Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 26 Ogos 2016

Signal Kiri Untuk Cinta - Bab 3

PARAS suara televisyen diperlahan. Tuan Zulqhairi meletakkan alat kawalan jauh di atas meja. Raut Puan Nusrah yang baru sahaja selesai menunaikan solat isyak lebih menarik perhatian daripada rancangan berita yang ditonton. Isterinya yang berusia awal 50-an itu melabuhkan punggung ke atas sofa. Pandangan Puan Nusrah silih berganti antara jam dinding dan pintu masuk.
“Saya tengok muka awak ni macam muka orang tak sabar. Anak bujang awak tu balik kejap lagi.”
“Mestilah, bang. Lagi cepat saya beritahu dia, lagi cepat perkara yang saya nak tu berlaku.”
“Janganlah gelabah sangat. Kalau Qadree tak setuju, macam mana?”
“Kenapa pula dia tak setuju?” Air muka Puan Nusrah terselit rasa tidak puas hati.
Lewat petang tadi, sewaktu Tuan Zulqhairi pulang ke rumah, dia telah menyampaikan hasrat dan cadangannya kepada lelaki itu. Namun, Tuan Zulqhairi seakan-akan tidak berada di pihaknya.
“Saya risau cara awak ni macam mendesak dia.”
“Saya tak desak dia. Saya ikhtiar dan cari jalan untuk dia. Masa abang kahwinkan adik dengan Fath tu abang tak rasa abang mendesak adik juga ke? Sekurang-kurangnya saya tak terus paksa Qadree buat keputusan,” lafaz Puan Nusrah, mengenang kembali sebab serta alasan pernikahan anak bongsunya, Nilam Qadheera dan Shukri Alfatah terjadi.
“Awak ni... Balik-balik batang hidung saya juga yang terkena. Situasi adik tu lain. Situasi Qadree lain. Mana boleh samakan.”
“Kenapa tak sama? Dua-dua anak abang juga, kan?”
“Qadree tu lelaki. Lelaki, kena ada kerjaya dulu. Banyak tanggungjawab kat bahu lelaki. Lepas dah stabil kerjaya dia, baru boleh fikir pasal hal lain.”
“Mana nak fikir pasal hal lain kalau abang dah bagi dia kerja banyak. Kalau ikutkan prinsip abang tu, sampai bila-bilalah anak sulung kita tu tak jumpa jodoh. Tengok macam sekarang ni, dekat pukul 9.00 malam, masih tak balik.”
“Nusrah, awak juga yang suruh saya berehat kat rumah bila dah tua ni. Awak juga yang banyak membebel kat saya supaya saya ni jaga kesihatan, jangan fikirkan hal kerja. Sebab tulah sikit-sikit saya serahkan tanggungjawab saya tu kat Qadree, Nil dengan Fath. Bila dia orang dah boleh handle Sapphire Creative tu, saya bersaralah. Awak juga ada kawan nanti. Kalau tak, selama ni berleter aje cakap tak ada kawan kat rumah.”
“Kenapa pula saya tak ada kawan? Tak lama lagi adik tu dah nak bersalin. Kita nak dapat cucu. Cucu sayalah temankan saya kat rumah,” bidas Puan Nusrah. Walau apa pun, dia mahu rancangannya berjaya.
“Jadinya sekarang ni awak tak nak saya temankan awaklah? Dah tak sayang saya lagi ke sejak nak dapat cucu ni? Walaupun tak selalu saya cakap saya sayang awak, hati saya ni tetap untuk awak,” ungkap Tuan Zulqhairi lalu mencapai semula alat kawalan jauh. Siaran televisyen dialih. Nadanya ada seperti orang merajuk sedikit.
“Abang ni... Kalau adik dengan Fath dengar, buat malu aje. Tiba-tiba aje nak sentimental. Lepas tu nak jadi romantik pula.”
“Dah tua-tua macam ni kenalah jadi romantik, Puan Nusrah oi.”
Tepat Tuan Zulqhairi menghabiskan bicara, pintu utama untuk masuk ke rumah dikuak. Orang yang ditunggu muncul di hadapan mata. Zulqadree memberi salam.
“Waalaikumussalam,” jawab pasangan suami isteri itu secara serentak.
Zulqadree melewati ruang tamu. Dia mengurut leher dan bahunya sendiri untuk mengurangkan rasa letih sambil melihat wajah Puan Nusrah yang kelihatan teruja itu. “Umi, lain macam aje Qadree tengok muka umi malam ni. Kenapa muka umi macam happy sangat?”
“Mestilah umi happy. Ada sesuatu yang umi nak beritahu kat Qadree ni.”
“Apa dia? Qadree nak dapat adik baru ke? Alhamdulillah,” seloroh Zulqadree setelah menghentikan ayunan kaki saat tiba di sofa tempat Puan Nusrah duduk.
Pemuda itu memandang ayahnya sambil mengangkat kening. Sengaja dia mengusik.
Tuan Zulqhairi yang mendengar kenyataan tersebut pantas tersenyum. Anak lelakinya itu memang punya unsur humor.
“Umi pula yang dikenakan. Patutnya rumah ni ada budak kecil sebab anak-anak umi.”
“La... Bukannya adik dah nak kasi umi cucu ke?”
“Itu adik. Sekarang ni umi nak cakap sikit dengan Qadree. Duduk sini,” arah Puan Nusrah dan dalam masa yang sama menepuk-nepuk permukaan sofa. Dia mahu susuk tubuh itu duduk bersebelahan dengan dirinya.
Zulqadree hanya menurut. Akan tetapi, hatinya terselit tanda tanya.
“Tengah hari tadi, umi jumpa dengan Aunty Zarina. Qadree ingat lagi tak dengan dia?”
Sebelum menjawab pertanyaan tersebut, Zulqadree mendiamkan diri. Dia cuba mencari wajah nama yang disebut ibunya itu dalam kotak ingatan. “Aunty Zarina?”
“Sebelum kita pindah kat rumah ni, kita duduk berjiran dengan dia.”
Aunty Zarina? Duduk berjiran? Ooo... Qadree dah ingat. Yang masa kecil-kecil dulu Qadree selalu pergi rumah dia, main-main dengan anak dia tu ke?”
Puan Nusrah tersenyum simpul hingga ke telinga tatkala Zulqadree menyebut akan hal anak rakannya itu. “Ha, betullah. Yang Qadree tak nak balik sebab nak main dengan anak perempuan dia tu.”
“Yalah. Waktu tu Qadree kecil lagi. Masa tu Qadree tak ada adik. Tak ada kawan. Aunty Zarina sihat ke?”
“Alhamdulillah. Aunty Zarina sihat. Anak dia pun sihat. Cantik aje umi tengok.”
Zulqadree mula menghidu sesuatu. Dia cuba mengabaikan gerak hatinya.
“Qadree ingat lagi tak dengan Nazira?” soal Puan Nusrah tatkala pemuda itu hanya mendiamkan diri.
“Ingat. Kan tadi Qadree cakap waktu kecil-kecil dulu Qadree main-main dengan anak dia. Anak dia tu Naziralah, kan? Kenapa dengan Nazira?”
“Nazira tu baru aje habis belajar. Masa umi datang rumah Aunty Zarina tu, dia yang masak lauk untuk makan tengah hari. Sedap. Senang cerita, bukan setakat pandai dan berilmu, tapi pandai buat kerja rumah. Lepas tu, cantik dan sopan aje orangnya.”
Zulqadree menghela nafas sebelum bersuara. Dia merasakan firasat hatinya semakin tepat. “Aik? Cara umi cakap ni macam berkenan aje.”
“Memang umi berkenan. Umi suka penampilan dengan gaya Nazira tu.”
“Umi berkenan nak buat calon isteri untuk baba ke?” Lelaki itu berusaha untuk mengelak dengan cara gurauan. Entah mengapa, fikirannya terus menayangkan wajah Cik Signal Kiri yang dia jumpa petang tadi.
Tuan Zulqhairi berdeham sebelum bercakap. “Qadree...” Nada lelaki tua itu kedengaran serius.
“Okey, okey. I’m sorry. Qadree gurau aje.”
“Umi serius. Umi risau Qadree tak kahwin lagi ni. Umur makin meningkat. Asyik sibuk dengan kerja tak sudah. Umi rasa Nazira tu memang sesuai dengan Qadree.”
Bibir yang rata lantas melengkung. Lama-kelamaan semakin lebar pula dan Zulqadree tertawa.
“Abang, tengok anak kita ni. Uminya risau, dia pergi ketawa pula.”
“Umi buat kelakar ni sebab nak hilangkan penat kerja Qadree ke?”
“Umi tak buat kelakar. Selama ni pun umi tunggu juga calon daripada Qadree, tapi Qadree tak pernah bawa datang jumpa umi.”
“Sebab tak adalah Qadree tak bawa datang jumpa umi.”
“Sebab tak ada jugalah umi tolong Qadree carikan calon isteri.”
Zulqadree mendekatkan tubuhnya dengan Puan Nusrah. Tangannya melingkari bahu perempuan tua itu.
“Umi, Qadree takkan jadi anak bujang terlajak apatah lagi jadi anak dara tua. Anak sulung umi ni bukan tak laku, cuma jual mahal sikit aje,” selorohnya lagi, cuba menenangkan hati kecil itu.
“Qadree, bila umi dah jumpa calon yang baik, takkanlah umi nak lepaskan pula. Qadree cuba kawan dengan Nazira ya? Lagipun Qadree dah kenal dia masa kecil-kecil dulu. Tinggal nak rapatkan balik hubungan tu aje,” pujuk Puan Nusrah. Renungan yang redup bertembung dengan kelopak mata yang berkedut dek usia itu.
Zulqadree menghadiahkan kucupan di dahi tersebut sebelum bangkit daripada duduk. “Umi jangan risau. Umi tak payahlah jadi mak-mak macam kat TV tu. Umi ni terlebih tengok drama agaknya. Umi jangan risau pasal jodoh Qadree. Dari dulu lagi, Qadree dah anggap Nazira tu macam adik aje. Pernah membesar sama-sama, duduk sebelah rumah. Takkanlah tiba-tiba Qadree kena ada perasaan tu untuk Nazira pula?”
“Umi tak paksa terus kahwin dengan dia. Umi cuma minta Qadree kawan aje dulu.”
“Umi, Qadree naik atas dulu.”
Puan Nusrah hilang kata-kata. Hanya pandangan penuh harapan dilemparkan. Dia berharap sangat Zulqadree memenuhi kehendaknya.
“Qadree nak mandi lepas tu nak solat. Badan ni rasa penat. Baba, umi, good night,” ucapnya dengan suara mendatar.
Puan Nusrah memerhatikan sahaja sehingga kelibat itu lenyap daripada pandangan. “Abang, kenapa abang diam aje tadi?”
“Dah Qadree tak nak, nak buat macam mana?”
“Abang tu sukalah Qadree fokus dengan Sapphire aje?”
“Awak janganlah risau. Lelaki ni tak kisah kahwin bila-bila. Betul juga apa yang Qadree cakap tu.”
Puan Nusrah terus menarik muka masam. 

LANGKAH kaki terhenti saat tiba di pintu aluminium kaca dua pintu itu. Zulqadree menolak salah satu daun pintu ke kanan. Ruang tertutup lantas terbuka. Badan yang terasa letih masih tidak mampu membiarkan jiwanya berehat. Setapak demi setapak lelaki tersebut menuju ke kereta yang terletak di garaj.
Saat tiba di tempat letak keretanya, Zulqadree menundukkan mata. Bahagian lampu untuk isyarat ke kiri yang telah pecah itu dipandang. Ekspresi wajah si pelaku terpampang di ingatan. Zulqadree sendiri tidak mengerti. Seharusnya perasaan marah akan muncul tatkala menatap keadaan keretanya. Ini jadi sebaliknya pula. Dia senang melihat gaya dan tingkah gadis itu.
“Apasal aku tak minta nombor telefon dia tadi?” soalnya sendiri sambil berpeluk tubuh lalu bersandar di bonet hadapan. Terbit pula rasa menyesal kerana tidak mencipta alasan untuk berjumpa lagi dengan penunggang motosikal tersebut.
Jika Puan Nusrah sudah mula mencari calon isteri untuknya, itu bermakna ibunya benar-benar serius mahu dia mendirikan rumah tangga. Sebelum ini hanya bebelan dan leteran panjang sahaja yang menjengah telinga. Hari ini Puan Nusrah telah mula melancarkan pelan mencari jodoh untuk Zulqadree.
“Mana saya nak cari awak, wahai Cik Signal Kiri?” kata pemuda itu. Dia tidak pasti soalan tersebut ada jawapan ataupun sebaliknya.
“Abang buat apa kat luar tengah malam macam ni?”
Suara itu tiba-tiba sahaja muncul di celahan sepi malam yang hanya ditemani hembusan angin. Bahu Zulqadree terjongket sedikit. Dia menoleh ke kanan.
“Astaghfirullah al-azim. Terkejut abang. Tiba-tiba aje ada suara orang. Mak buyung rupanya,” balas Zulqadree sambil mengurut dada.
“Munasabah sikit, abang. Habis tu, takkan mak lampir pulak.” Nilam Qadheera tersenyum melihat wajah abangnya yang hampir pucat itu.
Dia mengatur tekapan kaki ke bumi dengan perlahan memandangkan pergerakannya sedikit terbatas kerana perut yang kian membesar. Melihat wanita tersebut dalam keadaan begitu, Zulqadree memimpin lengan Nilam Qadheera lalu mereka berdua bersandar di hadapan bonet kereta.
“Awak tu tinggal tunggu hari aje. Keluar rumah tengah-tengah malam macam ni kenapa? Fath mana?”
“Orang lapar, nak minum susu. Turun bawah tadi, Abang Fath yang temankan. Sekali tu, orang tengok pintu terbuka. Abang Fath pergi buat susu untuk orang. Orang jenguklah kejap abang yang termenung sorang-sorang kat luar ni.”
“Mana ada abang termenung.”
“Bukan setakat termenung, siap cakap sorang-sorang. Ingat orang tak nampak ke?”
“Pandai-pandai aje adik ni. Tak ada apa-apalah.”
“Termenung rindukan Ellina, kekasih lama ke?”
Zulqadree membeliakkan mata. Tidak pasal-pasal nama itu terbit pula. “Ellina tu dah jadi sejarah. Dah jumpa perkataan tamat pun. Sad ending. Tutup buku, campak laut. Buka buku baru.”
“Buka buku baru? Maknanya, fikir pasal Nazira?” sakat Nilam Qadheera lagi.
Zulqadree menghela nafas berat. “Dengan adik pun umi dah cakap pasal pelan dia tu ke?”
Nilam Qadheera mengangguk. “Umi tu nak cari menantu perempuan yang pandai masak, yang tahu buat kerja rumah, yang sopan santun, budi bahasa. Senang cerita, pakej. Bukan calang-calang orang boleh jadi menantu perempuan dia.”
Mendengar sahaja kenyataan Nilam Qadheera, Zulqadree membisu sejenak. Hatinya pula yang berbicara. Agak-agak... Cik Signal Kiri tu pandai buat kerja rumah tak? Minah rempit tu pandai masak ke? Alah, tak kisahlah. Kalau tak pandai masak, boleh belajar. Nak cari perempuan jujur macam dia tu yang susah zaman sekarang ni. Limited edition.
Nilam Qadheera cuba membaca riak wajah abangnya. Tampak seperti orang sedang berfikir. “Abang tak boleh tidur ni fikir pasal Nazira tu ke?”
Pertanyaan tersebut menghentikan lamunan Zulqadree.
“Abang tak bolehlah dengan Nazira tu. Kecil-kecil membesar sama-sama. Tiba-tiba umi nak suruh ada perasaan kat dia pula. Benda macam ni tak boleh disuruh. Perasaan ni tak boleh dipaksa-paksa. Munasabah sikit, dik,” ungkap Zulqadree sambil mengajuk gaya percakapan adiknya.
Nilam Qadheera memandang susuk tubuh tegap Zulqadree dari atas hingga ke bawah berulang kali.
“Kenapa?”
“Hmm... Perasaan tak boleh dipaksa? Ke ada perasaan kat orang lain ni?”
“Mungkin,” sahut Zulqadree tanpa berlengah.
Anak mata Nilam Qadheera membulat. Tidak sangka jawapan itu yang menusuk ke gegendang telinga. “Dah ada? Siapa? Orang kenal ke? Siapa nama dia?”
Lelaki itu menghirup udara malam sebelum menjawab. “Abang tak tahu siapa dia.”
“Tak tahu?”
“Ya. Abang tak tahu nama dia, dia duduk mana, dia anak siapa. Semua abang tak tahu.”
“Peliklah abang ni. Habis tu, macam mana boleh ada perasaan yang tak boleh dipaksa tu? Cinta pandang pertama?”
Zulqadree berdiri. Matanya memberikan isyarat agar Nilam Qadheera melihat bahagian lampu yang telah pecah itu.
“Ya Allah! Macam mana boleh pecah ni? Siapa yang buat?”
“Orang yang abang tak tahu nama dia tulah, Cik Signal Kiri.”
“Cik Signal Kiri?”
Zulqadree mengangkat kening berkali-kali diiringi senyuman panjang. “Dia tulah orang yang dah buat lampu kereta abang ni pecah. Bukan setakat lampu aje dia pecahkan, tapi... dia dah pecah dan runtuhkan tembok kat hati abang ni.”
Berkerut-kerut dibuatnya dahi Nilam Qadheera mendengar susunan bicara anak sulung Tuan Zulqhairi itu. Meremang sekejap pula bulu roma yang berada di tengkuk.
“Apasal buat muka macam tu?”
Nilam Qadheera menekap kedua-dua belah tapak tangan ke perut sendiri. “Baby yang bakal lahir, jangan dengar ya apa yang Uncle Qadree ni cakap. Jangan belajar pick up line yang bukan-bukan ni.”
“Mana ada pick up line. Abang serius ni.”
“Orang pun serius juga. Malam buta macam ni kasi pick up line pula. Macam mana benda ni boleh jadi? Dia langgar kereta abang ke?”
“Dia sengaja pecahkan lampu tu.”
“Sengaja?! Habis tu abang biarkan aje? Tak minta ganti rugi? Tak nak hantar pergi workshop betulkan lampu tu?”
“Esok abang betulkanlah. Semua ni salah abang juga.”
“Orang makin tak faham apa yang dah jadi. Abang suka dia sebab dia pecahkan lampu kereta abang?”
“Abang nak tanya dengan adik. Ada ke manusia kat dalam dunia ni akan mengaku dia jahat atau tak baik kat depan orang lain?”
Nilam Qadheera menggelengkan kepala. “Abang, orang jahat pun tak nak dan tak akan mengaku yang dia jahat.”
“Kan? Dan, ada ke orang yang akan minta maaf pada masa yang sama lepas dia dah buat salah?”
“Ada tu ada, tapi tak ramai.”
“Sebab tulah abang cakap Cik Signal Kiri ni mampu pecahkan tembok hati abang. Abang suka dengan kejujuran dia. Dia ada pendirian.”
“Abang tak kenal dia, tapi abang tahu perangai dia? Macam mana abang tahu yang dia tu jujur? Jujur ni sesuatu yang susah kita nak tahu.”
“Adik ni, abang explain banyak kali pun adik tak akan faham.”
“Susah betul bercakap dengan orang yang tengah jatuh cinta ni.”
“Eleh... Macam dia tak pernah jatuh cinta pula dengan suami dia tu. Mula-mula tak nak kahwin dengan Fath. Lepas tu... ha, tengok perut tu.”
Bibir ibu mengandung itu mencebik. Sempat dia mencubit lengan abangnya.
“Aduh! Sakitlah.”
“Sayang...”
Tidak semena-mena suara garau itu mencelah perbualan dua beradik itu. Mereka berdua sama-sama menoleh. Alfatah sedang memegang segelas susu di ruangan pintu. Zulqadree memberikan lambaian tangan sebagai isyarat menyapa adik iparnya itu. Alfatah melangkah keluar.
“Dah malam macam ni, abang tak tidur lagi ke?” soalnya sebaik sahaja berada di sisi Nilam Qadheera. Tangan kiri Alfatah bertaut dengan tangan kanan isterinya.
“Abang tak boleh tidur. Fikir jodoh yang begitu misteri,” balas Zulqadree.
Bibir Alfatah tertawa kecil. Gelas di tangan kanan beralih tuan. “Jodoh misteri?”
“Abang Qadree ni dah jatuh cinta. Tapi, nama orang tu pun dia tak tahu,” ujar Nilam Qadheera pula. Setelah itu dia menghirup seteguk minuman tersebut.
“Hei, sibuklah mak buyung ni. Fath, cepat bawa Nil masuk dalam. Adik tu kena cukup rehat.”
“Yalah. Saya dengan Nil masuk dulu. Abang tu jangan fikir lama-lama sangat. Kalau dah jumpa yang berkenan, bawa jumpa umi. Manalah tahu, tahun depan baby kat dalam perut ni dah ada kawan,” sakat Alfatah.
Oleh sebab tidak tahu balasan kata yang harus dilontarkan, Zulqadree menyengih sambil menggaru-garu kepala yang tiada kelumumur itu.
Pasangan suami isteri tersebut melangkah seiringan. Zulqadree hanya memerhati. Dia tersenyum melihat adiknya mengukir bahagia bersama lelaki itu. Lagi selangkah mahu masuk ke dalam rumah, si isteri berpaling.
“Abang rasa abang dapat jumpa lagi ke dengan Cik Signal Kiri tu?” ujar Nilam Qadheera dengan nada separuh menjerit.
Soalan itu yang sedang bermain di minda Zulqadree. Dia menjongketkan bahu. Setelah dua insan itu hilang daripada pandangan, Zulqadree menatap semula lampu kiri keretanya. “Saya memang kena cari awak.”
Ya, benar. Perkara itu yang harus dilakukan. Tapi, bagaimana?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan