Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 18 Januari 2016

Suamiku Pembuli Cinta - Bab 7

Bab 7
SUASANA yang meriah itu membuatkan aku tertanya-tanya sendiri. Aku ada dekat mana ni? Kenapa ramai orang datang ke sini? Aku melihat baju yang sedang aku pakai. Terbeliak mata aku dibuatnya. Baju pengantin! Huwarghhh! Aku kahwin dengan siapa ni?
Sedang aku kalut memikirkan siapa yang aku kahwini, Alina datang menghampiriku. “Iman, tahniah ya...”
Berkerut-kerut dahiku menerima ucapan sebegitu daripada Alina. “Kau cakap apa ni? Aku kahwin dengan siapa?”
“La... Apa ni? Suami sendiri tak tau? Cuba kau tengok dekat sana. Suami kau tengah layan tetamu,” ujar Alina lagi lalu menunjukkan ke arah seorang lelaki yang memakai baju pengantin, sedondon warna denganku.
Tersentak aku saat lelaki itu berpaling dan memandang tepat ke arahku. Mataku bulat apabila melihat wajah itu. Tidak!!! Orang tua tak ada gigi!!!

“HOI, Iman! Bangunlah!”
Aku terjaga daripada lena. Dahiku kelihatan sudah berpeluh-peluh. Mungkin kerana baru sahaja mengalami mimpi yang sangat ngeri bagiku. Aku lihat, Alina dan Irsyad sudah berada di sisiku.
“Aku dekat mana ni Alina? Mana suami aku?” soal aku sambil mengesat dahi.
“Ha? Kau dekat rumahlah. Nak dekat mana lagi?” Alina mengerutkan keningnya.
“Sejak bila pulak kau dah kahwin ni? Padanlah tadi kau menjerit-jerit cakap tak nak kahwin dengan orang tua. Hmm... Apa kau cakap tu? Hah, orang tua tak ada gigi!” ujar Alina sambil tersengih.
Aku menggelengkan kepala berkali-kali. Nasib baiklah ini semua hanya mimpi. Jikalau tidak, naya aku!
“Hmm... Kenapalah you tak mimpi kahwin dengan I aje?” Irsyad bersuara tapi dengan nada yang perlahan.
Disebabkan kepala yang semakin memberat, aku malas nak ambil tahu apa yang Irsyad omelkan. Suka hati mulut dialah nak cakap apa pun. Tak perlu nak sibuk-sibuk untuk aku ambil kisah. “Lina, kepala aku...”
“Aku tahu. Kau pengsan tadi. Tu yang aku call Encik Irsyad ni, suruh bawak kau ke klinik.”
Mataku bulat seketika. Erk! Jangan cakap yang Irsyad dukung aku?!
Tiba-tiba, aku terdengar suara Irsyad sedang ketawa. “Don’t worry. I masih tahu batas-batas antara lelaki dan perempuan. Alina yang tolong papahkan you.”
Aku sudah menarik nafas lega. Huih, buat aku terperanjat sajalah. Dalam hati, sempat aku mengagumi Irsyad. Dia nampak saja seorang yang bersosial, tetapi dia baik sebenarnya. Yalah, kalau lelaki lain memang dah lama ambil kesempatan terhadap aku.
“Serius, lepas ni aku tak nak papah kau lagi. Berat giler,” ujar Alina sambil mengangkat tangannya, tanda dia benar-benar memaksudkan kata-katanya.
Mata aku sudah bulat. Apa? Berat sangat ke badan aku ni? Setahu aku, tak sampai 60 kilogram pun berat aku. Maklumlah, badan aku ni kecil molek saja. Kalau nak dibandingkan dengan Alina, kecil lagi badan aku.
“Serius? Lepas ni, memang aku kena pergi ke gimlah nampaknya.”
“Hahaha. Gurau ajelah Man. Orang masa tengah pengsan memanglah berat badan dia. Tapi, kalau dah badan kau kecil macam ni, aku rasa tak adalah berat mana,” ujar Alina lagi sambil ketawa perlahan.
Aku pantas menampar bahu Alina. Suka betul dia mempemainkan aku! Fuh, nasib baik inche tunang aku ni dah tahu yang aku ni tak berat mana. Ewah... Sejak bila pula aku mengaku dia tunang aku ni?
“Eh, aku lupalah Lina. Kenapa ek aku pengsan?” soalku apabila mula ingat sesuatu.
Alina pula sudah tersengih apabila mendengar soalanku. “Bos kita kan nak buat majlis untuk kau dengan Encik Irsyad. Takkan sesenang macam tu kau boleh tak ingat?”
Gulp! Rasa sudah tidak tertelan air liurku apabila mendengar kata-kata Alina itu. Sempat juga aku mengerling ke arah Irsyad dan lelaki itu pula membuat wajah biasa dan tenang saja. Seolah-olah berita ini tidak mengejutkan dirinya langsung!
“Mampus aku Lina. Habis tu, pejabat macam mana pulak? Dia orang semua dah tahu ke?” tanyaku dengan nada cuak.
“Eh, berita hot macam karipap baru keluar dari microwave tu! Takkan tak dengar kut. Malah, acik-acik cleaner pun dah tahu tau,” jawab Alina dengan nada yang bersungguh-sungguh. Jelas sekali tidak menunjukkan bahawa dia sedang menipu sekarang.
Aku apa lagi, rasa macam hendak sesak nafas sekarang ini. Manalah aku hendak sorokkan muka aku yang tak berapa nak cun ni? Padahal, Irsyad bukannya tunang betul aku pun! Aduh... Lepas satu, satu masalah timbul.
Apa tindakan yang patut aku buat ni? Nak mintak pertolongan Irsyad? Tolonglah! Lepas aku dapat tahu yang dia bos Garuda Holdings, aku tidak mahu ada apa-apa hubungan dengannya. Sebabnya, aku rasa tidak layak untuk bergandingan dengan orang seperti dia.
“You nak I tolong you ke, Iman?” Tiba-tiba Irsyad membuka mulutnya.
Mulutku sudah terkunci, tak tahu nak jawab apa. Tolong? Aku tak mahu lagi terbeban dengan dia. Cukuplah sekali dia menolongku tempoh hari. Kali ini, aku tidak mahu melibatkan dia dalam halku. Aku betul-betul nekad!
“Encik Irsyad tak rasa marah ke dengan saya?” tanyaku tanpa mempedulikan langsung soalannya tadi.
“Kenapa nak marah?” Irsyad kerutkan kening, pelik.
“Yalah, saya sesuka hati aje mengaku yang Encik Irsyad tunang saya. Entah-entah Encik Irsyad dah ada girlfriend, saya aje yang memandai buat macam tu. Tak patut kan saya ni?” Aku ketawa, cuba menutup rasa malu di hati.
Tiba-tiba saat ini aku terasa macam perempuan yang tak tahu malu. Tak patut betul aku libatkan orang lain untuk melepaskan diri daripada masalah.
Nope. Awak tak perlu risau. I don’t have someone special in my life. Yet. But seriously, saya tak kisah pun kalau awak nak saya mengaku sebagai tunang awak.”
“Tapi kenapa?” Aku memberanikan diri untuk bertanya.
“I tak suka tengok you dalam kesusahan. Please Iman. You tak perlu tanggung masalah ni sorang-sorang. Untuk apa I ada di sisi you kalau I sendiri tak boleh tolong you? You know you have me, Iman. Dan tak ada siapa lagi yang dapat tolong you, kecuali I sorang,” ujarnya dengan nada yang sedikit keras.
Aku terpanar seketika. Cuba untuk memahami apakah maksudnya itu. Namun, aku tidak mahu menjadi SS iaitu syok sendiri. Nanti, kalau aku dah tangkap cintan dengan dia, rupa-rupanya dia hanya menganggap aku tidak lebih daripada seorang kawan. Ada juga orang bawa diri ke negara lain. Tak ke naya?
“Tapi, saya tak nak libatkan Encik Irsyad dalam hal saya. Kali ni, biarlah saya berlaku jujur. Nanti, saya akan mengaku sendiri kepada bos yang awak bukan tunang saya,” ujarku dengan nekad.
Aku terdengar dia mengeluh perlahan. Namun, aku sendiri tidak pasti kenapa harus dia mengeluh.
“Oh! Jadi, berita yang hangat ni rupa-rupanya salah fahamlah ya?” celah Alina pula.
Aku menganggukkan kepala tanda mengiakan. Sempat aku mengerling Irsyad. Wajahnya tampak kecewa kala ini, namun aku berpura-pura tidak ambil pusing tentang itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan