Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 13 Januari 2016

Cik Pemanis Hati - Bab 9

Bab 9
Hana bergegas keluar dari bangunan Adam Group. Dia perlu cepat, kalau tidak panjang pula barisan di Monorail. Ialah, waktu orang balik bekerja kan, mestilah ramai orang. Bukan jalan raya saja jammed waktu pagi dan petang, Monorail serta tren yang lain pun sama jammed teruk juga. Dia malas beratur panjang dan menunggu. Perut pun tengah lapar. Nak tunggu lama-lama nanti pengsan jugak aku kat situ. Tak sanggup aku jadi tumpuan orang!
“Cik Hana!”
Hana terus berhenti melangkah apabila satu suara yang agak menggerunkan dirinya tiba-tiba saja memanggil. Dia menoleh dengan muka gelisah. Kenapalah dia nak panggil aku di saat-saat genting ni? Dia tak tahu ke aku ni tengah mengejar waktu? Lambat seminit pun nanti beratur panjanglah nampak gayanya. Adam menghampirinya dengan langkah yang agak laju. Nampak kelam-kabut pun ada. Apa ke hal Mr. Tak Ada Adab ni? Kelihatan serabut benarlah raut wajahnya.
“Ya, Tengku? Ada apa Tengku panggil saya ni?” soal Hana laju sambil matanya memerhati stesen Monorail Raja Chulan yang mula penuh dengan para pekerja yang bekerja di sekitar situ. Dia mengeluh kecil. Lambatlah dia balik hari ni. Tangan pula terus saja meraba perutnya yang terasa lapar.
Adam memerhati tindak-tanduk Hana yang nampak gelisah saja. Haih, aku yang tengah gelisah dia pun nak gelisah sama?
“Awak balik guna apa?” soal Adam.
Dia berasa hairan kerana jika gadis itu mempunyai kereta, dia pasti akan ke ruang parkir di tingkat paling bawah bangunan Adam Group. Tidak mungkin dia memarkir keretanya di tempat lain kerana ruang parkir Adam Group ada kira-kira 200 petak untuk memarkir kereta. Itu pun banyak lagi ruang kosong memandangkan kebanyakan pekerjanya banyak menggunakan motosikal.
“Monorail, Tengku,” jawab Hana pantas sambil terjenguk-jenguk lagi ke arah stesen Monorail Raja Chulan.
Adam terus memandang Monorail yang terletak 100 meter saja dari tempat mereka berdiri. Berkerut dahinya. Oh, ada Monorail rupanya berdekatan sini. Aku baru tahu kut. Nampak sangat aku tak pernah naik tren. Hahaha. Adam kembali memandang Hana.
“Cik Hana, saya nak ambik Monalisa sekarang juga,” beritahu Adam.
Hana yang mendengarnya terus terpempam. Aik? Nak ambik sekarang pulak? Bukan ke dah janji akan tunggu aku pulangkan Monalisa dia tu pagi esok? Mamat ni saja aje nak kasi aku migrain tak pasal-pasal sekarang ni, kan?
“Tapi, Tengku kan dah janji akan tunggu saya pulangkan semula kamera Tengku pagi esok? Tak boleh ke Tengku tunggu sampai pagi esok aje?” Hana benar-benar menunjukkan riak tidak berpuas hati terhadap permintaan Adam yang secara mendadak itu.
Renungan mata Adam berubah tajam menusuk ke anak mata Hana. Terkedu Hana dibuatnya.
“Saya tak boleh nak tunggu sampai pagi esok. Sekarang awak ikut saya. Saya hantar awak balik dan awak terus pulangkan Monalisa,” kata Adam tanpa kompromi lagi.
Ternaik kening kiri Hana mendengarkan kata-kata berbaur arahan itu. Eh, ikut suka dia aje nak buat apa kan. Bukannya nak dengar kata-kata aku ni. Heh. “Kenapa saya perlu ikut Tengku? Saya baru kenal Tengku dan mengapa harus saya biarkan Tengku hantar saya, walaupun alasannya nak ambil terus kamera kesayangan Tengku tu? Tengku tu lelaki dan saya ni perempuan. Maaf jika Tengku tersinggung hati, tapi sebagai seorang perempuan saya perlu berjaga-jaga juga. Jadi, lebih elok Tengku bersabar dan tunggu aje saya pulangkan kamera Tengku tu pagi esok. Boleh?”
Tidak berkelip mata Adam merenung Hana yang begitu petah berbicara. Rahangnya bergerak-gerak sedikit tanda dia menahan rasa marah dengan kata-kata gadis itu. Nampak simple luarannya, tapi siapa tahu dalamannya agak berbisa juga bila berbicara.
“Awak ingat saya nak larikan awak ke, Cik Hana? Jangan fikir bukan-bukan boleh tak? Saya cuma nak mudahkan awak dan diri saya sendiri. Saya hantar awak balik dan awak pulangkan kamera saya tu. Jadi, awak tak rugi apa pun sebab saya dengan bermurah hatinya sudi menghantar awak balik. Awak tak perlu keluar duit satu sen pun. Lagipun, saya bukannya ada apa-apa niat yang luar biasa kat awak ni,” kata Adam sinis.
Hana mencebik geram. Aku bukannya nak perasan dia tu nak ada apa-apa niat yang luar biasa pun. Tapi, agak-agaklah kan nak hantar aku balik sedangkan baru kenal. Memang dia bos besar, tapi pengetahuan asas macam itu pun dia tak tahu ke? Mana ada perempuan yang senang-senang saja berani nak terus bersetuju kalau lelaki yang baru dikenali nak hantar balik? Sudahlah tak berapa nak tahu dia ni jenis yang bagaimana, tidak pasal-pasal nanti keluarga aku dapat berita aku kena jual kat sempadan Thailand.
Isy. Bak kata Lana, kawan aku dari Miri Sarawak, palis-palis. Maksudnya minta dijauhkan. Tak sanggup aku memikirkan nasib aku kalau menjadi tragis begitu sekali. Lantaklah dia nak cakap aku ni berfikiran negatif, tapi setiap orang bebas untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Lebih-lebih lagi aku ni seorang perempuan. Perempuan yang lemah. Lemah ke? Hana hampir mengeluh.
“Tengku, saya malas nak cakap banyak. Saya minta diri dulu. Esok pagi saya jumpa Tengku kat pejabat, okey?” kata Hana lalu berlari meninggalkan Adam.
Adam terkesima dengan tindakan gadis itu meninggalkannnya begitu saja tanpa mempedulikan permintaannya. Menyedari langkah Hana semakin jauh, Adam terus mengejar gadis itu.

Hana menjeling Adam sambil tangannya pantas saja mengeluarkan syiling sebanyak seringgit dan 60 sen. Cepat saja dia memasukkan kesemua syiling tersebut ke tempat syiling pada mesin tiket itu. Beberapa saat kemudian sebiji token berwarna biru jatuh ke bawah. Token itu diambil dan diserahkan kepada Adam.
Termangu-mangu Adam ketika menerima token berwarna biru itu. Nak buat apa dengan token ni? Persoalannya terhenti tatkala melihat Hana sudah bergerak masuk selepas scan sekeping kad pada mesin keluar masuk itu. Dia terkial-kial mencari tempat untuk meletak token. Bagaimana nak pakai benda ni? Ramai orang menunggu giliran melalui mesin itu akibat tindakan lambat Adam.
Scan token tu kat situ.”
Mujurlah Hana tidak naik dulu dan menunjuk cara bagaimana menggunakan token itu. Adam cepat-cepat scan token itu di permukaan atas mesin itu. Tittt. Penghadang pintu mesin itu terbuka. Adam cepat-cepat meloloskan diri melepasi mesin itu. Fuh... selamat aku.
Hana sudah menaiki tangga. Adam mempercepat langkahnya mengikuti Hana yang nampak sekali malas mempedulikan dirinya. Malu juga dia tadi kerana tiada duit kecil di dalam dompet. Cuma ada beberapa keping not RM100 berserta kad pengenalan diri, kredit kad dan kad bank. Itu saja yang ada di dalam dompetnya. Syiling pun tidak ada. Kerana Monalisa, Adam tebalkan juga muka meminjam duit untuk tambang daripada Hana.
Disebabkan Hana tidak mahu dihantar pulang olehnya, Adam mengambil keputusan untuk mengikut gadis itu pulang dengan menaiki Monorail saja. Pertama kali pula tu dalam hidupnya menaiki Monorail. Demi Monalisa apa pun boleh jadi. Langkah Adam terhenti di tangga ketiga teratas. Panjang sangat barisan sampai kena berbaris di tangga. Hana yang berdiri di hadapannya kedengaran mengeluh kecil.
“Cik Hana?” panggil Adam.
Hana menoleh dengan muka kurang senang.
Marah kat aku ke? bisik hati kecil Adam. Tahu takut.
“Ada apa, Tengku Adam?” Nampak sekali mood Hana kurang baik. Apabila ada orang yang membuatkan dirinya berasa marah dan geram, dia akan menyebut nama penuh orang itu. Nada suara pun kedengaran malas sekali.
“Memang penuh macam ni ke setiap kali awak balik?” soal Adam ingin tahu.
Matanya melilau memerhati keadaan sekeliling yang penuh dengan manusia. Dalam hatinya terdetik sesuatu. Best sangat ke naik Monorail sampai penuh begini? Naik kereta lebih bagus. Ada jugak aircond. Ini kena open air. Sudahlah aku pakai kot ni. Panas!
Hana mengetap bibirnya geram sebelum membuka mulut. “Tengku, setiap pagi dan petang Monorail memang penuh macam ni. Bukan kat atas jalan raya saja jammed dengan kereta, motosikal, bas dan lori. Kat sini jammed dengan manusia.”
Hana kembali memandang ke hadapan. Malas benar dia melayan Mr. Tak Ada Adab. Sanggup pula dia nak naik Monorail eh berbanding kereta yang tentunya mahal kebaboom. Macam tak percaya saja dia sanggup naik Monorail semata-mata nak dapatkan balik Monolisa. Apa penting sangat Monalisa tu? Kamera aje pun. Isy.
“Ooo. Awak tak ada kereta ke?” soal Adam lagi sambil membuka kot dan melonggarkan sedikit tali lehernya. Kurang sikit panasnya. Kemudian kot itu disangkut di lengan kiri.
Hana mencebik. Mujurlah dia masih memandang ke hadapan apabila disoal begitu. Tanpa menoleh ke belakang, dia menjawab, “Tak Ada.”
Pendek saja jawapan Hana. Kepala Adam terangguk-angguk kecil.
“Kenapa tak ada kereta?” Oleh kerana tidak berpuas hati dengan jawapan pendek Hana, Adam membuka mulut sekali lagi, bertanya.
Hana terus menoleh dengan muka geram. “Sebab tak adalah. Perlu ke saya nak beritahu secara terperinci?”
Mata Hana mencerlung tajam ke arah Adam yang terkebil-kebil melihatkan reaksi Hana yang nampak sekali marah. Dia sudah lupa lelaki itu bosnya apabila dalam keadaan marah.
“Perlu. Sebab saya jenis orang yang suka benda terperinci. Awak kena set kat otak awak pasal diri saya ni. Jadi, lain kali awak tahu saya ni bagaimana jika berkaitan dengan kerja. Faham?”
Berkerut dahi Hana mendengarnya. Terperinci ke perfectionist? Mengaku ajelah dia tu jenis yang nak semuanya sempurna. Perfectionist tu lebih kurang seperti seorang yang cerewet. Heh.
“Faham,” jawab Hana malas sebelum memandang ke hadapan semula. Sedikit demi sedikit mereka mara ke hadapan.
“Selepas ni giliran kita masuk ke?” tanya Adam kurang sabar.
Dia tidak tahan menunggu lama-lama begitu. Lebih-lebih lagi berbaris dengan keadaan yang terhimpit sana sini. Pelbagai bau badan manusia bercampur, membuatkan dia berasa mual dan hampir termuntah. Sememangnya hidungnya cepat sekali sensitif dengan bau. Disebabkan itulah dia sangat mementingkan kebersihan diri.
“Ya. Tapi, tengok keadaan jugak. Kalau tren dah penuh dari stesen sebelumnya, kita kena tunggu tren seterusnya.” Hana hampir tersenyum melihatkan Adam berulang kali mengelap peluh yang semakin banyak mengalir di bahagian dahi dan leher dengan menggunakan sapu tangan berwarna biru gelap. Baju kemeja putih yang dipakainya pun nampak sekali lembap dengan peluh.
Nampak sangat tak pernah ke tempat-tempat yang penuh macam ini melainkan tersangkut di jalan raya, di dalam kereta yang berhawa dingin. Tapi, peluh-peluh macam itu pun, tiada satu bau yang kurang menyenangkan pun datang daripada lelaki itu. Berpeluh sakan begitu pun bau badan tetap sempurna. Bayangkanlah betapa sempurnanya lelaki bernama Tengku Adam itu.
Adam sudah tidak mengeluarkan apa-apa kata selepas mendengarkan jawapan Hana. Aduhai, habis berpeluhlah aku kalau tren yang selepas ini pun penuh. Si tudung bulat ni tak rasa susah ke kena naik Monorail yang penuh sesak begini setiap hari Isnin sehingga Jumaat? Ada kereta lebih bagus. Boleh juga duduk dan menikmati rasa sejuknya penghawa dingin. Ini? Agaknya kalau dia ingin membakar lemak pada badan, dia naik saja Monorail setiap hari bekerja. Confirm paling kurang pun turun satu kilogram seminggu.
“Ha, sampai pun,” ujar Hana tanpa memandang Adam.
Tren yang baru berhenti itu nampak hampir penuh dengan orang. Sebaik saja pintu Monorail dibuka, orang yang sedang berbaris berpusu-pusu masuk. Mujurlah Hana dan Adam sempat masuk. Petugas yang menjaga laluan di depan pintu Monorail menghalang di depan pintu sebagai isyarat tiada ruang kosong lagi. Kedengaran bunyi amaran pintu bakal ditutup sebelum pintu ditutup rapat. Seketika kemudian Monorail yang berwarna merah itu bergerak dengan kadar kelajuan sederhana.
Hana dan Adam berdiri betul-betul di tepi pintu. Hana segera memegang palang yang terletak di tepinya. Manakala Adam memegang palang atas dengan mengalas tangannya menggunakan sapu tangan. Hana mencebik. Memang perfectionist!
Adam mengerling ke kiri dan ke kanan. Terasa mahu sesak nafasnya dengan keadaan di dalam Monorail yang agak padat. Pelbagai bau ada walaupun di dalam Monorail itu ada diletakkan pewangi di setiap gerabak. Agaknya ada yang tak mandi berhari-hari kut. Sebab itulah wangi macam mana pun tak dapat menangani bau yang dah disimpan berhari-hari. Atau mungkin ada yang tak cuci baju berminggu lamanya, menyebabkan bau terperap itu tersebar di dalam tempat bertutup begini. Dia dah rasa nak muntah disebabkan tak tahan dengan bau hangit itu.
“Cik Hana,” panggil Adam separuh berbisik memandangkan mereka berdiri sebelah-menyebelah saja. Nak cakap dengan suara normal, didengar pula orang yang berdekatan.
Hana menoleh dan mendongak sedikit ke kanan, memandang Adam.
“Awak ada bawak minyak wangi tak?” tanya Adam dengan muka penuh harapan.
Hana mengerutkan dahi mendengarkan pertanyaan lelaki itu. Pantas saja dia menggelengkan kepala tanda tiada. Isy, kenapa dia tanya aku ada bawa minyak wangi ke tidak? Macamlah aku ni jenis yang suka memberatkan lagi beg aku demi sebotol minyak wangi. Salah orang dia tanya.
Raut wajah Adam berubah kecewa. Dia membuang pandangan ke luar Monorail memandangkan mereka berdua berdiri menghadap pintu.
“Kenapa, Tengku?” soal Hana ingin tahu.
Adam mengerling ke arahnya sambil menekup hidungnya tanda tidak tahan dengan bau yang tidak sepatutnya. Hana hampir tergelak melihatkan gaya Adam yang kelihatannya seperti cacing kepanasan itu. Memang sah Tengku Adam lelaki yang gilakan kesempurnaan. Hana tunduk mengambil sesuatu di dalam begnya.
Adam turut tunduk memandang beg tangan berwarna coklat dan lusuh itu. Nampak tali benang beg itu ada yang terkeluar dan kesan cakar. Beg jenama apa dia pakai ni? Macam tak berjenama saja.
“Nah, sapu sikit kat hidung,” ujar Hana sambil menyerahkan bekas berwarna biru putih itu.
“Vicks? Awak nak saya sapu Vicks kat hidung?” soal Adam dengan nada tidak percaya.
Hana angguk kecil.
Mahu tidak mahu Adam menyambut juga bekas Vicks itu. Dibuka penutup Vicks itu lalu terus mencalit sedikit ke jarinya sebelum digosok ke lubang hidung. Terasa segar sedikit nafasnya dengan bau Vicks itu. Vicks pun jadilah. Dia menyerahkan kembali Vicks tersebut kepada Hana. Hana menyimpan semula ia ke dalam beg.
Thanks,” ucap Adam sambil mengerling Hana. Hana pandang dia dengan pandangan pelik.
Aik, pandai pula dia nak ucap terima kasih. Ingatkan dia tu Mr. Tak Ada Adab sejati. “Sama-sama.”
Kemudian masing-masing membuang pandangan ke luar Monorail. Terasa kejanggalannya saat itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan