Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 5 Ogos 2016

Abang Sado Hati Jambu - Bab 5

Tajuk: Abang Sado Hati Jambu
Penulis: Aunie Ayunie
ISBN: 978-967-365-271-6
Harga: RM26.00 / RM29.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

HAYYAD bercekak pinggang menunggu di tepi kereta mewah milik Yuzma. Hari itu, bermula tugasnya sebagai pegawal peribadi gadis itu. Jam tangan dikerling sesaat. Sudah hampir setengah jam dia terpacak di situ menunggu majikannya yang tidak kunjung nampak.
Ingat aku ni tiang lampu ke nak tercegat macam patung? Isy, geram betul! Hayyad mengepal penumbuk. Ketika itu, Tan Sri Mokhtar sudah keluar untuk ke pejabat.
“Selamat pagi, Hayyad. Dah lama ke awak sampai? Kenapa tak masuk sarapan dulu?” Tan Sri Mokhtar menyapanya dengan mesra. Segaris senyuman terlakar di bibirnya.
“Saya dah sarapan sebelum datang tadi Tan Sri! Ermm, mana Cik Yuzma? Dia tak pergi pejabat ke?” Hayyad menjawab dengan sopan walaupun hatinya sedang mendidih.
Dia berjalan menghampiri Tan Sri Mokhtar. Sambil itu, dia menjenguk ke arah pintu mencari kelibat Yuzma. Tapi, masih belum nampak batang hidung gadis itu.
“Awak cari Yuzma ke? Dia tu takkan bangun selagi matahari tak terpacak atas kepala. Lain kali, awak datang selepas pukul 11.00 pagi. Dia akan masuk ofis selepas pukul 2.00 petang,” kata Tan Sri Mokhtar lagi. Ketika itu, pemandu Tan Sri Mokhtar sudah pun membukakan pintu kereta untuknya.
Hayyad tercengang. Pukul 2.00 petang baru nak masuk ofis? Gila! Perempuan spesies apa agaknya bangun tidur lewat.
“Habis tu, apa saya nak buat kat sini? Baru pukul 8.00 pagi ni.” Hayyad merungut seraya mengeluh perlahan. Dahinya digosok perlahan.
“Awak masuklah dulu. Tunggu aje sampai dia bangun. Saya dah lewat ni. Saya pergi dulu.” Tan Sri Mokhtar memboloskan dirinya ke dalam kereta mewahnya.
Seketika kemudian, kereta itu meluncur keluar dari pekarangan rumah agam milik Tan Sri Mokhtar.
Hayyad melangkah masuk ke dalam rumah itu dengan hati yang sebal. Tak sampai tiga jam dia jadi pengawal peribadi Yuzma dia sudah rasa semacam. Terketar-ketar saja tangannya macam gian sangat nak penampar muka orang.
Hayyad duduk di atas sebuah kerusi kayu yang terletak berhampiran dengan pintu masuk. Matanya meliar mencari kelibat penghuni rumah itu. Rumah punyalah besar mengalahkan istana, tapi nak jumpa orang pun susah. Hayyad pandang lagi ke arah tangga. Berharap agar Yuzma muncul. Tapi, hampa!
“Jemput minum, encik.”
Hayyad tersentak mendengar suara itu. Bila dia menoleh, kelihatan seorang wanita sebaya ibunya berdiri di hadapannya. Secawan Nescafe panas diletakkan di atas meja. Mungkin itu ialah pembantu rumah, fikir Hayyad.
“Terima kasih, mak cik. Susah-susahkan mak cik aje.” Hayyad menyeringai.
“Eh, tak susah pun. Mak Ecah lagi suka kalau ada orang yang minum atau makan apa yang Mak Ecah masak. Minumlah.” Wanita itu mempelawa lagi.
Hayyad angguk laju. Dia menyenangi sikap ramah mak cik itu. Dia memerhatikan lenggok Mak Ecah yang menuju ke arah dapur. Sekali lagi mata Hayyad melilau mencari kelibat Yuzma. Ketika itu, matanya terfokus ke arah seorang gadis yang sedang melangkah turun dari tingkat atas. Gadis itu melemparkan senyuman sebaik sahaja mata mereka bertembung.
Hi, Mr. Bodyguard! Nice to meet you. And you know what? You’re the reason why I couldn’t sleep last night,” kata gadis itu sambil memerhatikan Hayyad dari atas sampai bawah.
Kemudian, ada secalit senyuman tersungging di bibir mungilnya. Yuzma mengejutkannya pukul 5.00 pagi dan dia terpaksa menahan telinga mendengar kakaknya berleter tentang lelaki itu.
“Hai,” balas Hayyad.
Dia sebenarnya tak faham langsung apa yang dikatakan oleh gadis itu. Dia bukan mat salih. Mat despatch pun bukan. Dia cuma seorang pemuda yang hidup di kampung. Memang tak reti nak speaking London!
My name is Yumna Khairani and you can call me Yum.”
Yum? Hayyad menahan ketawa. Lucu pula nama itu kalau nak dipadankan dengan tuan punya namanya. Gadis itu lebih sesuai dengan nama... Megan Fox mungkin. Sebab rambutnya perang dengan pakaian yang mengalahkan artis mat salih.
“Saya... Ameer Hayyad. Panggil aje Hayyad. Saya harap awak boleh faham bahasa Malaysia,” jawab Hayyad sinis.
Gadis itu tergelak besar.
“Mestilah saya faham. Tadi tu saya acah ajelah! Jadi, awaklah pengawal peribadi baru kakak saya?” Yumna berpeluk tubuh.
Sebenarnya, dia agak terpikat dengan bodyguard baru kakaknya itu. Handsome, tegap, pakaian pun kemas dan nampak macam hero filem.
“Ia!” Hayyad angguk.
“Tunggu apa lagi? Pergilah naik atas.”
Naik atas? Hayyad mengerutkan dahi. Pelik dengan arahan itu. Nak buat apa naik atas? Nak cari nahas bolehlah.
“Pergi ajelah. Kalau awak tak nak jadi penunggu kat sini sampai petang baik awak naik kejutkan kakak saya. Dia takkan bangun selagi tak sampai pukul 11.00. Bilik dia di tingkat tiga. Pintu warna biru.” Yumna terus berlalu ke dapur tanpa menunggu Hayyad menjawab.
Lelaki itu menggaru-garukan kepalanya. Dia berbelah bahagi untuk mengikut saranan Yumna tadi. Patut ke dia naik kejutkan Yuzma? Anak dara orang tu! Kalaulah tahu dek Mak Siti, tentu dia akan berleter selama tiga jam tanpa henti.
“Naik aje! Tak payah fikir-fikir lagi.” Terdengar suara Yumna dari arah dapur.
Hayyad terus melangkah memanjat anak-anak tangga untuk naik ke tingkat tiga. Sampai di tingkat tiga, matanya terpaku sekejap dengan kemewahan ruang itu yang dihias dengan latar berwarna kuning keemasan. Kemudian, matanya mencari pintu berwarna biru seperti yang diberitahu oleh Yumna.
Semuanya ada lima bilik dan setiap pintu dicat dengan warna yang berbeza. Ada pintu berwarna merah, kuning, hijau, ungu dan biru terletak di hujung sudut ruang itu. Itulah agaknya bilik Yuzma. Hayyad terus menghampiri pintu itu. Pintu itu diketuk beberapa kali. Tiada jawapan. Hayyad mengulangi perbuatannya beberapa kali dan hasilnya tetap sama.
“Cik Yuzma! Cik Yuzma!” Hayyad memanggil nama itu beberapa kali. Sepi...
“Cik Yuzma, bangunlah! Dah lewat ni. Dah lama saya tunggu kat bawah tu. Saya ni pengawal peribadi, bukan tiang lampu. Faham tak?” Hayyad menaikkan intonasi suaranya. Dia tak pasti Yuzma boleh dengar ataupun tidak.
Hayyad ketap bibir. Meter kesabarannya dah naik kemuncak. Ikutkan hatinya yang marah, nak saja dia terajang pintu itu. Tapi, bila memikirkan yang dia mungkin akan disaman, maka dia batalkan niat itu. Tak pasal-pasal kena bayar ganti rugi pula nanti. Hayyad berfikir apa yang patut dia lakukan. Kurang daripada seminit, pintu bilik itu dibuka dari dalam.
“Cik Yuzma?” Hayyad menjengah kepalanya sedikit ke dalam bilik. Takut juga kalau tertengok sesuatu yang tidak patut. Tapi, senyap saja.
Hayyad melangkah setapak. Kini, dia berada dalam bilik Yuzma. Matanya merenung katil bersaiz king yang terletak di ruang tengah bilik itu. Kelihatan sesusuk tubuh yang masih berbungkus dengan selimut terkujur kaku di situ. Aik? Tidur lagi?
“Cik Yuzma?” Hayyad mendekati katil itu.
“Cik Yuzma!” Itu mungkin kali ke-30 dia memanggil nama gadis itu. Tapi, Yuzma langsung tidak memberikan tindak balas.
Hayyad dah malas nak fikir panjang. Dia terus angkat tubuh yang berkelubung itu dan dibawa ke dalam bilik air. Dia meletakkan Yuzma di atas lantai bilik air dan terus dia membuka paip air.
Arghhh! Arghhh! Apa ni? Arghhh! Air apa ni?” Yuzma terlolong macam orang kena sampuk bila tubuhnya disiram air.
Dia bingkas bangun sambil melurutkan selimut. Matanya terbuntang luas melihat Hayyad sedang berdiri di depannya.
“You? You buat apa dalam bilik air I ni, hah?” Yuzma mengibas-ngibas baju tidurnya yang hampir lencun disiram air tadi.
“Sedar pun! Saya panggil cik sampai nak terkeluar anak tekak saya ni, tahu tak?” Hayyad tersenyum sinis.
Dia melarikan matanya ke arah lain apabila melihat baju tidur Yuzma agak melekat pada tubuhnya. Seksi! Fuh...
“Suka hati I lah nak bangun pukul berapa pun. You tak payah nak sibuk. Siapa yang berikan kebenaran pada masuk dalam bilik I, hah?”
“Ewah, suka hati I lah nak bangun pukul berapa pun,” ejek Hayyad cuak.
“Mulai hari ni, cik kena ikut cakap saya dan saya yang akan aturkan jadual harian cik. Faham? Ini adalah arahan daripada Tan Sri. Kalau cik membantah saya akan gunakan kuasa veto yang diberikan kepada saya.” Tambah Hayyad seraya melangkah keluar dari bilik air itu.
“Kuasa veto? Apa yang you merepek ni? Siapa yang cakap you ada kuasa veto kepada I?” Yuzma mengekori Hayyad dari belakang. Dia tidak puas hati dengan apa yang dikatakan oleh Hayyad tadi.
“Tan Sri yang cakap! Jadi, kalau nak selamat... Tolong jangan buat saya marah. Faham?”
“Eh, you jangan pandai-pandai nak berikan arahan kepada I. You yang kena ikut arahan I faham?” bentak Yuzma lagi.
Hayyad berpaling dan wajah mencuka Yuzma menjadi sasaran matanya. Gadis itu mencebik.
“Saya tak nak dengar apa-apa lagi. Saya beri 15 minit untuk cik bersiap. Kalau tidak, saya akan hantar cik pergi pejabat dengan baju macam ni.”
“Kalau berani cubalah!” jawab Yuzma dan matanya dijegilkan sebesar-besarnya.
Turun naik juga dadanya menahan geram. Belum pernah ada lelaki yang masuk dalam biliknya dan Hayyad adalah lelaki pertama. Tak guna betul!
“Tak payah nak cabar saya, Cik Yuzma. Saya tunggu kat bawah. Ingat, 15 minit saja. Kalau cik tak turun... Saya akan buat apa yang saya cakap tadi.” Hayyad mendekati pintu dan dia melangkah keluar.
Yuzma mengetap bibir sambil mendengus sebal. Sudahlah masuk biliknya tanpa kebenaran. Lepas tu, suka-suka pula nak beri arahan kepadanya. Huh! Jangan harap dia nak ikut arahan lelaki low class macam dia tu. Yuzma ambil baju dalam almari dan menukar baju yang sudah basah tadi. Lepas tu, dia menghumbankan dirinya ke atas katil. Nak sambung tidur lagi!
Sesaat kemudian, terdengar telefon bimbitnya berbunyi. Yuzma mencapai telefon pintarnya yang terletak di atas bantal. Ada SMS daripada... Edrian? Yuzma terbelalak.

Morning my sweetheart. I tak dapat bayangkan betapa cantiknya you pagi-pagi macam ni. I akan jemput you lagi satu jam. Tunggu tau. Love you sweety.
           
Yuzma buat muka meluat sebaik sahaja menyudahkan ayat-ayat bunga yang busuk daripada Edrian. Hatinya langsung tidak mampu nak mengembang. Cuak adalah! Yuzma bingkas bangun daripada perbaringan. Tuala dicapai dan dia menyelinap masuk ke dalam bilik air. Dia perlu segera bertolak ke pejabat. Dia mahu menyelamatkan diri daripada Edrian.
           
HAYYAD tersenyum melihat Yuzma yang sedang berjalan mendekatinya. Gadis itu sudah siap berpakaian untuk ke pejabat. Tahu takut! Hayyad ketawa sendiri.
“Apa hal you tengok I macam tu?” soal Yuzma keras.
Satu jelingan diberikan kepada Hayyad. Lelaki yang sedang mendakap tubuh di tepi keretanya cuma tersenyum sambil menjongketkan keningnya.
“Kenapa cik tukar fikiran? Takut kena pergi pejabat pakai pakai baju tidur ke?” sindir Hayyad.
Matanya meliar juga memerhatikan susuk tubuh langsing yang mengenakan blaus ketat dengan skirt sendat paras lutut menampakkan kakinya yang panjang. Jiwa lelakinya mengakui Yuzma sangat cantik dan menawan. Wajahnya putih bersih dan nampak comel. Tapi, perangainya... Nauzubillah!
“Jangan nak perasan sangatlah. Tak kuasa I nak takut dengan ugutan you tu. I ada sebab lain.” Yuzma memakai cermin mata hitam. Silau pula matanya terkena cahaya matahari.
“Tunggu apa lagi? Cepatlah bukakan pintu ni untuk I!”
“Bukalah sendiri! Allah berikan tangan kepada cik bukan untuk berpeluk tubuh macam tu. Tangan tu untuk bekerja, faham? Ingat saya ni kuli batak cik ke?” herdik Hayyad pula. Dia langsung tidak bergerak. Dia merenung Yuzma tajam. Mengada-ada!
“Hei, you tu bodyguard I. You kena ikut arahan I aje, faham?” Yuzma rasa terpukul.
Hayyad adalah satu-satunya pengawal peribadinya yang berani mengingkari arahannya.
“Saya faham, Cik Yuzma. Faham sangat! Saya ni bodyguard, bukan hamba abdi cik! Tugas saya ialah memastikan cik masuk pejabat ikut waktu, bawa cik balik pun ikut waktu dan Tan Sri cakap saya kena pastikan cik tak masuk lagi kelab-kelab malam. Itu aje! Saya boleh bukakan pintu kereta untuk cik, tapi kalau tangan cik tu dah kudung,” jawab Hayyad selamba. Dia melangkah ke pintu bahagian pemandu dan memboloskan dirinya ke dalam kereta.
Yuzma menahan rasa. Geramnya! Yuzma yang baru berfikir macam mana nak buat Hayyad bukakan pintu untuknya, terdengar hon kereta dibunyikan bertalu-talu. Ya Allah, kus semangat! Dia ni kan... Mahu tidak mahu, Yuzma terpaksa membuka pintu kereta sendiri.
“Oh, tahu pula nak buka sendiri! Ingatkan nak kena hantar sekolah OKU dulu baru tahu nak buka pintu kereta.” Sempat lagi Hayyad menyindir ketika Yuzma masuk dalam kereta.
Mukanya tak usah cakaplah. Masam mencuka. Pipi Yuzma juga kelihatan kemerah-merahan. Marah mungkin.
“Jangan banyak cakap boleh tak? Drive ajelah.”
Hayyad menahan ketawa. Lucu pula dengan telatah Yuzma. Keras-keras pun ada lembutnya juga. Hayyad hairan kenapa gadis cantik seperti itu selalunya kurang adab sopan. Allah dah berikan anugerah yang tidak ternilai iaitu kecantikan, tapi langsung tidak reti nak bersyukur. Haisy! Hayyad menggelengkan kepala.
Seketika kemudian, kereta mewah daripada jenama Audi meluncur laju meninggalkan pekarangan rumah agam itu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan