Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 8 Januari 2016

Dudaku Suamiku - Bab 6

Bab 6
REESA duduk di taman permainan yang berada di dalam kawasan sekolah itu. Menanti Adam yang mahu menemani Amira. Ibunya lewat datang hari ini. Hanya tinggal mereka berdua sahaja yang masih berada di sekolah. Pelajar lain semuanya sudah dijemput ibu bapa masing-masing.
“Mira, Adam, hati-hati. Nanti jatuh,” tegur Reesa sesekali apabila mereka berdua seperti berebutkan tempat untuk menggelongsor.
Adam dan Amira ketawa terkekek-kekek selepas itu. Budak-budak. Reesa menggelengkan kepalanya. Reesa bangun, menuju ke keretanya. Dia mahu mengambil telefon. Mahu menelefon ibu Amira. Kalau lewat sangat biarlah dia yang menghantar Amira ke rumahnya. Lagipun cepat sikit dia boleh pulang. Mahu bersolat asar, dia bimbangkan Adam dan Amira. Takut cedera masa bermain. Belum pun sempat Reesa tiba di keretanya, kedengaran Amira menjerit.
“Pak usu!”
Reesa berpaling. Lelaki itu! Macam mana pula dia boleh datang ke sini?
“Eh, Adam pun belum balik lagi?” tanya Syarez terkejut kerana Adam juga ada di situ.
“Adam temankan Mira. Kesian dia, mama dia lewat,” kata Adam polos. Dia senyum memandang Syarez.
“Mama Adam tak datang lagi?” tanya Syarez lagi.
“Pak usu ni lupa ke? Mummy Adam kerja kat sini,” sampuk Amira.
“Oh. Mana mummy Adam?” tanya Syarez lagi. Matanya mula melilau mencari kelibat wanita itu.
“Tu... mummy,” tunjuk Adam.
Reesa menghampiri ketiga-tiganya. Biarpun dia tidak mahu lagi bertemu muka dengan lelaki itu, tapi itulah kuasa Tuhan, tidak dapat untuknya menolak. Reesa menghulurkan tangannya kepada Adam. Adam segera menyambutnya.
“Terima kasih sebab temankan anak saudara saya ni,” ucap Syarez.
“Tak apa. Dah jadi tanggungjawab saya sebagai gurunya. Kami pergi dululah.” Reesa memohon diri. Tidak mahu berlama-lamaan di situ. Tangan Adam segera ditarik.
“Err... ” Belum pun sempat Syarez bersuara Reesa sudah berlalu pergi.
“Cikgu, jomlah kita makan dahulu. Mira lapar. Pak usu belanja.” Tiba-tiba Amira menjerit.
Reesa pura-pura tidak mendengar. Kalau boleh dia tidak mahu lagi terlibat dengan mana-mana orang yang ada kaitan dengan lelaki itu. Lelaki itu menjengkelkan hatinya.
Mummy, Mira ajak kita makan. Jomlah, mummy.” Adam pula berkata. Adam sudah mematung.
Aduh! Anak kecil ini.
“Jomlah, cikgu. Kasihan kat budak-budak ni,” balas Syarez pula apabila dia melihat Reesa sepertinya tidak sudi.
Mahu menolak, Adam sudah menarik muka cemberutnya. Reesa pula pantang melihat wajah sedih Adam. Jika boleh dia tidak mahu Adam bersedih langsung. “Okey, beritahu uncle tu... mummy nak solat dulu.”
Adam segera mengangguk. Dia berlari semula ke arah Amira dan Syarez. Amira sudah ketawa gembira kerana ajakannya tidak ditolak.
“Mama ke mana?” tanya Syarez apabila melihat Reesa menghilang.
Mummy nak solat dulu,” beritahu Adam.
Adam dan Amira segera berlari ke papan gelongsor itu. Syarez menggelengkan kepala melihat keakraban mereka berdua. Patutlah sejak dahulu Amira asyik bercerita pasal kawannya yang bernama Adam. Semasa bertemu di restoran itu, rasanya Adam dan Amira tidak berapa rapat sangat. Agaknya selepas pertemuan itu mereka menjadi rapat.

Tidak lama selepas itu Reesa sampai di sisi mereka bertiga. Wajahnya tampak segar tanpa mekap. Mungkin kerana dia mencucinya ketika mahu berwuduk.
“Dah puas main?” tanya Reesa kepada Adam. Dia mengusap kepala Adam.
Mummy ni, mana puas kalau main. Kalau boleh sampai esok Adam nak main. Kan, Mira?” Adam berbalik kepada Amira.
“Betullah, cikgu. Mira pun suka main.” Amira menyokong kata-kata Adam.
“Mira kalau main memang tak ingat dunia, cikgu. Marilah kita pergi, cikgu. Budak-budak ni dah lapar, tapi bila dapat main lapar pun hilang,” kata Syarez pula.
Reesa sekadar mengangguk.

Reesa memandu mengikut kereta mewah di hadapannya itu. Adam pula apabila lelaki itu mengajaknya menaiki kereta itu terus sahaja menonong masuk. Macamlah dah kenal lama. Reesa senyum sendiri apabila kereta itu memasuki kawasan makanan segera.
“Adam, jangan gelojoh makan tu,” tegur Reesa kepada Adam.
“Ibu makan gelojoh mummy tak marah pun,” katanya.
“Ibu tu... mummy dah tak boleh nak lentur. Keras macam batang buluh. Adam lembut macam rebung lagi,” kata Reesa. Sengaja dia berkata begitu.
Dia tahu Adam faham. Kerana perumpamaan itu sudah diterangkan maksudnya. Dibawanya Adam mengenali batang buluh dan rebung. Memegang rebung yang masih lembut lagi dan batang buluh yang sudah keras. Siap ajar Adam melentur lagi. Sejak itu Adam faham perumpamaan itu.
Adam kembali makan seperti biasa. Syarez yang mendengar perbualan dua beranak itu pelik. Adam pula sebut saja pasal buluh dan rebung terus sopan. Pelik betul cara Reesa mendidik anaknya.
Mummy jangan beritahu daddy Adam makan fast food,” pesan Adam tiba-tiba. Dia teringatkan daddy yang melarangnya makan makanan segera.
No comment.” Reesa jongket bahunya.
“Kenapa pula, Adam?” tanya Syarez ingin tahu. Sejak tadi dua beranak itu asyik bersembang sahaja. Dia dan Amira bagaikan orang halimunan.
Daddy dia memang tidak bagi dia makan fast food,” kata Reesa perlahan.
“Sekali-sekala,” balas Syarez.
“Kata daddy dia... sekali-sekala tu nanti jadi dua kala,” kata Reesa tersenyum.
Syarez ketawa.
Entah apa yang lucu pada percakapan Reesa. Reesa jadi hairan.
First time saya dengar dua kala. Ada ke orang cakap macam tu? Suami awak tu peliklah. Dahlah restoran pun pelik. Pelanggan yang kena tulis sendiri nak makan apa,” kata Syarez.
“Tak peliklah. Itu spesialnya restoran dia,” bela Reesa.
“Paloma? Tak ada nama lain ke nak letak? Kenapa tak letak nama awak?” Syarez tidak mahu kalah. Kali ini dia mahu tahu kenapa letak nama orang Latin.
“Paloma tu mummylah.” Tiba-tiba Adam berkata.
“Adam!” Reesa menjegilkan matanya.
“Awak memang asal sini?” Mulut Syarez gatal bertanya.
Reesa sekadar mengangguk. Dia malas berbual.
“Awak tak rasa kita pernah...” Syarez berhenti. Rasa tidak patut pula. Jika benar wanita di hadapannya ini bekas isterinya tidak apalah. Jika tidak mahu esok lusa kena buku lima laki dia. Laki dia pun badannya lebih sasa daripada dia.
“Apa?” tanya Reesa seperti tidak menjangkakan apa yang akan ditanya oleh Syarez.
“Tak ada apa-apalah,” kata Syarez sambil menggelengkan kepala.
Syarez meneruskan suapannya. Dia tidak jadi bertanya kerana tiada riak yang terpamer pada wajah wanita itu. Mungkin benar wanita ini bukannya Aimee. Macam mana pula Syarez boleh ragu-ragu dengan wajah bekas isterinya itu? Syarez akui dia sudah terlupa bagaimana rupa wajah Aimee. Syarez memang lelaki tak guna!
Mereka berkahwin pun kerana dia sudah terlanjur kata. Kasihan pula melihat Aimee yang begitu gembira kerana akan berkahwin dengannya. Sebab itulah walaupun tanpa cinta dia berkahwin juga dengan Aimee. Ketika itu Syarez hanya mahu berseronok selepas ditinggalkan oleh Suzy. Aimee pula ketika itu masih lagi belajar di kolej. Kerana mahu berkahwin, Aimee menangguhkan pengajiannya.
“Pak usu...?” panggil Amira untuk ke sekian kalinya.
“Encik...? Encik...?” Reesa menggawangkan tangannya di hadapan lelaki itu.
Tidur ke dia ni? Sejak tadi begitu sahaja duduknya. Tadi rasanya mahu sangat berbual, tiba-tiba saja terus mendiamkan diri. Melamun apa agaknya dia?
Sorry. Ada apa, Mira?” Syarez memandang Amira.
“Kami dah sudah habis makan. Pak usu aje belum,” kata Amira. Menunjuk ke arah pinggan Syarez. Masih ada lagi seketul ayam di pinggannya.
“Pak usu dah kenyang,” jawabnya.
Macam manalah boleh pergi ke masa silam? Setiap kali bersama wanita ini pasti kenangan yang telah dilupakan itu menerpa. Agaknya kerana wajah itu persis bekas isterinya.
“Terima kasih sebab belanja kami makan. Adam?” Reesa memandang Adam sekali lagi.
“Terima kasih, uncle. Lain kali boleh belanja lagi.” Adam bergurau.
“Adam!” Reesa mengetapkan bibirnya. Nakal pula Adam apabila berhadapan dengan lelaki ini.
Syarez ketawa dengan tingkah Adam yang melucukan.
Syarez memandang dua beranak itu berjalan menuju ke kereta. Pegangan tangan Reesa tidak pernah terlepas daripada anaknya. Semua orang yang ada anak memang begitu barangkali. Budak-budak bukan boleh dikira kenakalannya.
Hingga hilang kereta itu daripada pandangannya, barulah dia memasuki keretanya. Amira juga sejak tadi berada di sisinya. Menghantar kawan baiknya itu pergi.

Mummy, Adam sukalah dengan uncle tu. Dia baik, kan?”
“Ya ke? Dah suka dia, daddy macam mana pula?” tanya Reesa. Ingin tahu jawapan Adam.
“Suka aje... bukan sayang. Adam sayang daddy. Banyak ni.” Adam mendepangkan tangannya menggambarkan sayangnya kepada Umarif.
“Banyak tu aje,” usik Reesa.
“Satu dunia ni Adam sayang daddy,” jawab Adam sambil ketawa.
Reesa hanya menggelengkan kepalanya.

“WEI, menung jauh nampak!?” sergah Gisele apabila melihat Reesa tidak fokus pada cerita yang ditayangkan pada TV. Sejak tadi Reesa sepertinya berada di alam lain. Alam yang hanya dia saja tinggal di dalamnya.
“Menung apa pula? Tengah tengoklah ni.” Reesa menafikan. Dia memandang Gisele.
“Cerita kat aku apa dah jadi kat heroin cerita ni?” tanya Gisele. Dia duduk di tepi Reesa sambil menolak bahu Reesa dengan bahunya.
Reesa sengih sementara Gisele ketawa kuat. Memang betullah Reesa tengah melamun.
“Betullah tu... Tak nak cerita kat aku ke? Atau kau dah tak sudi kongsi masalah dengan aku lagi?” Gisele seperti berjauh hati. Dia memandang TV.
“Taklah. Aku cuma ada kau sebagai teman yang paling rapat,” kata Reesa.
“Umarif?” tanya Gisele. Matanya ditalakan kepada Reesa. Ingin tahu apa perasan Reesa kepada Umarif. Mereka rapat selama dia sendiri rapat dengan Reesa.
“Dia...? Dialah lelaki yang paling baik yang pernah aku temui selepas ayah aku.” Reesa senyum. Dia suka bermain teka-teki.
Gisele berkira-kira untuk bertanya lagi. Namun, belum pun sempat dia berkata, Reesa lebih dahulu mengeluarkan kata.
“Kau jangan nak suruh aku pilih dia sebagai lelaki dalam hidup aku. Aku dah cakap dari awal. Dia, aku anggap sebagai abang sahaja.”
“Tapi, tak salah kan jika kau terus bawa dia masuk ke dalam hidup kau? Lagipun Adam kenal dia sebagai daddy dia. Lambat-laun nanti Adam mahu mengenali ayahnya juga. Atau kau masih menanti ayah Adam aka. bekas suami kau?” soal Gisele.
Reesa membiarkan soalan Gisele tergantung. Belum masanya dia menjawab soalan Gisele. Lelaki yang membuangnya itu masih diingati hingga kini. Cuma dahulu dia tidak terlalu memikirkannya. Namun, semua ingatan kembali menerpa kerana sejak akhir-akhir ini dia sering bertemu dengan lelaki itu.
Yang hairannya enam tahun lepas tidak pula mereka bertemu. Padahal dia bukan di mana-mana pun. Dia masih di kota ini. Takdir Allah barangkali. Hatinya cuak juga andai lelaki itu bertanya sesuatu yang tidak dapat dia selindung lagi. Paling Reesa tidak percaya dia dapat mempamerkan wajah yang biasa ketika pertama kali bertemu dengan lelaki itu. Padahal hatinya berdegup bagaikan mahu pecah dada.
“Aku tahu kau ada masalah,” kata Gisele sambil menyiku pinggang Reesa.
Reesa menoleh geram kepada Gisele.
“Sakitlah. Apa pula ni?” tanya Reesa.
“Kau diam sejak tadi. Apa masalahnya?” tanya Gisele. Hatinya benar-benar ingin tahu masalah apa yang berada dalam diri teman rapatnya itu. Dia tahu ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Reesa.
“Aku nak jenguk Adam kejap.” Reesa mengelak daripada bercerita. Dia lantas bangun menuju ke bilik.
Gisele tahu satu hari nanti Reesa akan bercerita juga. Mungkin belum tiba masanya. Tidak lama selepas itu Reesa keluar dengan mendukung Adam.
“Anak ibu ni kenapa tidur baru nak bangun sekarang?” tanya Gisele.
“Aku rasa dia demamlah. Badan dia panas sikit,” kata Reesa lalu duduk.
Gisele mengelus kepala Adam. Dahi Adam diletakkan belakang tangannya. Panas!
“Panas ni! Sejak bila lagi?” Gisele terjerit selepas merasa dahi Adam dengan belakang tangannya.
“Entahlah... Semalam dia okey aje. Sebab tu aku hairan dia demam pagi ni,” kata Reesa.
“Jom kita pergi klinik. Takut jadi macam dulu. Dehydration,” kata Gisele.
Dia teringat ketika Adam berusia tiga tahun. Demam panasnya menyebabkan dia hampir kehilangan nyawa. Sebab itulah doktor menasihati supaya jika badannya panas terus dibawa ke klinik.
Reesa terburu-buru memakai baju kurung. Sandalnya juga disarung sekali lalu. Mindanya kini hanya berfikir tentang Adam. Kenapalah dia sebagai ibu terlalu cuai? Sepatutnya dia sudah tahu Adam akan demam.

Gisele memandu laju menuju ke klinik.
“Aku park kereta dahulu. Kau terus masuklah,” arah Gisele.
Reesa mengangguk. Adam yang lemah didukungnya. Sejak tadi si kecil itu tidak bersuara sepatah pun. Kad kecil milik Adam diletakkan di dalam kotak yang disediakan. Reesa mengeluh apabila melihat ramai pesakit yang sedang menunggu giliran. Bila macam inilah pesakit terlalu ramai. Bilalah nama Adam akan dipanggil? Reesa merungut dalam hati.
Dalam diam Reesa menghitung orang yang berada di dalam klinik itu. Lapan orang lagi. Reesa mula tidak senang duduk. Dia mengelus belakang Adam perlahan-lahan. Ketika itu dia terpandangkan Gisele yang sedang melangkah ke arahnya. Nampak terlebih cemas pula.
“Reesa, nenek aku jatuh dalam bilik air. Macam mana ni?” kata Gisele cemas. Tika inilah masalah datang bertimpa-timpa.
“Ya Allah. Tak apa, kau pergilah balik. Nanti aku cari teksilah. Lagipun aku dah biasa dengan jalan sini. Nenek kau lebih penting. Adam ada dengan aku kan,” kata Reesa.
“Tapi, aku... ” Gisele serba salah mahu meninggalkan Reesa dan Adam.
Reesa mengerdipkan matanya. Nenek Gisele penting bagi Gisele. Wanita itu yang banyak menjaga dia sewaktu dia kecil.
“Aku pergi ya...” Gisele masih serba salah mahu meninggalkan Reesa dan Adam.
“Gisele, kau dengar sini. Adam ada aku, kan. Nenek kau yang lebih penting. Kau balik dulu. Nanti apa-apa hal aku call kau,” kata Reesa tegas. Dia menolak tubuh Gisele perlahan.
Lambat-lambat Gisele menunduk mencium kepala Adam. Dia terus berlari keluar. Selamatkanlah Adam dan nenek aku. Gisele berdoa dalam hati.

“Assalamualaikum.”
Reesa mendongak. Allah... Dia lagi. Kenapalah dua tiga minggu kebelakangan ini mereka sering bertemu? Ada apa sebenarnya ni, Tuhan?
“Siapa yang tak sihat?” tanya Syarez.
Dia memandang Reesa dan Adam bersilih ganti. Adam barangkali. Dia mengambil tempat di sebelah Reesa. Reesa mengengsot sedikit memberi ruang kepada Syarez.
“Adam.” Sepatah Reesa menjawab.
Syarez melekapkan tangannya di kepala Adam. Panas.
Mummy... Adam dahaga.” Lemah Adam bersuara.
Anakku, kenapa bila waktu ini minta yang pelik-pelik pula? Ya Allah, mana nak cari air ni? Jika dia membawa keretanya tadi tentulah ada airnya. Reesa bangun, mahu mencari mana-mana kedai yang menjual air minuman.
“Nak ke mana?” tanya Syarez setelah melihat Reesa bangun.
“Cari air.”
“Sini Adam, saya dukung.” Syarez menawarkan pertolongan.
“Tak apalah.” Reesa cepat-cepat berlalu. Tidak mahu menerima niat baik Syarez.
Dia bergegas keluar dari situ. Mujurlah ada sebuah kedai runcit tidak jauh dari klinik itu. Reesa masuk kembali ke dalam klinik itu setelah sebotol air mineral dibeli. Dia kembali duduk di tempat yang diduduki tadi, di sebelah Syarez. Mana mungkin di ke tempat lain kerana hanya kerusi itu sahaja yang kosong.
“Saya tolong pula. Tak salah, kan?” Syarez masih tidak berputus asa mahu meriba Adam.
Reesa akhirnya akur. Tangannya dan badannya sudah sakit-sakit. Adam bukannya kecil lagi. Adam sudah bertukar tangan. Reesa memicit-micit lengannya yang kelenguhan. Kakinya dilunjurkan. Dia bersyukur juga walaupun hatinya tidak tenang. Buat pertama kali Adam begitu dekat dengan lelaki, selain daripada Umarif.
“Sakit apa?” tanya Reesa. Dia berbasa-basi. Tidak mahu dikata menyombong.
“Saya selesema sikit. Rimaslah kalau selesema. Sebab tulah cepat-cepat datang ambil ubat,” beritahu Syarez mengukirkan senyuman.
Reesa cuma menganggukkan kepalanya. Nombor Umarif didail.
“Abang, Adam demam,” beritahu Reesa.
“Kena masuk wad tak?” tanya Umarif bimbang. Waktu inilah mahu terjadi, tatkala dia jauh dari sisi Adam dan Reesa.
“Entahlah. Tapi, abang jangan bimbang. Tak panas sangat. Tak jadi macam dulu kut. Seminar okey?” tanya Reesa beralih topik.
“Okey. Macam biasalah, Reesa. Nanti beritahu abang tau.”
Hmm, enjoy your seminar.” Reesa gelak kecil, memasukkan telefon ke dalam beg tangannya semula.
Daddy Adam tak ada?” tanya Syarez setelah mengetahui butir-butir bicara daripada Reesa di telefon tadi.
“Ada seminar di Penang.”
Nama Adam dipanggil. Reesa segera mengambil Adam dari tangan Syarez. Dia melangkah masuk ke dalam bilik pemeriksaan itu. Lama memeriksa, doktor itu memasukkan ubat melalui dubur Adam. Prosedur biasa untuk budak-budak yang panas badannya melebihi 38 darjah. Syukurlah demam Adam tidak terlalu kuat.

Reesa mengambil ubat dan memasukkannya ke dalam beg. Dia keluar untuk mencari teksi. Semoga adalah, doa Reesa. Reesa tidak mahu lagi bertembung dengan Syarez. Reesa berdiri sambil mendukung Adam. Matanya melingas mencari teksi. Waktu diperlukanlah teksi ini selalunya tiada. Cepatlah!
Pin! Sudah! Kereta mewah Syarez sudah berhenti di tepinya. Pintu kereta siap dibukakan lagi. Reesa serba salah. Betul ke apa yang terjadi sekarang? Reesa pura-pura memandang ke arah lain.
“Masuklah... Sini susah dapat teksi. Tengok, kereta pun jarang lalu kat sini,” kata Syarez.
“Saya tak jahatlah. Takkan saya nak buat jahat kat bini orang, depan anak dia pula tu,” sambung Syarez lagi. Dia tersengih lucu dengan kata-katanya sendiri. Dia bukannya kemaruk sangat.
Reesa melangkah jua ke dalam kereta lelaki itu.
Sesekali Syarez mengerling ke kirinya. Reesa tidak memandangnya pun. Mata itu sentiasa memandang ke luar. Sambil tangannya diusapkan di belakang Adam.
Mummy, Adam nak muntah.”
Reesa cemas. Mana nak cari plastik? Kereta orang, mana dia tahu. Belum pun sempat dia bertanya kepada Syarez. Adam sudah memuntahkan isi perutnya. Baju kurung Reesa dan baju Adam habis berlumuran dengan muntah Adam. “Adam... ”
Adam menyapu mulutnya yang kotor. Busuknya tak payah ceritalah.
“Maaf... maaf...” Reesa naik segan dengan apa yang berlaku.
“Tak apa. Lagipun saya tak bau apa-apa pun.” Syarez sengih. Dia memegang hidungnya.
Dia memberhentikan kereta di sebuah stesen minyak. Memberi ruang untuk dua beranak itu membersihkan sisa muntah.

Mummy, kita naik kereta uncle Mira? Adam tak tahu pun,” kata Adam.
Eh, dah okey ke anak aku ni? Tadi mana berbunyi suara. Reesa meraba dahi Adam. Hmm... patutlah bersuara dah kurang panas badannya. Cepat sungguh kesan ubat itu.
“Dia tumpangkan kita. Ibu kena balik rumah dia,” beritahu Reesa sambil mengelap pipi Adam dengan tisu.
Reesa dan Adam melangkah ke kereta. Niat Reesa ingin membersihkan kereta Syarez, tetapi kereta Syarez sudah berada di ruang tempat membersihkan kereta. Kereta mahal tentulah kena cepat-cepat dibersihkan. Busuk nanti siapa yang susah?
“Saya tak kisah, tapi kebetulan dah ada servis tu kat sini, saya buatlah,” terang Syarez. Bimbang Reesa salah sangka pula. Dipandang Adam yang basah bajunya. “Nak beli baju Adam dahulu? Dia demam tak elok pakai baju basah.”
“Tak apalah. Lagipun rumah kami dekat sini aje. Saya ambil teksi.” Reesa berterusan tidak mahu lagi menerima pertolongan Syarez.
“Tunggu sebentar, dah nak siap. Mana boleh macam tu? Saya hantar sampai rumah,” tegas Syarez. Sejak bertemu tadi Reesa sering kali menolak pertolongannya.
Akhirnya Reesa mengalah. Lagipun bila terfikirkan Adam yang masih lagi demam, Reesa ikutkan saja.

Syarez memandu keretanya mengikut kata Reesa.
Uncle sakit ke?” tanya Adam.
“Kenapa?” tanya Syarez menoleh ke arah Adam.
“Suara uncle lain,” kata Adam sambil tersenyum.
Syarez menganggukkan kepalanya.
“Sini aje,” beritahu Reesa setelah kereta Syarez hampir tiba di hadapan rumahnya.
“Terima kasih sebab hantar kami berdua sampai ke rumah,” ucap Reesa. Lantas menutup pintu kereta.
Syarez memandang mereka yang sudah masuk ke dalam rumah. Takdir barangkali yang membawa pertemuan demi pertemuan. Suzy... Syarez senyum. Saat ini dia mahu mendirikan rumah tangga secepat yang boleh. Dia mahu merasa menjaga anak sendiri. Rasa cemas apabila anak dilanda demam. Rasa riang bila anak mula belajar berjalan, bercakap dan berlari.
Seronok pula melihat gelagat Reesa dan Adam. Bahagianya mereka. Syarez sudah melihat kebahagiaan Adam dan ibu bapanya. Syarez juga mahu begitu. Suzy mesti memberikannya zuriat secepat yang boleh. Nanti anaknya itu dapat bermain dengan Amira dan Adam.
Syarez semakin lebar mengukirkan senyuman apabila teringatkan Suzy. Syarez terus memandu pulang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan