Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 5 Ogos 2016

Abang Sado Hati Jambu - Bab 6

Tajuk: Abang Sado Hati Jambu
Penulis: Aunie Ayunie
ISBN: 978-967-365-271-6
Harga: RM26.00 / RM29.00
Untuk melanggan WhatsApp 019-6128069

YUZMA melemparkan beg tangan dan briefcasenya ke atas meja. Hatinya masih bengkak dengan perangai Hayyad. Sampai di pejabat tadi, dia suruh Hayyad tunggu di tempat parkir itu sahaja, tapi lelaki itu degil nak masuk pejabat juga. Macamlah dia tak tahu jalan masuk pejabatnya sendiri.
Yuzma berpaling memandang Hayyad yang masih setia membuntutinya.
“You boleh tak jangan buat I malu? Sebelum ni, tak ada pun pengawal I yang berani ikut I masuk ofis tau? You ingat I budak-budak ke?” Yuzma rasa pipinya macam tebal 14 inci bila semua stafnya tersenyum simpul melihat Hayyad yang mengekorinya masuk ke pejabat. Ada juga yang berbisik-bisik sesama sendiri.
Gosip liarlah tu! Hayyad ni pun satu hal juga. Apa sahaja yang dia cakap, satu pun dia tak nak ikut. Asyik membangkang saja yang dia tahu.
“Sebab cik bukan budak-budaklah saya kena ikut cik ke mana aje cik nak pergi. Kalau tidak, takkanlah ayah cik nak pening kepala pasal cik, kan? Kalau dah tahu diri tu dah tua bangka, jangan buat perangai tak senonoh. Menyusahkan orang!” jawab Hayyad acuh tak acuh.
Dia memilih untuk duduk di atas sofa mewah yang terletak di sebelah kanan ruang pejabat yang luas itu. Telefon bimbit dikeluarkan dari kocek seluarnya. Bibirnya mengorak senyum sebaik sahaja dia melihat skrin telefon. Terus hatinya berlagu irama cinta.
“Siapa yang tua bangka? Cakap tu baik-baik sikit. I baru 27 tahun tahu tak? I pun tak tahu apa yang ayah I nampak daripada you ni. Mulut macam longkang. Menyakitkan hati I aje.” Yuzma menengking lagi.
Reaksi bersahaja Hayyad membuatkan hatinya bertambah geram. Dia mendekati Hayyad yang sedang sibuk membelek telefonnya.
“Dia nampak apa yang cik tak nampak! 27 tahun tu dah boleh jadi mak orang tahu tak? Bukan keluar masuk kelab macam orang tak ada agama. Ingat saya ni tak ada kerja lain ke selain daripada jadi pengawal peribadi cik?”
“Habis, ingat I hadap sangat nak you tu jadi bodyguard I? I lebih rela terkurung dalam bilik I tu daripada tengok muka you ni!”
Hayyad mencebik. Macamlah aku sudi nak tengok muka dia tu. Muka saja lawa, tapi adab sopannya ke laut, getus Hayyad dalam hati. Dia terus membelek telefonnya. Malas mahu melayan kerenah Yuzma yang memang tidak terlayan olehnya.
Hi, dear!”
Mereka berpaling serentak ke arah pintu. Yuzma terus tersenyum melihat teman baiknya merangkap penolong peribadinya.
“Hai, Abby. Masuklah.” Yuzma tersengih lebar. Dia bergerak ke arah mejanya dan Abby turut melangkah ke situ.
Hayyad menutup mulutnya dengan tapak tangan. Abby? Hahaha! Dia ketawa geli hati. Apatah lagi dia melihat betis Abby yang berbulu. Abby memakai seluar ketat yang menampakkan bahagian itu. Aduhai, kenapalah dia boleh terserempak dengan makhluk yang lembut lemah gemalai ni?
“Awalnya kau masuk ofis hari ni, nok? Kau mimpi apa semalam? Terkejut betul aku bila Krisha beritahu yang kau dah ada dalam ofis sebelum pukul 10.00,” kata Abby dengan lenggok suara yang lembut dan mungkin dia cuba mengawal sebaik mungkin.
Takut agaknya suara garaunya terkeluar, fikir Hayyad yang memerhatikan sahaja Yuzma dan Abby yang sedang berpelukan dan berlaga pipi itu. Isy, bukan muhrim! Tak reti agama langsung ke dia orang ni?
“Cik Yuzma, maaflah kalau cik tersinggung, tapi cik dengan si Abby ni tak boleh berpeluk macam tu. Walaupun dia ni lembut, tapi dia tetap lelaki,” ujar Hayyad mendatar.
Sambil itu, dia cuba menahan ketawa melihat reaksi mereka berdua. Mulut ternganga dan mata terbeliak. Sentap agaknya.
“Siapa ni, nok? Handsome. Walaupun mulut celopar.” Abby memerhatikan lelaki yang menegur mereka tadi.
“Kau rasa?” Yuzma mengeluh perlahan.
Dia menghenyakkan punggungya di atas kerusi CEO miliknya. Dia mengerling Hayyad sekilas. Terus perasaan benci mencurah-curah dalam hatinya terhadap lelaki itu.
“Ermm...” Abby memutarkan matanya ke atas. Berfikir sejenak.
Bodyguard baru kau ke, nok?” teka Abby teruja.
Yuzma mengangguk perlahan. Tapi, yang dia tak suka ialah reaksi Abby yang agak melampau itu. Tersengih-sengih macam kerang busuk. Nak mulalah penyakit gatalnya tu! Pantang nampak lelaki sado sikit mulalah nak menggeletik tak menentu. “Habis tu siapa lagi kalau bukan bodyguard aku.”
Handsomenya nok! Siapa nama dia? Tegap, maco...” Abby mula mengatur langkah mendekati pengawal peribadi Yuzma.
Hi, handsome! Nama I Abby.” Lelaki lembut itu menghulurkan tangan untuk bersalam.
Hayyad sedikit teragak-agak. Mana tidaknya, senyuman Abby tu nampak lain macam. Macam orang gila seks pun ada juga. Haisy, meremang pula bulu romanya. Ngeri!
“Saya Ameer Hayyad. Panggil Hayyad,” jawab Hayyad dan huluran tangan Abby disambut lambat-lambat.
“Hayyad? Cantik nama tu... Macam you jugak! Handsome.” Abby tersengih menayangkan giginya yang nampak putih dan teratur.
Hayyad sekadar mengangguk. Lantas, tangannya meraba pipi. Belum pernah dia dipuji begitu oleh seorang lelaki lembut. Dia tak pasti nak rasa bangga atau nak termuntah. Tapi, dia tetap melebarkan senyumannya.
“Abby, kau jangan layan sangat dia tu. Buat sakit hati aje.” Yuzma menceceh dengan mimik muka yang menjengkelkan.
Dia menekan interkom dan terdengar suaranya memberikan arahan kepada setiausahanya, Ammar Yasser.
“Eh, kau ni dah kenapa Yuzma? Macam orang meroyan aje! Okey apa ada bodyguard yang handsome macam ni. Setidak-tidaknya taklah semak sangat mata kau tu, kan?” tukas Abby membuatkan Hayyad mengangguk laju.
Setuju sangat dengan kata-kata itu. Suka pula dia melihat muka cebik Yuzma.
Belum sempat Yuzma menjawab terdengar ketukan di pintu beberapa kali. Yuzma memberikan arahan, kemudian wajah Ammar muncul di situ. Wajah Ammar kelihatan kelat dan ketat.
“Ya, Cik Yuzma? Ada apa hal Cik Yuzma nak jumpa saya?” tanya Ammar takut-takut.
Tapi, sempat lagi dia melambai kepada Hayyad. Tak sangka pula Hayyad boleh buat Cik Yuzma masuk awal ke pejabat. Sebelum ini jangan haraplah nak tengok muka Cik Yuzma Khairunnisa’ di pejabat sebelum jam 2.00 petang.
“Amboi, sejak bila you dah jadi sopan ni? Sebelum ni, tak pernah pula you tanya soalan macam tu?”
“Sebelum ni, saya lupa nak tanya,” balas Ammar. Jawapan bodoh untuk soalan yang tak berapa nak bodoh.
“Banyaklah you punya lupa. I nak you jelaskan kepada I kenapa ayah I boleh upah adik you jadi pengawal peribadi I? Mesti you yang promote adik you ni, kan? Betul tak?” Yuzma terus menyoal garang.
Ammar menggelengkan kepalanya.
“Tak, cik! Saya telefon adik saya sebab Tan Sri suruh saya bawa cik keluar dari kelab malam tu. Tapi, saya sendiri tak tahu yang Tan Sri nak suruh adik saya jadi bodyguard cik. Betul!” jawab Ammar bersungguh-sungguh.
“You jangan tipu I, Ammar! Kalau tidak, I akan tukarkan you ke Johor. Nak?” ugut Yuzma lagi.
“Tak, Cik Yuzma. Saya tak tipu. Sumpah!” Ammar mengangkat tangannya paras telinga. Gerun dengan ugutan majikannya itu. Kalau kena tukar ke Johor, matilah dia!
“Memang kita orang tak tahu apa-apa pun. Tak payah nak buat tuduhan yang mengarut. Saya dengan along saya tak tahu pun yang ayah cik nak saya jadi pengawal peribadi cik. Faham?” Hayyad pula menyampuk. Tak habis-habis dengan isu yang sama.
“You diamlah! I tak cakap dengan you. I cakap dengan setiausaha I yang tak faham bahasa ni. Kan I dah cakap I tak perlukan sesiapa pun untuk jaga I. Kenapa susah sangat you nak faham?” Yuzma bingkas bangun dan bercekak pinggang. Matanya mencerlung ke arah Ammar.
Lelaki itu cuma tunduk. Tidak berani langsung nak bertentang mata dengannya.
“Maafkan saya, Cik Yuzma. Saya tahu saya salah, tapi Cik Yuzma pun salah juga. Cik Yuzma tahu tak dah berapa hari saya tak boleh tidur sebab Tan Sri asyik telefon saya tanya pasal Cik Yuzma? Lepas tu, dia marah-marah dengan saya. Kenapa saya yang kena marah pasal Cik Yuzma? Bukan saya suruh pun Cik Yuzma masuk kelab malam. Sebab tu, saya minta tolong adik saya,” jawab Ammar perlahan, tapi nadanya tegas. Lagaknya seperti tidak rela disalahkan seratus peratus.
Abby terangguk-angguk macam burung belatuk. Dia menghampiri Ammar. Bahu lelaki itu dipaut lembut. Tanda mahu memberi sokongan kepada sahabatnya itu.
“Yuz, kau tak payahlah nak marah sangat. Bukan hal besar pun. Macamlah kau tak biasa dengan semua ni. Kan dah ramai yang jadi bodyguard kau? Jangan marah Ammar lagi. Kesian dia, tau?”Abby menggosok-gosok bahu Ammar.
Ammar pula apalagi, beria-ia dia mempamerkan wajah seposen. Dah ada orang nak sokong kenalah buat muka teraniaya, kan?
“Eh, apa hal peluk-peluk along aku ni?” tegur Hayyad tidak senang dengan tingkah mereka berdua.
Memanglah mereka berdua lelaki, tapi entah kenapa Hayyad nampak janggal dengan aksi itu. Mungkin sebab Abby tu lelaki lembut.
“Kenapa? You pun nak I peluk you juga ke?” Abby tersengih manja.
Hayyad cepat-cepat menggeleng. Kus semangat...
“Okey, sudah! Kali ni, I lepaskan you. Lain kali kalau you terlibat dalam sebarang rancangan ayah I, siap you I kerjakan!”
“Terima kasih, Cik Yuzma. Saya takkan melibatkan diri dalam apa-apa rancangan Tan Sri nanti.” Ammar menabur janji yang tidak pasti.
Tapi, demi melepaskan diri daripada menjadi sasaran bebelan dan kemarahan Yuzma, dia sanggup berikrar palsu.
“Ialah tu! Sudahlah, kau orang berdua boleh keluar sekarang.”
Ammar dan Abby mengangguk dan mereka beriringan menuju ke pintu.
“You pun keluarlah! Tunggu apa lagi?” Yuzma memandang Hayyad yang masih tercegat di depannya.
Lelaki itu buat-buat tak dengar. Kalau dia keluar, dia nak lepak di mana? Dia bukan tahu sangat tempat-tempat di kota raya itu. Lebih baik dia melepak dalam pejabat gadis itu. Ada air-cond. Sejuk aje...
“Keluarlah...” Suara Yuzma sedikit menurun.
“Saya tak ada tempat nak pergi. Buatlah kerja cik tu. Bukan saya nak kacau pun.” Hayyad duduk kembali di atas sofa.
Telefonnya dibelek semula. Terus bibirnya menguntum senyum. Dia membalas kiriman WhatsApp daripada seseorang.
Yuzma cuma mampu mendengus kasar dan merenung Hayyad dengan pandangan benci. Memang lelaki itu tidak akan ikut arahannya. Apa sahaja yang dia suruh langsung tidak dituruti. Nampaknya kali ini dia bakal berdepan dengan masalah sebab pengawal peribadinya itu jenis yang susah untuk disogok.
Dalam dia melayan rasa sakit hatinya itu, pintu pejabatnya dikuak sekali lagi. Kali ini, wajah Yuzma berubah riak melihat lelaki yang sedang tersenyum kepadanya.
“Hai, sayang. Kenapa you tak tunggu I? Kan I dah cakap I nak jemput you di rumah?” Lelaki itu melangkah masuk ke dalam pejabat mewah itu dan dia mendekati Yuzma.
“I ada mesyuarat penting tadi sebab tu I kena datang awal,” jawab Yuzma berbohong tanpa secalit senyuman.
Dia melangkah setapak ke belakang bila Edrian begitu hampir dengannya. Rimas plus menyampah.
“Oh, ya ke sayang? Jadi, sekarang ni you dah habis meeting, kan? Apa kata kita keluar? Nak tak? Sebenarnya I rindukan youlah sayang. You tak pernah pun keluar dengan I sejak kita bertunang. You asyik mengelak aje bila I ajak you keluar.” Edrian mengelus pipi gebu Yuzma.
Walaupun dia tahu gadis itu tidak menyukai tindakan itu, tapi itu adalah caranya melayan seorang perempuan. Dia sudah terbiasa dengan cara begitu.
“I ada banyak kerja lagi, Edrian. Dan I rasa I dah beritahu you banyak kali dah yang I tak nak kahwin dengan you. Kenapa you susah sangat nak faham? I dah penat terkena tempias untuk setiap perbuatan bodoh you tu tahu tak?”
“Sayang, you masih marahkan I lagi ke? I tahu I dah buat salah dan I dah minta maaf dengan you, kan? I janji I takkan ulang lagi kesalahan I tu. Sekarang ni I dah jadi lelaki yang baik untuk you, sayang. Trust me, okay?” Edrian menggenggam tangan Yuzma dan dikucupnya tangan itu berkali-kali.
“Sudahlah, Edrian! I dah tak boleh nak teruskan hubungan ni dengan you lagi, faham tak? I dah cakap awal-awal yang I tak pernah ada apa-apa perasaan kepada you. I tak pernah cintakan you. I tak kisah you anak Tan Sri ke anak Datuk mana pun. Tapi, antara kita takkan pernah terjadi apa-apa pun,” tegas Yuzma untuk ke sekian kalinya.
Kalau dihitung sudah beribu kali dia mengulangi ayat yang sama. Tapi, lelaki itu langsung tidak mahu memahaminya. Tidak faham atau sengaja buat tak faham. Dia tak cintakan Edrian dan tak mungkin mereka boleh jadi pasangan yang bahagia.
“Sayang, I dah cakap kan yang I akan berubah untuk you. I takkan jadi playboy lagi. Kita boleh mulakan episod baru cinta kita, ya sayang?” Edrian tersenyum manis.
Lembut sahaja nadanya cuba untuk meyakinkan Yuzma tentang apa yang dia katakan tadi. Dia faham, Yuzma berhak untuk marah bila tahu tentang berita dia ditangkap khalwat dengan perempuan lain. Sebab itu dia akan cuba dapatkan kepercayaan gadis itu terhadapnya.
“Ini bukan pasal you berubah ataupun tak. Ini tentang hati I ni. I tak cintakan you Edrian! You tahu yang I dipaksa bertunang dengan you, kan? Sebab ayah I mungkin ada rancangan perniagaan dengan kompeni papa you. I tak boleh nak terima you dalam hidup I. Kalau you bukan playboy sekalipun tak mungkin I akan terima you. Faham tak?” Bulat mata Yuzma merenung lelaki yang cuma menayangkan riak selamba itu.
Yuzma mengeluh perlahan. Kalau sudah begitu reaksinya tentu penjelasannya tadi tidak berkesan.
Thats why I ask for one more chance. Then, Ill proof that Im not the same Edrian. I betul-betul cintakan you, sayang.” Edrian merayu lagi.
Dia tidak akan berhenti selagi dia tidak memiliki Yuzma secara zahir dan batin. Yuzma adalah satu-satunya gadis yang dia tidak boleh tundukkan. Pelbagai cara dia cuba, tapi dia cuma mampu menelan air liur dengan susuk tubuh seksi dan menggiurkan itu.
“Cik Yuzma, saya tunggu kat luar.” Hayyad yang sejak tadi menjadi pendengar dan pemerhati bersuara tenang.
Rasa tak sanggup pula dia nak menonton drama pujuk rayu mereka berdua. Itulah dia tunang Yuzma rupanya. Si Edrian yang menjadi punca pertengkaran Yuzma dan Tan Sri Mokhtar beberapa malam lepas.
Shit! Whos that guy, Yuzma? And why hes here?” Edrian buat muka tidak puas hati. Dia tidak perasan yang ada orang lain lagi dalam pejabat itu selain mereka.
Hes my bodyguard. Hayyad, you nak pergi mana? Tak payah keluar okey? Duduk aje kat situ.” Yuzma ketap bibir melihat Hayyad yang kelihatan terpinga-pinga dengan arahannya.
Sengal betul mamat ni! Kata bodyguard aku, tapi bila ada masalah dia nak elakkan diri pula, getus Yuzma lagi.
“Tapi...” Hayyad serba salah.
Takkanlah dia kena jadi penonton pula? Tadi bukan main lagi suruh dia keluar, sekarang dah terbalik pula.
“Duduk ajelah! Jangan banyak tanya.” Desak Yuzma lagi tidak mahu ditinggalkan dengan Edrian.
Hayyad mengangguk perlahan. Akur dengan arahan itu memandangkan wajah Yuzma kelihatan sedikit pucat.
Bodyguard you?” Edrian agak terkejut dengan kenyataan itu.
Lelaki itu nampak tegap dan sasa. Memang sesuai jadi pengawal peribadi Yuzma, tapi apa yang kurang menyenangkannya ialah rupa paras lelaki itu yang kacak. Full package!
“Ya,” jawab Yuzma sepatah.  
“Bila pula you ada bodyguard baru ni? Dulu you cakap yang you tak perlukan pengawal peribadi.” Edrian mula curiga. Ada riak cemburu sedang menular pada wajahnya.
“Itu dulu. Sekarang I rasa I memang perlukan bodyguard untuk elakkan diri I daripada gangguan you,” jawab Yuzma berterus terang.
Edrian ketawa besar. Dia suka dengan sikap sombong gadis itu. Dia suka bila Yuzma menolaknya terus-menerus kerana itulah yang menjadikan Yuzma berbeza dengan semua gadis yang pernah dikenalinya. Sebab itu juga dia mahu terus memikat dan memiliki hati Yuzma. Dia yakin, dia mampu untuk memiliki cinta gadis itu nanti.
“Okeylah, sweetheart. I rasa I kena keluar dulu sebelum you halau I dari sini. And before I leave I wanna say something to you. Youre the one that I want to spend my lifetime with. I know that Im not the perfect guy for you, but Ill look perfect if I have you besides me. Love you...” kata Edrian penuh romantis. Senyuman menggoda dilemparkan kepada Yuzma.
Edrian menoleh, memandang Hayyad beberapa saat sebelum melangkah keluar dari pejabat itu. Terdengar lelaki itu bersiul girang.
Yuzma merengus kasar selepas kelibat Edrian hilang daripada pandangan mata. Terus dia menghenyakkan punggungnya di atas kerusi empuk itu. Edrian boleh buat ayat puitis sebanyak mana pun yang dia mampu, tapi hatinya tidak pernah terbuka untuk menerima lelaki itu.
Jarak waktu yang diberikan oleh ayahnya juga semakin hari semakin mendekat. Dia tidak mahu menjadi isteri Edrian. Mati hidup semula pun dia tidak mahu! Kenapa susah sangat ayahnya nak faham? Yuzma menekap tangan di dadanya. Ada rasa sebu di situ. Air matanya tiba-tiba menuruni pipi.
“Cik Yuzma okey ke?” tanya Hayyad. Dia memang tak boleh tengok orang menangis. Mulalah hatinya tersentuh.
“You jangan sibuk boleh tak? Kenapa semua lelaki dalam dunia ni pentingkan diri sendiri? Kenapa susah sangat nak faham tentang kehendak perempuan macam I ni? Ayah, Edrian dan you! Semua sama! Tak pernah faham perasaan I!” bentak Yuzma tiba-tiba dengan tangisan yang semakin meninggi. Dia menyembamkan mukanya di meja dan bahunya terhinggut-hinggut mengikut irama tangisannya.
Hayyad terkedu sendirian. Aik, aku pulak yang kena? gumam Hayyad dalam hati. Niat di hati nak juga menjawab, tapi dia tak sampai hati pula. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Sudahnya, dia cuma memandang Yuzma dengan pandangan simpati. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan