Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 9 Ogos 2016

Jodohku Abang Doktor - Bab 6

Tajuk: Jodohku Abang Doktor
Penulis: Nurfaza Alisya
ISBN: 978-967-365-272-3
Harga: RM24.00 / RM27.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

USIKAN Suraya langsung tidak diambil endah oleh Che Hannah. Dari semalam lagi Suraya tidak habis-habis mengusiknya sebaik dia bercerita tentang hajat kedatangan Rizz Fahim semalam. Sekejap dia menoleh jam di tangannya. Masa yang sentiasa bergerak membuatkan dadanya semakin berdebar-debar. Entah kenapa dia berasa begitu untuk berjumpa dengan Rizz Fahim pada pukul 12.00 tengah hari nanti.
Isy, tulah siapa pandai-pandai setuju nak jadi isteri dia. Sekarang ni aku pulak yang susah hati. Baik ke dia tu? Muka boleh tahan handsome, tapi hati dia baik ke tak? Alahai, menyesal pula cakap setuju nak kahwin dengan dia. Tapi, kalau aku tak terima lamaran dia, aku kena kahwin dengan Suhaimi pulak. Ya Allah, harap-harap betullah pilihan aku. Hati Che Hannah berdesis bimbang.
“Tak datang lagi ke Doktor Rizz tu? Seronoknya orang dapat berdating dengan doktor. Siap melamar lagi suruh jadi isteri dia. Alahai, so sweet,” sakat Suraya lagi.
Dia sudah tahu Rizz Fahim adalah seorang doktor sebaik Che Hannah menunjukkan kad nama lelaki itu kepadanya.
“Kak Su, sudahlah tu. Hannah rasa tak jadilah nak jumpa dia. Hannah nak tarik balik untuk jadi isteri dia,” ujar Che Hannah perlahan.
“Eh, jangan buat hal Hannah. Hannah dah berjanji dengan Doktor Rizz tu. Dia tu nampak baik aje orangnya. Kalau Kak Su dapat dia, Kak Su takkan lepaskan. Dia tu handsome tau! Tak sangka akak yang sibuk nak cari jodoh, Hannah pula yang dapat naik pelamin dulu. Alah, bila ada lelaki nak melamar akak macam Doktor Rizz tu?”
“Kalau macam tu Kak Su ajelah kahwin dengan dia!” bidas Che Hannah.
“Kalau dia sukakan Kak Su, dah lama akak cakap I love you pada dia,” balas Suraya selamba.
Terus sahaja Che Hannah ketawa dengan kata-kata Suraya. Ragam Suraya selalu sahaja buat dia geli hati.
“Assalamualaikum.”
Mereka berdua tersentak sebaik terdengar suara memberi salam. Kalut Che Hannah dibuatnya sebaik melihat Rizz Fahim sudah berada di daun pintu yang sudah dibuka separuh. Suraya sudah tersengih-sengih memandang Che Hannah.
“Waalaikumussalam,” jawab Che Hannah malu-malu. “Er, Kak Su, Hannah keluar kejap. Pukul 1.00 nanti Hannah masuk balik.”
“Alah, lama sikit pun tak apalah. Puan Ju masuk nanti pandai-pandailah akak cakap Hannah ada hal,” balas Suraya.
Mendengar kata Suraya, Che Hannah menggigit bibir dengan perasaan geram. Kemudian dia berlalu keluar bersama Rizz Fahim. Debarannya semakin berombak kencang apabila lelaki itu tersenyum kepadanya dan menyaingi langkahnya.
“Kita nak makan kat mana Hannah?”
Suara Rizz Fahim yang bertanya membuatkan Che Hannah gementar. Lebih-lebih lagi apabila lelaki itu menyebut namanya. Kenapa tiba-tiba dia merasakan suara lelaki ini sangat gentleman pula? Sedapnya suara dia. Serak-serak seksi!
“Ikut awaklah. Tak payah jauh sangat. Pukul 1.00 saya dah janji nak temankan Kak Su makan.”
Rizz Fahim terdiam sejenak untuk berfikir ke tempat mana yang sesuai untuk mereka berbincang. Sempat dia mengerling Che Hannah yang kelihatan ayu dengan memakai skirt kembang biru gelap dengan blaus putihnya. Hari ini baru dia perasan Che Hannah adalah seorang gadis yang sangat comel.
“Kita makan Secret Recipe kat sana. Boleh?”
Terdiam Che Hannah sekejap apabila Rizz Fahim mahu mengajaknya ke kafe Secret Recipe. Makanan di situ harganya boleh tahan. Pernah sekali dia makan dengan Suraya untuk mencuba. Kalau hari-hari makan di situ, boleh pokai dia dibuatnya.
“Tak kisah. Mana-mana pun boleh,” jawab Che Hannah.
Kemudian mereka berdua melangkah ke arah kafe Secret Recipe tidak jauh dari Nona Florist.
Che Hannah mengekori Rizz Fahim yang memilih tempat untuk duduk. Selesai pelayan mengambil oder mereka, Che Hannah mula tidak senang berdua-duaan dengan Rizz Fahim begini. Kalaulah dia boleh ajak Suraya, tidak adalah dia terasa janggal berdua-duaan dengan lelaki ini. Ah, kalau Suraya ikut siapa mahu jaga kedai? Boleh kena balun dia dengan Puan Juliana nanti.
Che Hannah bermain-main dengan telefonnya. Bilalah lelaki di hadapannya ini mahu membuka bicara? Perlahan-lahan Che Hannah mendongak memandang Rizz Fahim. Menggelabah dia dibuatnya sebaik lelaki itu merenungnya. Mengancam benar renungannya. Renungan yang boleh membuatkan gadis jatuh cinta dengannya!
“Dah habis tengok telefon?” soal Rizz Fahim.
“Err... kenapa?” soal Che Hannah semula.
“Saya nak bincang tentang hal kitalah. Kalau awak sibuk, selesaikanlah dulu masalah awak dengan telefon tu,” ujar Rizz Fahim.
Che Hannah mengetap bibirnya. Dia perli aku ke? Kenapa dari awal tadi tak cakap nak bincang. Eee... buat aku malu aje!
“Awak nak cakap apa? Cakaplah,” balas Che Hannah.
Baru sahaja Rizz Fahim mahu membuka mulut, seorang pelayan sudah menghantar makanan kepada mereka berdua. Beef noodles soup dan Oreo milkshake menjadi pilihan Rizz Fahim. Nasi goreng Thai dan teh ais limau ditolak oleh Rizz Fahim kepada Che Hannah.
Oreo milkshake disedut oleh Rizz Fahim sebelum dia memandang wajah Che Hannah kembali. “Awak ni tinggi berapa?”
Che Hannah yang mahu meneguk minumannya tidak jadi berbuat demikian. Dia memandang Rizz Fahim yang sedang merenungnya. “148 sentimeter. Kenapa?”
“Patutlah saya nampak awak ni kecik. Masa budak-budak dulu tak suka makan kacang panjang eh?”
Bengang betul Che Hannah dengan kata-kata Rizz Fahim. Jumpa dia sekadar nak tanya ketinggian dia ke?
“Rendah ke, ketot ke, pendek ke, saya ni tetap comel. Awak tengok aje artis Mila AF tu, Sheila Majid, Nad Zainal tu. Mereka pun rendah, tapi mereka tetap kecil molek, mungil macam saya tahu!” hambur Che Hannah geram. Lantaklah kalau dia sudah terpuji dirinya sendiri.
Rizz Fahim tersenyum mendengar kata-kata Che Hannah. Sebenarnya dia sekadar bergurau dengan gadis di hadapannya ini. Tidak disangkanya, Che Hannah melenting pula. “Awak, janganlah marah. Saya minta maaf. Niat saya nak bergurau aje. Tak terniat nak sakitkan hati awak. Boleh saya tahu umur awak berapa?”
Tanpa menghiraukan pertanyaan Rizz Fahim, Che Hannah menyuap nasi goreng ke dalam mulutnya.
Rizz Fahim hanya tersenyum melihat gelagat Che Hannah di hadapannya. Comel betul gelagat Che Hannah yang menyuap makanan tanpa segan-silu di hadapannya. Tidak ada kontrol sana sini. Tidak seperti Asmidar yang selalu bersopan santun dengannya waktu makan. Susah dia hendak melihat Asmidar menghabiskan makanannya sampai licin ketika mereka makan di luar. Bimbang badannya akan naik.
Jauh beza benar dengan gadis di hadapannya kini. Che Hannah makan tanpa malu-malu dengannya. Rizz Fahim turut menyuap makanannya sebaik melihat tiada kata-kata daripada Che Hannah. Barangkali gadis ini sedang lapar. Fikirnya begitu.
Licin nasi goreng Thai dimakan Che Hannah, terus dia meneguk teh limau ais hingga separuh gelas. Perbuatannya itu diperhatikan oleh Rizz Fahim. Comel betul dia melihat Che Hannah ketika ini.
“Awak nak pesan apa-apa lagi? Dessert?” soal Rizz Fahim.
Che Hannah hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Mak saya cakap kalau makanan ada di depan mata, tak baik bercakap. Habiskan makanan tu dulu. Nanti saya jawab pertanyaan awak yang tadi tu,” balas Che Hannah.
Rizz Fahim tersenyum mendengar kata-kata Che Hannah. Oh, patutlah tadi bila dia tanya Che Hannah tidak menjawab. Padan muka kau Rizz Fahim. Rizz Fahim menyandar ke belakang kerusi sebaik selesai dia menghabiskan makanannya. Kemudian dia memandang Che Hannah untuk mendengar bicara gadis itu.
“Umur saya 20 tahun. Awak?”
“Oh, muda lagi... Saya 30 tahun. Jadi, umur kita berbeza 10 tahunlah, kan?”
Che Hannah memandang Rizz Fahim yang tersenyum ke arahnya. Jauh benar beza umur mereka. Jangkaannya Rizz Fahim hanya empat atau lima tahun lebih tua daripadanya.
“Hujung minggu ni saya nak awak balik kampung saya dan jumpa keluarga saya.” Serentak kata-kata itu terkeluar dari mulut mereka berdua.
“Tak! Hujung minggu ni awak kena jumpa emak saya. Nanti dia cakap saya bohong pulak!” tempelak Che Hannah.
“Saya pun dah janji dengan keluarga saya nak kenalkan awak kepada mereka. Sepatutnya minggu lepas saya bawa calon menantu untuk mereka. Kalau minggu ni saya tak jadi bawa awak balik habislah saya kena balun dengan nenek!”
Tercengang Che Hannah dengan kata-kata Rizz Fahim. Apa kena-mengena pula lelaki ini dengan neneknya?
“Apa kena dengan nenek awak pulak?”
“Nenek saya ni lain sikit. Dia memang tegas. Kalau dah itu kata dia, tak boleh nak bangkang lagi,” jelas Rizz Fahim.
“Tapi, saya pun nak jaga hati emak saya juga. Takkan saya nak tipu dia,” bahas Che Hannah pula.
“Habis tu macam mana?” soal Rizz Fahim.
“Balik kampung saya.” Keras kedengaran suara Che Hannah.
“Tak boleh. Kampung saya dulu!” protes Rizz Fahim.
“Saya dulu!”
“Kita belum kahwin lagi, dah bergaduh pasal nak balik kampung siapa dulu. Kalau dah kahwin berperang sakanlah nampaknya,” tutur Rizz Fahim lembut.
Kata-kata Rizz Fahim membuatkan wajah Che Hannah diserbu darah merah. Malu pula apabila Rizz Fahim menegurnya begitu. Sudahlah suaranya itu serak-serak seksi. Lagi lembut bercakap makin buat aku parah aje, desis Che Hannah dalam hati.
“Okey, kita undi,” kata Che Hannah untuk menghilangkan rasa malunya tadi. Duit syiling 50 sen berwarna perak yang berada di dalam dompetnya dikeluarkan.
“Awak nak wau bulan ke bunga raya?” soal Che Hannah lagi.
Berkerut Rizz Fahim memandang duit syiling 50 sen yang berada di atas mejanya. “Nak buat apa pula dengan duit syiling ni?”
“Nak putarlah. Okey awak wau bulan saya bunga raya. Bila syiling ni berhenti berputar kita tengok dia berhenti di permukaan mana,” jelas Che Hannah.
Mahu tergelak Rizz Fahim dengan tindakan Che Hannah. Sabar sajalah dia dengan gadis muda 20 tahun ini. Macam budak-budak! Namun, ditahannya kerana bimbang gadis di hadapannya ini merajuk pula dengannya. Tidak jadi pula dia membawa balik bakal menantu untuk ditunjukkan kepada keluarganya nanti.
Duit syiling yang diputar Che Hannah berhenti di permukaan wau bulan.
“Yahu...” Apalagi, menjerit Rizz Fahim sambil badannya menari-nari.
“Awak, tak malu ke orang tengok?” tegur Che Hannah.
Beberapa orang pelanggan kafe Secret Recipe sudah memandang mereka. Rizz Fahim pun satu, boleh menjerit dan menggoyang-goyangkan badannya pula. Tak malu betul!
Rizz Fahim tersengih menayangkan gigi bersihnya yang tersusun rapi. Malu pula dia apabila ada pelanggan di situ sudah tersengih-sengih ke arahnya. Manalah dia tidak gembira apabila dia yang menang dengan undian yang dibuat oleh Che Hannah tadi?
“Okey, saya dah menang. Hujung minggu ni awak balik ke kampung saya,” kata Rizz Fahim gembira.
“Tak boleh! Saya dah janji dengan emak saya. Takkan saya nak tipu dia!” Keras Che Hannah bersuara.
“Tapi, awak yang minta kita buat undian ni. Dan saya dah menang,” kata Rizz Fahim lagi.
Che Hannah mengeluh. Dia tidak mahu mungkir janji dengan emaknya. Kalau dia tidak membawa pulang Rizz Fahim hujung minggu ini, pastinya Puan Zaharah akan menganggap dia sengaja mencipta alasan begitu.
“Kalau saya tak bawa awak jumpa emak saya minggu ni, saya akan kahwin dengan duda kampung saya,” kata Che Hannah mendatar. Wajahnya sudah ditundukkan. Dia mula gelisah.
Rizz Fahim terdiam mendengar kata-kata Che Hannah. Baharulah dia tahu kenapa Che Hannah tiba-tiba menerima lamarannya. Tidak terlintas pula di fikirannya untuk bertanyakan hal itu tadi. Nampaknya, mereka memang saling memerlukan untuk menolong antara satu sama lain.
Dia tahu ikatan perkahwinan ini bukan main-main. Tetapi, dia akan berusaha untuk menjadi suami dan mencintai Che Hannah. Walaupun, perasaannya terhadap Asmidar masih ada, dia akan cuba mengikis cinta gadis itu daripada hatinya.
“Apa kata kalau Sabtu ni awak ikut saya jumpa famili saya? Hari Ahad kita akan sama-sama ke kampung awak jumpa emak awak?” cadang Rizz Fahim.
“Tapi, Sabtu saya kerja,” balas Che Hannah.
“Saya pun kerja Sabtu. Tugas saya lagilah banyak kat hospital tu. Kita minta cuti. Boleh, kan?”
Che Hannah memandang Rizz Fahim yang tersenyum ke arahnya. Mahu dia terjatuh dari kerusi melihat senyuman manis menggoda lelaki di hadapannya kini. Ya Allah, kenapa dengan aku ni? Kenapa tiba-tiba kemaruk dengan dia?
“Okey, saya setuju,” kata Che Hannah.
Saki-baki minumannya dihabiskan. Tidak sanggup dia melihat renungan Rizz Fahim lagi. Kenapa dia terasa menggoda sangat?
“Saya dah lambat ni. Nanti majikan saya masuk pukul 1.00,” beritahu Che Hannah.
Rizz Fahim mengangguk lalu beredar ke kaunter untuk membuat bayaran. Kemudian dia bersama-sama Che Hannah menuju keluar.
“Tak apa, saya boleh balik kedai sendiri,” kata Che Hannah.
“Macam tak nak ajak saya jalan bersaing aje. Saya parking kereta saya depan kedai awak tadi,” balas Rizz Fahim.
Wajah Che Hannah mula kemerah-merahan menahan malu. Kenapalah hari ini dia asyik mendapat malu sahaja di hadapan Rizz Fahim?
“Hannah, nama penuh awak apa?” soal Rizz Fahim apabila mereka sudah hampir di hadapan Nona Florist.
“Che Hannah binti Che Halim.”
“Saya Rizz Fahim bin Iswadi. Salam perkenalan daripada saya. Terima kasih sudi terima saya menjadi suami awak. Saya janji akan jaga awak baik-baik lepas kahwin nanti. Saya harap lepas kahwin nanti kita saling belajar untuk mencintai satu sama lain,” ujar Rizz Fahim.
Che Hannah teguk air liur sebaik mendengar kata-kata lelaki di sebelahnya ini. Kaku dia seketika. Suaranya pula sudah terlekat di kerongkong. Wajah Rizz Fahim dipandangnya. Jelas mata lelaki itu merenungnya.
Eh, apa aku nak jawab ni? Takkan aku nak jawab kasihmu aku terima? Eh, nak ucap terima kasih juga kepada dia ke tak ni? Yalah, sebab sudi jadi suami aku. Suami?
“Saya pergi dulu, dah lewat ni. Jangan lupa Sabtu ni. Nanti saya nak ambil awak kat mana?”
“Err... Nanti saya mesej awak,” balas Che Hannah.
“Okey, saya pergi dulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,” jawab Che Hannah lembut.
Sebaik sahaja bayangan Rizz Fahim hilang, terus Che Hannah menarik nafas lega. Entah kenapa saat ini dia merasa gementar dengan bicara Rizz Fahim tadi.
“Saya Rizz Fahim bin Iswadi. Salam perkenalan daripada saya. Terima kasih sudi terima saya menjadi suami awak. Saya janji akan jaga awak baik-baik lepas kahwin nanti. Saya harap lepas kahwin nanti kita saling belajar untuk mencintai satu sama lain.” 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan