anak kawan baik ayah dan ayah kenal dia orang luar dan dalam, faham? Ayah yakin Edrian akan bahagiakan kamu. Kamu dengan Edrian dah bertunang!” Tan Sri Mokhtar menarik nafas dalam-dalam dan dihembuskan perlahan.
Yuzma memang seorang anak yang keras kepala. Dia jenis yang susah nak terima pendapat orang lain tak kira dalam perkara apa sekalipun.
“Ayah memang pentingkan syarikat ayah daripada anak sendiri, kan? Ayah tahu kan Edrian tu baru aje kena tangkap khalwat dengan perempuan lain? Ayah nak lelaki macam tu ke jadi suami Yuzma? Ayah memang berhak tentukan hidup Yuzma, tapi Yuzma lagi berhak untuk kebahagiaan Yuzma! Yuzma takkan ikut cakap ayah. Tak kira apa pun yang jadi.” Yuzma bersuara lantang.
Hayyad dah rasa semacam melihat cara Yuzma bercakap kasar dengan bapanya sendiri. Tak ada adab langsung. Dia menoleh ke arah alongnya. Ammar cuma berikan isyarat supaya dia diam saja. Hayyad angguk perlahan.
“Ayah ada hak nak tentukan siapa yang akan jadi suami kamu. Kamu suka ataupun tidak, kamu akan berkahwin dengan Edrian tiga bulan dari sekarang,” ujar Tan Sri Mokhtar tegas.
Selagi dia tidak mengahwinkan Yuzma dengan Edrian, hatinya tidak akan tenang dan tenteram. Yuzma sangat susah untuk dijaga. Dia yakin, Edrian akan berubah bila sudah memegang status suami orang.
“Apa ayah cakap ni? Ayah tahu tak Edrian tu lelaki yang macam mana? Dia tu lelaki yang tak pernah cukup dengan seorang perempuan. Yuzma takkan gadaikan masa depan Yuzma untuk lelaki macam tu. Yuzma tak suka dia!” Yuzma menahan rasa.
Pelbagai perasaan sedang mengasak mindanya. Dari awal lagi dia tidak sukakan Edrian yang miang itu. Sudahlah gatal, perasan handsome pula tu. Huh! Jelik betul dia dengan lelaki itu.
“Itu ayah tak nak tahu. Kamu tetap akan kahwin dengan Edrian. This is my final decision,” putus Tan Sri Mokhtar muktamad.
Yuzma kancing gigi. Desah nafasnya kedengaran kuat. Dia terus melangkah mendekati tangga. Ketika kakinya berada di anak tangga pertama, dia menoleh ke arah Hayyad dan Ammar.
Ammar, Ill see you in my office and youll get your reward for this,” kata Yuzma sinis kepada setiausahanya.
Ammar cuma mampu tersenyum kelat. Matilah aku! desisnya.
And you too, young man! Im not done yet with you. Watch out!” ugut Yuzma. Kali ini kata-kata itu ditujukan kepada Hayyad. Renungannya tajam menikam mata lelaki itu.
Hayyad mencebik. Dia tidak gentar. Jauh lagi untuk berasa takut dengan ugutan gadis itu. Dia langsung tidak tahu-menahu tentang perkara itu. Dia cuma mengikut arahan alongnya.
“Ammar, terima kasih sebab bawa dia balik. Kalau tidak, mungkin esok dia akan jadi tajuk utama berita lagi. Pening betul kepala saya dengan perangai dia. Semakin hari semakin menjadi-jadi,” luah Tan Sri Mokhtar sambil mengeluh lemah.
Dia malu untuk berdepan dengan semua orang bila heboh tentang perangai tak senonoh Yuzma. Tan Sri Mokhtar perasan Yuzma jadi macam itu sejak Edrian ditangkap khalwat dengan perempuan lain. Mungkin Yuzma sengaja buat perangai untuk memutuskan pertunangannya dengan Edrian.
“Tan Sri, saya rasa Cik Yuzma tu cuma nak tunjuk perasaan aje tu. Mungkin sebab dia kecewa dengan Edrian. Maklumlah, tunang sendiri buat hal dengan perempuan lain. Kena tangkap basah pula tu. Mestilah dia pun kena tempias juga, Tan Sri,” jawab Ammar tanpa teragak-agak.
Dia selalu mendengar rungutan Yuzma tentang sikap Edrian. Setiap hari, Yuzma mengadu hal kepadanya. Dia simpati juga dengan nasib majikannya itu, tapi apa boleh buat? Dia cuma seorang setiausaha.
Tan Sri Mokhtar sekadar menganguk. Memang ada logiknya kata-kata Ammar tadi. Yuzma mungkin kecewa tunangnya buat hal tak senonoh. “Tapi, saya yakin Edrian akan berubah nanti. Orang muda, kan? Biasalah...”
Ammar sengih. Dia pun tak faham kenapa Tan Sri Mokhtar boleh ambil ringan tentang perkara itu. Sepatutnya mereka putuskan sahaja pertunangan Yuzam dengan Edrian tu. Mestilah Yuzma memberontak dapat bakal suami yang perangai entah apa-apa.
“Siapa dia?” tanya Tan Sri agak berminat dengan Hayyad.
Ammar menoleh ke arah adiknya. Dia mencuit bahu Hayyad. Hayyad yang masih ralit melihat keindahan banglo itu terpinga-pinga seketika.
“Ini adik saya, Tan Sri. Ameer Hayyad, tapi Tan Sri boleh panggil dia Hayyad.” Ammar memperkenalkan adiknya.
“Hayyad, saya tak sangka awak boleh bertindak berani macam ni. Sebelum awak, dah 10 pengawal peribadinya yang berhenti kerja. Tak tahan dengan perangai Yuzma.”
“Eh, adik saya ni memang berani Tan Sri. Setakat Cik Yuzma tu memang dia boleh handle. No problem...” balas Ammar.
Hayyad di sebelahnya sudah buat muka tidak puas hati. Ammar buat-buat tak nampak.
“Ya ke? Baguslah kalau macam tu. Boleh tak awak jadi bodyguard dia? Tak lama pun. Hanya untuk tiga bulan saja. Lepas aje selesai majlis perkahwinan Yuzma nanti awak boleh berhenti. Saya tak boleh biarkan dia buat perangai tak senonoh tu. Nanti apa pula kata keluarga Edrian. Pasal bayaran awak jangan risau. Saya ikut aje berapa yang awak nak.” Tan Sri Mokhtar memerhatikan Hayyad dengan penuh harapan. Dia yakin lelaki itu boleh jaga Yuzma untuk jangka masa itu.
Hayyad diam. Tidak tahu nak angguk ke nak geleng. Dia berfikir sejenak. Beberapa perkara menerpa masuk ke dalam benaknya. Kebun sayurnya, kebun pisangnya, pasal adik bongsu mereka, tidak lupa juga tentang ibu mereka, Mak Siti. Siapa nak uruskan kerjanya di kampung dan siapa pula nak jaga Amnie dan ibu kalau dia tak ada? Hayyad baru saja berkira-kira nak buka mulut, tapi Ammar terlebih dahulu bersuara.
“Boleh, Tan Sri! Boleh! Adik saya ni memang tak ada kerja. Dia boleh jadi bodyguard Cik Yuzma.”
Hayyad tersentak. Bulat matanya memandang Ammar. Sekali lagi Ammar buat-buat tak perasan dengan pandangannya. Isy, along ni memang suka sangat beri masalah kepadanya. Geram betul! Pandai-pandai saja.
“Bagus. Memang itu yang saya nak dengar. Mulai hari ni, saya berikan hak kepada awak untuk jaga Yuzma. Tolong pastikan dia tak buat perkara-perkara bodoh tu dan awak kena pastikan dia tak lari ke mana-mana pada hari perkahwinannya nanti,” kata Tan Sri Mokhtar lagi.
“Beres, Tan Sri! Dia boleh buat.” Ammar menjawab bagi pihak Hayyad.
“Bagus.” Tan Sri Mokhtar tersenyum lega. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu lagi pening kepala dengan perangai Yuzma.

“KAU memang pandai cari masalah untuk aku kan, along?” Hayyad berjalan ke hulu ke hilir sambil menggaru-garukan kepalanya.
Jadi pengawal peribadi kepada gadis macam Yuzma tu memang cari nahas namanya. Sudahlah garang, perangai pula mengalahkan orang barat. Kaki kelab!
“Sekejap aje, angah! Tiga bulan aje. Pejam celik, pejam celik dah cukup tiga bulan.” Ammar membuka balutan nasi lemak yang dibeli tadi. Terus disudukan ke dalam mulut.
Rizman juga sedang berselera menjamah nasi lemak itu. Sesekali, kepala mereka tertoleh ke kiri dan ke kanan memandang Hayyad yang sedang mundar-mandir di hadapan mereka. Rizman gelengkan kepala. Pening tengok Hayyad macam itu.
“Kau cakap senanglah, along. Bukan kau yang kena, kan? Kau nak aku buat apa tiga bulan tu kat sini? Tan Sri tu pun satu hal juga. Takkanlah anak yang dah besar panjang macam tu pun tak boleh nak jaga? Kenapa dia tak kahwinkan anak dia cepat-cepat? Selesai masalah...” Hayyad mula rasa serabut.
Dia ada banyak kerja yang lebih berfaedah daripada menjaga gadis yang dah layak jadi mak orang itu. Dia bukan penganggur terhormat. Dia ada banyak kerja di kampung.
“Angah, apa kata kau duduk dulu? Pening kepala kita orang tengok kau ke hulu ke hilir macam ni. Makan nasi lemak ni dulu. Lepas tu, barulah otak kau jadi stabil.” Ammar menarik tangan adiknya menyuruhnya duduk di atas kerusi.
“Betul tu, Am! Kau makan dan minum dulu. Lepas ni kita fikir apa yang patut kau buat,” tokok Rizman yang tidak tahu sangat perkara yang sedang mereka bincangkan. Sejak balik tadi, muka Hayyad mendung macam nak ribut.
“Kau diamlah, Riz! Makan aje nasi lemak kau tu,” sindir Hayyad.
Rizman cuma tersengih menampakkan barisan giginya yang tidaklah kemas sangat teratur.
Hayyad melabuhkan punggungnya di sebelah Ammar. Nasi lemak yang dihulurkan oleh alongnya dipandang sepi. Langsung tidak ada selera nak menjamah. Rasa pahit pula lidahnya. Ini semua Ammar punya pasal.
“Angah, along tahu kau tak suka. Tapi, along tak ada pilihan lain. Kalau bukan kau yang jadi bodyguard Cik Yuzma tu mungkin dua tiga hari lagi along kena telefon kau datang ambil dia dalam kelab lagi. Kalau kau yang jadi bodyguard dia tak payahlah along susahkan kau, kan? Cik Yuzma tu baik orangnya, tapi dia jenis yang suka memberontak kalau kehendaknya ditentang. Dia buat perangai ni sebab dia nak keluarga Edrian putuskan pertunangan mereka. Edrian tu kaki perempuan. Along pun tak faham kenapa Tan Sri tu beria-ia sangat nakkan Edrian tu jadi menantu. Along kesiankan Cik Yuzma,” luah Ammar lagi dengan nada sedih.
Dia pun tak pasti kenapa dia perlu buat nada sedih macam itu. Mungkin untuk memujuk adiknya yang tengah meradang itu. Perangai Hayyad pun bukan boleh dijangka sangat. Kalau dia marah, boleh tercabut atap rumah sewanya nanti. Nama saja Ameer Hayyad, tapi perengus dan barannya hanya Allah sahaja yang tahu.
“Kalau kau kesian sangat kenapa tidak kau aje yang jadi bodyguard dia? Kau kan setiausaha dia? Tentulah berkepit dengan dia 24 jam, kan? Lagi senang kau nak jaga dia. Aku malas nak libatkan hidup aku dengan perempuan macam tu.” Hayyad masih berdegil.
Pertama kali jumpa pun dia dah rasa nak lempang pipi Yuzma. Kalau hari-hari jumpa, tak mustahil dia akan lempang betul-betul. Tak pasal-pasal pula dia kena masuk lokap sebab pukul anak orang.
“Setiausaha dengan pengawal ni lain angah. Tak sama. Lagipun along bukan reti sangat nak lawan-lawan ni. Kau kan terror. Sebab tu along yakin kau boleh. Alah, tiga bulan aje! Kau tahu tak Tan Sri tu kalau Cik Yuzma buat perangai mesti along yang kena marah. Kau tak sayangkan along ke? Kesian along tau kena marah...” Ammar dah mulakan sesi drama sentimentalnya. Digosok-gosok matanya beberapa kali.
Nak berdrama, kan? Kenalah sungguh-sungguh, baru menjadi. Dia tahu kelemahan Hayyad ialah air mata. Kalau menangis, Hayyad akan cepat-cepat tukar fikiran.
“Isy, kau ni sikit-sikit menangis. Ialah! Tiga bulan aje. Kau cakap dengan Tan Sri kau tu kalau lebih daripada tiga bulan aku ambil anak dia terus. Padan muka dia. Siapa suruh tak reti jaga anak.” Hayyad mengeluh panjang.
Dia memang tak boleh tengok muka sememeh abangnya. Kesian! Dia pun tak tahu kenapa hatinya akan cepat tersentuh dengan air mata. Aduh!
“Okey, itu along akan uruskan. Jangan risau. Kau makanlah dulu.” Ammar tersenyum gembira.
Akhirnya, dapat juga dia pujuk Hayyad. Alhamdulillah. Lepas ni, dia tidak akan kena marah dengan Tan Sri Mokhtar lagi. Lega!
“Riz, aku rasa kau kena balik dulu. Bawa kereta aku tu. Kalau ibu aku tanya kau cakap aje aku ada hal dengan along. Kalau dia tak tanya kau buat tak tahu aje. Kau tolong uruskan kebun pisang dengan kebun sayur aku tu ya? Aku tak boleh balik lagi sebab along aku dah teringin sangat nak aku jadi bodyguard,” kata Hayyad sambil menyuap nasi lemak ke dalam mulut.
“Okey, bro! Aku harap kau selamat ya? Jadi bodyguard ni boleh hilang nyawa tau? Macam filem dalam TV tu aku tengok semua kena main dengan pistol. Bahaya tu!” ujar Rizman selamba dan serentak itu juga kepalanya diketuk agak kuat.
Rizman menyeringai sambil memandang Hayyad yang sedang mengetap bibir.
“Kau ingat aku jadi bodyguard orang penting negara ke? Setakat bodyguard perempuan macam tu guna pelempang aku ni pun dah cukup,” balas Hayyad.
Rizman tersengih lagi sambil menggosok kepalanya yang diketuk tadi.
“Kenapa kau nak balik kampung pula, angah? Bukan ke kau nak jadi pengawal peribadi Cik Yuzma?” Ammar bertanya dan keningnya hampir bertaut.
“Memanglah! Tapi, kalau Tan Sri nak aku jadi bodyguard anak dia maka, dia kenalah ikut cara aku,” jawab Hayyad. Secalit senyuman tersungging di bibirnya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan