Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 9 Ogos 2016

Jodohku Abang Doktor - Bab 10

Tajuk: Jodohku Abang Doktor
Penulis: Nurfaza Alisya
ISBN: 978-967-365-272-3
Harga: RM24.00 / RM27.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

RIZZ FAHIM menyedut Milo ais sambil memandang skrin iPhonenya. Sudah empat hari dia tidak mendengar khabar daripada Che Hannah. Serba salah pula untuk dia menelefon atau menghantar mesej kepada gadis itu. Bimbang dia mengganggu kerja-kerja Che Hannah pula.
Empat hari lepas sewaktu perjalanan pulang dari Felcra Sri Makmur, Che Hannah lebih banyak berdiam diri. Dia cuba berbicara dengan Che Hannah, namun hanya sepatah sahaja pertanyaan itu dijawab oleh gadis itu. Terus dia mengandaikan bahawa Che Hannah kepenatan.
Namun, apabila sudah empat hari tiada berita daripada gadis itu, dia pula tidak senang duduk. Hujung minggu nanti pula dia akan membawa keluarganya untuk bertemu dengan Puan Zaharah. Che Hannah pula main diam sahaja tanpa apa-apa khabar berita. Tidak senang pula dia hendak duduk.
Nasi yang sudah dimakan separuh pinggan sudah lama ditolak ke tepi. Saat ini hatinya gusar kerana tiada apa-apa berita daripada Che Hannah. Rasanya saat ini dia lebih sasau daripada kehilangan cinta Asmidar.
Rizz Fahim bangkit daripada duduknya. Malam ini dia harus berjumpa dengan Che Hannah. Dia mahu tahu kenapa gadis itu menyepi daripadanya.
Dia yang mahu melangkah ke arah lif terserempak dengan Asmidar dan Raja Faqih. Saat pandangan mereka bertemu, Asmidar melarikan wajahnya. Lalu beriringan mesra dengan Raja Faqih ke kantin.
Rizz Fahim memerhatikan langkah kedua-duanya yang berlalu pergi. Dia sangat kesal dengan sikap Asmidar yang sampai sekarang tidak pernah berterus terang kenapa hubungan mereka harus terputus begitu sahaja. Walau bagaimanapun, dia harus melupakan Asmidar dan mengenali hati Che Hannah dengan lebih dekat.
Saat ini hatinya begitu meronta-ronta untuk berjumpa dengan gadis kecil molek yang berwajah manis itu!

“HANNAH, bakal suami awak datang ni!” pekik Suraya sebaik dia menjenguk di luar tingkap.
Kemarahannya meruap juga tadi apabila berkali-kali kedengaran bunyi hon kereta. Sangkanya mafia manalah yang memekak malam-malam ini. Rupa-rupanya putera raja Che Hannah yang datang. Tersengih dia melambai Rizz Fahim tadi.
Che Hannah yang sedang menonton televisyen tersentak. Kalut dia sekejap kerana tiba-tiba Rizz Fahim datang mencarinya. Segera telefon yang berada di atas meja dicapainya. Terkejut dia memandang 25 missed call daripada lelaki itu. Tadi memang sengaja dia membuat mode silent di telefon bimbitnya kerana tidak mahu diganggu.
“Hannah cepatlah, Rizz dah tunggu kat bawah tu,” laung Suraya lagi apabila melihat Che Hannah masih belum berganjak dari tempat duduknya.
“Dia nak apa datang malam-malam ni?” omel Che Hannah.
Segera Suraya bercekak pinggang.
“Eh, awak ni Che Hannah oiii... Awak cakap minggu depan keluarga dia nak datang jumpa awak, kan? Mesti ada benda yang dia nak bincang tu,” bebel Suraya.
“Isy, ni malam-malam buta nak jumpa buat apa? Kang nanti dia kidnap Hannah macam mana? Bawa Hannah lari, lepas tu rape, lepas tu dia bunuh Hannah. Kak Su tak takut ke?” Che Hannah menakut-nakutkan Suraya.
Saat ini dia malas hendak bersemuka dengan Rizz Fahim. Petang tadi ada lelaki itu menghantar WhatsApp bertanyakan khabarnya. Namun, langsung tidak dibalasnya. Dia masih lagi berkecil hati dengan emaknya. Kalau tidak kerana emak, sampai waktu ini dia tidak terfikir pun untuk berkahwin. Sekarang, dia betul-betul terhimpit.
“Eh, budak ni. Jangan nak mengada-ada boleh tak? Dia tu bakal suami awak. Awak pun dah kenal keluarga dia, kan? Sebelum ni awak ikut balik kampung dia, ada ke dia bawa awak lari?” soal Suraya.
“Dah malam ni. Tak elok,” balas Che Hannah malas.
Segera Suraya menarik tangan Che Hannah.
“Cepat pergi pakai tudung. Kak Su temankan,” suruh Suraya.
Hendak tak hendak Che Hannah terpaksa juga menurut. Kalau tidak Suraya akan membebel dengannya 24 jam. Sama saja seperti ibunya. Boleh pekak telinganya nanti.

RIZZ Fahim yang sedang bersandar di kereta Honda Mobilio menarik nafas lega sebaik sahaja melihat Che Hannah sudah turun bersama Suraya. Tersenyum lucu dia memandang Che Hannah dengan baju tidur Hello Kitty paras lutut yang disarungkan bersama seluar tidur belangnya. Che Hannah memang comel orangnya walaupun nampak agak kebudak-budakan.
“Kenapa awak senyum? Ada apa-apa yang tak kena dengan saya ke?” soal Che Hannah seraya menarik muncungnya.
Segera tubuhnya disiku Suraya.
“Tegurlah elok-elok sikit,” tegur Suraya dengan nada geram.
Segera Rizz Fahim mematikan senyumannya. Dia mendekati Che Hannah dan Suraya.
“Saya minta maaf sebab datang malam-malam ni. Saya ada hal sikit nak bincang dengan awak. Saya ingat nak ajak awak keluar makan,” kata Rizz Fahim.
“Cakap kat sini tak boleh ke? Saya malas nak keluar. Lagipun tak elok sangat keluar malam-malam ni,” bidas Che Hannah.
Sekali lagi tubuh Che Hannah disiku Suraya. Geram betul Suraya dengan sikap Che Hannah yang kurang senang untuk melayani kedatangan Rizz Fahim.
“Err... kat sini pun boleh. Sebenarnya saya datang ni nak bincang tentang kita. Hujung minggu ni keluarga saya nak datang jumpa emak awak. Saya takut awak lupa,” beritahu Rizz Fahim.
“La... Itu aje ke? Kenapa tak call atau mesej aje?” balas Che Hannah selamba.
Terangkat kening Rizz Fahim mendengar kata-kata Che Hannah. Hai... Dia dah separuh mati risau sebab Che Hannah tak angkat panggilan dia tadi, boleh pula Che Hannah tanya soalan tu kepadanya?
“Che Hannah tak tengok telefon tadi? Berapa kali saya call tak berangkat,” balas Rizz Fahim.
Terjegil biji mata Suraya mendengar jawapan Rizz Fahim. Kemudian, dia memandang Che Hannah yang tersipu-sipu malu.
Padan muka kau Hannah, kena kat kau balik. Che Hannah mengutuk dirinya.
“Saya silent. Tu tak dengar,” jawab Che Hannah selamba.
“Ooo... Sebenarnya saya datang ni ada satu hal lagi saya nak beritahu awak. Semalam umi saya call, keluarga saya datang hujung minggu ni nak sarungkan cincin pertunangan terus kepada awak. Cukup keluarga kita aje yang tahu. Nenek nak cepatkan perkahwinan kita awal bulan depan. Maknanya kita ada lagi lebih kurang tiga minggu untuk perkahwinan kita,” jelas Rizz Fahim.
“Wah, tahniah. Dah nak naik pelamin,” ucap Suraya gembira.
Che Hannah yang berada di sebelah Suraya sudah melopong mulutnya. Bibirnya tidak bergerak untuk berkata-kata. Mana mungkin dia akan berkahwin secepat ini? Janji dahulu dalam masa dua bulan. Saat ini hatinya langsung tiada rasa untuk hidup berumah tangga lagi. Bagaimana dia mahu menjadi isteri Rizz Fahim sedangkan dia masih belum bersedia untuk semua ini?
Dahulu dia terima lamaran Rizz Fahim kerana dia betul-betul terdesak kerana menyangka emaknya benar-benar mahu menjodohkan dia dengan Suhaimi. Namun, setelah tahu kebenarannya, dia tawar hati pula untuk berkahwin dengan lelaki di hadapannya ini. Masakan dia mahu menolak? Nanti Puan Zaharah tahu pula rahsianya bahawa dia baru sahaja mengenali Rizz Fahim. Tambahan pula kedua-dua keluarga mereka sudah bersetuju untuk menjodohkan mereka walaupun kedua-dua keluarga belah pihak tidak bertemu lagi.
“Hannah, awak okey ke? Mak awak tak kisah kan kita cepatkan perkahwinan ni? Saya nak minta awak beritahu mak awak dulu, supaya dia tak terkejut nanti,” kara Rizz Fahim lagi. Hairan dia melihat Che Hannah kaku di hadapannya.
“Err... Kenapa cepat sangat?” soal Che Hannah.
“Benda yang baik elok dicepatkan. Buat apa nak tangguh lama-lama?” sampuk Suraya.
Rizz Fahim pula hanya tersenyum mendengar kata-kata Suraya.
“Tapi... saya belum pergi kursus kahwin lagi pun,” kata Che Hannah mahu mengelak.
Bukan sengaja dia mencipta alasan, tetapi memang dia belum ada sijil kursus nikah kahwin lagi. Namun, pada masa yang sama dia berharap alasan itu dapat menangguhkan perkahwinan mereka yang dirasakan agak cepat untuk dilaksanakan.
“Itu tak jadi masalah. Saya pun belum pergi kursus kahwin lagi. Minggu depan kita buat sama-sama. Esok saya daftar nama awak di pengisian cari jodoh islamik yang kita pergi tempoh hari. Lepas tu kita selesaikan sama-sama borang nikah kita. Kita selesaikan dalam masa terdekat ni,” bicara Rizz Fahim panjang lebar.
Che Hannah terkunci mulut untuk membalas kata. Hanya matanya terkelip-kelip memandang Rizz Fahim. Dia tidak ada idea untuk menangkis lagi.
“Wah, bestnya dapat pergi kursus kahwin. Akak rasa akak nak buat sekali lagilah Hannah. Akak nak join jugaklah,” sampuk Suraya yang sudah tersengih lebar. Dia pula yang terlebih beria-ia daripada Che Hannah.
“Kalau Suraya nak serta bersama kami pun boleh. Tak ada masalah. Esok saya boleh tolong daftarkan,” kata Rizz Fahim lagi.
“Hihihi. Saya bergurau aje. Tak nak ganggulah pasangan yang nak naik pelamin tak lama lagi ni. Eh, Hannah, kenapa diam aje ni?” Sekali lagi tubuh Che Hannah disiku oleh Suraya.
Che Hannah menjerit kesakitan. Boleh tahan kuat juga Suraya menyikunya kali ini.
“Apalah Kak Su ni. Sakit orang tahu!” marah Che Hannah geram.
“Dah tu orang bercakap diam aje dari tadi kenapa? Kasihan kat Rizz ni cakap sorang-sorang. Dia ni bakal suami awak tahu. Bukan orang lain,” bebel Suraya.
“Awak ajak saya buat kursus kahwin kat mana tadi?” soal Che Hannah inginkan kepastian.
Entah sama ada dia tersilap dengar ataupun tidak, Rizz Fahim ada menyebut tentang tempat program pengisian cari jodoh yang pernah mereka ikuti.
“Di agensi cari jodoh yang kita pergi tempoh hari. Kebetulan saya dapat tahu daripada kenalan yang masuk program tempoh hari, dia cakap masih ada kosong. Esok saya daftarkan nama awak. Kita pergi sama-sama,” ujar Rizz Fahim lagi.
“Tak apalah, saya boleh pergi sendiri. Bukan jauh pun. Bangi aje kan,” jawab Che Hannah malas.
“Jadi, awak setuju nak sama-sama dengan saya dalam kursus kahwin ni?” soal Rizz Fahim inginkan kepastian. Dia tersenyum memandang wajah Che Hannah yang sudah kelat.
“Saya ingin kita dengar sama-sama sebab lepas ni kita nak bina rumah tangga. Boleh kita belajar sama-sama. Saya harap rumah tangga yang kita bina, tiangnya akan sentiasa kukuh,” bahas Rizz Fahim dengan penuh makna.
Suraya yang berada di sebelah Che Hannah sudah tersipu-sipu malu. Romantik betul bakal suami Che Hannah. Hatinya memuji. Dia mengerling Che Hannah yang langsung tiada respons.
Che Hannah memandang Rizz Fahim tidak berkelip. Saat ini jiwanya tenang mendengar bait-bait yang dilafazkan oleh Rizz Fahim tadi. Kukuhkah tiang perkahwinan mereka nanti?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan