Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 29 Januari 2016

Lelaki Penuh Kejutan - Bab 3

KAMAL memerhati sekeliling pejabat mencari kelibat Nuha. Sudah pukul 11.00 pagi masih belum masuk kerja? Apa kes ni? Ingat pejabat sendirian berhad ke? Matanya kemudian berkalih ke pintu apabila dikuak seseorang dari luar. Ha, panjang pun umur budak ni. Dia menunggu Nuha datang mendekatinya.
Nuha menutup pintu perlahan-lahan. Dadanya berdebar-debar mahu menghadap bos yang sedang bercekak pinggang memandangnya.
“Assalamualaikum, Encik Kamal. Maaf, sa... saya lambat sikit,” sapa Nuha sedikit menggeletar. Sejuk habis kedua-dua belah tangannya.
Kamal tengok jam. Selepas itu tengok Nuha semula. “Sikit? Cuba tengok jam dah pukul berapa sekarang?”
“11.02 pagi.”
“Masuk kerja lewat dua jam lebih awak cakap lambat sikit?” soal Kamal sambil mengangkat kening tinggi.
Nuha menggigit bibir. Takut-takut dia hendak bertentang mata dengan Kamal.
“Err... Encik Kamal, saya minta maaf lagi sekali. Hari ni teksi...” Belum sempat menjelaskan sampai habis, Kamal memotong laju.
“Tak habis-habis dengan teksi. Itu ajelah alasan awak kalau masuk kerja lambat. Semua nak salahkan teksi. Teksi rosaklah. Teksi meletuplah...”
“Bila masa pulak teksi saya naik meletup?” tanya Nuha sambil mengerut muka. Kalau meletup dia tidak kerja dekat sini dah. Mungkin sudah duduk di dalam kubur.
Kamal berdeham.
“Tayar meletup,” ujarnya membetulkan semula kata-kata. Ah, samalah tu. Kategori meletup juga.
“Bukan kehendak saya semua tu berlaku, Encik Kamal.”
“Dah tu, hari ni teksi awak naik ada masalah apa pulak?” Kamal berpeluk tubuh. Bersiap sedia hendak memasang telinga mendengar alasan Nuha. Tak apa, beri peluang.
“Minyak habis,” kata Nuha.
Kening Kamal terjongket lagi. “Ia ke? Entah betul ke tidak?”
“Betul, Encik Kamal. Saya tak tipu. Saya sendiri yang kena tolak teksi tu sampai ke stesen minyak. Habis berpeluh satu badan saya ni,” tegas Nuha bersungguh-sungguh. Hendak tunjuk bukti baju dia basah, sudah lama kering kena sedut dengan penghawa dingin teksi.
Kamal memandang Nuha lama. Kata-kata Nuha tadi seperti susah hendak percaya.
“Awak tolak teksi? Habis, drebar teksi tu buat apa?”
“Dia tolak jugak. Tapi, bila teksi tu bergerak, dia lepas tangan. Suruh saya tolak sorang-sorang.”
“Ada pulak perempuan yang kena tolak. Tak semenggah betul perangai macam tu,” kutuk Kamal.
Nuha mengangguk laju. Mengiakan kata-kata bosnya. “Itulah pasal, Encik Kamal. Nasib baik saya ni jenis kuat. Kalau tak, tak bergerak jugak teksi tu. Err, Encik Kamal janganlah marah ya? Macam inilah nasib orang yang tak ada kenderaan sendiri. Saya memang dah keluar awal tadi. Tapi, teksi tu yang datang lambat. Bila minyak habis, bertambah lambatlah saya.”
“Jadi, salah teksilah ni? Bukan salah awak?”
“Eh, tak... Maksud saya, pemandu teksi tulah. Dia yang lambat datang ambil saya. Lepas tu terlupa isi minyak pulak. Ha, memang dialah yang patut dipersalah dalam hal ni,” ujar Nuha tersengih-sengih.
Sekiranya ada salah dia pun mungkin satu persen sahaja sebab terlupa telefon pejabat memberitahu masalah yang dihadapinya.
Kamal bergumam. Apabila tengok Nuha membuat muka comel begitu, tidak jadi dia hendak marah lebih-lebih. “Dahlah, pergi buat kerja awak sekarang.”
“Baik, Encik Kamal. Terima kasih banyak-banyak sebab tak marah dekat saya.” Nuha bergegas masuk ke dalam bilik stor.
Fuh! Selamat aku. Dia menarik nafas lega.
Qistina yang mencuri dengar perbualan Kamal dan Nuha sebelum itu terus datang menghampiri abangnya sebaik Nuha berlalu.
“Abang ni berlembut sangat dengan si tukang sapu tu. Bila orang lain datang lambat, abang membebel. Giliran dia, abang pejam sebelah mata aje,” omel Qistina kurang senang.
Sudah lama dia perhati keadaan itu. Memang Kamal selalu memberi muka kepada Nuha. Menyampah!
Kamal mengerling Qistina.
“Dia datang naik kenderaan awam. Kenalah faham sikit,” balasnya.
“Eleh! Dia saja aje tu minta simpati. Sekali dua datang lambat bolehlah diterima. Tapi, kalau dalam sebulan dekat 10 kali, itu namanya ambil kesempatan,” cemik Qistina.
“Aduh!” Tiba-tiba dia mengaduh kuat apabila terasa punggungnya disondol sesuatu. Terus dia berpaling. Matanya membuntang.
“Maaf, Cik Qistina. Saya tak sengaja. Batang penyapu ni panjang sangat. Tak sangka pulak terkena punggung cik,” kata Nuha sambil tunduk.
Qistina mengetap gigi. “Kau ni memang sengaja kan nak kenakan aku? Punyalah banyak tempat kat dalam ofis ni. Tapi, kat tempat aku berdiri ni jugak kau sibuk nak sapu!” tengkingnya sambil mendengus.
Nuha melempar tisu di atas karpet secara curi-curi.
“Dah dekat sini ada sampah. Saya sapulah dekat sini dulu,” balas Nuha selamba lalu menyapu tisu tadi masuk ke dalam penyodok.
Qistina menjeling Kamal. Kamal hanya menjongket bahu. Dia bertambah geram. Bukannya hendak tolong bela adik sendiri kena buli dengan tukang sapu. Tanpa menunggu lebih lama, dia terus pergi ke mejanya.
Nuha tahan ketawa. Padan muka! Memang dia sengaja pun mengenakan Qistina tadi. Dasar batu api sangat. Kerjanya setiap hari asyik menghasut bos supaya bencikan dia sahaja.
“Nanti dah habis sapu lantai, tolong bersihkan pantri ya. Lap semua meja dan singki. Lepas tu, macam biasa. Buatkan secawan kopi sedap untuk saya,” pesan Kamal tersenyum.
“Baik, Encik Kamal.” Nuha mengangguk.

FADIL singgah sebentar di sebuah kafe siber. Iklan yang dia dengar di radio Boom FM tadi begitu menarik perhatiannya. Maklumat lokasi uji bakat dicari. Dia tersenyum.
“Bagus. Dah dekat sangat lokasi ni dengan tempat aku. Senanglah sikit aku nak pergi nanti. Memang confirm aku join!” kata Fadil teruja. Usai membaca semua syarat yang dinyatakan, dia terus print borang penyertaan.
Selepas itu dia ke kedai baju bundle Herman pula. Tidak sabar hendak beritahu Herman pasal hasratnya itu. Di hadapan kedai sahabat karibnya itulah dia sering melepak sambil busking dengan kawan-kawan dari pagi sampai ke malam.
Fadil memarkir kereta tidak jauh dari kedai Herman. Herman yang melihat Fadil datang dengan teksi terus menjadi terpinga-pinga.
“Hai, ni datang dengan teksi, motosikal kau mana?” soalnya. Tidak pernah pula Fadil datang ke kedai dia naik kereta.
“Ada dekat rumah. Aku pergi hantar orang tadi,” balas Fadil.
“Kau jadi drebar teksi pulak ke sekarang?”
“Tak ada maknalah. Kau ingat aku suka sangat ke pergi ke hulu hilir bawa orang? Pusing sana, pusing sini. Tak ada cabaran langsung. Ayah aku tulah. Tadi dia minta tolong aku hantar pelanggan dia pergi kerja. Kalau tak tolong, karang aku ni dianggap anak tak dengar cakap orang tua pulak.” Panjang lebar Fadil memberi penjelasan kepada Herman.
Herman tersengih. “Bukan sebab kau takut dengan ayah kau ke?”
“Bukan takutlah. Hormat,” nafi Fadil. “Gitar kau mana, Man? Aku nak pinjam sekejap. Nak praktis nyanyi sikit ni sebab tak lama lagi aku nak masuk pertandingan menyanyi.”
Mata Herman terjegil. Terkelip-kelip dia merenung Fadil bersama mimik muka tidak percaya. Dia salah dengar ke ni?
“Apa, Fad? Kau nak masuk pertandingan menyanyi?”
Fadil mengangguk. Borang yang diselit di poket belakang jean ditarik lalu dihulur kepada Herman.
“Ha, kau tengok ni. Rancangan realiti TV, Oi! Meletup Kau! tengah cari peserta untuk musim ketiga. Aku nak masuk pertandingan nilah,” nyata Fadil.
Kemudian dia masuk ke dalam kedai, mengambil gitar. Lambat sangat hendak tunggu Herman pergi ambil. Senang-senang pergi ambil sendirilah.
Herman membaca semua maklumat yang terdapat pada borang. Apabila Fadil keluar semula, dia terus bertanya, “Kau serius ke ni, Fad?”
“La... Apasal pulak kau tak percaya? Ni aku dah siap print borang penyertaan lagi ni. Maknanya aku memang seriuslah nak join. Kali ni aku nak cuba cabar diri aku menyanyi depan juri pulak. Nak tengok sejauh mana keberanian aku. Asyik busking tepi jalan aje. Apa salahnya improve diri sendiri. Baru orang nampak bakat terpendam aku ni.” Fadil tersenyum. Tali gitar dipetik-petik, membuat warming-up jari-jemari.
“Uisy, Fad! Kalau kau terpilih, memang glamorlah kau nanti. Bertanding masuk dalam TV tu. Kalau ada rezeki jadi juara, fulamak! Terus jadi artis. Kalau macam tu, aku sokong kau masuk pertandingan ni. Nanti aku buat sepanduk untuk kau sebagai sokongan,” kata Herman, teruja.
Bakat Fadil sememangnya tidak boleh dipertikai. Sepanjang mengenali lelaki itu, memang dia tahu kelebihan Fadil yang boleh menyanyi dan bermain alat muzik.
“Bila aku dah jadi artis, aku lantik kau jadi pengurus aku. Amacam? Kau bayangkan, Man. Bila nama aku jadi sebutan, jadi glamor... dengan kau sekali jadi terkenal nanti.” Fadil tersenyum memandang Herman.
Kemudian dia berdiri di depan kedai Herman dan mula memetik gitar. Tanpa menghiraukan orang lalu-lalang di sekitar kaki siar kawasan itu, dia mula menyanyi.

FAKRIE berjalan ke tempat parkir. Dia baru sahaja selesai berjumpa klien di sebuah restoran. Ketika hendak masuk ke dalam kereta, dia terpandang sebuah kereta yang diparkir selang sebuah daripada keretanya. Niat tadi terus dibatalkan. Dia pergi memastikan nombor pendaftaran kereta tersebut.
“Eh, ini teksi ayah aku. Apa pulak dia buat dekat sini?” tanya Fakrie kepada diri sendiri. Matanya melilau-lilau mencari kelibat Pak Awi, tetapi tidak jumpa.
Pandangannya ditarik pula ke arah sekumpulan orang ramai yang berdiri di hadapan sebuah kedai. Sayup-sayup terdengar bunyi orang menyanyi. Dia berfikir sejenak. Entah-entah Fadil yang bawa teksi ni. Apabila pergi menjenguk di celah-celah orang ramai, dia melihat Fadil begitu asyik menyanyi sambil memetik gitar.
“Budak ni memang suka betul buang masa. Cari kerja malas. Melalak macam tu dia sukalah sangat. Malu betul aku ada adik macam kau ni, Fadil!” gerutu Fakrie.
Sekeliling kawasan itu diperhati. Dapat dilihat semua orang teruja mendengar Fadil menyanyi. Siap mengambil gambar dan merakam video lagi.
“Hairan betul aku. Suara sumbang macam tu pun ramai jugak yang dengar dia menyanyi? Tak sakit telinga ke?” Fakrie terus membebel-bebel.
“Apa abang cakap?”
Fakrie tersentak apabila seorang remaja lelaki di sebelahnya menegur.
“Aku cakap suara penyanyi tu tak sedap. Sumbang banyak!” katanya tidak berselindung. Dah memang pada pendengarannya suara Fadil tidak sedap. Takkanlah dia hendak puji pula.
“Eh, mana ada sumbang. Saya suka dengar abang tu menyanyi. Suara dia power. Macam ni!” Remaja itu mempamer isyarat bagus sebelum menyambung lagi. “Kalau dia jadi penyanyi, saya orang pertama yang akan beli album dia.”
Rahang Fakrie terasa seperti hendak patah mendengar kata-kata itu. “Orang tak ada masa depan macam tu kau nak support? Tak payahlah, dik. Tak ada faedah langsung.”
Remaja itu mengerut muka memandang Fakrie. “Abang ni ada masalah ke dengan abang tu? Dari tadi lagi saya dengar abang duk kutuk dia aje. Dia ada sakitkan hati abang ke?”
“Hati aku ni memang selalu sakit dibuat dia. Kau apa tahu?” jerkah Fakrie seraya beredar.
“Gila punya orang,” kutuk remaja itu sambil menggeleng-geleng.
Fakrie masuk ke dalam kereta bersama hati yang dongkol. Terngiang-ngiang lagi pujian yang dia dengar tadi. “Huh, suara power konon. Aku dengar biasa aje pun. Bukan setakat biasa. Tapi, memang tak sedap langsung!”

NUHA mengetuk pintu bilik Kamal perlahan. Selepas mendengar sahutan bosnya memberi kebenaran masuk, dia terus memulas tombol pintu. “Kopi, Encik Kamal.”
“Hmm... Letak dekat situ aje.” Kamal berkata tanpa memandang Nuha.
Nuha teragak-agak hendak berbuat demikian. “Encik Kamal tak nak minum lagi ke?”
Kamal mendongak. Cermin mata bingkai hitam yang terlurut sedikit ke pangkal hidung dinaikkan.
“Awak tak nampak ke kerja saya berlambak kat depan ni?” soalnya.
“Err... Bukan apa, Encik Kamal. Kalau Encik Kamal tak nak minum lagi, saya letak kat meja sofa sana ajelah. Tumpah nanti, habis semua kerja Encik Kamal tu,” ujar Nuha. Dia pun bukan bodoh. Kalau tumpah, dia juga yang kena marah dan lap.
Bibir Kamal melorek senyum memandang Nuha. “Inilah sebabnya kenapa saya lebih suka awak yang buatkan air untuk saya. Awak ni memang seorang yang peka dengan keadaan sekeliling.”
Nuha tersipu-sipu malu menerima pujian Kamal. Namun, dalam hati dia menjerit kesukaan.
“Bukan sebab air yang saya buat sedap ke?” guraunya.
“Itu pun salah satu sebab jugak. Kalau macam tu saya minum teruslah.”
Nuha menghulur cawan. “Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu. Lagipun saya belum makan lagi ni.”
“Hari ni awak bawa bekal apa?” soal Kamal. Seperti yang dia ketahui, Nuha memang selalu membawa bekal datang ke pejabat.
“Kuih seri muka. Saya buat sendiri tau. Kalau Encik Kamal nak rasa, sekejap lagi saya hantar.”
“Hmm... boleh jugak.”
Nuha terus berpaling. Apabila sampai di muka pintu, dia tidak jadi keluar dan menghadap Kamal semula.
“Hah, kenapa pulak ni?” Kamal kepelikan melihat Nuha seperti serba salah.
“Err... Sebenarnya, saya baru teringat. Kuih tu tertinggal kat dalam teksi,” beritahu Nuha ralat. Aduh!
“La... Yang awak pergi tinggal siapa suruh? Tak apalah, Nuha. Tak ada rezekilah tu saya nak makan kuih hasil air tangan awak.”
“Eii! Ni semua salah si Fadil Ashraf tulah!” Nuha bersungut perlahan sambil mendecit. Berbakul-bakul dia mengutuk Fadil dalam hati.
Kamal mengerut muka. “Fadil Ashraf? Siapa tu?”
Nuha tersentak dan kembali memandang Kamal semula. Macam telinga lintah Kamal ni. Dengar sahaja dia bersungut.
“Fadil Ashraf tu drebar teksi yang hantar saya tadi.” Alah, macam mana ni? Janganlah mamat durjana tu ngap kuih aku. Penat aku bersengkang mata buat pagi-pagi buta.
“Fadil Ashraf tu tua ke muda? Bukan ke selama ni awak selalu naik teksi Pak Awi? Dah tukar teksi lain pulak ke?” Kamal cuba mencungkil rahsia.
Entah mengapa hatinya berasa lain macam apabila mendengar nama lelaki lain meniti bibir Nuha. Sedap pula bunyinya. Kalau Pak Awi, dia memang sudah sedia maklum orangnya berusia.
“Hari ni tak. Fadil Ashraf yang ganti. Fadil Ashraf tu anak kepada Pak Awi. Nak kata tua tak adalah sangat. Dia tua sikit aje daripada saya. Tapi, muda banyak daripada Encik Kamal,” cerita Nuha.
Dia tengok kad pengenalan Fadil tadi umurnya 28 tahun. Berbeza setahun sahaja daripadanya.
Handsome ke?”
“Boleh tahanlah.”
“Siapa lagi handsome? Saya ke dia?”
Terkebil-kebil Nuha memandang Kamal. Dah kenapa pula ni tanya soalan ala-ala cemburu sahaja? Ke Kamal nak suruh puji dia? Okeylah, puji sahajalah. “Eh, mestilah Encik Kamal lagi handsome. Lelaki lain mana boleh lawan handsome Encik Kamal.”
Mendengar pujian Nuha, Kamal tersenyum bangga. Lenyap terus perasaan cemburunya tadi. Kemudian dia menyeluk poket seluar dan keluarkan duit kertas 10 ringgit. “Kalau macam tu, awak ambil duit ni. Pergi beli kuih lain.”
Sekali lagi Nuha tergamam. Duit dan wajah Kamal dipandang silih berganti. “Be... Betul ke ni Encik Kamal bagi saya duit?”
“Ambil ajelah. Ni saya beri upah sebab awak puji saya handsome tadi. Termasuk buat air kopi yang sedap ni,” ujar Kamal sambil menggesa Nuha menerimanya.
Sekelip mata duit itu bertukar tangan.
“Alhamdulillah. Terima kasih, Encik Kamal. Semoga Encik Kamal bertambah handsome di masa akan datang. Saya keluar dulu ya,” ucap Nuha penuh girang.

AIR teh O di dalam muk dikacau perlahan-lahan. Nuha mengeluh berat apabila teringat kuih seri mukanya.
“Hisy! Macam manalah aku boleh terlupa nak ambil kuih tu tadi? Nak call tak tahu nombor pulak,” omel Nuha penuh ralat. Entah mengapa dia berasa nasibnya malang setelah berjumpa dengan Fadil.
Di luar pantri pula tanpa disedari Nuha, Qistina sedang memerhati gelagatnya bercakap seorang diri sebelum masuk menegur. “Amboi! Kau bodek bos eh tadi?”
Nuha terus berpaling. Terperanjat dia disapa secara mengejut begitu. Huh! Ada sahaja minah ni di mana-mana dia berada.
“Apa Cik Qistina cakap ni?” soal Nuha tidak mengerti.
Qistina mencebik. “Kau ingat aku tak nampak ke apa yang berlaku kat dalam bilik bos tadi?”
“Oh, jadi Cik Qistina menghendaplah ya?”
“Mana ada! Aku ternampak aje. Tak ada masalah aku nak buat kerja yang tak menguntungkan macam tu,” sangkal Qistina.
Nuha menjongket kening. Ni macam nak cari pasal dengan aku aje, gumamnya. “Apa yang Cik Qistina tengok tak sama dengan apa yang Cik Qistina fikir.”
“Alah, kau tak payah berlakonlah, Nuha. Aku tahulah kau ni kaki bodek. Datang lambat pun bos tak marah. Kalau orang lain, tak ada pulak dia macam tu. Lepas tu buat air siap dapat upah lagi.”         
“Bukan saya yang minta. Bos yang nak kasi.”
“Tapi, boleh aje kalau kau tolak, kan?”
“La... Kalau dah rezeki saya takkan nak tolak pulak? Musuh tu yalah. Memang terpaksa tolak sebab saya ni tak suka cari gaduh,” balas Nuha selamba. Mohon Qistina terasa!
Qistina menjulingkan mata ke atas. “Whatever!”
Nuha minum air tanpa menghiraukan Qistina. Tidak kuasalah dia hendak melayan perempuan senget macam Itu. Tiba-tiba bahunya terangkat apabila Qisitina menepuk meja kuat sambil meletak sekeping kertas kecil di atasnya.
“Lepas minum nanti aku nak kau cari fail ni. Aku nak semuanya hari ni.” Qistina menjeling Nuha sebelum keluar dari pantri.
Nuha membaca apa yang ditulis oleh Qistina mengenai nombor rujukan fail. Ini semua fail lama. Jenuhlah nak selongkar stor nanti. Huh, geram betul dia dengan adik Kamal ni. Berlagak nak mampus!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan