Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 8 Januari 2016

Dudaku Suamiku - Bab 7

Bab 7
SYAREZ bertanyakan khabar Adam daripada Amira. Selagi Adam tidak ke sekolah tentulah dia masih tidak sihat. Kata Amira, Adam kena chicken pox.
“Kak long peliklah, selalu pula Rez datang rumah,” kata Hawa Alyana sambil meletakkan jus oren di depan adiknya itu.
“Nak jumpa dengan Mira pun tak boleh?” tukas Syarez.
“Bukan maksud kak long macam tu. Selalunya seminggu sekali aje datang.”
Syarez tidak menambah apa-apa lagi.
Hawa Alyana menunduk menolong Amira membuat kerja sekolahnya. “Ha, Suzy sihat ke? Dua hari lepas umi bebel lagi pasal dia tak nak bermenantukan artis. Kak long tak boleh nak cakap apa lagi. Umi kan ada kuasa veto dalam rumah tu.”
“Entahlah, kak long. Naik buntu dah kepala Rez ni. Suzy sibuklah. Shooting kat Redang,” beritahu Syarez.
Public figure. Kak long pun hairanlah macam mana Rez boleh dapat perempuan cantik macam dia tu,” kata Hawa Alyana.
“Dah jodoh kut,” bisik Syarez seraya ketawa.
“Kak long tanya sikit pasal ex-wife boleh tak? Umi ada cerita dengan kak long. Tapi, nak dengar daripada versi Rez pula.” Hawa Alyana tiba-tiba mengungkit kisah lama.
Syarez memandang kakaknya dengan rasa tidak percaya. Sejak dulu kakaknya itu tidak pernah bertanyakan perihal itu.
Hawa Alyana tidak sempat mengenali ex-wife adiknya itu kerana ketika itu dia di Belgium. Suaminya ketika itu sedang menyambung pelajaran. Bila balik mereka sudah bercerai. Apabila mahu melihat, sekeping gambar pun, adiknya itu memberitahu sudah membuangnya.
“Pasal Suzy jugalah. Silap Rez, kak long. Ingat nak suka-suka selepas berpisah dengan Suzy. Rupanya keseronokan itu membawa kepada perkahwinan. Bila berbaik semula dengan Suzy, Rez mohon bercerai dengannya. Dia tak cakap banyak, terus setuju.” Syarez bercerita pendek. Kerana itulah yang terjadi sebenarnya.
“Kejamnya. Tak tahu pula adik kak long ni kejam,” ujar Hawa Alyana.
“Dah tak cinta, nak buat macam mana? Hidup kami masa hampir setahun perkahwinan tu tak seperti pasangan lain,” kata Syarez selamba.
“Tapi, Rez sentuh dia ke tak?” tanya Hawa Alyana. Dia terasa ingin tahu tentang itu.
“Kucing mana nak tolak rezeki depan mata.” Selamba lagi jawapan Syarez.
Hawa Alyana menggelengkan kepalanya. Tidak salah dia melabelkan Syarez sebagai lelaki kejam. Tiada perasaan bersalah langsung. Di mana agaknya perempuan itu sekarang?

Syarez yang tenang memandu masih teringat kata-kata kakaknya tadi. Kejamkah dia? Taklah... Hati tiada cinta. Tiada cinta, tapi kenapa perlu menyentuh wanita itu? Syarez berbolak-balik dengan hatinya. Sudah! Syarez, perkara dah lepas lupakan saja, detik hatinya.
Mana nak pergi lagi ni? Bosan sungguh dengan ketiadaan Suzy. Tak boleh jadi ni. Suzy mesti rehat shooting untuk bulan depan, gerutu hatinya. Syarez senyum lagi. Dia sudah dapat idea untuk memberi kejutan kepada Suzy. Nombor telefon rakannya yang bekerja di syarikat penerbangan didail.
“Semata-mata nak hantar sejambak bunya ros kau nak sewa helikopter. Biar betul, Rez,” kata Ganesh yang fasih berbahasa Melayu.
“Yalah. Bila boleh bertolak ni?” tanya Syarez.
“Lima minit lagi,” sahut Ganesh melawan bunyi enjin helikopter.

Tidak lama kemudian helikopter itu sudah berada di atas Pulau Redang. Mereka bernasib baik kerana tempat penggambaran Suzy tidak jauh dari tempat mereka mendarat. Lebih kurang 200 meter dari heli pad. Dengan kaca mata hitam, Syarez melangkah ke arah krew-krew drama. Dia berhenti, tidak mahu terlalu dekat. Bimbang ada yang mengenalinya. Belum masanya lagi.
Suzy yang sedang mengipas wajahnya terkejut memandang Syarez yang berada tidak jauh dari situ dengan memegang sejambak bunga ros merah jambu. Suzy melompat dari tempat yang didudukinya. Hatinya berbunga riang dengan kehadiran Syarez di depan matanya sekarang.
Hon, apa ni? I don’t know what to say, but I really appreciate this. Ini bermakna hon dah okey nak keluar majalah atau mana-mana laman sosial?” tanya Suzy.
Hmm... Maybe. But not so fast,” sahut Syarez.
Suzy merangkul tubuh Syarez. Dia sungguh terharu dengan kedatangan Syarez ke sini. Sudah hampir sebulan mereka tidak dapat menghabiskan masa bersama.
“Bila habis ni? Bosanlah kena tinggal sorang-sorang,” tanya Syarez sambil merenung manja ke arah Suzy.
“Dalam tiga hari lagi. Lepas tu rehat dua minggu. Kemudian pergi ke London. Ada photoshoot untuk duta pakaian tu.”
“Oh, kena tinggal lagi,” keluh Syarez.
I missed you so much, hon,” ucap Suzy lagi. Dia benar-benar kerinduan.
Suzy memandang kiri kanannya. Tiada mata yang memandang, bibir Syarez dikucupnya. Syarez yang terkejut dengan ciuman itu hanya terdiam. Belum pernah Suzy berlebihan seperti hari ini.
Surprise!” kata Syarez, tetapi terus mengukirkan senyuman.
Dear terharu sangat. Maaf, lain kali dear tak buat lagi.” Suzy berjanji. Suzy tahu Syarez bukannya Syarez yang dia temui untuk pertama kali. Syarez yang suka ringan-ringan sudah hilang. Mungkin usia yang mematangkannya.
Hon balik dulu. Love you so much.”
Lambaian Syarez yang sudah menjauh dibalas dengan gembira. Bunga ros yang berada di tangannya dicium berkali-kali. Tidak sangka Syarez datang sejauh ini hanya kerana merinduinya.
“Hebatnya teman lelaki awak, Suzy, sanggup datang sini semata-mata nak hadiahkan bunga aje,” kata salah seorang krew.
Mereka juga cuba mencuri pandang. Tetapi, wajah lelaki tersebut tetap tidak dapat dilihat.
“Hmm... tunggu dan lihat. We’ll get marry soon.”
“Betul ke?”
Suzy hanya mengangguk. Tidak perlu lagi dia bimbang krew drama itu akan membocorkan rahsia kepada mana-mana majalah atau mana-mana stesen televisyen. Saat bahagianya akan berlaku tidak lama lagi. Love you, hon.
Dada Suzy terasa getarannya dengan kedatangan Syarez di situ. Sungguh dia tidak menjangkakan kedatangan Syarez dengan helikopter. Tidak pernah sekali pun kejutan dibuat oleh Syarez. Semua kejutannya akan diceritakan terlebih dahulu. Tetapi, itulah Syarez. Kadang-kadang perangainya tidak dapat diteka.

Sungguh, saat ini Suzy merasakan dialah wanita yang paling bertuah sekali kerana dilayan sebegini rupa oleh Syarez.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan