Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 13 Januari 2016

Cik Pemanis Hati - Bab 7

Bab 7
Tengku Dahlia tersenyum senang hati melihatkan kemunculan Adam di bilik pejabatnya seawal pagi tadi. Adam begitu kemas dan kacak dengan sut pejabat serba lengkap berwarna biru gelap itu.
Dia terkejut dan hairan dengan kehadiran awal cucunya itu memandangkan Adam meminta tempoh selama seminggu untuk berfikir. Baru beberapa hari berlalu, tetapi dia sudah membuat keputusan untuk mengambil alih jawatan CEO di Adam Group. Namun, Tengku Dahlia biarkan saja persoalan itu kerana baginya paling penting sekarang ialah Tengku Adam setuju untuk mengambil alih syarikat peninggalan arwah suaminya itu.
“Alhamdulillah. Tercapai juga satu-satunya permintaan opah supaya Adam ambil alih syarikat ini,” ujar Tengku Dahlia dengan senyuman yang sentiasa mekar sejak Adam muncul.
Adam tersenyum.
“Alhamdulillah, opah. Adam harap opah dapat merehatkan diri selepas ni. Serahkan aje semua hal syarikat kat Adam. Insya-Allah, Adam akan uruskan Adam Group ini sebaik-baiknya,” janji Adam penuh yakin.
“Bagus. Semangat inilah yang opah nak daripada kamu, Adam. Opah percaya Adam boleh uruskan syarikat ini sebaik arwah atuk dan ayah kamu.” Suara Tengku Dahlia berubah sayu apabila menyebut mengenai arwah suami dan anaknya.
Adam tertunduk sedikit mendengarkan kata-kata Tengku Dahlia. Hatinya berubah sayu mengingatkan arwah atuk dan ayahnya.
“Ayah kamu selalu cakap dengan opah yang kamu tak akan hampakan harapan kami untuk terajui Adam Group ini. Alhamdulillah, kata-katanya itu menjadi kenyataan hari ini. Opah bersyukur sangat, Adam. Opah memang hanya ada kamu, Adam. Terima kasih, Adam, sebab tak hampakan opah,” ucap Tengku Dahlia lalu memegang kedua-dua belah tangan Adam.
Adam terpaku. Dia merenung mata sayu Tengku Dahlia. Dalam hatinya terus terbit perasaan insaf dan bersalah kerana selama ini dia hanya mementingkan dirinya sendiri serta selalu mengelak untuk menerima tanggungjawab sebagai CEO Adam Group.
Dia juga tidak menyangka secepat ini dia membuat keputusan untuk menjadi CEO Adam Group. Salah satu punca dia membuat keputusan lebih awal daripada dirancangkan ialah disebabkan sesuatu. Sesuatu yang membuatkan dia terpaksa menepikan kedegilan hati untuk menjadi CEO Adam Group. Kalau bukan disebabkan perkara itu, memang cukup seminggu dia memikirkan pelbagai langkah untuk mengelak menjadi CEO Adam Group.
“Opah jangan risau ya. Opah rehat aje kat rumah atau opah pergi bercuti. Dah lama opah tak pergi bercuti kan sebab kena jaga Adam Group ni? Adam kan dah ada kat sini. Jadi, urusan syarikat serahkan aje kat Adam.” Adam cuba meyakinkan Tengku Dahlia dengan janjinya.
Tengku Dahlia terangguk-angguk kecil mendengarkan janji Adam. Dia melepaskan pegangan pada tangan Adam.
“Yalah. Opah percaya dengan kamu, Adam. Jadi, kalau ada apa-apa, tanya Encik Samad. Dia akan terangkan semuanya yang terkini tentang syarikat pada Adam. Umur dia pun sebaya kamu aje, Adam. Encik Samad, tolong Tengku Adam ni ya,” pinta Tengku Dahlia lalu memandang Samad, setiausahanya yang setia berdiri di sisinya.
“Baik, Tengku. Insya-Allah, saya akan bantu Tengku Adam sebaik mungkin,” jawab Samad sambil tersenyum.
Tengku Dahlia tersenyum. Adam hanya mengangguk kecil ke arah Samad.

Semua pekerja Adam Group berpusu-pusu menuju ke bilik dewan mini yang terletak di tingkat tiga itu setelah diarah berbuat demikian oleh setiap ketua jabatan masing-masing.
Hana dan Lea menuruni tangga menuju ke tingkat tiga itu. Mereka tidak dapat turun ke tingkat tiga dengan menggunakan lif kerana terlalu ramai pekerja Adam Group memenuhi lif dan menunggu giliran di depan lif. Mahu tidak mahu mereka terpaksa menggunakan tangga bersama pekerja yang lain.
“Kau rasa apa sebab kita semua kena berkumpul kat dewan, eh?” soal Lea.
“Entahlah. Ada benda pentinglah tu kut nak diberitahu,” balas Hana malas. Dia berasa malas kerana hari ini ialah hari Isnin. Hari yang membuatkan dia merasakan Sabtu dan Ahad begitu cepat berlalu.
Mereka berdua sudah masuk ke dalam dewan dan mengambil tempat duduk di barisan belakang sekali kerana barisan hadapan semuanya sudah penuh. Kelihatan Farah dan Zetty sudah duduk bersilang kaki di barisan depan. Mereka berdua menoleh ke belakang, memandang Hana dan Lea dengan pandangan sinis. Hana dan Lea buat-buat tidak nampak akan pandangan mereka itu. Suasana dewan agak gamat dengan suara para pekerja yang saling bertanya apakah tujuan utama mereka semua diminta datang ke situ.
“Psttt... Tengok tu, si hot stuff tu,” beritahu Lea lalu menyiku lengan Hana.
Hana terus saja memandang ke pintu masuk dewan. Tidak berkelip sekali pun matanya apabila menikmati keindahan paras rupa Farouq. Kelihatan Farouq bersama Kevin yang juga dari jabatan grafik sedang berborak sambil melangkah ke belakang, mencari tempat duduk.
Hana dan Lea hampir putus nafas dek menahan nafas apabila Farouq duduk selang dua buah kerusi saja di sebelah kanan mereka. Dua orang customer service pula yang duduk di antara mereka. Kalau tidak tentu saja mereka berpeluang merasa duduk sebelah Farouq. Kalau dapat duduk sebelah-menyebelah, bolehlah pandang muka kacak itu sepuasnya. Aiseh!

“Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua. Pada hari ini saya ingin memperkenalkan CEO baru yang akan menggantikan Tengku Dahlia serta-merta bermula hari ini. Beliau adalah cucu lelaki tunggal Tengku Dahlia iaitu Tengku Adam,” kata Samad lalu mengundur ke tepi, memberikan ruang untuk Adam berdiri di depan podium yang diperbuat daripada kayu jati itu.
Semua mata bertumpu ke arah dirinya yang baru muncul dari belakang pentas itu. Mata Adam memerhati ke seluruh dewan. Serius.
Hana terus saja kaku di tempat duduknya dengan mulut separuh terbuka. Saat itu dia benar-benar terkejut melihatkan wajah CEO baru itu. Dia cucu Tengku Dahlia? Oh, my... Alamak!
“Weh, handsome jugak CEO baru tu. Tapi, macam kenal aje Tengku Adam ni, kan?” Berkerut-kerut dahi Lea memikirkan siapakah gerangan CEO baru itu yang sepertinya dikenali sahaja.
“Mr. Tak Ada Adab,” beritahu Hana dengan suara lemah.
Dia lemah apabila memikirkan dia pernah sound CEO baru itu minggu lepas. Dan baru terserempak dengan CEO baru itu di food court KLCC Sabtu lepas. Dia tidak menyangka lelaki itu muncul di Adam Group sebagai CEO baru. Adui, macam mana aku nak bersemuka dengan dia ni? bisik hatinya cemas.
“Hah? Biar betul?” Lea menoleh memandang Hana dengan mata terbeliak dan mulut ternganga luas.
Hana angguk lemah sambil mengetap bibir bawahnya. Lea memandang CEO baru mereka dengan pandangan tidak percaya.
“Kacaknya cucu Tengku Dahlia ni. Bos sekacak inilah buat makin bersemangat nak datang tempat kerja, kan?”
Hana mencebik mendengarkan kata-kata pujian salah seorang customer service di sebelahnya itu. Kau orang belum tahu warna sebenar bos baru kau orang ni. Kalau kau orang tahu dia tu tak ada adab, confirm kau orang tengah kutuk dia sekarang bukannya puji dia melangit. Heh!

“Apa nama awak?”
Hana terkedu mendengarkan pertanyaan daripada Mr. Tak Ada Adab yang tiba-tiba saja berdiri di hadapannya. Para pekerja yang sedang menunggu lif di sekitar situ kaget dengan pertanyaan CEO baru kepada kerani sepertinya.
Farah dan Zetty sudah terjeling-jeling ke arah Hana. Terutamanya Farah. Farah benar-benar berasa tercabar kerana dia berdiri di sebelah Hana saja, namun Hana pula yang ditanya oleh CEO baru itu. Apalah yang menarik sangat si minah kolot itu jika dibandingkan dengan dirinya yang serba bergaya dan cantik menawan? Minah tu bukannya pegang jawatan tinggi pun. Setakat kerani aje! bentak Farah dalam hati.
“Hana. Nur Hana, Tengku,” balas Hana setenang yang mungkin.
Adam menunduk sedikit sambil merenung matanya. Hana cepat-cepat melarikan pandangan ke arah lain kerana tidak tahan dengan renungan yang semacam baginya.
“Dan awak?” Adam mengalih pandangan kepada Lea yang sedari tadi sudah terpaku merenung wajahnya. Adam sengaja bertanya nama gadis itu juga kerana tidak mahu nampak sangat dia cuma bertanya kepada si tudung bulat.
“Lea, Tengku,” jawab Lea sepantas yang mungkin. Senyuman semanis mungkin diberikan buat CEO tampan itu. Hati pula berbunga-bunga, berasa bangga CEO baru menanya namanya. Tidak pernah terjadi dalam kamus hidupnya, pihak atasan yang berjawatan tinggi apatah lagi memegang jawatan CEO ringan mulut bertanyakan nama pihak bawahan sepertinya.
Adam terangguk-angguk kecil sambil matanya memerhati Hana yang sedang membisu seribu bahasa. Pandang dia pun tak. Aih, tak cukup kacak ke aku ni sampai langsung tidak dipandangnya?
Lif tiba. Adam dan Samad masuk ke dalam lif. Farah dan Zetty cepat-cepat masuk ke dalam lif kerana mahu satu lif bersama Adam. Beberapa orang ketua jabatan turut masuk ke dalam lif itu.
Hana memandang Adam yang merenungnya dari dalam lif. Kakinya terasa melekat pula di lantai itu. Aduhai, kenapa aku rasa lemah semangat semacam aje ni? Renungan Mr. Tak Ada Adab tu macam ada sesuatu pula. Bukannya renungan yang positif, tapi renungan negatif!
“Cik Hana, jumpa saya kat bilik pejabat saya lima minit lagi ya.”
Kata-kata Adam itu mengejutkan semua orang yang berada di dalam lif mahupun di luar lif.
Hana tersentak.
“Jumpa Tengku?” soal Hana meminta kepastian. Dia takut dia tersilap dengar atau lelaki itu tersalah cakap.
“Awak tahu saya tak suka buang masa, kan? Jadi, jangan lambat.” Sebaik saja Adam menghabiskan ayatnya itu, pintu lif tertutup.
Hana tercengang-cengang di situ mendengarkan arahan berbaur amaran itu. Kata-kata Adam tadi benar-benar mengundang persoalan kepada semua pekerja di sekitar situ kerana sepertinya mereka berdua sudah kenal lama. Sementara di dalam lif pula, semua pekerja mula berbisik-bisik sesama sendiri.
Farah pula sudah berubah masam mukanya apabila mendengar Adam mahu berjumpa dengan Hana. Hana gadis yang paling dia benci di Adam Group. Benci kerana gadis berpenampilan biasa itu mendapat perhatian CEO baru itu. Kenapa bukan dirinya yang diminta berjumpa dengan Tengku Adam? Semakin meluat dia apabila memikirkan tentang Hana.
“Maaf, Tengku. Saya Iman, ketua jabatan pentadbiran. Kalau Tengku tidak keberatan, boleh saya tahu kenapa Tengku mahu berjumpa dengan Cik Hana, kerani dari jabatan saya tu?”
Adam menoleh, memandang wanita berusia 40-an yang berbaju kebaya moden berwarna biru dan selendang hitam itu. Ooo... Kerani rupanya si tudung bulat tu.
“Saya ada urusan dengan Cik Hana. Dan rasanya puan tak perlu tahu,” balas Adam dengan penuh bersahaja.
Puan Iman terkedu dan terus tertunduk. Malu kerana nampak terlalu menyibuk ingin tahu tujuan sebenar Adam ingin berjumpa dengan Hana. Kena smash ayat sinis depan ketua jabatan yang lain pula tu. Isy, tak boleh jadi ni. Aku kena tanya juga Hana selepas dia berjumpa dengan bos baru ni. Pelik juga tiba-tiba saja cucu Tengku Dahlia itu mahu berjumpa dengan Hana yang hanya memegang jawatan sebagai seorang kerani pentadbiran saja.
Apa sebenarnya urusan Tengku Adam ini dengan Hana? fikir Puan Iman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan