Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 5 Ogos 2016

Abang Sado Hati Jambu - Bab 10

Tajuk: Abang Sado Hati Jambu
Penulis: Aunie Ayunie
ISBN: 978-967-365-271-6
Harga: RM26.00 / RM29.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

PAGI itu, Tan Sri Mokhtar menunggu di meja makan untuk bersarapan bersama dengan anak-anaknya. Yuzma dan Yumna. Ada perkara penting yang mahu dia sampaikan. Jam di pergelangan tangan dijeling sekilas sebelum matanya memerhatikan Mak Ecah yang sedang menyendukkan mi goreng ke dalam pinggan. Kemudian, pinggan itu diletakkan di hadapannya.
“Terima kasih, Mak Ecah!” ujar Tan Sri Mokhtar perlahan. Dia mencicip Nescafe panas dalam cawan.
Ketika itu, Yumna sudah turun dari kamarnya dan menyertainya di meja makan. Yumna sudah bersiap untuk ke kolej.
Morning, ayah.” Yumna mendekati dan mencium pipi ayahnya.
Tan Sri Mokhtar cuma tersengih. Yumna dengan Yuzma ada karakter yang agak berbeza. Yumna manja dan tidak banyak membantah cakapnya. Tapi, kakaknya seorang yang baran, kuat memberontak dan suka melakukan sesuatu tanpa berfikir panjang. Kerana itulah dia risau dan sikap Yuzma sering membuatkan tidur malamnya tidak lena.
“Ayah, kenapa senyap aje ni? Ingatkan siapa? Ingatkan Kak Layla ya?” Yumna menyakat melihat ayahnya yang tidak membalas sapaannya. Bahu ayahnya dipaut mesra.
“Isy, Yum jangan sebut nama Kak Layla dalam rumah ni. Kalau Kak Yuzma dengar, jenuh ayah nak menjawab. Bukan Yum tak tahu perangai Kak Yuzma tu.” Tan Sri Mokhtar meliarkan pandangan ke arah ruang tamu.
Bimbang kalau Yuzma mendengar kata-kata Yumna tadi. Nasib baik anak sulungnya itu masih belum turun. Lelaki lewat 50-an itu menarik nafas lega.
Ups, sorry ayah! Yum lupa.” Yumna menyeringai sambil tangannya menekup mulutnya.
Dia faham maksud ayahnya. Kalau kakaknya dengar nama Kak Layla disebut, mungkin pagi itu waktu sarapan mereka akan bertukar menjadi medan perbalahan ayah dan kakaknya. Yuzma memang tidak pernah suka dengan mana-mana perempuan yang rapat dengan ayah mereka. Lebih-lebih lagi Kak Layla yang hampir 15 tahun bertugas sebagai setiausaha ayahnya.
Yumna pula tak kisah sangat. Dia suka kalau Kak Layla sudi menggantikan tempat arwah ibu mereka. Kak Layla merupakan anak kepada Uncle Kamal, setiausaha sulit ayahnya.
“Jangan sebut-sebut lagi nama Kak Layla tu. Yum pergi tengok Hayyad dah sampai ke belum. Kalau dah sampai, ajak dia sarapan sekali dengan kita.”
Yumna angguk dan cepat sahaja dia menurut arahan itu. Dia mengatur langkah ke pintu utama. Bibirnya mengulas senyum melihat Hayyad yang sudah tercegat di tepi kereta kakaknya.
“Selamat pagi, Mr. Bodyguard,” tegurnya mesra.
“Selamat pagi, Yum. Cantik Yum hari ni,” puji Hayyad sambil membalas senyuman gadis berusia 20 tahun itu.
Yumna ketawa segan.
“Yum memang cantik. Baru tahu ke?” balas Yumna pula.
“Ermm, ya. Baru tahu.”          
“Jahat tau Abang Hayyad ni. Ayah suruh Yum ajak abang masuk sarapan dengan kita orang. Jom.”
Hayyad tidak sempat menolak bila gadis itu terus menyambar tangannya dan mengheretnya ke dalam rumah. Sampai di meja makan, kelihatan Yuzma sudah duduk di kerusi bersebelahan dengan Tan Sri Mokhtar. Hayyad melemparkan senyum kepada Tan Sri Mohktar yang sedang memandangnya.
“Duduklah, Hayyad. Kita sarapan sama-sama,” pelawa Tan Sri Mokhtar.
Hayyad serba salah. Bukan dia tak perasan pandangan sinis Yuzma. Gadis itu buat muka macam muka burung hantu. Huh! Hayyad terpaksa maniskan wajahnya sebab ada Yumna dan Tan Sri Mokhtar. Kalau tidak, tentu mereka sudah bertengkar.
“Duduklah, Abang Hayyad. Fikir apa lagi? Duduk di sini.” Yumna menarik kerusi untuk Hayyad. Kerusi di sebelahnya dan bertentangan dengan Yuzma.
Hayyad akur. Sempat lagi dia pandang muka Yuzma sekilas. Yuzma sudah tarik muka 14. Tak puas hati agaknya.
“Terima kasih, Yum.” Hayyad berbahasa bila gadis itu menyuakan secawan Nescafe dan sepinggan mi goreng kepadanya.
“Sama-sama. Makanlah. Sedap tau masakan Mak Ecah. Superb! Rugi kalau tak makan,” tokok Yumna lagi dengan senyuman yang meleret-leret.
Yuzma mencebik benci. Benci melihat adiknya yang beria-ia sangat layan lelaki yang selalu menyakitkan hatinya itu. Yuzma terus menyuap mi goreng tanpa mempedulikan Hayyad yang mungkin tengah kembang punggung dengan layanan mesra adiknya.
Yuzma, I have something important to tell you, sweetheart. Before I proceed, I really want to let you know that I am doing this for your sake.” Tan Sri Mokhtar memulakan bicara dengan serius dan matanya tertunak pada wajah anak sulungnya, Yuzma Khairunnisa’.
Ketiga-tiga pasang mata tertumpu kepadanya sebaik dia membuka mulut.
Mata bundar Yuzma merenung tepat ayahnya. Tertanya-tanya apakah yang ingin dikatakan oleh ayahnya.
Hayyad menggaru-garukan kepalanya. Tidak faham tentang apa yang dikatakan oleh Tan Sri Mokhtar. Tak boleh ke cakap Melayu? Hayyad mengomel dalam hati.
Just go on, ayah. Im listening...” Yuzma tidak sabar ingin tahu. Bunyinya macam sesuatu yang sangat penting.
“Semalam, ayah jumpa dengan Tan Sri Hamidi. Kami ada bincang pasal Yuzma dan Edrian.” Tan Sri Mokhtar berjeda lagi.
Kali ini, dia menarik nafas panjang dan dihembuskan perlahan. “Tan Sri Hamidi nak cepatkan tarikh perkahwinan Yuzma dengan Edrian.”
What?” jerit Yuzma nyaring. Matanya terjegil luas. “Kenapa tiba-tiba nak cepatkan pula? Kenapa tak tanya Yuzma dulu?”
“Yuzma, cuba bertenang dulu. Biar ayah habis cakap dulu. Ada sebab kenapa Tan Sri Hamidi buat keputusan tu. Bulan depan kakak Edrian nak berangkat ke Jepun sebab ikut suaminya. Jadi, Tan Sri Hamidi sekeluarga dah tetapkan tarikh tu minggu depan dan ayah dah setuju.”
“Minggu depan?” Sekali lagi suara nyaring Yuzma bergema. Kali ini, dia bingkas bangun sambil mendakap tubuh.
Hayyad dah rasa macam nak lompat tinggi-tinggi. Suka mendengar berita itu. Bermakna, dia tidak perlu lagi menjadi pengawal peribadi perempuan sombong lagi bongkak itu. Hayyad sudah senyum lebar.
“Ayah ni dah kenapa? Boleh tak ayah tanya Yuzma dulu kalau nak buat apa-apa keputusan yang berkaitan dengan Yuzma?” tengking Yuzma menyinga. Wajahnya yang putih mulus itu sudah berubah kemerah-merahan.
“Yuzma, apa yang ayah buat ni untuk kamu, sayang. Yuzma kena faham yang ayah dah janji nak satukan kamu dengan Edrian. Ayah tahu dia akan jaga kamu dan dia akan sayangkan kamu macam mana ayah sayangkan kamu. Percayalah!” Tan Sri Mokhtar cuba memujuk dengan sehabis lembut walau dia tahu sikap Yuzma yang susah untuk dipujuk.
“Senangnya ayah cakap! Ayah cakap macam Yuzma ni anak patung. Suka-suka aje ayah tentukan hidup Yuzma. Ayah tahu tak Yuzma tak cintakan Edrian? Yuzma tak sukakan dia. Ayah nak Yuzma cakap macam mana lagi baru ayah nak faham?”
“Sayang, cubalah jadi perempuan yang rasional sikit. Kalau Edrian tak kahwin dengan Yuzma, orang akan terus bercerita yang buruk pasal Yuzma. Ayah tak sanggup dengar orang lain buruk-burukkan Yuzma. Edrian cakap dia tak kisah dengan berita atau gosip tentang Yuzma. Yang penting dia cintakan Yuzma. Edrian ikhlas cintakan kamu, sayang.”
Yuzma mencebik. Jelingan demi jelingan diberikan kepada ayahnya setiap kali mata mereka bertembung. Entah kenapa setiap rancangannya untuk memutuskan pertunangannya dengan Edrian tidak membuahkan hasil. Berita tentang dia bergaduh di kelab malam pun masih tidak boleh mempengaruhi keluarga itu.
Sesekali, dia melirik ke arah Hayyad. Dia nampak senyuman sinis yang terlukis di bibir lelaki itu. Nak saja rasa dia sumbat mulut Hayyad dengan teko yang berada di tengah meja itu. Tapi, hal yang dibicarakan oleh ayahnya membuatkan niat buruknya itu terbang dibawa angin lalu.
“Betul tu, kakak. Boleh tak kakak fikirkan yang positif sikit? Kesian ayah tau. Kalau ayah ikut cakap kakak mesti keluarga Tan Sri Hamidi fikir yang ayah ni mungkir janji. Tak boleh ke kakak dengar cakap ayah dalam hal ni?” Yumna menyampuk pula.
Gadis itu menggelengkan kepalanya tanda tidak suka dengan cara kakaknya bercakap dengan ayah mereka. Kasar!
Hayyad pula beria-ia benar mengangguk. Dia sokong sangat dengan apa yang dikatakan oleh Yumna. Seorang anak tak boleh cakap kasar macam itu dengan ibu atau ayah. Kalaulah dia atau adik-beradiknya bercakap kasar macam itu dengan ibu mereka, tentu mulut mereka akan ditenyeh cabai.
“Yum, kau diam boleh tak? Ini hal kakak dengan ayah. Tak ada kena-mengena dengan kau. Lagipun, kau takkan faham apa yang kakak rasa,” balas Yuzma. Bibirnya yang dioles dengan sedikit warna merah itu diketap kejap.
“Betul cakap Yum tu. Yuzma kena fikir positif. Hanya ini aje cara untuk kembalikan nama baik Yuzma tu. Sebab itu kalau nak lakukan sesuatu kena fikir habis-habis dulu. Bukan main terjah aje. Yuzma tak sepatutnya masuk kelab, mabuk dan cari gaduh dengan orang. Walaupun Yuzma tak suka dengan pertunangan ni, tapi itu bukan cara protes yang bijak. Faham tak?
“Sekarang ni, Yuzma kena tanggung sendiri perkara buruk yang Yuzma buat tu. Keluarga Edrian dah sepakat nak langsungkan perkahwinan kamu berdua minggu depan dan akad nikah pada malam sebelum itu. Yuzma tak payah nak cakap apa-apa lagi. This is my final decision!” tegas Tan Sri Mokhtar muktamad.
Kalau nak bertengkar dengar Yuzma, mungkin tiga hari lagi pun takkan habis dan dia tahu anak gadisnya tidak akan mendengar cakapnya. Sebab itu dia dah buat keputusan tanpa berbincang dengan Yuzma terlebih dahulu.
“Ayah, this is too much!” Yuzma tepuk meja.
“Yuzma takkan kahwin dengan Edrian! Kalau ayah paksa Yuzma juga bermakna ayah cabar Yuzma. Yuzma akan buat apa saja untuk batalkan perkahwinan ni.” Yuzma merenung tepat ayahnya. Kembang kempis hidungnya menandakan kemarahannya yang semakin memuncak.
“Cik Yuzma, sabar okey?” Hayyad cuba menjernihkan keadaan yang semakin genting itu.
“You diam!” jerit Yuzma membuatkan Hayyad hampir menekup telinganya. Macam speaker!
“Ini hal famili I. You tu bodyguard I aje. Ingat sikit siapa you tu. Jangan ingat kalau you dah duduk di kerusi tu, makan dengan kita orang, you ada hak nak bersuara kat sini! Sebab youlah I kena hadap semua ni tahu tak?” Yuzma menjadikan Hayyad sebagai sasaran untuk melepaskan amarahnya.
Siapa suruh menyampuk? Kan dah kena!
Hayyad tarik nafas panjang dan dihembus deras. Ini yang dia baran ni. Perempuan ni kalau bercakap asyik nak sakitkan hati orang saja. Dasar mulut jebon!
“Cik Yuzma boleh berkasar dengan saya, tapi boleh tak cik cakap elok-elok sikit dengan ayah cik ni? Jangan sampai saya...”
“Hayyad, sudah!” Tan Sri Mokhtar memotong bicaranya membuatkan Hayyad mengeluh perlahan.
Nasib baik mereka ada di rumah Tan Sri. Kalau tidak, tahulah dia nak ajar minah perasan bagus itu.
“Yuzma boleh buat apa saja, tapi apa yang Yuzma bakal buat nanti tidak akan mengubah keputusan ayah. Keputusan ayah muktamad.” Tan Sri Mokhtar bingkas bangun dan dia mengatur langkah meninggalkan meja makan tanpa menunggu Yuzma membalas.
“Ayah! Ayah! Ayah!” Yuzma terpekik-pekik memanggil ayahnya, tapi jeritannya langsung tidak dihiraukan.
Yuzma menarik nafas dalam-dalam lalu dilepaskan deras. Yuzma menahan geram. Masalahnya semakin serius. Dia perlu rancang sesuatu untuk menghentikan rancangan ayahnya dengan Tan Sri Hamidi. Dia tidak mahu menjadi isteri Edrian!
“Apa hal kau orang pandang I macam tu?” Keningnya hampir bertaut sebaik menyedari renungan Yumna dan Hayyad.
Mereka menggeleng serentak.
“Saya rasa baik Cik Yuzma kahwin aje dengan Edrian tu. Saya pun dah tak sanggup nak jadi bodyguard Cik Yuzma. Saya nak balik kampung. Saya tahu umur Cik Yuzma pun dah nak senja, kan? Tunggu apa lagi? Kahwin ajelah. Kalau dah senja nanti, gerenti tak laku dah,” ujar Hayyad selamba.
Yumna ketawa sambil buat thumbs up. Berani betul Hayyad cakap macam tu. Ketawa mereka meletus.
“Diamlah!” getus Yuzma dengan wajah yang semakin keruh dan mendung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan