Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Khamis, 21 Januari 2016

Tak Sangka Jatuh Cinta - Prolog

Sekitar pertengahan tahun 1995
RUMAH pusaka peninggalan arwah Haji Manaf riuh-rendah dengan suara seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun menangis. Puas dipujuk, tapi tangisannya tetap tidak mahu berhenti. Diberi gula-gula terus dilempar ke luar rumah. Diberi mainan pun dilempar ke luar rumah.
Haji Darus dan Hajah Hayati sudah hilang idea nak memujuk. Sudahnya, dibiarkan anak saudara mereka yang manja terlajak itu menangis sepuas-puasnya. Itulah rutinnya setiap kali ditinggalkan oleh ibu dan bapanya di kampung. Mereka sudah biasa dengan situasi itu.
“Umi, boleh tak Hannah nak bagi hadiah ni kat abang?” Anak perempuan mereka berusia tujuh tahun menawar diri untuk memujuk.
Haji Darus dan Hajah Hayati hanya mengangguk. Mana tahu boleh senyap.
Hannah menghampiri abang sepupunya yang masih melolong macam kena sampuk itu. Dia tersenyum. Tapi, senyumannya dalam versi... jahat.
“Abang, Hannah ada mainan baru. Abang nak tak?” pujuk Hannah. Dengan susah payah dia melabuhkan punggungnya yang berisi itu di sebelah Karzrin.
“Hadiah apa?” Karzrin berhenti menangis. Dia angkat wajah dan memerhatikan wajah tembam adik sepupunya. Dalam hati, ada rasa tidak sedap. Si Hannah ni bukan boleh harap sangat.
“Adalah! Ni...” Hannah menunjukkan tangan kirinya yang tergenggam kejap.
Karzrin teragak-agak. Tapi, wajah Hannah nampak ikhlas aje. Mainan betul-betul kut?
“Nak ke tak nak?” Soal Hannah lagi.
Lambat-lambat Karzrin hulurkan tangan. Naklah!
“Tutup mata dulu!” arah Hannah bersungguh-sungguh.
Karzrin ikut.
Hannah menahan ketawa. Apa punya bodoh abang sepupunya tu. Dah banyak kali kena pun Masih percayakan dia! Kikiki. Hannah ketawa seraya meletakkan sesuatu di atas tapak tangan Karzrin. “Okey, sekarang buka mata.”
Karzrin segera membuka matanya. Lantas matanya terfokus pada benda yang diberikan oleh Hannah. Matanya terbeliak dan...
Arghhh!!! Katak! Katak! Katak!” Karzrin menjerit sekuat hatinya dan melompat terjun dari beranda rumah. Sekelip mata sahaja dia sudah berada di halaman.
Hannah ketawa terbahak-bahak. Lucu melihat Karzrin terlompat-lompat kegelian. Misi complete! Musuh berjaya dikalahkan.
“Hannah! Hannah buat apa dengan abang tu?” Haji Darus dan Hajah Hayati yang muncul dari dalam rumah tergesa-gesa turun mendapatkan Karzrin.
“Hannah tak buat apa pun, umi. Dah abang tu yang suka sangat menangis. Hannah berilah katak. Tengok tu... Kan dia dah berhenti menangis,” balas Hannah tanpa rasa bersalah.
Dia memang suka buli Karzrin. Setiap kali cuti sekolah Mak Long Awin dan Pak Long Hamka akan menghantar Karzrin ke kampung. Untuk belajar mengaji dengan walid. Jadi, setiap kali cuti sekolah akan riuh-rendahlah rumah mereka dengan suara mereka bergaduh.
Karzrin kepal penumbuk. Rasa macam nak saja dia sumbat katak tu dalam mulut Hannah. Tapi, setiap kali dia nak balas dendam, ada saja yang Hannah pegang untuk dijadikan perisai. Katak, cicak dan kadang-kadang lipas! Eiii… Karzrin memang tak boleh pegang binatang-binatang eksotik tu!
Dia memang jaki dengan Hannah. Sampaikan dia bercita-cita nak jadi polis. Bila dia jadi polis bolehlah dia tangkap Hannah yang jahat tu dan dia akan kurung musuh ketatnya itu dalam penjara.

KARZRIN menyusup masuk ke dalam bilik budak gemuk yang suka melantak itu. Matanya meliar di sekitar bilik. Clear!
Dia mahu membalas dendam. Tadi masa makan, Hannah ambil paha ayam gorengnya. Nak marah, tapi dia tunjuk tangannya yang sedang digenggam. Karzrin takut ada katak. Jadi, terpaksalah dia berputih mata melihat si gajah itu menghabiskan ayam gorengnya. Nak mengadu pun takut juga! Takut Hannah letak lipas atas belakangnya macam hari tu.
Argh, Hannah memang jahat! Karzrin dah atur rancangan nak kenakan si badak sumbu itu. Hehehe.
Karzrin menghampiri rak buku sekolah Hannah. Dia nak conteng semua buku budak jahat tu. Bila dia pergi sekolah, mesti kena marah dengan cikgu. Hahaha. Padan muka kau Hannah! Karzrin ketawa sendiri.
Dia mengambil buku latihan matematik dan semangatnya berkobar-kobar untuk melaksanakan rancangannya. Ketika itu, terasa bahunya ditepuk perlahan. Karzrin berpaling dan wajahnya terus pucat melihat Hannah sedang berdiri di belakangnya sambil memegang...
“Tikus! Arghhh!!! Mak su! Pak su! Tikus!” Karzrin membuka langkah seribu dan merempuh pintu bilik. Takut melihat tikus yang sedang terkebil-kebil dalam genggaman Hannah.
Hannah ketawa besar. Rancangan musuh berjaya digagalkan. Dia bertepuk tangan. Tikus yang tidak bersalah itu dilepaskan kembali. Penakut macam tu pun ada hati nak kenakan orang? Piiirah!
Karzrin menarik nafasnya yang tercungap-cungap. Nasib baik sempat larikan diri. Dia tidak kira! Lepas ni, jangan harap dia akan datang sini. Ini adalah kali terakhir. Mama! Papa! Karz nak balik! Karz tak nak tinggal dengan budak gemuk jahat macam Hannah tu! Karzrin menangis teresak-esak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan