Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Jumaat, 8 Januari 2016

Dudaku Suamiku - Bab 9

Bab 9
REESA hanya menjadi pemerhati sahaja, melihat Umarif dan Adam yang sedang bergelak ketawa di tepi laut. Itulah, pandai sangat berjanji dengan Adam. Kan sudah terkena. Tak pasal-pasal hari ini terpaksa datang ke pantai.
“Letih betul layan Adam ni.”
“Itulah, lain kali jangan berjanji dengan dia. Abang ni manjakan sangat Adam. Kalau tak ada abang nanti, macam mana?” luah Reesa.
 Umarif memandang Reesa dengan pandangan pelik.
“Abang tak ke mana-mana. Reesa jangan risau, abang sudi jadi daddy Adam sampai bila-bila,” ujar Umarif. Reesa sudah dianggap seperti adiknya sendiri.
Reesa senyum. Dia menghulurkan cawan air kepada Umarif. Umarif menyambutnya dengan senyuman manis.
Daddy, hari ni daddy tak masaklah ya? Semua ni mummy yang masak,” kata Adam tiba-tiba. Dia menunjuk kepada bekas-bekas makanan yang berada di depan mereka.
Umarif memandang arah jemari kecil Adam.
“Sekali-sekala daddy kena juga rehat daripada memasak. Letihlah kalau daddy tak ada cuti langsung. Lagipun Adam kan suka kalau daddy selalu cuti,” ujar Umarif. Dia senyum ke arah Adam.
Adam hanya tersengih.
“Tapi, kenapa mummy masak spageti tak rasa macam daddy masak?” tanya Adam.
“Sebab mummy tak pandailah,” kata Umarif.
“Abang jahat. Kalau macam tu dua-dua tak payah makan. Mana orang lain entah, mummy nak sedekah kepada dia orang,” kata Reesa sudah bangun dari tikar. Dia pura-pura mencari-cari orang di sekeliling.
“Alah, mummy merajuk pula,” usik Umarif.
Mummy merajuk... mummy merajuk...” ejek Adam dan Umarif.
“Kenapa pula mummy merajuk?!” Satu suara bertanya.
Ketiga-tiganya menoleh. Hawa Alyana sedang memegang bakul dan di sisinya ada Amira. Adam sudah tersenyum hingga ke telinga apabila ternampak Amira.
“Kak Hawa... ”
Hawa Alyana ketawa. Rasa pelik kerana tiada orang yang pernah memanggilnya dengan nama itu. “Peliklah cikgu. Panggil kak long sudahlah.”
“Kalau macam tu tak payahlah bercikgu-cikgu dengan saya. Panggil Reesa.” Reesa juga membetulkan panggilannya.
“Kita nak duduk di mana, kak long?” tanya Syarez yang baru sampai. Dia memandang terkejut akan manusia yang bercakap dengan kak longnya. Sejak akhir-akhir ini banyak sangat kebetulan pertemuan mereka.
“Duduk sini. Boleh, Reesa?” tanya Hawa Alyana. Dia sudah meletakkan bakul yang dibawanya tadi. Hawa Alyana suka jika perkelahan mereka kali ini dinikmati bersama Cikgu Amira ini.
“Boleh. Lagi ramai lagi meriah,” sampuk Umarif yang sejak tadi mendiamkan diri. Dia tersenyum ke arah Hawa Alyana dan Syarez.
Reesa menjeling Umarif, tetapi Umarif pura-pura tidak tahu. Reesa menggigit bibirnya tanda geram.
Hawa Alyana sudah membentangkan tikar. Barang-barang di dalam bakulnya dibawa keluar. Hawa Alyana memandang makanan yang sudah terhidang di depan matanya. Masakan Melayu tulen.
“Kak long tak berapa pandai masak. Sandwic aje yang pandai dan yang lain semuanya kak long beli.” Tanpa segan-silu Hawa Alyana memberitahu.
“Saya pun tak pandai masak. Semua ni masakan biasa aje. Selalu masak. Rasalah.” Reesa mempelawa walaupun dia tahu orang seperti mereka tentulah makan masakan daripada cef macam Umarif.
“Reesa memang macam ni, suka rendah diri. Dia cef masakan Melayu yang paling sedap setakat ini. Saya memang tak boleh makan masakan orang lain selain daripada masakan dia,” puji Umarif.
Syarez memasang teling mendengar perbualan mereka berdua. Betullah cakap baba hari itu. Masakan isteri akan mengikat perut suaminya. Begitulah kata Umarif tadi. Dalam diam Syarez mengiakan kata-kata babanya.
“Abang ni! Jangan percaya cakap abang saya ni.” Reesa ketawa kecil.
Umarif sengih lagi. Reesa hampir menampar bahu Umarif. Umarif cepat saja mengelak.
“Pak usu, jomlah kita mandi,” ajak Amira.
Syarez mengangguk. Dia yang sudah siap berpakaian untuk mandi terus sahaja berlalu dengan Amira dan Adam. Lambat-lambat Umarif juga mengikuti mereka.
“Sedaplah. Memang patutlah cef puji tadi. Umi kak long pun pandai masak. Dia suka kalau dia dapat rasa masakan orang lain. Ni kalau jumpa umi, mesti umi suka,” kata Hawa Alyana.
Reesa senyum sahaja mendengar kata-kata Hawa Alyana. Hairan kerana setiap kali bertemu, Hawa Alyana tidak pernah bersama suaminya. Selalu bersama adiknya itu sahaja.
“Suami kak long ke mana?” Akhirnya dia bertanya.
“Suami kak long ada kat Dubai, urus projek kata sana. Sebab tu dia selalu tak ada. Waktu cuti panjang aje kami ke sana. Kak long dah biasa dah. Sejak awal kahwin lagi kami dah selalu berjauhan. Alah bisa tegal biasa. Kak long tak suka pula nak tinggal tempat orang lama-lama, lepas tu suami kak long pun tak harap sangat jika kak long dengan Amira tinggal kat tempat orang,” jawab Hawa Alyana.
“Oh, ya ke. Saya hairan juga. Selalu dengan adik kak long aje. Dah lama kak long kahwin?” tanya Reesa lagi.
“Kak long kahwin lewat, sebab tu baru dapat Amira. Nak mengandung lagi kak long takut dengan umur yang meningkat ni. Reesa tak mahu tambah ahli lagi? Adam dah lima tahun, kan?” Hawa Alyana tiba-tiba bertanyakan Adam.
“Hah?!” Reesa terkejut.
“Tambahlah. Reesa muda lagi,” kata Hawa Alyana lagi.
“Umarif tak nak tambah anak kut. Seronok bertiga sahaja,” sambung Hawa Alyana lagi.
Reesa ingin ketawa kuat. Tetapi, nanti Hawa Alyana tersinggung pula. Umarif dianggap sebagai suaminya? Bukan hanya Hawa Alyana sahaja yang berfikir begitu. Malah, kebanyakan orang yang bertemu dengan mereka juga begitu.
“Sayalah. Nak lahir Adam teruk. Masa mengandung pun teruk. Saya berada dalam hospital sepanjang bulan terakhir kehamilan. Darah tinggi dan adalah lagi pasalnya. Takut nak ingat lagi. Dua minggu sakit, tapi Adam tetap tak keluar. Hari Adam nak lahir tu baru betul-betul sakit. Masuk labour room tetap juga tak keluar. Penghabisannya kena ceaser, kak long. Dua-dua tempat sakit.” Reesa tidak pernah bercerita perihal sebenar kisah kelahiran Adam kepada sesiapa. Cuma kali ini dia ingin berkongsi kisah itu dengan Hawa Alyana.
Ngeri Reesa teringatkan peristiwa kelahiran Adam. Adam kena masuk NICU sebab lemas dalam kandungan. Banyak yang Reesa terpaksa tempuhi.
“Nak lahir anak memang susah ke?” tanya Syarez yang entah bila berada di situ.
“Lelaki mana tahu... Yang dia orang tahu buat anak aje. Tak pun suruh beranak ramai-ramai kan, Reesa?” kata Hawa Alyana.
Reesa sekadar mengukirkan senyuman mendengar kenyataan yang keluar dari dua ulas bibir Hawa Alyana.
“Kak long, apa yang kak long makan tu?” tanya Syarez apabila melihat kakaknya sejak tadi asyik menyuap makanan ke dalam mulutnya.
“Pulutlah. Tak nampak? Sedap betul,” puji Hawa Alyana.
“Nak juga.”
“Ambil sendiri,” kata Hawa Alyana malas melayan Syarez.
Reesa letakkan nasi pulut ke dalam pinggan dan gulai ayam ke pinggan yang sama. Lalu dihulurkan kepada Syarez yang sudah duduk di sisi kakaknya.
Belum sempat Syarez mengucapkan terima kasih, Adam, Amira dan Umarif sudah berada di situ. Reesa buat seperti tadi. Tapi, kali ini dihulurkan kepada Umarif.
“Tengok anak mummy dah brown. Mummy ajak mandi dalam rumah aje tak nak,” kata Reesa apabila melihat Adam sudah bertukar warna kulitnya.
“Alah, mummy, mana best. Dah daddy ada peluang hari ni,” jawab Adam.
“Reesa tak mandi ke?” tanya Hawa Alyana apabila melihat Reesa hanya berbaju kurung.
“Dia tak suka mandi laut,” kata Umarif.
“Takut hitam,” kata Adam dan Umarif serentak.
Bukkk! Belakang Umarif ditepuknya. Memang nak kena. Sejak tadi asyik mainkan aku aje, desis hati Reesa. Hatinya puas kerana dapat memukul Umarif.
“Sakitnya...” Umarif terbatuk-batuk.
Sorry... sorry...” Reesa cepat sedar. Belakang Umarif dielus lembut. Air mineral dihulurkan kepada Umarif.
Syarez yang melihat tiba-tiba diterpa rasa cemburu dengan kemesraan pasangan suami isteri itu. Entah kenapa.
Syarez mencuit kakaknya. Meminta pulut putih itu lagi. Kali ini Hawa Alyana menolong adiknya. Tahu pun sedap. Semasa Syarez mahu menyuap makanan ke dalam mulutnya matanya terpandang lagi kepada pasangan itu. Mereka sedang berbisik-bisik dan Reesa menampar bahu Umarif. Bergelak ketawa bersama-sama.
“Romantik sungguh,” kata Hawa Alyana.
“Siapa, kak long?” Syarez pura-pura tidak tahu.
Hawa Alyana memuncungkan bibirnya kepada Umarif dan Reesa yang sudah berjalan di gigi air. Adam juga berada di depan mereka. Matanya juga tertancap kepada pasangan yang sedang berjalan itu. Romantik ke? Biasa saja, desis hati Syarez.

“Selalu ke datang berkelah di pantai ni?” tanya Syarez ketika Reesa sibuk menyimpan barang. Mereka yang lain sudah pergi berjalan-jalan.
“Taklah. Ikut abang ada cuti,” jawab Reesa tanpa menoleh kepada Syarez.
“Restoran sendiri takkanlah payah nak dapat cuti?” Pelik bagi Syarez sebab itulah dia bertanya lagi.
“Dah dia memang macam tu. Lagipun saya dan Adam sudah biasa dia sibuk.” Reesa bangun selepas selesai mengemas. Dikeleknya bakul di kiri dan di sebelah kanannya pula tikar mengkuang. Walaupun nampak payah, Reesa tidak pula meminta pertolongan daripada Syarez.
Syarez yang memandang hanya menggelengkan kepalanya.
“Sini, saya tolong,” kata Syarez terus mengambil bakul yang agak berat itu.
Reesa menariknya semula. Mereka bermain tarik-menarik.
“Saya tolong,” kata Syarez lembut.
“Saya dah biasa buat sendiri,” balas Reesa pula.
“Umarif tak tolong?” tanya Syarez agak panas hati apabila niatnya yang baik ditolak oleh Reesa.
“Tolong...” Panjang jawapan Reesa.
“Tolong apa macam ni? Tengok, dia dah berjalan kat sana. Agaknya dia tolong dalam bilik tidur aje kut!” Kasar suara Syarez.

Reesa menjegilkan matanya. Wajahnya merah kerana terlalu marah. Apa hak Syarez untuk berkata begitu kepadanya? Tanpa mempedulikan Syarez, Reesa terus berlalu ke kereta. Hinggalah ketika mereka berpisah untuk pulang, Reesa tidak memandang langsung ke arah Syarez.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan