Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 5 Ogos 2016

Abang Sado Hati Jambu - Bab 9

Tajuk: Abang Sado Hati Jambu
Penulis: Aunie Ayunie
ISBN: 978-967-365-271-6
Harga: RM26.00 / RM29.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

KERETA Audi R8 berwarna hitam itu berhenti di hadapan sebuah rumah banglo yang tersergam indah di pinggir ibu kota. Hayyad keluar dari kereta selepas Yuzma keluar. Sudah banyak kereta mewah yang terparkir di luar pagar banglo itu.
Hayyad menjongketkan kening kirinya. Dia sempat melirik ke arah Yuzma yang sedang membetul-betulkan gaun malam potongan lurus yang tersarung pada badannya. Sudahlah ketat, bahagian atas terbuka menampakkan bahagian dadanya. Nasib baik gebu. Bahagian bawah pula terbelah sampai ke paha.
Aduh, seksi sungguh! Baik tak payah pakai baju langsung, ujar Hayyad dalam hati sambil menggelengkan kepalanya.
“Kenapa you tengok I macam tak pernah tengok perempuan ni?” Yuzma menyoal sinis sebaik menyedari renungan tajam lelaki itu. Satu jelingan diberikan kepada Hayyad.
“Mata saya, kan? Suka hatilah nak tengok apa pun. Benda free. Rugilah kalau tak tengok,” jawab Hayyad dan dia memperlahankan suara ketika menyebut perkataan-perkataan terakhir itu.
“Apa you cakap? I tak dengar.” Yuzma bercekak pinggang.
“Tak ada apa-apalah.” Hayyad menyeringai.
Matanya memerhatikan persekitaran banglo yang besar dan gah itu. Bilalah agaknya dia boleh merasa hidup dalam banglo mewah tahap pecah kepala macam itu. Dalam mimpi mungkin.
“You dengar sini baik-baik, okey? I nak masuk dalam, tapi you jangan sesekali ikut I. Tunggu aje kat sini. Pakaian selekeh you tu tak sesuai untuk majlis macam ni tau,” selar Yuzma dengan pandangan jijik.
Hayyad yang tersentap dengan kata-kata itu memerhatikan penampilannya melalui pantulan cermin kereta. Dia nampak kemas mengenakan jean dengan T-shirt dan jaket. Hayyad kepal penumbuk. Amboi, sedapnya mulut cakap aku macam tu. Macamlah pakaian dia tu sesuai sangat.
“Kalau tak nak saya masuk pun, tak payah nak hina pakaian saya. Saya bangga dengan pakaian saya dan saya rasa cik pun bangga dengan pakaian cik yang lebih teruk daripada peminta sedekah tu, kan? Terdedah sana sini,” balas Hayyad sinis.
Mata Yuzma bulat macam burung hantu mendengar kata-kata berunsur perlian itu. Mulut Hayyad memang macam longkang! Busuk!
“You ni tak habis-habis nak sakitkan hati I, kan? Nasib baik kita ada kat rumah orang. Kalau tidak, siap you I kerjakan.” Yuzma kancing gigi. Geram!
Dia memang tidak mahu Hayyad ikut ke majlis hari jadi salah seorang rakan kolejnya dulu, tapi ayahnya sibuk suruh lelaki itu mengekorinya. Tan Sri Mokhtar tak benarkan dia datang tanpa ditemani oleh Hayyad.
“Takutnya...” Hayyad mengejek dengan senyum sinis.
“Diamlah!” Yuzma menjeling lagi.
Serentak itu, dia membuka langkah meninggalkan Hayyad di luar pagar banglo itu. Lagi lama dia di situ, lagi galak Hayyad menyakitkan hatinya.
Hayyad bersandar pada kereta sambil matanya menyoroti lenggok Yuzma yang semakin menjauh. Sombong! Hanya itu sahaja perkataan yang terlintas di mindanya saat itu untuk Yuzma.
           
YUZMA terus mendekati Dania yang sedang dikerumuni oleh rakan-rakannya lain. Dia cuba berlagak tenang kerana semua mata tertumpu ke arahnya sebaik sahaja dia mula memasuki halaman yang dihias dengan indah itu. Mungkin sebab dia adalah anak gadis Tan Sri Mokhtar yang menjadi bualan kerana bergaduh dalam kelab malam.
Yuzma tetap kekalkan wajah tenangnya walaupun, hatinya cuak. Busybody betul manusia zaman sekarang ni, getusnya dalam hati.
Hi, Dania. Happy birthday my lovely friend.” Yuzma menyapa gadis yang anggun mengenakan gaun kembang paras lutut berwarna ungu lavender.
Hi, Yuzma. Thank you so much dear.” Dania terus memeluk Yuzma dan mereka berlaga pipi.
“Yuz, mana bodyguard kau? Takkan kau datang sorang?” Belum apa-apa lagi, Anita menyoal dan matanya meliar mencari kelibat pengawal peribadi Yuzma.
Anita mengorak senyum penuh makna. Teringin juga nak berkenalan dengan pengawal peribadi Yuzma yang ditemuinya di kelab malam tempoh hari. Kacak orangnya!
“Kenapa? Tak boleh ke kalau aku datang sendiri? Sibuk aje kau ni, kan?” Yuzma tersenyum sumbing. Faham dengan fiil Anita yang agak gatal itu.
“Mestilah boleh. Tapi, ayah kau kan dah ikat kau dengan bodyguard kau yang handsome tu. Mana dia? Jangan cakap kau suruh dia tunggu kat luar.”
Handsome? Ya ke Nita? Kenapa aku tak tahu? Yuz, patutlah sekarang ni susah sangat kau nak keluar dengan kita orang. Rupanya dah ada bodyguard, handsome pula tu,” tokok Dania dan yang lain pun bukan main lagi mengangguk macam lembu kena cucuk hidung.
“Tak ada maknanyalah handsome. Nita ni mata keranjang. Dia ni kalau lelaki tu rongak pun dia kata handsome jugak,” tukas Yuzma sambil menjeling Anita. Gadis bertubuh sederhana tinggi itu menyeringai.
“Aku mengaku yang aku ni mata keranjang, tapi aku tak tipu okey? Bodyguard baru Yuz ni memang handsome. Dan yang paling menarik, badan dia memang sado!” balas Anita bersungguh-sungguh, membuatkan semua memberikan reaksi teruja.
“Betul ke, Nita?” Dania kelihatan berminat dengan cerita Anita.
Yuzma baru sahaja mahu membuka mulut, tapi Anita terlebih dahulu bersuara.
“Betul. Kalau kau tak percaya biar aku pergi panggil dia. Aku tahu si Yuz ni suruh dia tunggu di luar. Heartless betul!” omel Anita dan Yuzma tidak sempat menghalang bila Anita sudah mula mengatur langkah meninggalkan kumpulan mereka.
“Kau tengoklah Nita tu. Bukan main semangat lagi dia. Kalau pasal lelaki memang dia nombor satu,” ujar Farina pula disambut gelak ketawa mereka serentak.
 “Eh, Yuz. Aku dengar kau tak nak kahwin dengan Edrian. Betul ke?” Dania mula merisik tentang tunang Yuzma pula.
Dia ada mendengar khabar itu dari mulut teman-teman rapat mereka juga. Tapi, dia masih kurang pasti sejauh mana kebenaran cerita itu.
“Mana kau tahu?” Yuzma menyoal kembali.
Dia berbisik di telinga Dania. Tidak mahu yang lain mendengar. Bukan dia nak berkira, tapi dia lebih suka kalau perkara itu tidak diheboh-hebohkan.
“Jadi, betullah?” Dania menduga lagi.
Reaksi wajah Yuzma berubah bila dia bertanya tentang perkara itu. Walaupun Yuzma cuba menyembunyikan perkara itu, tapi segalanya nampak jelas. Dia kenal Yuzma bukan sehari dua. Sudah bertahun lama.
“Nanti aku ceritalah. Sekarang ni, aku nak makan. Kau ni teruk betul tau. Aku berdiri dari tadi langsung kau tak pelawa aku makan. Tepilah, biar aku pelawa diri aku sendiri,” seloroh Yuzma seraya membawa pandangan deretan aneka makanan yang kelihatan memenuhi meja di kiri dan kanan halaman banglo itu.
Dia sengaja memasamkan wajah. Merajuk kononnya!
“Alasan, kan? Okeylah, sebab kau ni kawan aku yang paling cantik dan paling baik dalam dunia, aku temankan kau ambil makanan. Lepas tu, aku akan iringi kau ke meja,” kata Dania sambil mengukir senyum.
Yuzma ketawa terkekek-kekek. Lucu dengan telatah Dania yang bercakap sambil buat gaya ala-ala prince charming.
Mereka beriringan menuju ke meja yang menempatkan makanan yang mampu memecahkan liur. Ada western food, Chinese food, Korean food dan yang paling Yuzma terpikat ialah aneka kuih-muih tradisional Melayu. Dari mana agaknya Dania tempah kuih-kuih itu? Semuanya nampak sedap. Yuzma meneguk liur.
Tapi, belum sempat Yuzma memilih, terasa lengannya dipaut. Yuzma segera menoleh ke kiri. Wajahnya pucat sebaik melihat lelaki yang sedang tersengih merenungnya. Edrian? Yuzma terkejut dengan kemunculan Edrian di situ. Macam mana pula Edrian tahu yang dia ada di sini? Yuzma mengerutkan dahi.
“Hai, sayang.” Edrian tersenyum memandangnya.
“Hai,” jawab Yuzma acuh tidak acuh. Terus hilang seleranya bila nampak muka Edrian.
“Kenapa you datang tak ajak I sekali? Sampai hati you tinggalkan I macam ni. Nasib baik Dania sudi jemput I datang. Kalau tidak, kempunanlah I nak tengok muka you yang cantik ni.” Edrian mencuit dagu Yuzma.
Terus Yuzma buat muka menyampah. Edrian memang tidak pernah serik. Lelaki itu pernah kena sepak di celah kangkang kerana tangannya tak reti duduk diam. Asyik nak menyentuh sahaja. Sebab itu Yuzma berikan sepakan di situ. Tapi, mungkin sakitnya sudah hilang. Edrian jadi ulat bulu lagi. Gatal!
Sorry, Yuz. Aku tak tahu pula yang kau dingin macam ni sekali dengan Edrian.” Dania buat muka bersalah.
Yuzma mengeluh perlahan. Takkan dia nak salahkan Dania pula? Ini kan majlis dia. Suka hati dialah nak jemput siapa pun. Yuzma mengukir senyum dalam paksa.
Dania, If you dont mind, would you leave us alone? I wanna spent this moment with my beautiful fiancĂ©e.” Edrian mengenyitkan matanya.
Dania angguk. Faham dengan ayat tipikal itu. Lelaki macam Edrian memang jenis yang mulut manis. Gadis itu terus meninggalkan mereka berdua dan dia mendekati Anita yang sedang rancak berbual dengan seorang lelaki. Mungkin itulah pengawal peribadi Yuzma. Betul kata Anita. Lelaki itu memang kacak. Dania tersenyum ke arah mereka.
“You nak cakap apa lagi, Edrian? You tahu tak I datang sini sebab I nak jumpa dengan kawan-kawan I. Kenapa you datang dan kacau I? I rimas tau,” bentak Yuzma keras. Dia memang tidak menjangkakan kehadiran Edrian di majlis itu.
“Sayang, kenapa you selalu layan I macam ni? I dah banyak kali minta maaf, kan? Tak boleh ke you maafkan I dan terima I seikhlas hati you?” Edrian memujuk dengan suara yang sehabis romantis. Memang susah mahu memenangi hati gadis itu.
“Maaf? Pergi jahanamlah dengan kata maaf you tu! You nak buat apa pun, I tak peduli. You nak berkhalwat dengan perempuan mana pun I tak kisah, Edrian. I cuma nak pertunangan kita ni putus dan I tak nak kahwin dengan you! I tak sukakan you dan I tak mungkin cintakan you.” Yuzma ketap bibir.
Geram sungguh bila Edrian tidak habis-habis mengganggu hidupnya. Setiap kali dia pandang muka Edrian hanya perasaan benci sahaja yang meluap-luap dalam hatinya. Mana boleh dia berkahwin dengan Edrian kalau hatinya langsung tidak boleh menerima lelaki itu. Jangankan besar kuman, besar zarah pun dia tidak ada perasaan suka kepada Edrian.
“Yuzma, I dah minta maaf, kan? You pun tak payah nak berlagak alim sangatlah! You ingat ada ke lelaki yang nakkan you lagi lepas apa yang you dah buat dalam kelab malam tu? Kalau I tak kahwin dengan you, takkan ada lelaki lain yang boleh terima perempuan macam you tahu tak,” getus Edrian pula.
Dia sudah muak memujuk Yuzma untuk menerimanya. Setiap kali dia pujuk, setiap kali itu juga gadis itu menghinanya. Dia juga ada had sabar yang tidak setebal mana. Edrian sudah mula merasakan pipinya yang membahang.
“Kalau you tak suka I, putuskan ajelah pertunangan kita. Memang I ni perempuan tak baik. I lagi rela jadi perempuan tak baik daripada jadi isteri lelaki buaya macam you. Faham? Bagi I, you tu macam rumput aje. Bila-bila masa I boleh pijak you. You nak ke kena pijak dengan I?”
Edrian membulatkan matanya. Desah nafasnya kian deras dek menahan rasa marah. Itu sudah dikira sebagai kurang ajar! Lengan Yuzma dicengkam kejap.
“Yuzma, I tak pernah rendah-rendahkan maruah I untuk mana-mana perempuan selain daripada you. So, you jangan nak hina I macam I tak ada maruah. I tahu I salah, tapi I betul-betul mahukan you.”
“I tak pernah suruh you rendahkan maruah you, Edrian! I pun rela rendahkan maruah I sebab I tak nak kahwin dengan you. Adil, kan? Sekarang ni, baik you lepaskan I. Kalau tidak, I terpaksa panggil bodyguard I” ugut Yuzma sambil meronta-ronta mahu melepaskan cengkaman di lengannya. Rasa perit mula menjalar ke urat sarafnya.
Dalam situasi genting begini dia akui yang dia sangat memerlukan Hayyad yang menjengkelkan itu. Mata Yuzma melingas memerhatikan Hayyad yang sedang ralit bersembang dengan Anita, Dania, Farina dan beberapa lagi temannya. Tak guna betul, kan? Kalau aku terdesak macam ni tak ada pula dia datang macam hero. Huh! Yuzma merengus sebal.
Edrian ketawa sinis mendengar kata-kata itu. Bodyguard konon! Edrian tidak menunjukkan reaksi takut-takut. Malah, dia makin kuat mencengkam lengan Yuzma.
“You tak payah nak ugut I. Kalau I nak, I boleh heret you keluar dari sini sekarang juga, tahu tak?” kata Edrian dengan gigi yang dikancing rapat. Dia menarik tangan Yuzma sehinggakan tubuh Yuzma terdorong ke depan.
Yuzma semakin kuat meronta bila tubuhnya rapat dengan Edrian.
“Kalau berani, cubalah heret dia keluar.”
Edrian menoleh mendengar suara itu menyapa. Bodyguard Yuzma sedang berdiri di belakangnya sambil berpeluk tubuh.
“Hoi, kau tu kuli batak aje. Ini urusan aku dengan tunang aku. Kau jangan menyibuk!” Edrian memberikan amaran. Kemudian, dia berpaling semula merenung wajah kelat Yuzma.
Hayyad mengeluh perlahan. Boleh tahan juga mamat bandar ni, kan? Hayyad pandang Yuzma pula. Dia rasa macam nak ketawa sampai berguling-guling melihat reaksi Yuzma yang terkial-kial mahu melepaskan cengkaman tunangnya. Tahu pun takut! Ingatkan perempuan sombong dan cengeng macam dia tu tak tahu takut.
“Tunang aje. Bukan isteri, kan? Kau lepaskan tangan dia tu. Kalau kau nak tunjuk kuat, bukan kepada perempuan! Apa kata kau pegang lengan aku ni. Baru adil, kan?” Sogok Hayyad cuba berdiplomasi.
“Kau ni tak faham bahasa ke? Aku cakap jangan masuk campur. Blah!” tengking Edrian menyinga.
Yuzma semakin kaget bila lengannya terasa perit. Dia menyeringai kesakitan.
“Kalau kau tak nak aku masuk campur, kau pergi cari pasal dengan perempuan lain. Aku bodyguard dia. Kau cari pasal dengan dia maknanya kau tengah cari pasal dengan aku...” Hayyad terus menerkam Edrian dan tanpa berfikir panjang dia mengayun satu tumbukan padu ke pipi lelaki itu.
Edrian tidak sempat mengelak dan dia rebah terlentang. Hayyad sempat memaut tubuh Yuzma yang hampir jatuh. Suasana tegang itu menjadi tumpuan semua tetamu yang ada.
“Kurang ajar!” Edrian bingkas bangun. Pipinya yang terasa berpijar digosok kasar. Matanya merenung Hayyad dan Yuzma silih berganti. Api dendam mula marak menyala.
“Memang aku kurang ajar. Sekali orang kurang dengan aku, 10 kali aku boleh jadi kurang ajar. Faham?” balas Hayyad.
Edrian tidak menunggu lama. Terus dia mengayun langkah meninggalkan mereka berdua. Malu bila dirinya menjadi tontonan kerana dibelasah lelaki low class itu.
“Alihkan tangan you!” kata Yuzma setelah Edrian pergi dari situ.
Hayyad segera mengalihkan tangannya yang sedang melingkari pinggang Yuzma.
“Jangan berani nak peluk-peluk I macam ni lagi!”
“Amboi, bukan main berbahasa lagi kau ni, kan? Dah aku tolong bukan tahu nak berterima kasih. Memang tak reti bersyukur langsung!” balas Hayyad geram.
Hilang terus panggilan cik dan saya yang digunakan sebelum ini kerana dia terlalu geram dengan sikap gadis itu. Bukan dia sengaja nak peluk pun. Dia cuma nak tolong. Kalau dia tak peluk, tentu perempuan tu akan jatuh macam nangka busuk.
“Itu kan kerja you. Memang you kena protect I. Jangan nak berlagak sangatlah!” Yuzma menjeling tajam. Nak buat ayat terhutang budi konon!
“Kau jangan lupa yang kerja aku ialah pastikan kau tak lari masa hari perkahwinan kau nanti. Sepatutnya tadi aku biarkan aje tunang kau heret kau macam lembu!”
Yuzma terbuntang. Lembu? Sedap aje mulut dia panggil aku lembu. Sudahlah dulu dia kata aku anjing. Memang dasar jantan mulut longkang, bentak Yuzma sambil mengancing gigi. Dia mahu membalas kata-kata itu, tapi Hayyad sudah pun berlalu menyertai Anita dan kawan-kawannya tadi. Eii, geramnya! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan